Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah kita dibolehkan untuk membaca al-Quran yang dirumikan? Hal ini dikatakan dapat memudahkan orang untuk membacanya terutamanya orang-orang yang sudah berumur dan ingin mengaji. Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَكَذَ ٰ⁠لِكَ أَنزَلۡنَـٰهُ حُكۡمًا عَرَبِیࣰّاۚ وَلَىِٕنِ ٱتَّبَعۡتَ أَهۡوَاۤءَهُم بَعۡدَ مَا جَاۤءَكَ مِنَ ٱلۡعِلۡمِ مَا لَكَ مِنَ ٱللَّهِ مِن وَلِیࣲّ وَلَا وَاقࣲ

Maksudnya: “Dan demikianlah Kami turunkannya (al-Quran) sebagai hukum di dalam Bahasa Arab. Sesiapa yang menuruti hawa nafsunya selepas datang kepadanya ilmu yang benar ini (al-Quran); maka tiadalah selain Allah yang dapat melindungi dirinya dan mencegah dirinya (daripada sebarang bahaya dan keburukan di akhirat).”

(Surah al-Ra‘d: 37)

Allah SWT menurunkan al-Quran dalam bahasa Arab dan bertulisan Arab dengan beberapa hikmah yang telah Dia tetapkan buat seluruh manusia. Imam Abu al-Su‘ud menyenaraikan beberapa hikmah penurunan al-Quran di dalam Bahasa Arab yang fasih adalah:

  • Mempermudahkan proses pengajaran dan pemahamannya,
  • Bagi membuatkan manusia mampu menggapai kemukjizatannya,
  • Bahasa yang boleh merangkumkan asas agama yang disepakati di dalam lafaz yang ringkas tetapi penuh, padat dan sempurna lagi berkesan penyampaiannya.

(LIhat Irsyad al-‘Aql al-Salim, 5/26)

Pada asasnya, penulisan ayat-ayat suci al-Quran adalah bersifat tauqifi iaitu wajib menuruti arahan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya, Nabi Muhammad SAW; dan tidak menerima sebarang ruang akal atau logik untuk menyunting penulisan lafaz-lafaz al-Quran. Inilah pendapat muktamad para ulama al-Quran dan al-Qiraat.

Imam Abu ‘Amr al-Dani berkata dalam kitab Muqni‘ yang menjadi teras kepada ilmu Rasm al-Quran (penulisan al-Quran) dan sumber rujukan utama bagi memahami konsep Rasm Uthmani, beliau meriwayatkan athar Imam Malik seperti berikut:

قَالَ أَشْهَبُ سُئِلَ مَالِكٌ فَقِيلَ لَهُ أَرَأَيْتَ مَنِ اسْتَكْتَبَ مُصْحَفًا الْيَوْمَ أَتَرَى أَنْ يُكْتَبَ عَلَى مَا أَحْدَثَ النَّاسُ مِنَ الْهِجَاءِ الْيَوْمَ فَقَالَ لَا أَرَى ذَلِكَ وَلَكِنْ يُكْتَبُ عَلَى الْكَتَبَةِ الْأُولَى قَالَ أَبُو عَمْرٍو وَلَا مُخَالِفٌ لَهُ فِي ذَلِكَ مِنْ عُلَمَاءِ الْآمَّةِ وَبِاللَّهِ التَّوْفِيقُ.

Maksudnya: “Asyhab berkata: Imam Malik telah ditanya, lalu dikatakan kepadanya: ‘Apakah pandanganmu tentang seseorang yang menulis mushaf hari ini? Adakah kamu melihat ia perlu ditulis mengikut ejaan baharu yang diperkenalkan oleh orang ramai pada masa kini?’ Imam Malik menjawab: ‘Aku tidak melihatnya begitu, tetapi ia hendaklah ditulis mengikut kaedah penulisan terawal (asal).’ Abu ‘Amr al-Dani berkata: ‘Tidak ada ulama daripada kalangan umat ini yang berbeza pendapat dalam hal ini. Semoga Allah memberi taufiq.’” (Lihat al-Muqni‘ fi Rasm Masahif al-Amsar, hlm. 19).

Imam al-Dhabba‘ berkata dalam mukadimah kitab Samir al-Talibin yang menjadi silibus bagi pelajar ilmu al-Qiraat mempelajari subjek Rasm dan Dhabt al-Quran:

وَهُوَ كَوْنُ الرَّسْمِ العُثْمَانِيِّ تَوْقِيفًا، وَهُوَ المَطْلُوبُ

Maksudnya: “Ini menunjukkan bahawa penulisan Rasm Uthmani adalah berdasarkan tauqifi (yakni berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah), dan itulah yang dimaksudkan.” (Lihat Samir al-Talibin, hlm. 24)

Selain itu, Syeikh ‘Abd al-‘Aziz al-Dabbagh juga ada menyebutkan, sekalian umat Islam sejak zaman Sahabat dan generasi seterusnya bersepakat bahawa tidak boleh menambah suatu huruf apa pun pada al-Quran, dan tidak boleh mengurangkan satu huruf pun daripadanya. (Lihat al-Ibriz, hlm. 89)

Begitu juga Syeikh Muhammad ‘Abd al-‘Azim al-Zarqani menyebutkan: Kami ingin menarik perhatian kamu kepada beberapa perkara penting. Pertamanya, para ulama kita melarang penulisan al-Quran dengan huruf selain huruf-huruf Arab. Oleh itu, apabila menterjemahkan al-Quran dalam makna ini ke dalam mana-mana bahasa, ayat-ayat al-Quran mestilah ditulis dengan huruf-huruf Arab supaya tidak berlaku sebarang kekurangan atau penyelewengan dalam lafaznya, yang boleh membawa kepada perubahan dan kerosakan dalam maknanya. (Lihat Manahil al-‘Irfan fi ‘Ulum al-Quran, 2/134)

Seterusnya, berbalik kepada soalan yang diajukan, khusus berkenaan penulisan al-Quran menggunakan tulisan Rumi atau Roman, berpandukan Lajnah Fatwa al-Azhar al-Syarif, pihaknya telah mengeluarkan warta fatwa seperti berikut:

لَا شَكَّ أَنَّ الْحُرُوفَ اللَّاتِينِيَّةَ الْمَعْرُوفَةَ خَالِيَةٌ مِنْ عِدَّةِ حُرُوفٍ تُوَافِقُ الْعَرَبِيَّةَ فَلَا تُؤَدِّي جَمِيعَ مَا تُؤَدِّيهِ الْحُرُوفُ الْعَرَبِيَّةُ فَلَوْ كُتِبَ الْقُرْآنُ الْكَرِيمُ بِهَا عَلَى طَرِيقَةِ النَّظْمِ الْعَرَبِيِّ كَمَا يُفْهَمُ مِنَ الِاسْتِفْتَاءِ لَوَقَعَ الْإِخْلَالُ وَالتَّحْرِيفُ فِي لَفْظِهِ وَيَتْبَعُهُمَا تَغَيُّرُ الْمَعْنَى وَفَسَادُهُ وَقَدْ قَضَتْ نُصُوصُ الشَّرِيعَةِ بِأَنْ يُصَانَ الْقُرْآنُ الْكَرِيمُ مِنْ كُلِّ مَا يُعَرِّضُهُ لِلتَّبْدِيلِ وَالتَّحْرِيفِ وَأَجْمَعَ عُلَمَاءُ الْإِسْلَامِ سَلَفًا وَخَلَفًا عَلَى أَنَّ كُلَّ تَصَرُّفٍ فِي الْقُرْآنِ يُؤَدِّي إِلَى تَحْرِيفٍ فِي لَفْظِهِ أَوْ تَغْيِيرٍ فِي مَعْنَاهُ مَمْنُوعٌ مَنْعًا بَاتًّا وَمُحَرَّمٌ تَحْرِيمًا قَاطِعًا وَقَدِ الْتَزَمَ الصَّحَابَةُ رَضْوَانُ اللَّهِ عَلَيْهِمْ وَمَنْ بَعْدَهُمْ إِلَى يَوْمِنَا هَذَا كِتَابَةَ الْقُرْآنِ بِالْحُرُوفِ الْعَرَبِيَّةِ

Maksudnya: “Tidak diragukan lagi bahawa huruf-huruf Latin yang dikenali tidak mempunyai beberapa huruf yang sepadan dengan huruf-huruf Arab, jadi ia tidak dapat menyampaikan semua apa yang disampaikan oleh huruf-huruf Arab. Jika al-Quran ditulis dengan huruf-huruf ini mengikut susunan bahasa Arab seperti yang difahami daripada pertanyaan tersebut, akan berlaku kekurangan dan penyelewengan dalam lafaznya yang akan membawa kepada perubahan dan kerosakan maknanya. Nas-nas syariat telah menetapkan bahawa al-Quran mesti dipelihara daripada sebarang perkara yang boleh menyebabkan perubahan dan penyelewengan. Para ulama Islam, baik generasi terdahulu mahupun terkemudian, telah bersepakat bahawa sebarang perubahan dalam al-Quran yang membawa kepada penyelewengan dalam lafaznya atau perubahan dalam maknanya adalah dilarang secara mutlak dan diharamkan secara qat‘i (putus). Para sahabat R.Anhum dan generasi selepas mereka sehingga hari ini telah berpegang teguh dengan menulis al-Quran menggunakan huruf-huruf Arab.” (Lihat Majallah al-Azhar, 7/45)

Hal ini senada dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal-Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-24 yang bersidang pada 5-6 Jun 1989 [Fatwa Terengganu, 1990, 25 Mac] telah membincangkan Penulisan Ayat-Ayat Suci al-Quran dengan Huruf Roman. Muzakarah telah memutuskan adalah haram ditulis atau digunakan mana-mana bahagian daripada ayat al-Quran dengan tulisan yang bukan huruf Arab atau bukan tulisan al-Quran.

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada penjelasan di atas, kami berpendapat bahawa tidak dibolehkan untuk membaca al-Quran menggunakan al-Quran tulisan Rumi dan menggunakan mana-mana transliterasi lafaz al-Quran dalam tulisan abjad Rumi, tidak kira golongan tua mahupun golongan muda. Inilah pendapat yang dilihat lebih selamat dan mengambil langkah berhati-hati (ihtiyat).

Walau bagaimanapun, kami katakan bahawa keringanan atau kelonggaran hanya dibolehkan untuk orang yang belum mampu membaca tulisan Arab al-Quran tetapi pada masa yang sama dia dalam keadaan sedang berusaha mempelajarinya sedaya-upaya. Namun, proses pembelajarannya untuk membaca al-Quran itu mestilah dengan bimbingan dan tunjuk ajar guru. Hal ini adalah selari dengan kehendak syarak di mana, apabila seseorang berhadapan dengan kesukaran dan kesusahan, Allah memberi keringanan dan kemudahan.

Adapun bagi selain golongan ini, maka sewajarnya mereka tidak menggunakannya kerana perkara ini membuka ruang fitnah. Wajib baca al-Quran dengan tulisan asalnya iaitu tulisan Arab. Tulisan Rumi bagi lafaz Arab al-Quran tidak dikira sebagai al-Quran dan membacanya boleh mendedahkan diri pembaca kepada pelbagai kesalahan yang besar.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Leave a Reply