Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah saya menguatkan bacaan surah al-Fatihah dan surah pilihan ketika mendirikan solat Zuhur dan Asar? Mohon pencerahan.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ، الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ

Maksudnya:Sesungguhnya telah berjayalah orang-orang yang beriman, yang mana mereka itu khusyuk di dalam solat mereka.”

(Surah al-Mu’minun: 1-2)

Imam al-Qurtubi ketika menjelaskan ayat ini menyatakan bahawa khusyuk tempatnya adalah di dalam hati. Sekiranya hati itu khusyuk — ketika menunaikan solat — maka anggota badan lain juga semuanya akan turut khusyuk disebabkan oleh kekhusyukan hatinya itu. Kemudian, beliau menceritakan sebuah kisah mengenai seorang ulama yang mana ketika menunaikan solat, dia akan memalingkan pandangannya daripada sesuatu pun urusan keduniaan. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 12/103)

Pada asasnya, disunatkan bagi imam dan orang yang bersolat sendirian menyaringkan bacaan ketika solat Subuh, dua rakaat yang pertama solat Maghrib, Isyak, solat Jumaat, solat dua Hari Raya, solat Gerhana Bulan, solat Terawih dan solat Witir pada bulan Ramadhan, sementara solat yang lainnya sunat memperlahankan bacaan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/149)

Terdapat banyak hadith yang menunjukkan bahawa Baginda SAW menyaringkan atau menguatkan suaranya ketika solat jahriyyah. Di antaranya, riwayat daripada Jubair bin Mut‘im R.A, beliau berkata:

سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَرَأَ الـمَغْرِبَ بِالطُّوْرِ

Maksudnya:Aku mendengar Rasulullah SAW membaca surah al-Tur ketika mendirikan solat Maghrib.”

Riwayat al-Bukhari (765) dan Muslim (463)

Seterusnya dalam hadith Ibn Abbas R.Anhuma tentang kehadiran jin yang mendengar al-Quran daripada Nabi SAW ada menyatakan:

وَهْوَ يُصَلِّى بِأَصْحَابِهِ صَلاَةَ الْفَجْرِ، فَلَمَّا سَمِعُوا الْقُرْآنَ اسْتَمَعُوا لَهُ

Maksudnya:Baginda mendirikan solat Subuh bersama-sama para sahabatnya. Tatkala para sahabat mendengar al-Quran, jin-jin turut mendengarnya.”

Riwayat al-Bukhari (773) dan Muslim (449)

Manakala dalil memperlahankan bacaan pada tempat-tempatnya pula adalah berdasarkan hadith, daripada Khabbab R.A, seseorang bertanya kepadanya:

أَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقْرَأُ فِى الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ؟ قَالَ: نَعَمْ. قُلْنَا: بِمَ كُنْتُمْ تَعْرِفُونَ ذَاكَ؟ قَالَ: بِاضْطِرَابِ لِحْيَتِهِ

Maksudnya:Adakah Rasulullah SAW membaca sesuatu ketika mendirikan solat Zuhur dan Asar? Beliau menjawab: ‘Ya.’ Kami bertanya lagi: ‘Bagaimanakah kamu tahu perkara tersebut?’ Khabbab menjawab: ‘Melalui pergerakan janggut Baginda’.

Riwayat al-Bukhari (746)

Seterusnya, maksud menguatkan bacaan dan memperlahankannya adalah sebagaimana yang ditakrifkan oleh para fuqaha seperti pengarang al-Hawi iaitu bacaan secara kuat (jahar) adalah dengan memperdengarkan bacaan kepada orang di sebelahnya. Manakala bacaan secara perlahan (israr) pula adalah dengan memperdengarkan bacaan kepada dirinya sendiri. (Lihat Hasyiyah al-Bujairimi ‘ala al-Khatib, 2/64; al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/390)

Tambahan lagi, al-Khirasyi menyebutkan, serendah-rendah tahap bacaan perlahan adalah dengan menggerakkan lidahnya ketika membaca bacaan dalam solat. Jika dia tidak menggerakkan lidahnya maka tidak sah bacaannya itu kerana perkara tersebut tidak dikira sebagai membaca. Manakala tahapnya paling tinggi pula adalah ia didengari oleh dirinya sahaja. Adapun serendah-rendah tahap bacaan kuat adalah ia didengari oleh dirinya dan orang yang berada di sekelilingnya, sedangkan tiada had bagi tahap suaranya yang paling tinggi. (Lihat Syarh Mukhtasar Khalil, 1/275)

Berbalik kepada soalan yang diajukan, menguatkan suara dalam solat jahriyyah dan memperlahan suara dalam solat sirriyyah termasuk dalam perkara sunnah. Namun, jika ada sesiapa yang memperlahankan suara dalam solat jahriyyah atau menguatkan suara dalam solat sirriyyah, solatnya tetap sah. Akan tetapi dia telah menyelisihi sunnah yang telah ditentukan berdasarkan perbuatan Baginda SAW.

Mengenai hal ini juga, Imam al-Nawawi ada menyebutkan dalam kitabnya, jika seseorang itu menguatkan atau menyaringkan suaranya pada tempat yang sepatutnya diperlahankan suara ataupun sebaliknya — yakni memperlahankan suara pada tempat yang sepatutnya dinyaringkan — maka solatnya tidak terbatal dan tidak perlu juga sujud sahwi. Akan tetapi dia telah melakukan suatu perkara yang makruh. Inilah pendapat dalam mazhab Syafi‘i, al-Auza‘i dan Ahmad dalam riwayatnya yang paling sahih. Manakala Imam Malik, al-Thauri dan Abu Hanifah pula berpendapat, orang tersebut perlu sujud sahwi. (Lihat al-Majmu‘, 3/390-391)

Dalil mazhab Syafi‘i adalah berdasarkan hadith daripada Abu Qatadah, beliau berkata:

كانَ النبيُّ ﷺ يَقْرَأُ في الرَّكْعَتَيْنِ الأُولَيَيْنِ مِن صَلاةِ الظُّهْرِ بفاتِحَةِ الكِتابِ، وسُورَتَيْنِ يُطَوِّلُ في الأُولى، ويُقَصِّرُ في الثّانِيَةِ ويُسْمِعُ الآيَةَ أَحْيانًا، وكانَ يَقْرَأُ في العَصْرِ بفاتِحَةِ الكِتابِ وسُورَتَيْنِ، وكانَ يُطَوِّلُ في الأُولى، وكانَ يُطَوِّلُ في الرَّكْعَةِ الأُولى مِن صَلاةِ الصُّبْحِ، ويُقَصِّرُ في الثّانِيَةِ

Maksudnya:Nabi SAW selalu membaca surah al-Fatihah dan dua surah dalam dua rakaat yang pertama solat Zuhur. Baginda memanjangkan bacaan dalam rakaat pertama dan memendekkan bacaan dalam rakaat kedua, dan terkadang memperdengarkan beberapa bacaan ayat. Baginda membaca surah al-Fatihah dan dua surah dalam solat Asar. Baginda memanjangkan bacaan dalam rakaat pertama dan memanjangkan bacaan dalam rakaat pertama solat Subuh dan memendekkan bacaan dalam rakaat yang kedua.”

Riwayat al-Bukhari (759)

Malah Mantan Mufti Arab Saudi juga pernah ditanya berkenaan perkara ini iaitu menguatkan suara pada bukan solat jahriyyah. Lalu beliau menjawab, sunnahnya adalah membacanya secara perlahan. Akan tetapi, jika seseorang itu tetap juga menguatkan suaranya — dalam solat sirriyyah — pada beberapa ayat, maka tidak mengapa kerana Nabi SAW pernah kadang-kadang memperdengarkan beberapa bacaan ayat dalam solat Zuhur dan Asar. Walau bagaimanapun, afdhalnya dalam solat Zuhur dan Asar adalah dengan membacanya secara perlahan, manakala dalam solat malam dan Subuh membacanya secara kuat.[1]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa sunnahnya adalah untuk menguatkan suara pada solat jahriyyah dan memperlahankan suara pada solat sirriyyah. Walau bagaimanapun, jika seseorang itu tetap menguatkan suaranya pada solat sirriyyah seperti solat Zuhur dan Asar, solatnya tetap sah dan tidak terbatal serta tidak perlu juga sujud sahwi berdasarkan pendapat dalam mazhab Syafi‘i. Akan tetapi, dia telah melakukan suatu perkara yang makruh dan menyalahi perkara sunnah.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 28 Mac 2022 bersamaan 25 Syaaban 1443H

[1] Lihat https://binbaz.org.sa/fatwas/17350/حكم-الجهر-في-الصلاة-السرية . Diakses pada 25 Mac 2022.

Leave a Reply