Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami sifat ular yang bernama Syuja’ yang disebut dalam hadith berkenaan balasan orang yang tidak membayar zakat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Daripada Abu Hurairah R.A, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ آتَاهُ اللَّهُ مَالًا، فَلَمْ يُؤَدِّ زَكَاتَهُ مُثِّلَ لَهُ مَالُهُ يَوْمَ القِيَامَةِ شُجَاعًا أَقْرَعَ لَهُ زَبِيبَتَانِ يُطَوَّقُهُ يَوْمَ القِيَامَةِ، ثُمَّ يَأْخُذُ بِلِهْزِمَتَيْهِ – يَعْنِي بِشِدْقَيْهِ – ثُمَّ يَقُولُ أَنَا مَالُكَ أَنَا كَنْزُكَ، ثُمَّ تَلاَ: وَلَا يَحْسَبَنَّ الَّذِينَ يَبْخَلُونَ بِمَا آتَاهُمُ اللَّهُ مِن فَضْلِهِ هُوَ خَيْرًا لَّهُم ۖ بَلْ هُوَ شَرٌّ لَّهُمْ ۖ سَيُطَوَّقُونَ مَا بَخِلُوا بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: “Sesiapa yang Allah SWT berikan harta kepadanya, namun tidak menunaikan zakatnya, maka pada hari kiamat kelak hartanya itu akan dijelmakan menjadi seekor ular yang sangat berbisa, licin kulit kepalanya dan memiliki dua taring berbisa (atau dua titik hitam di atas kedua matanya). Ia akan membelitnya pada hari kiamat. Kemudian, ia akan mematuknya dengan kedua rahangnya (taringnya), lalu berkata: “Akulah  hartamu, akulah simpananmu.” Kemudian, Baginda membaca ayat 180 surah Ali-Imran maksudnya: “Janganlah golongan yang kedekut dengan kurnia yang diberikan Allah kepada mereka itu mengira bahawa tindakannya itu baik bagi mereka. Tidak, bahkan buruk bagi mereka; segala yang mereka kedekutkan itu dikalung di leher mereka nanti pada hari kiamat.”

Riwayat al-Bukhari (1403), al-Nasa’ie (2482) dan Malik (596)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menjelaskan: Maksud ular yang besar adalah ular jantan yang dapat berdiri di atas ekornya untuk menerkam mangsanya. Adapun maksud “licin kulit kepalanya” adalah ular yang kepalanya nampak licin berkilat kerana banyak bisanya. Dalam kitab Abu Ubaid dikatakan, “Dinamakan ular licin kulit kepalanya kerana bulu kepalanya gugur akibat banyaknya racun (bisa) yang ada padanya”. Tapi pernyataan ini dijawab oleh al-Qazzaz bahawa ular tidak memiliki bulu di kepalanya, maka barangkali yang dimaksudkan adalah kulit kepalanya telah hilang. Dalam kitab Tahzib al-Azhari dikatakan. “Dinamakan ular yang licin kulit kepalanya kerana ia memperbanyak racun serta mengumpulkannya di kepalanya hingga bulu yang ada di kulit kepalanya hilang”. Al-Qurtubi berkata, “Ular yang licin kulit kepalanya adalah ular yang kepalanya nampak memutih (berkilat) kerana racun, sedangkan manusia yang botak adalah orang yang tidak ada rambut di kepalanya.” (Lihat Fath al-Bari, 4/493)

Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi menyebut: Syuja’ bermaksud ular jantan, manakala Aqra’ adalah tidak berbulu kerana dipenuhi racun dan usianya yang panjang. Dua bintik hitam di atas matanya dan merupakan ular yang paling bahaya. (Lihat Fiqh al-Zakah, PPZ, hlm. 49)

Justeru, jarakkanlah diri kita daripada mengingkari perintah Tuhan. Sebaliknya lakukanlah amalan yang mengikut perintah Tuhan seperti mendirikan solat dan menunaikan zakat. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوْذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ البَلَاءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوءِ القَضَاءِ ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Kami berlindung kepada-Mu daripada ujian yang berat, hinanya kecelakaan, buruknya takdir dan celaan para musuh (atas bala, ujian dan kecelakaan yang menimpa).”

Leave a Reply