Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan hadith, aku diperintahkan memerangi manusia sehingga mereka mengikrarkan syahadah, mendirikan solat dan menunaikan zakat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Daripada lbn ‘Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:

أُمِرْتُ أَنْ أُقَاتِلَ النَّاسَ حَتَّى يَشْهَدُوا أَنْ لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، وَيُقِيمُوا الصَّلَاةَ، وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ؛ فَإِذَا فَعَلُوا ذَلِكَ عَصَمُوا مِنِّي دِمَاءَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ إلَّا بِحَقِّ الْإِسْلَامِ، وَحِسَابُهُمْ عَلَى اللَّهِ تَعَالَى

Maksudnya: “Aku diperintahkan untuk memerangi manusia hingga mereka bersaksi bahawa tidak ada tuhan yang hak melainkan Allah dan bahawa Muhammad adalah utusan Allah, mendirikan solat dan menunaikan zakat. Apabila mereka telah melakukan hal itu, maka darah dan harta mereka akan dilindungi kecuali dengan hak Islam dan perhitungan sebenar mereka diserahkan kepada Allah SWT.”

Riwayat al-Bukhari (25) dan Muslim (22)

Keistimewaan Hadis

Hadis ini amat penting kerana ia merangkumi beberapa asas agama Islam yang penting.

Antara asas tersebut adalah penyaksian dan pembenaran yang muktamad bahawa tiada tuhan selain Allah, dan bahawa Nabi Muhammad SAW itu utusan Allah, mendirikan solat seperti yang diperintahkan dan mengeluarkan zakat kepada yang berhak menerimanya.

Ulama’ dan Hadis Ini

Antaranya:

Ibn Daqiq al-’Id berkata: “Hadis ini amat berharga dan termasuk salah satu daripada prinsip Islam.”

Ibn Hajar al-Haitami berkata: “Hadis ini cukup agung dan mulia, yang menjadi salah satu kaedah agama.”

Sebab Datangnya Hadis

Sebab wurudnya (datangnya hadith ini) adalah seperti yang disebut oleh Ibn Abi Syaibah di dalam al-Musannaf: Daripada Abu Hurairah R.A, katanya:

قَالَ عُمَرُ: إِنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «لَأَدْفَعَنَّ اللِّوَاءَ غَدًا إِلَى رَجُلٍ يُحِبُّ اللهَ وَرَسُولَهُ يَفْتَحُ اللهُ بِهِ» قَالَ عُمَرُ: مَا تَمَنَّيْتُ الْإِمْرَةَ إِلَّا يَوْمَئِذٍ فَلَـمَّا كَانَ الْغَدُ تَطَاوَلْتُ لَهَا  قَالَ: فَقَالَ: يَا عَلِيُّ، قُمِ اذْهَبْ فَقَاتِلْ وَلَا تَلْفِتْ حَتَّى يَفْتَحَ اللهُ عَلَيْكَ فَلَـمَّا قَفَّى كَرِهَ أَنْ يَلْتَفِتَ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللهِ، عَلَامَ أُقَاتِلُهُمْ؟ قَالَ: حَتَّى يَقُولُوا: لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ فَإِذَا قَالُوهَا حَرُمَتْ دِمَاؤُهُمْ وَأَمْوَالُهُمْ إِلَّا بِحَقِّهَا.

Maksudnya: “Umar berkata: Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Aku benar-benar akan menyerahkan panji ini kepada seorang lelaki yang mencintai Allah dan Rasul-Nya, dan Allah akan memberi kemenangan dengannya.” Umar berkata: “Aku tidak pernah mengharapkan kepada kepimpinan melainkan hari itu. Apabila keesokan harinya, aku pun bercita-cita untuknya.” Umar berkata lagi: Kemudian Nabi SAW bersabda: “Wahai Ali, bangun dan pergilah berperang, serta jangan berpaling sehinggalah Allah memberi kemenangan kepadamu.” Maka apabila dia beredar, dia pun benci untuk berpaling lagi.  Ali bertanya: “Ya Rasulullah, atas dasar apa aku memerangi mereka?” Baginda bersabda: Sehinggalah mereka mengucapkan ‘لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ’ (Tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Allah.” Jika mereka telah mengucapkannya, maka telah terhalang dariku darah dan harta mereka kecuali dengan haknya.”

Riwayat Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (36882)

Selain itu, hadith tersebut juga dijelaskan oleh para ulama’ bahawa ia muncul berkenaan dengan orang-orang musyrik Arab yang ketika itu memerangi dakwah Nabi SAW. Mereka memusuhi dakwah Nabi SAW sejak pertama kali Baginda berdakwah mengajak orang ramai untuk menyembah Allah SWT tanpa mempersekutukannya.

Orang-orang musyrik Arab ini juga telah menyeksa umat Islam yang lemah selama tiga belas tahun lamanya dan memerangi Nabi SAW selama sembilan tahun, ketika Baginda berada di Madinah. Mereka juga melanggar perjanjian damai yang telah disepakati bersama orang-orang Islam. Justeru, apabila Nabi SAW bersabda: ‘أُمِرْتُ أَنْ أُقَاتِلَ النَّاسَ حَتَّى يَشْهَدُوا أَنْ لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ’, maka sesungguhnya sasaran daripada sabda Nabi SAW tersebut ditujukan terhadap orang-orang musyrik Arab yang memerangi umat Islam, dan bukan orang-orang musyrik secara umum.

Keterangan Hadis

Al-Hafiz dalam menjelaskan hadith ini menyebut seperti berikut:

Al-Hafiz Ibn Hajar menjelaskan: Sabda Baginda, ‘أُمِرْتُ’ (Aku diperintah), maksudnya, aku diperintah oleh Allah kerana hanya Dia-lah yang memerintahkan Rasul-Nya. Jika ada seorang Sahabat yang mengatakan, ‘Aku diperintah,’ maka hal tersebut bermaksud, ‘Aku diperintah oleh Rasulullah.’ Kalimat tersebut tidak mengandungi kemungkinan, ‘Aku diperintah oleh sahabat yang lain.’ Kerana, selama mana mereka adalah para mujtahid, maka mereka tidak menjadikan perintah mujtahid yang lain sebagai hujjah. Apabila kalimat tersebut dikatakan oleh seorang Tabi’in, maka ada kemungkinan demikian. Kesimpulannya, bahawa seseorang yang terkenal patuh kepada pemimpinnya, maka jika dia mengatakan kalimat tersebut, dapat difahami bahawa perintah tersebut berasal dari pemimpinnya.

Sabda Baginda, ‘حَتَّى يَشْهَدُوا’ (Sehingga mereka bersaksi). Kalimat ini menjelaskan bahawa tujuan memerangi adalah adanya sebab-sebab yang telah disebutkan dalam hadith. Maka, secara zahir, kalimat tersebut mengandungi pernyataan bahawa orang yang mengucapkan syahadah, mendirikan solat dan mengeluarkan zakat, akan dijamin jiwanya walaupun mengingkari hukum-hukum yang lain. Kerana Syahadah (kesaksian) terhadap suatu risalah bererti meyakini semua yang berasal darinya, ditambah lagi bahawa konteks hadith, ‘إِلَّا بِحَقِّ الْإِسْلَامِ’ (Kecuali yang berkaitan dengan hukum Islam) mencakupi semua hal yang disebutkan dalam hadith.

Jika ada pertanyaan, “Kenapa yang disebutkan hanya solat dan zakat sahaja dalam nas di atas?” Jawabnya, supaya manusia memperhatikan dua perkara tersebut, kerana solat dan zakat adalah ibadah yang sangat mulia, di samping keduanya juga merupakan ibadah badaniyyah (jasmani) dan maliyyah (harta) yang paling penting.

Sabda Baginda, ‘ وَيُقِيمُوا الصَّلَاةَ’ (dan mendirikan solat), ertinya melaksanakan solat secara berterusan dengan memenuhi semua syarat dan rukunnya. Maksud qiyam (قيام) (mendirikan) adalah ada’ (أداء) (melaksanakan) yang dalam hal ini termasuk ta’bir al-kulli bi al-juz’i (menerangkan sesuatu dengan menyebutkan bahagiannya). Yang dimaksudkan dengan solat di sini adalah yang diwajibkan, bukan solat secara umum. Oleh kerana itu, tidak termasuk di dalamnya sujud tilawah walaupun sujud tersebut dapat dikategorikan dalam solat. Syeikh Muhyiddin al-Nawawi berkata: “Hadith ini memberi petunjuk bahawa orang yang meninggalkan solat secara sengaja akan dibunuh atau dihukum mati.” Kemudian, beliau menyebutkan perbezaan pendapat ulama’ dalam masalah ini.

Ketika al-Karmani ditanya hukum orang yang meninggalkan zakat, beliau menjawab bahawa hukum solat dan zakat adalah sama, kerana tujuan kedua-dua hal tersebut tidaklah berbeza, iaitu “memerangi” bukan “menghukum mati.” Adapun perbezaannya, orang yang tidak mahu membayar zakat dapat diambil secara paksa sedangkan dalam solat tidak dapat diperlakukan seperti itu. Oleh kerana itu, jika seseorang itu hartanya telah mencapai nisab dan tidak mahu mengeluarkan zakat, maka dia hendaklah diperangi.

Dalam kerangka ini, Abu Bakar al-Siddiq R.A memerangi golongan yang tidak mahu membayar zakat. Tidak ada satu riwayat pun yang menunjukkan bahawa beliau membunuh mereka. Oleh kerana itu, hendaklah diteliti terlebih dahulu jika hadith ini dijadikan dalil untuk membunuh orang yang meninggalkan solat, kerana sighah (bentuk kalimat) ‘أُقَاتِلُ’ (aku memerangi) dengan ‘أَقْتُل’ (aku membunuh) adalah berbeza. Wallahu a’lam.

Ibn Daqiq al-’Id dalam kitabnya Syarh al-’Umdah telah menjelaskan secara panjang lebar dalam menolak pendapat yang menggunakan hadith tersebut sebagai dasar bolehnya membunuh orang yang meninggalkan solat. Beliau menyebut: “Dibolehkan memerangi (golongan tersebut), bukan bermaksud dibolehkan membunuh mereka. Kerana bentuk ‘muqatalah’ (الْمُقَاتَلَة) berasal daripada wazan (pola) ‘mufa’alah’ (مُفَاعَلَة) yang menghendaki adanya interaksi antara kedua pihak, sedangkan dalam ‘al-qatlu’ (الْقَتْلُ) (membunuh) tidak seperti itu.”

Al-Baihaqi meriwayatkan daripada al-Imam al-Syafi’i yang menyebut: “Perang tidaklah sama dengan membunuh, kerana terkadang kita dibolehkan untuk memerangi seseorang, tetapi tidak boleh membunuhnya.”

Sabda Baginda, ‘فَإِذَا فَعَلُوا ذَلِكَ’ (Jika mereka melakukan itu). Ungkapan tersebut menggunakan lafaz ‘فَعَلُوا’ (melakukan), meskipun antara objeknya ada yang berbentuk perkataan. Hal itu mungkin disebabkan penggunaan kaedah taghlib (التَّغْلِيب) (menamakan sesuatu dengan keadaan yang paling menonjol), atau kerana menghendaki erti yang lebih umum, kerana perkataan adalah perbuatan lisan.

Sabda Baginda, ‘عَصَمُوا’ (mereka berada dalam perlindunganku), terjaga atau terlindungi. Al-’Ishmah (الْعِصْمَة) berasal daripada al-’Isham (الْعِصَامِ), iaitu tali untuk mengikat mulut qirbah (الْقِرْبَة) (bekas air yang berasal daripada kulit haiwan) agar airnya tidak mengalir.

Sabda Baginda, ‘وَحِسَابُهُمْ عَلَى اللَّهِ’ (dan perhitungan terakhir mereka terserah kepada Allah), maksudnya dalam hal-hal yang bersifat rahsia. Kalimat tersebut dapat dijadikan dalil diterimanya amal perbuatan yang bersifat zahir (nampak) dan menetapkan hukum dengan bukti-bukti yang zahir. Demikian juga, bahawa keyakinan yang kuat cukup sebagai syarat diterimanya iman. Pendapat ini berbeza dengan pendapat yang mengharuskan untuk mengetahui dan mempelajari dalil atau bukti-bukti secara mendalam, sebagaimana yang dibahaskan sebelumnya.

Kalimat di atas, dapat dijadikan dalil untuk tidak mengkafirkan ahli bid’ah yang mengikrarkan tauhid dan melaksanakan Syariat. Begitu juga, sebagai dalil diterimanya taubat orang yang kafir, sama ada kekafirannya sebelum itu bersifat zahir atau batin. (Lihat Fath al-Bari, 1/77)

Petunjuk dan pengajaran Hadis

Berdasarkan hadith di atas, dapat dikeluarkan beberapa petunjuk dan istifadah. Antaranya, kami ringkaskan seperti berikut:

Pertama: Al-Khattabi berkata: “Yang dimaksudkan dengan hadis ini ialah kaum penyembah berhala dan kaum musyrikin Arab, serta orang yang tidak beriman. Bukan golongan ahli kitab dan mereka yang mengakui keesaan Allah SWT.”

Kedua:  Syeikh al-Azhar, Prof. Dr. Ahmad al-Tayyib dalam satu wawancara khusus bertajuk  Tashih al-Mafahim pada 2 Jun 2020 telah menjelaskan berkenaan hadith ini, khususnya berkanaan kalimah ‘النَّاس‘ di mana katanya: Alif Lam (ال) yang terdapat padanya boleh ditafsirkan dengan pelbagai maksud, sama ada:

  • Alif Lam (ال) li al-Jinsi yang memberi makna semua manusia dan jenis manusia.
  • Alif Lam (ال) li al-’Ahdi yang memberi makna khusus dalam kalangan manusia dan bukan semua mereka.

Justeru, di sini lebih kepada maksud Alif Lam (ال) li al-’Ahdi yang memberi maksud khusus dan bukan ‘am. Bahkan di sana terdapat kaedah ‘am yang dikehendaki dengannya makhsus. Maka di sini, dalalat al-alfaz menunjukkan bahawa manusia atau ‘النَّاس‘  adalah secara khusus, iaitu yang memerangi umat Islam, dan bukan semua Yahudi, Kristian atau mana-mana agama pun.

Kami katakan, hal ini mudah difahami berdasarkan sirah Nabi SAW dalam hidupnya. Bahkan masyarakat di Kota Madinah juga terdiri daripada pelbagai bangsa, bahasa bahkan agama. Sifat kemajmukan itu tidaklah membawa kepada paksaan untuk mereka memeluk Islam serta arahan untuk diperangi dan dibunuh mereka itu. Inilah hakikat dan realiti sebenar.

Ketiga: Imam al-Nawawi menyebut, bahawa di samping mengucapkan perkara sebegini, ia juga perlu mengimani semua ajaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW, seperti yang tersebut pada riwayat yang lain daripada Abu Hurairah, iaitu ungkapan, “Sampai mereka bersaksi, tidak ada Tuhan kecuali Allah, beriman kepadaku dan apa sahaja yang aku bawa.”

Keempat: Al-Khattabi berkata: “Orang yang secara zahir menyatakan keislamannya sedangkan hatinya menyimpan kekafiran, maka secara umumnya, keislamannya adalah diterima.”

Kelima: Imam Malik berkata: “Taubat orang yang secara zahirnya menyatakan keislaman tetapi menyimpan kekafiran dalam hatinya adalah tidak diterima.” Ini juga merupakan pendapat yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad.

Keenam: Ibn Syihab al-Zuhri telah meriwayatkan daripada Hanzalah bin Ali al-Asqa’ bahawa Abu Bakar al-Siddiq R.A telah mengutuskan Khalid al-Walid dan memerintahkannya agar memerangi manusia disebabkan lima perkara. Sesiapa yang meninggalkan salah satu daripada kelima-lima perkara tersebut, maka hendaklah diperangi atas sebab tersebut, sebagaimana juga diperangi mereka yang meninggalkan kelima-limanya, iaitu syahadah, mendirikan solat, menunaikan zakat dan berpuasa di bulan Ramadhan.

Ketujuh: Terdapat persoalan di mana puasa juga adalah sebahagian daripada rukun Islam. Begitu juga haji. Tetapi, mengapa kedua-duanya tidak disebut?

Jawapannya, seperti yang disebut oleh Imam al-Nawawi: “Bahawa seseorang tidak boleh diperangi kerana tidak berpuasa. Cukup sekadar dipenjara dan tidak diberi makan dan minum.”

Kelapan: Dalam al-Wafi, dinyatakan: “Allah SWT Maha Mengetahui segala rahsia dan Dia-lah yang melakukan perhitungan terhadapnya. Sekiranya seseorang itu adalah Mukmin yang benar, Allah SWT akan memasukkannya ke dalam syurga dan sekiranya seseorang itu pendusta dan menunjuk-nunjuk Islamnya, maka sesungguhnya dia adalah munafiq yang berada di dasar neraka yang paling bawah.”

Kesembilan: Ibn Rajab al-Hanbali menyebut: “Sebahagian mereka menyangka bahawa makna hadith ini adalah bahawa orang kafir akan diperangi sehinggalah dia mengucap dua kalimah syahadah, mendirikan solat dan menunaikan zakat. Mereka menjadikan demikian itu sebagai hujah bahawa orang kafir turut diperintahkan dengan cabang Islam. Pendapat seperti ini perlu dikaji. Ini kerana, sirah Nabi SAW dalam memerangi orang kafir adalah berbeza daripada pendapat mereka.” (Lihat Jami’ al-’Ulum wa al-Hikam, 1/230)

Kesepuluh: Berdasarkan hadis ini juga, sebahagian ulama’ berpendapat bahawa boleh diterima taubat orang zindiq, iaitu munafiq jika dia menzahirkan kembalinya kepada Islam. Justeru, dia tidak akan dibunuh dengan sebab nifaqnya itu, sebagaimana Rasulullah SAW berinteraksi dengan orang munafiq dan menjadikan mereka sepertimana hukum sesama orang Islam pada zahirnya. Inilah pendapat Imam al-Syafi’i dan Ahmad pada satu riwayat. Al-Khattabi telah meriwayatkannya berkenaan hal ini daripada ramai ulama’.

Kesebelas: Penilaian terhadap manusia di dunia ini adalah berdasarkan zahir luarannya, tidak melibatkan persoalan niat-niat mereka.

Justeru, Rasulullah sAW mengaitkan keselamatan darah dan harta mereka berdasarkan ucapan syahadah, mendirikan solat dan mengeluarkan zakat. Kesemua ini adalah amalan zahir dan tidak melibatkan penilaian terhadap niat.

Siapakah ‘النَّاسُ’ (Manusia) yang Dimaksudkan dalam Hadith?

Berdasarkan hadith di atas, berlaku perbincangan dalam kalangan ulama’ berkenaan lafaz ‘manusia’  yang dimaksudkan.

Para ulama’ berbeza pandangan dalam mentafsirkan lafaz ‘النَّاس’ yang terdapat di dalam hadith seperti berikut:

Pandangan Pertama: Lafaz ‘النَّاس’ yang dimaksudkan dalam hadith di atas ialah orang-orang musyrik. Hal ini kerana, dalam riwayat lain, terdapat hadith yang menyebut: ‘أُمِرْتُ أَنْ أُقَاتِلَ الْمُشْرِكِينَ’ (Aku diperintahkan untuk memerangi kaum musyrikin).

Pandangan Kedua: Lafaz ‘النَّاسَ’ dalam hadith di atas khusus kepada orang-orang yang memerangi umat Islam.

Antara yang berpegang dengan pandangan ini ialah Ibn al-’Arabi al-Maliki. Beliau berpandangan bahawa ayat-ayat yang menyebut: ‘فَاقْتُلُوا الْمُشْرِكِينَ’ (“Bunuhlah orang-orang yang musyrik,”) hendaklah difahami bahawa yang dimaksudkan di situ ialah orang-orang musyrik yang memerangi umat Islam, bukan semua orang musyrik. Hal ini kerana beberapa hadith telah menjelaskan bahawa golongan perempuan, anak-anak kecil, pendeta, dan orang-orang yang lemah tidak boleh untuk dibunuh. Dengan demikian, lafaz ‘النَّاس’  pada hadith di atas ialah orang-orang musyrik yang memerangi umat Islam.

Pendapat kedua ini juga yang disokong oleh Ibn Taimiyyah. Beliau berpendapat, bahawa manusia yang boleh diperangi hanyalah orang-orang musyrik yang menghunuskan pedang mereka untuk menyerang umat Islam, bukan orang-orang musyrik yang berdamai dengan orang Islam.

Beliau menguatkan pandangannya ini dengan firman Allah SWT:

وَقَٰتِلُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱلَّذِينَ يُقَٰتِلُونَكُمۡ وَلَا تَعۡتَدُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُعۡتَدِينَ

Maksudnya: “Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh.”                 

(Surah al-Baqarah: 190)

Mereka yang dimaksudkan ialah orang-orang musyrik yang mempersiapkan dirinya untuk berperang. Adapun orang-orang musyrik yang tidak memerangi umat Islam, seperti orang-orang yang sudah tua renta, anak-anak kecil, kaum perempuan dan golongan pendeta, maka mereka semua tidak boleh diperangi.

Pandangan ini juga merupakan pandangan Ibn Qayyim al-Jauziyyah, Ibn Rajab al-Hanbali, al-Amir al-San’ani, Syeikh Muhammad al-Ghazali, Syeikh Abdullah bin Zaid dan Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi.

Menurut Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, manusia dalam hadith di atas bermaksud golongan Arab penyembah berhala yang telah melanggar perjanjian damai dan melampaui batas dan tidak ada jalan lagi berdamai dengan mereka oleh kerana mereka tidak memiliki agama yang menghalang mereka, undang-undang yang mengawal mereka dan pemimpin yang mereka tunduk padanya. Di samping itu, Allah menginginkan tanah Arab itu menjadi benteng dan pusat agama Islam, dan oleh sebab itu harus dibersihkan dari segala kotoran syirik dan amalan Jahiliah yang buta. (Lihat Fiqh al-Zakah, PPZ, hlm. 47)

Berdasarkan keterangan di atas, jelas bahawa yang dimaksudkan dengan ‘النَّاس’ (manusia) yang boleh diperangi dalam hadith di atas ialah orang-orang musyrik yang mengangkat senjata memerangi umat Islam. Kefahaman seperti ini sesuai dengan manhaj menghimpunkan semua dalil, sama ada dari al-Quran mahupun hadith-hadith Nabi SAW, sehingga tidak berlaku pertentangan antara dalil-dalil itu, dan juga tidak menggugurkan sebahagian dalil-dalil tersebut.

Berkenaan Perintah Memerangi Bukan Muslim

Dalam hadith di atas, lafaz yang digunakan adalah  adalah uqatil (أُقاتِل) dan bukan aqtul (أقْتُل). Uqatil (أُقاتِل) adalah daripada kalimah muqatalah yang berasal daripada wazan mufa’alah yang memberi kefahaman wujudnya kesalingan. Maka, maksud yang tepat adalah saling berperang kerana perkataan uqatil (أُقاتِل) memberi makna ia berlaku melibatkan dua pihak atau lebih. Itu adalah asas dalam kaedah Bahasa Arab.

Hal ini turut disokong dengan penjelasan oleh Ibn Daqiq al-’Id sebagaimana yang dinukilkan oleh Ibn Hajar al- ‘Asqalani: “Keharusan muqatalah [saling berperang] tidak membawa maksud keharusan qatl [membunuh]. Ini kerana muqatalah adalah mufa’alah, bermakna berlaku peperangan antara dua pihak. Ini tidak berlaku kepada qatl [satu pihak sahaja]. Dihikayatkan oleh al-Baihaqi daripada al-Syafie berkata: ‘Matlamat berperang bukanlah semata-mata membunuh. Oleh itu, boleh sahaja seseorang itu dibenarkan berperang, tetapi tidak dibenarkan membunuh.” (Lihat Fath al-Bari fi Syarh Sahih al-Bukhari, 1/76)

Jika dihimpunkan nas Quran dan Hadis berkaitan, kita akan dapati bahawa terdapat banyak perintah Allah SWT dan sabda Rasulullah SAW untuk berbuat kebaikan kepada bukan Muslim yang baik. Rasulullah SAW mempunyai jiran dalam kalangan ahli kitab yang dilayan baik oleh Baginda dengan memberikan hadiah kepada mereka, begitu juga sebaliknya mereka turut menghargainya dengan memberi Nabi SAW hadiah. Bahkan Rasulullah SAW mengutuk keras dan mengancam mereka yang menzalimi kafir mu’ahid.

Apatah lagi dalam hari ini, hubungan antara golongan Muslim dan bukan Muslim dalam sesebuah Negara dikira dalam konteks kewarganegaraan (muwatanah) yang mana masing-masing dilindungi di bawah satu perlembagaan yang sama. Ia berbeza dengan prinsip yang ada pada zaman silam iaitu golongan bukan Islam lebih dikenali sebagai zimmi (mendapat perlindungan daripada Muslim dengan bayaran cukai). Maka, sudah pasti hak bukan Muslim jelas terjamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

Meletakkan Islam sebagai agama peperangan, tersebar dengan pedang, menyalah tafsirkan istilah jihad dan pelbagai konotasi negatif adalah momokan klasik yang sudah tidak terpakai.

Ya, memang terbukti dalam sejarah Islam, terdapat banyak peperangan yang disertai namun sejarah juga membuktikan yang sebahagian besarnya adalah bersifat defensif. Contoh Perang Badar, Perang Uhud, Perang Khandaq, Pembukaan Makkah dan lain-lain. Hanya sebahagian kecil perang yang dimulakan oleh tentera Islam terutamanya sekitar 9-10 Hijrah, dengan etika peperangan yang amat ketat atas tujuan peluasan kuasa politik. Fakta ini dihuraikan dengan lebih terperinci oleh ramai tokoh termasuk orientalis Barat seperti Thomas Walker Arnold dalam bukunya The Preaching of Islam.

Justeru, tindakan memetik mana-mana ayat al-Quran atau hadis tanpa memahami kaedah Bahasa Arab dan tanpa meneliti keseluruhan tema berkaitan adalah tidak bertanggungjawab, dan amat gopoh dalam membuat penilaian.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”

Leave a Reply