Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan maksud dan tafsiran terhadap ayat 17 dan 18 surah al-Fajr?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

لَّا ۖ بَل لَّا تُكْرِمُونَ الْيَتِيمَ (17) وَلَا تَحَاضُّونَ عَلَىٰ طَعَامِ الْمِسْكِينِ

Maksudnya: “Jangan demikian, (sebenarnya kata-kata kamu itu salah). Bahkan (perbuatan kamu wahai golongan yang hidup mewah, lebih salah lagi kerana) kamu tidak memuliakan anak yatim, (malah kamu menahan apa yang la berhak menerimanya. Dan kamu tidak menggalakkan untuk memberi makanan (yang berhak diterima oleh orang miskin).”

(Surah al-Fajr: 17-18)

Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkata: Perkataan tahadh (تحاضون) ‘menggalakkan’ dalam ayat di atas bermaksud mengajak ‘bersama- sama’ ataupun “bekerjasama. Oleh itu, ayat tersebut mengandungi seruan agar masyarakat bersama-sama bertanggungjawab sepenuhnya dalam mengatasi masalah kemiskinan.

Syeikh Muhammad Abduh berkata, “Ungkapan ‘menyuruh memberi makan dalam ayat tersebut bukan sahaja bermaksud ‘memberi makan’ golongan miskin, tetapi mengandungi maksud yang tegas bahawa setiap anggota masyarakat harus bersama-sama bertanggungjawab dan saling menggalakkan untuk bersama-sama mengerjakan kebajikan dan mencegah dari berlakunya hal-hal yang tidak baik dan menghindari dari perbuatan- perbuatan yang tidak baik itu sendiri.” (Lihat Tafsir juz Amma, hlm. 83)

Dalam surah al-Ma’un, tindakan kejam terhadap anak-anak yatim dan tidak mempedulikan nasib golongan miskin, dianggap sebagai tindakan seorang yang kufur dan tidak beriman dengan hari pembalasan. Allah SWT berfirman:

أَرَأَيْتَ الَّذِي يُكَذِّبُ بِالدِّينِ

Maksudnya: “Adakah anda melihat siapa yang mendustakan agama?”

(Surah al-Ma’un: 1)

Persoalannya di sini, adakah anda tahu siapa yang dipanggil pendusta agama? Sekiranya tidak tahu, maka jawapannya berdasarkan ayat seterusnya:

فَذَٰلِكَ الَّذِي يَدُعُّ الْيَتِيمَ (2) وَلَا يَحُضُّ عَلَىٰ طَعَامِ الْمِسْكِينِ

Maksudnya: “Orang itu ialah yang menindas serta berlaku zalim kepada anak yatim, Dan ia tidak menggalakkan untuk memberi makan yang berhak diterima oleh orang miskin.”

(Surah al-Ma’un: 2-3)

laitu orang yang mengusir anak-anak yatim dan tidak menggalakkan memberi makan golongan miskin.

Sheikh Muhammad Abduh seterusnya menyatakan, menggalakkan memberi makan orang miskin bermaksud mengajak dan menjemput orang lain untuk memberi makan kepada orang miskin. Orang-orang yang tidak pernah mengajak orang lain untuk memberi makan kepada orang miskin biasanya mereka sendiri tidak pernah memberi makanan kepada orang miskin ini. Firman Allah SWT:

 وَلَا تَحَاضُّونَ عَلَىٰ طَعَامِ الْمِسْكِينِ

Maksudnya: “Dan kamu tidak menggalakkan untuk memberi makanan (yang berhak diterima oleh) orang miskin.”

(Surah al-Fajr: 18)

Ayat-ayat di atas merupakan sindiran yang ditujukan kepada golongan yang tidak pernah mengorbankan harta mereka walaupun sedikit untuk golongan miskin yang kelaparan dan tidak berupaya untuk mencari nafkah. Allah mengungkapkannya dalam bentuk sindiran dengan maksud apabila seseorang itu tidak mampu memenuhi keperluan golongan miskin atau tidak mempunyai sesuatu yang boleh diberikannya, maka, ia harus meminta orang lain untuk melakukannya. Ayat itu mengandungi gesaan kepada yang orang-orang yang beriman agar mengambil berat terhadap nasib golongan miskin dan menghulurkan bantuan walaupun hanya dengan cara mengumpulkan sumbangan-sumbangan daripada pihak lain seperti yang dilakukan oleh organisasi-organisasi sosial. Oleh itu, usaha yang dilakukan oleh organisasi-organisasi sosial seperti perti di atas sebenarnya mempunyai dalil daripada al-Quran iaitu ayat tersebut dan juga ayat berikut:

كَلَّا ۖ بَل لَّا تُكْرِمُونَ الْيَتِيمَ (17) وَلَا تَحَاضُّونَ عَلَىٰ طَعَامِ الْمِسْكِينِ

Maksudnya: “Jangan demikian, (sebenarnya kata-kata kamu itu salah). Bahkan (perbuatan kamu wahai golongan yang hidup mewah, lebih salah lagi kerana) kamu tidak memuliakan anak yatim, (malah kamu menahan apa yang la berhak menerimanya); Dan kamu tidak menggalakkan untuk memberi makanan (yang berhak diterima oleh) orang miskin.”

(Surah al-Fajr: 17-18)

Usaha yang terbaik adalah usaha membasmi kemiskinan dan memenuhi keperluan golongan miskin. (Lihat Tafsir juz Amma, hlm. 162)

Selanjutnya, Allah SWT menerangkan maksud orang yang disebut mengingkari adanya hari kiamat melalui firman-Nya:

 فَوَيْلٌ لِّلْمُصَلِّينَ (4) الَّذِينَ هُمْ عَن صَلَاتِهِمْ سَاهُونَ (5) الَّذِينَ هُمْ يُرَاءُونَ (6) وَيَمْنَعُونَ الْمَاعُونَ

Maksudnya: “(Kalau orang yang demikian dikira dari bilangan orang-orang yang mendustakan ugama), maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Sembahyang. (laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya. (Juga bagi) golongan yang berkeadaan riak (bangga diri dalam ibadat dan bawaannya), Dan golongan yang tidak memberi sedikit pertolongan (kepada orang yang berhak mendapatnya).”

(Surah al-Ma’un: 4-7)

Ibn Kathir menjelaskan ayat tersebut dalan kitab tafsirnya: Mereka adalah golongan yang tidak melakukan pengabdian yang terbaik kepada Allah dan tidak melakukan yang terbaik dalam hubungan sesama manusia. Malah, mereka tidak mahu meminjamkan kepada golongan yang memerlukan walaupun pinjaman tersebut dijamin tidak rosak dan akan dikembalikan dalam keadaan yang baik. Mereka adalah golongan yang tidak mahu membayar zakat dan sebarang sumbangan lain yang seumpamanya. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, hlm. 555)

Bagi golongan ini, solat mereka tidak akan memberi manfaat kepada mereka dan mereka tidak termasuk dalam golongan orang-orang yang beriman. (Lihat Fiqh al-Zakah, PPZ, hlm. 21-23)

Dalam Tafsir al-Bayan, dijelaskan: Allah SWT sentiasa mengawasi tingkah laku para hamba-Nya. Mesej utama yang difahami daripada ayat tersebut ialah Allah SWT berkehendakkan manusia melakukan ketaatan dan mempersiapkan bekalan untuk hari akhirat. Namun, realiti sebenar ialah sebahagian manusia hanya mengutamakan kehidupan dunia dan tidak beriman dengan hari akhirat. Apabila dia diberi kesenangan harta, dia menyangka itulah hak yang sepatutnya diterima dan ia merupakan satu penghormatan buatnya. Sebaliknya, apabila dia diuji dengan kepayahan hidup, dia menyangka hal yang demikian adalah satu penghinaan terhadapnya. Bagi seorang Mukmin, kesenangan dan kesengsaraan hidup tidak lain hanyalah ujian semata-mata, sedangkan penghormatan atau penghinaan yang sebenar adalah apa yang akan diterima oleh seseorang pada hari akhirat kelak sebagai balasan di atas apa yang telah dilakukan semasa di dunia. Selain itu, perkataan (الإِنْسَانُ) dalam surah-surah yang diturunkan di Makkah kebiasaannya adalah merujuk kepada golongan kafir di Makkah sepertimana yang terdapat dalam ayat ke-6 daripada Surah al-‘Alaq, ayat ke-3 daripada Surah al-Qiyamah dan ayat ke-4 daripada Surah al-Balad. (Lihat al-Kashshaf 4/749; Fath al-Qadir, 5/533; al-Tahrir wa al-Tanwir, 30/324-326)

Kemudian, dalam ayat berikutnya dimulakan dengan perkataan (كَلاَّ) yakni tidak sewajarnya seorang hamba berkata demikian – iaitu merujuk kepada ucapan mereka sebagaimana dirakamkan dalam ayat 15 dan 16. – Bahkan, dia sepatutnya memuji Tuhan di atas kekayaan atau kemiskinan yang ditimpakan ke atasnya sebagai ujian. (Lihat Fath al-Qadir, 5/534)

Seterusnya Allah SWT menyebut pula menerusi ayat 17 hingga 20 keburukan tingkah laku mereka, setelah disebutkan pada ayat 15 dan 16 keburukan ucapan mereka. Tingkah laku buruk tersebut ialah mereka tidak memuliakan anak yatim, tidak menggalakkan orang memberi makan kepada fakir miskin atau mereka sendiri tidak memberi makan kepada golongan tersebut. Bukan itu sahaja, mereka juga memakan atau mengambil harta pusaka yang mereka tiada hak ke atasnya serta obsess terhadap harta dunia.

Memuliakan anak yatim bermaksud memenuhi segala keperluannya. Manakala yang dimaksudkan dengan ‘tidak menggalakkan orang memberi makan kepada fakir miskin’ adalah dengan tidak mempedulikan nasib mereka, maka apatah lagi memberi makan kepada mereka. Selain itu, makna ‘memakan atau mengambil harta pusaka’ pula ialah mereka menyekat golongan yang sepatutnya mendapat bahagiannya dalam harta pusaka seperti kaum wanita dan kanak-kanak sebagaimana yang dilakukan oleh kaum Jahiliah dahulu, dan merampas hak waris lain. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 30/332-334)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Leave a Reply