Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa hukum memotong rambut?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan hadith daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ كَانَ لَهُ شَعْرٌ فَلْيُكْرِمْهُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang memiliki rambut maka hendaklah dia memuliakannya.”

Riwayat Abu Daud (4163)

Al-Munawi berkata: Rasulullah bersabda: “Sesiapa yang mempunyai rambut, hendaklah dia memuliakannya,” iaitu dengan menyisirnya, merapikannya, dan mengoleskan minyak, serta tidak membiarkannya menjadi kusut dan tidak terurus. Namun, janganlah berlebihan dalam perkara ini kerana terdapat larangan menyisir rambut secara berlebihan, kecuali sesekali sahaja. (Lihat Faidh al-Qadir, 6/208)

Memotong rambut hukumnya adalah harus. Tiada arahan khusus pada penggayaan rambut; tiada anjuran memanjangkan rambut dan tiada larangan untuk memotong rambut. Syariat Islam hanya menggariskan panduan agar rambut sentiasa bersih dan kemas; sama ada pendek atau panjang.

Rasulullah SAW juga mempunyai gaya rambut yang bervariasi dan berbeza-beza. Terkadang baginda membiarkan rambut menjadi panjang. Terkadang baginda memendekkan rambut sedikit, terkadang baginda mencukurnya terutamanya selepas melaksanakan Umrah atau Haji.

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata ketika menjelaskan kepelbagaian gaya rambut Rasulullah SAW: “Adapun apa yang hadith isyaratkan adalah keadaan rambut Nabi SAW, adakalanya panjangnya mencapai dua bahu Baginda. Kadangkala, Baginda berambut panjang hingga belakang pundak, kemudian Baginda mengikatnya dan membuat tocang padanya. Keadaan seperti ini barangkali dilakukan kerana Baginda tiada masa yang mencukupi untuk merapikan atau memotong rambut Baginda; iaitu keadaan ketika sibuk bermusafir dan yang semisalnya.” (Lihat Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 10/360)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

Leave a Reply