Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukuman yang boleh diambil oleh pemerintah bagi mereka yang tidak membayar zakat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Mengenai hukum Islam yang diusahakan oleh pemerintah terdapat hadis yang dinyatakan:

مَنْ أَعْطَاهَا مُؤْتَجِرًا بِهَا فَلَهُ أَجْرُهَا، وَمَنْ مَنَعَهَا فَإِنَّا آخِذُوهَا وَشَطْرَ مَالِهِ، عَزْمَةً مِنْ عَزَمَاتِ رَبِّنَا، لَا يَحِلُّ لِآلِ مُحَمَّدٍ مِنْهَا شَيْءٌ

Maksudnya: Orang yang menunaikan zakat itu untuk memperoleh pahala maka pasti akan mendapat pahala itu, tetapi orang yang tidak membayarnya maka kami akan mengutip zakat itu berserta separuh kekayaannya. Ini merupakan ketentuan tugas dari Tuhan, dan keluarga Muhammad tidak boleh mengambil sedikit pun.”

Riwayat Imam Ahmad (20016) dan para pentakhrijnya berkata sanadnya hasan, Abu Daud (1575), al-Nasa’ie (2444) dan al-Hakim 1/397, beliau mensahihkannya, kesemua mereka meriwayatkannya dalam kitab al-Zakat, Al-Albani menghukumnya hasan dalam sahih Abu Daud (1407) daripada Bahz bin Hakim.

Hadis ini mengandungi beberapa prinsip penting dalam bab zakat:

  1. Prinsip utama zakat adalah pengeluaran harta seorang Muslim untuk mengharapkan pahala di sisi Allah SWT kerana diamengabdikan dikan diri dengan melaksanakannya. Oleh itu, sesiapa yang mengerjakannya akan mendapat pahala dan ganjaran di sisi Allah SWT.
  2. Sesiapa yang dipengaruhi oleh sifat kikir dan perasaan cinta kepada dunia lalu tidak membayar zakat, tidak dibiarkan begitu sahaja. Bahkan zakat diambil daripada mereka secara paksa melalui penguatkuasaan undang-undang dan kuasa pemerintah. Ditambah lagi hukuman sebahagian hartanya sebagai takzir dan pengajaran bagi sesiapa yang menahan hak Allah SWT dalam hartanya dan juga sebagai ancaman agar menjadi tauladan kepada orang lain.

Ada yang mengatakan bahawa hukuman tersebut hanya berlaku pada masa awal kedatangan Islam dan telah dimansuhkan. [Inilah sepertimana dinyatakan oleh al-Syirazi dan disokong pula oleh Imam Nawawi].

Tetapi tiada bukti atas pemansuhan tersebut, serta tidak dapat ditetapkan atas sesuatu yang tidak pasti. Saya berpendapat bahawa hukuman itu terserah kepada pihak pemerintah. Pihak berkuasa boleh melaksanakan hukuman tersebut sekiranya berpendapat bahawa masyarakat terus menerus enggan dan tidak membayar zakat, dan tiada cara lain untuk melaksanakannya melainkan menerusi hukuman tersebut. Perbincangan mengenai masalah ini akan dibincangkan dengan lebih lanjut dalam bab “Membayar Zakat.”

  1. Hukuman berat ke atas kesalahan tidak mengeluarkan zakat ini bertujuan untuk memeliharak hak fakir miskin dan golongan lain yang berhak. Nabi SAW dan kaum keluarga Baginda tidak mempunyai bahagian dari zakat bahkan tidak halal bagi mereka mendapat zakat. Keadaan ini berbeza dengan kebiasaan agama Yahudi, yang mana menetapkan keluarga Nabi Harun (Orang Lewi) menjadi pendeta secara turun temurun dan memperoleh 10 peratus daripada hasil sedekah. Sebahagian lain diperuntukan bagi jabatan-jabatan lain dalam agamanya. (Lihat al-Arkan al-Arba’ah Ustaz Abu Hasan Nadawi, hlm. 129) (Lihat Fiqh al-Zakah, PPZ, hlm. 51 – 52)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

Leave a Reply