Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah sebab pembinaan semula Ka’bah pada zaman Quraisy, iaitu beberapa tahun sebelum kerasulan Nabi SAW? Dan pernahkah Ka’bah ini dibina semula sebelum peristiwa itu?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّ أَوَّلَ بَيْتٍ وُضِعَ لِلنَّاسِ لَلَّذِي بِبَكَّةَ مُبَارَكًا وَهُدًى لِّلْعَالَمِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya rumah ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Makkah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia.”

(Surah Ali ‘Imran: 96)

Allah SWT mengkhabarkan mengenai keagungan Baitullah al-Haram yang merupakan rumah ibadat pertama yang dibina untuk beribadah kepada-Nya di atas muka bumi yang terletak di Makkah, padanya terdapat keberkatan dan petunjuk (hidayah) bagi seluruh manusia. (Lihat Tafsir al-Madinah al-Munawwarah, hlm. 213-214)

Syeikh al-Mubarakfuri menyebut: Ketika umur Nabi Muhammad SAW mencapai 35 tahun, kabilah Quraisy memperbaiki binaan Kaabah. Ini kerana, Kaabah adalah sebuah bangunan yang dibina dengan batu-batu besar yang diletakkan secara bertingkat-tingkat. Tingginya sembilan hasta semasa zaman Nabi Ismail. Ia tidak mempunyai bumbung. Terdapat pencuri yang mengambil harta dan khazanah yang berada di dalamnya.  Disebabkan Kaabah adalah binaan yang usang dan lama, ia terdedah kepada punca dan faktor yang merosakkan binaannya. Dinding-dindingnya juga retak.  Lima tahun sebelum Muhammad diutuskan menjadi rasul, Mekah terkesan dengan peristiwa banjir besar yang dinamakan Sail Al-‘Arim yang turut menjejaskan Kaabah dan hampir-hampir ia runtuh. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, pts, hlm. 99)

Antara bencana yang pernah menimpa Ka’bah dan pembinaan semula Ka’bah:

  • Zaman Jurhum

Jurhum ialah kabilah yang pertama datang menumpang air Zamzam Siti Hajar. Mereka berkampung di bukit Qu’aiqi’an, iaitu bukit yang bertentangan dengan bukit Abi Qubais atau Istana As-Safa. Mereka menguasai kawasan atas Makkah (Al-Ma’la). Setiap pedagang yang memasuki kawasan mereka akan dikenakan cukai 10 peratus. Kabilah ini diketuai oleh Al-Harith bin Mudhad. Beliau ialah orang pertama dari suku ini yang menjaga Ka’bah setelah menewaskan kabilah Amaliq. Pemerintahan mereka berterusan selama 300 tahun.

Semasa pemerintahan mereka, telah berlaku kejadian banjir di Makkah. Air memasuki kawasan Ka’bah dari sebelah atas sehingga meruntuhkan setengah binaan Ka’bah. Kemudian, Jurhum membinanya semula berdasarkan asas binaan Nabi Ibrahim, tetapi mereka meninggikan sedikit binaannya dan menjadikan pintunya berdaun dua serta dikunci.

Lama kelamaan, kabilah Jurhum tidak lagi mengambil berat tentang kesucian Ka’bah, sehingga berlaku beberapa kejadian maksiat yang tidak pernah terjadi sebelumnya.

Antaranya ialah perbuatan zina di antara Asaf dan Nailah di dalam Ka’bah. Allah telah menukarkan kedua-duanya kepada batu sebagai pengajaran dan peringatan kepada manusia. Kemudian kedua-duanya dikeluarkan dari Ka’bah dan Asaf diletakkan di atas bukit Safa manakala Nailah di atas Marwah. Kemudian, kabilah Jurhum telah bertawaf di antara kedua-duanya. Di antara kejadian yang tidak baik ialah percubaan untuk mencuri harta yang dihadiahkan kepada Ka’bah dan pelbagai kejahatan lain lagi’. (Lihat Tarikh al-Ka’bah, hlm. 45-46)

  • Zaman Qusai Datuk Nabi

Selepas Jurhum, Makkah dikuasai pula oleh kabilah Khuza’ah. Kemudian Makkah diperintah oleh datuk Nabi iaitu Qusai bin Kilab. Pada masa pemerintahannya, beliau telah mengumpul harta yang halal dan meruntuhkan Ka’bah untuk dibina semula dengan satu binaan baru yang tidak pernah dibuat oleh orang-orang sebelumnya. Tinggi binaannya berukuran 25 hasta dan ia mempunyai atap daripada batang kayu ‘Dum (seperti batang nibung dan besar seperti batang kelapa) yang kukuh dan pelepah tamar. Asasnya masih seperti binaan Nabi Ibrahim AS.

Semasa pembinaan ini, Hajar Aswad telah hilang dan tidak ada sesiapa yang mengetahui tempat ianya berada. Setelah disiasat, Qusai diberitahu bahawa kabilah lyad semasa dihalau keluar dari Makkah oleh anak-anak Mudhar bin Nizar telah mengambilnya dan menanamnya di salah sebuah bukit di Makkah. Peristiwa ini disaksikan oleh seorang perempuan. Qusai lalu pergi berjumpa dengan perempuan tersebut dan merayu agar beliau menunjukkan tempat tersebut. Akhirnya Hajar Aswad ditemui kembali lalu disimpan oleh Qusai selama turun temurun sehinggalah ke zaman Quraisy. (Lihat Tarikh Makkah, hlm. 26-28; Tarikh al-Ka’bah, hlm. 47-48)

Kata Imam Al-Mawardi rahimahullah: “Qusai bin Kilab ialah orang pertama dari kalangan Quraisy yang membina Ka’bah selepas Nabi Ibrahim dan beliau juga merupakan orang yang pertama membina atap Ka’bah”‘. (Lihat al-Ahkam al-Sultaniyyah, hlm. 205)

Berkata sesetengah ulama’: Selepas daripada binaan Qusai inilah, Abdul Muttalib membina pula yang Ka’bah iaitu sebelum pembinaan oleh Quraisy. Sekiranya maklumat ini benar, Abdul Muttalib bolehlah dianggap sekadar membaiki kerosakan yang berlaku pada binaan Qusai, wallahu a’lam. (Lihat Tarikh al-Ka’bah, hlm. 49)

  • Binaan Quraisy pada tahun 591M.

Ka’bah yang dibina, sekali lagi menghadapi kerosakan. Sebagaimana yang diceritakan, seorang perempuan telah menyalakan api untuk membakar kemenyan bagi mewangikan Ka’bah. Tiba-tiba bara api yang dibakarnya telah tercampak atau terpercik mengenai kelambu Ka’bah dan menyebabkan berlakunya kebakaran ke atas Ka’bah yang menyebabkan binaannya menjadi tidak kuat lagi.

Selepas itu, berlaku pula banjir yang melanda Ka’bah yang menyebabkan berlaku keruntuhan pada sebahagian Ka’bah.

Selepas berlakunya peristiwa itu, para pemimpin Quraisy telah bermesyuarat untuk membina semula Ka’bah yang telah runtuh sebahagiannya. Kebetulan pada masa yang sama, sebuah kapal dagang kepunyaan saudagar Rom telah pecah di lautan Jeddah. Bersama mereka ada seorang tukang kayu yang mahir bernama Yaqum. Quraisy telah membeli kayu dari kapal tersebut untuk dijadikan binaan atap dan tiang Ka’bah.

Pihak Quraisy telah berazam untuk meruntuhkan semua binaan yang tinggal dan membinanya semula dengan asas yang baru kerana asas yang dibina oleh Nabi Ibrahim telah terlalu lama.

Menurut As-Sinjari jarak antara binaan Nabi Ibrahim dengan binaan Quraisy ialah 2645 tahun. (Lihat Manaih al-Kiram oleh al-Sinjari, 4/95; seperti dalam Makkah al-Mukarramah: Kelebihan dan Sejarah, hlm. 70-77)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Leave a Reply