Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Sejak bila Baginda Nabi SAW mula bersendiri atau berkhalwah sebelum tibanya kerasulan? Kenapa dan bagaimana Baginda berkhalwah? Adakah kerana memikirkan masyarakat yang telah terpesong pada waktu itu.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan sebuah hadith daripada Aisyah R.Anha, katanya:

أَوَّلُ مَا بُدِئَ بِهِ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنَ الوَحْيِ الرُّؤْيَا الصَّالِحَةُ فِي النَّوْمِ، فَكَانَ لاَ يَـرَى رُؤْيَا إِلَّا جَاءَتْ مِثْلَ فَـلَقِ الصُّبْحِ، ثُمَّ حُبِّبَ إِلَيْهِ الخَلاَءُ، وَكَانَ يَخْلُو بِغَارِ حِرَاءٍ فَـيَتَحَنَّثُ فِيهِ – وَهُوَ التَّعَبُّدُ – اللَّيَالِيَ ذَوَاتِ العَدَدِ قَبْلَ أَنْ يَـنْزِعَ إِلَى أَهْلِهِ، وَيَتَزَوَّدُ لِذَلِكَ، ثُمَّ يَرْجِعُ إِلَى خَدِيجَةَ فَـيَتَزَوَّدُ لِمِثْلِهَا، حَتَّى جَاءَهُ الحَقُّ وَهُوَ فِي غَارِ حِرَاءٍ، فَجَاءَهُ المـَلَكُ فَـقَالَ: اقْـرَأْ، قَالَ: «مَا أَنَا بِقَارِئٍ»، قَالَ: «فَأَخَذَنِي فَغَطَّنِي حَتَّى بَلَغَ مِنِّي الجَهْدَ ثُمَّ أَرْسَلَنِي، فَقَالَ: اقْـرَأْ، قُـلْتُ: مَا أَنَا بِقَارِئٍ، فَأَخَذَنِي فَـغَطَّنِي الثَّانِيَةَ حَتَّى بَلَغَ مِنِّي الجَهْدَ ثُمَّ أَرْسَلَنِي، فَـقَالَ: اقْرَأْ، فَـقُلْتُ: مَا أَنَا بِقَارِئٍ، فَأَخَذَنِي فَغَطَّنِي الثَّالِثَةَ ثُمَّ أَرْسَلَنِي، فَـقَالَ: اقْـرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ. خَلَقَ الإِنْسَانَ مِنْ عَلَقٍ. اقْرَأْ وَرَبُّكَ الأَكْرَمُ.

Maksudnya: “Permulaan wahyu yang datang kepada Rasulullah SAW adalah melalui mimpi yang baik di dalam tidur. Baginda SAW tidak bermimpi melainkan mimpinya muncul seperti cahaya subuh. Kemudian Baginda menjadi suka untuk menyendiri. Baginda SAW suka menyendiri di Gua Hira’. Rasulullah SAW bertahannuth di situ (iaitu beribadah) di malam hari beberapa waktu lamanya, sebelum kembali kepada keluarganya dan mempersiapkan bekalan untuk tujuan yang sama (bertahannuth kembali). Kemudian, Baginda pulang menemui Khadijah R.Anha dan disediakan bekalan seperti sebelumnya (untuk beberapa malam) sehingga datang wahyu kepadanya ketika di Gua Hira’. Malaikat (Jibril A.S) datang kepada Baginda lalu berkata: “Iqra’ (Bacalah).” Nabi SAW menjawab: “Aku tidak pandai membaca.” Lalu Malaikat itu memegang aku lantas memelukku sehingga habis dayaku, kemudian dia melepaskanku dan berkata: “Bacalah!” Baginda menjawab: “Aku tidak pandai membaca.” Lalu Jibril A.S kembali memegangku dan memelukku buat kali kedua sehingga habis dayaku, kemudian ia melepaskanku dan berkata: “Bacalah!” Maka aku berkata: “Aku tidak pandai membaca.” Lalu Jibril kembali memegangku dan memelukku buat kali ketiga kemudian ia melepaskanku dan membaca (Firman Allah SWT): “Bacalah wahai Muhammad dengan nama Tuhanmu yang menciptakan sekalian makhluk, Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku, Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah.” [Surah al-‘Alaq : 1-3] Setelah itu

Riwayat al-Bukhari (3)

Berkenaan persoalan di atas, Baginda SAW menghabiskan masa dengan beribadat dan berfikir mengenai alam, di mana Baginda menyedari di sebalik kejadian alam ini, ada kekuasaaan yang mewujudkannya. Nabi SAW beruzlah selama tiga tahun sebelum diangkat dengan tugas kerasulan. Semasa tempoh beruzlah ini, Rasulullah SAW memperuntukkan masa sebulan dalam setahun untuk berkelana sambil menghayati kejadian alam di samping mencari-cari rahsia yang tersirat di sebaliknya.

Dalam Fiqh al-Sirah, dinyatakan bahawa ketika usia Baginda SAW mula menginjak ke 40 tahun. Tafakur dan renungan Baginda yang lalu telah melebarkan jurang pemikiran antara Baginda dan kaumnya. Pandangan Baginda terhadap kaumnya seumpama pandangan pakar astronomi (pada zaman kini) terhadap orang-orang yang mempercayai bahawa bumi ini terletak di hujung tanduk lembu jantan. Atau seumpama pandangan pakar nuklear terhadap golongan yang saling melontarkan batu antara mereka ketika berperang dan menunggang binatang ketika bermusafir. Itu dari sudut pemikiran. Dari sudut kejiwaan pula, kekufuran yang tersebar pada zaman Jahiliyyah sehingga menyebabkan mereka sanggup bersumpah bersungguh-sungguh dengan nama Allah bahawa Allah tidak akan membangkitkan semula orang yang sudah mati.

Muhammad SAW sentiasa meninggalkan Mekah pada setiap tahun untuk menghabiskan tempoh bulan Ramadhan di Gua Hira’. Ia sebuah gua yang terletak beberapa batu dari bandar Mekah yang hiruk-pikuk. Ia terletak di atas puncak salah sebuah bukit yang menghala ke Mekah. Iaitu satu lokasi yang sunyi daripada perbuatan sia-sia manusia dan perbualan batil mereka. Di situ bermulanya ketenangan yang menyeluruh dan berpanjangan.

Di puncak bukit yang terpencil inilah, Muhammad SAW membawa bekalan untuk beberapa malam yang panjang. Kemudian mengasingkan diri daripada semua makhluk, sambil hatinya yang kerinduan ditujukan kepada Tuhan sekalian alam. Di dalam gua yang menggerunkan dan terlindung ini, satu jiwa besar merenung daripada puncaknya kepada bermacam-macam dugaan, dosa, kezaliman dan kekecewaan yang bergelora di dunia ini. Kemudian baginda merintih dukacita, kesal dan tidak keruan. Kerana tidak tahu apa-apa jalan keluar daripada semua itu, serta tidak mengetahui cara mengatasinya. (Lihat Fiqh al-Sirah oleh al-Ghazali, hlm. 67; Garis Masa Hayat al-Rasul SAW, hlm. 44)

Dr. Zaid Abd al-Karim berkata: Sebelum usia Nabi SAW mencapai empat puluh tahun, baginda sangat suka menyendiri kerana cara tersebut membantu menjernihkan pemikiran, menenangkan jiwa, dan membuka peluang untuk bertafakkur tentang alam semesta serta makhluk ciptaan-Nya, selain merenungi keagungan Allah. Baginda menyendiri di Gua Hira pada bulan Ramadan setiap tahun. (Lihat al-Sirah al-Nabawiyyah oleh Ibn Hisyam; al-Sirah al-Nabawiyyah oleh Muhammad Abu Syahbah, 1/255)

Nabi SAW melakukan demikian kerana kehidupan kaumnya penuh dengan kesesatan yang jelas, termasuk penyembahan berhala. Kecintaan baginda untuk menyendiri semakin mendalam apabila masa baginda diangkat menjadi nabi semakin hampir. Setiap kali pulang, baginda akan melakukan tawaf di Kaabah sebelum kembali ke rumah. (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 3/5)

Banyak riwayat yang menjelaskan tentang cara ibadah Rasulullah SAW pada masa itu. Dalam kitab Syarah Al-Mawahib, al-Zarqani berkata, “Tiada penjelasan yang jelas tentang cara ibadah baginda di gua Hira. Namun, secara umum difahami bahawa baginda hanya menyendiri dan menjauhkan diri daripada masyarakatnya yang jahiliah, dan itulah bentuk ibadah baginda. Selain itu, Ibnu al-Murabith dan yang lainnya mengatakan bahawa baginda beribadah dengan bertafakur, dan ini selaras dengan pendapat kebanyakan ulama.” (Lihat Syarh al-Mawahib al-Laduniyyah oleh al-Zarqani, 1/254)

Ibnu Kathir berkata, “Para ulama berbeza pendapat mengenai ibadah Rasulullah SAW sebelum kenabian, sama ada ia selari dengan syariat atau tidak. Jika selari, apakah bentuk syariat itu? Ada yang mengatakan baginda mengikut syariat Nabi Nuh, ada yang mengatakan syariat Nabi Ibrahim, dan ini adalah pendapat yang lebih dekat dan lebih kuat. Ada juga yang mengatakan ia selaras dengan syariat Nabi Musa, syariat Nabi Isa, atau bahawa baginda mengikuti semua syariat yang pernah diwahyukan dan baginda amalkan apa yang diketahui.” (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 3/6)

Imam al-Ghazali berkata, “Sesungguhnya ada persoalan tentang bentuk ibadah Nabi SAW sebelum Baginda diangkat menjadi Nabi, sama ada Baginda mengikuti salah satu syariat nabi-nabi terdahulu. Ada yang berkata bahawa Baginda tidak beribadah mengikut syariat mana-mana nabi. Ada pula yang berkata bahawa Baginda beribadah. Dalam kalangan mereka yang berpendapat demikian, ada yang menisbahkan Baginda kepada Nabi Nuh AS, ada yang menisbahkan kepada Nabi Ibrahim AS, ada juga yang menisbahkan kepada Nabi Musa AS, dan ada yang menisbahkan kepada Nabi Isa AS. Namun, semua kemungkinan tersebut boleh diterima secara logik. Walau bagaimanapun, apa yang sebenarnya berlaku tidak dapat dipastikan secara tepat. Mengemukakan andaian dalam hal yang tidak berkaitan dengan amalan ibadah pada masa kini adalah sesuatu yang tidak bermakna.” (Lihat al-Mustasfa, 1/132)

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata, “Tiada penjelasan khusus mengenai cara ibadah yang diamalkan oleh baginda. Namun, menurut riwayat Ubaid bin Umar yang selari dengan riwayat Ibnu Ishak, disebutkan bahawa, ‘Kemudian baginda memberi makan kepada orang miskin yang datang kepadanya.’ Selain itu, terdapat juga riwayat daripada beberapa ulama bahawa cara ibadah baginda adalah melalui tafakur. Aisyah R.Anha turut menyatakan bahawa beruzlah (mengasingkan diri) juga dianggap sebagai satu bentuk ibadah, kerana menjauhi manusia yang terlibat dalam kebatilan adalah sebahagian daripada ibadah, seperti yang dialami oleh Nabi Ibrahim AS ketika baginda berkata: ‘Aku akan pergi meninggalkan kamu untuk menemui Tuhanku.’ (Lihat Fath al-Bari, 8/717)

Syaikh Uthaimin pula menyebut bahawa, “Rasulullah SAW pergi ke gua Hira untuk ber-‘tahannuth’ dan beribadah kepada Allah Azza wa Jalla mengikut petunjuk yang diberikan oleh-Nya.” (Lihat Tafsir Juz ‘Amma, hlm. 256)

Muhammad Sadiq ‘Urjun berkata, “Ada yang mengatakan bahawa beliau beribadah dengan cara tafakkur, dan ini merupakan pandangan majoriti ulama. Namun, pendapat yang kami pilih ialah bahawa ibadah Baginda SAW sebelum diangkat menjadi Nabi berlandaskan tafakkur terhadap ayat-ayat Allah, termasuk yang berasal daripada ajaran Ibrahim dan Isma’il ‘Alaihima al-Salam. Bukti yang menyokong pendapat ini adalah keteraturan amalan Baginda SAW dalam mengagungkan Ka’bah dan melakukan tawaf di sekelilingnya.” (Lihat al-Sirah al-Nabawiyyah oleh Muhammad Sadiq ‘Urjun, 1/216)

Meskipun kita telah mengutip dengan panjang lebar pandangan ulama mengenai masalah ini, saya berpendapat bahawa pendapat yang benar adalah pandangan Al-Ghazali Rahimahullah. Beliau menegaskan bahawa menyibukkan diri dalam mengkaji masalah yang tidak mempunyai dalil dan tidak berkaitan dengan amalan adalah tidak bererti. Cukuplah apa yang dinyatakan oleh Syeikh Uthaimin bahawa beliau beribadah sesuai dengan bimbingan Allah yang diberikan kepadanya.” (Liat Fiqh al-Sirah oleh Dr. Zaid ‘Abd al-Karim, hlm. 92-95)

Dr. ‘Ali Muhammad al-Salabi berkata: Tidak ada yang lebih jelas menunjukkan kepentingan khalwat dan faedahnya sebagai satu amalan manusia selain daripada amalan Nabi Muhammad ﷺ yang melakukannya sebelum baginda diutuskan sebagai rasul. Nabi ﷺ telah ditanamkan kecintaan terhadap khalwat sebelum kenabian; ia merupakan satu bentuk persiapan ilahi supaya hati, fikiran, dan jiwa baginda bersedia sepenuhnya untuk menerima wahyu kenabian.

Baginda ﷺ memilih Gua Hira sebagai tempat beribadah, memutuskan diri daripada kesibukan dunia dan pergaulan manusia, untuk menyatukan kekuatan fikiran, emosi, jiwa, dan akalnya, bagi menyerahkan sepenuh jiwa dalam bermunajat kepada Pencipta alam semesta dan Pencipta wujud ini. Gua yang sering dikunjungi oleh Rasulullah ﷺ itu mengilhamkan renungan dan tafakur. Apabila memandang sejauh mata memandang, hanya terlihat gunung-gunung yang tampak seolah-olah tunduk bersujud kepada kebesaran Allah, dan langit yang terbentang luas, jernih tanpa cela, yang mungkin dapat dilihat oleh mereka yang memiliki penglihatan tajam.

Khalwah yang sangat disukai oleh Nabi Muhammad SAW ini merupakan satu bentuk persediaan istimewa untuk menyucikan jiwa daripada ikatan material duniawi manusia. Serentak dengan itu, ia merupakan latihan rohani di bawah didikan Ilahi, dan adab ketuhanan dalam setiap aspek kehidupannya. Sebelum kenabian, baginda SAW sering beribadah dengan merenung keindahan kerajaan langit dan bumi, serta merenung tanda-tanda kekuasaan-Nya di alam semesta yang menunjukkan keindahan ciptaan-Nya, kebesaran kuasa-Nya, dan ketelitian pentadbiran-Nya.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Leave a Reply