Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah, batu hajar aswad kini hanyalah sangat kecil yang terdiri daripada beberapa batu-batu kecil sahaja?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّ أَوَّلَ بَيْتٍ وُضِعَ لِلنَّاسِ لَلَّذِي بِبَكَّةَ مُبَارَكًا وَهُدًى لِّلْعَالَمِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya rumah ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Makkah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia.”

(Surah Ali ‘Imran: 96)

Allah SWT mengkhabarkan mengenai keagungan Baitullah al-Haram yang merupakan rumah ibadat pertama yang dibina untuk beribadah kepada-Nya di atas muka bumi yang terletak di Makkah, padanya terdapat keberkatan dan petunjuk (hidayah) bagi seluruh manusia. (Lihat Tafsir al-Madinah al-Munawwarah, hlm. 213-214)

Kisah asal usul Hajar Aswad bermula ketikamana Nabi Ibrahim dalam proses membina Ka’bah dan apabila sampai di tempat Hajar Aswad, Nabi Ibrahim meminta Ismail agar mengambil seketul batu yang boleh dijadikan sebagai tanda tempat permulaan tawaf. Lalu Ismail pergi mencarinya, tiba-tiba datang malaikat Jibrail membawa Hajar Aswad kepada Nabi Ibrahim. Allah telah menyimpannya di bukit Abi Qubais ketika berlakunya taufan Nabi Nuh dan berfirman kepada Jibrail: “Apabila engkau lihat khalili (kekasih-Ku) membina rumah-Ku maka keluarkanlah ia kepadanya”.

Apabila Ismail kembali bersama seketul batu. baginda mendapati bapanya telah meletakkan Hajar Aswad di situ. Dia terus bertanya: “Wahai bapaku, siapakah yang telah membawa batu ini kepadamu?”. Lalu Ibrahim menjawab: “Ianya telah dibawa kepadaku oleh orang yang tidak mengharapkan batu yang dibawa olehmu, ia telah dibawa oleh Jibrail”. (Lihat Akhbar Makkah oleh al-Azraqi, 1/64; al-Mustadrak, 2/321; Fath al-Bari, 6/468; Fadhl al-Hajar al-Aswad wa Maqam Ibrahim, hlm. 25; seperti dalam (Lihat Makkah al-Mukarramah: Kelebihan dan Sejarah, hlm. 103)

Hajar Aswad merupakan batu yang tertanam di penjuru Ka’bah yang sangat penting, kerana ia adalah sebagai tanda permulaan dan akhir tawaf. Asalnya ia merupakan satu ketul batu sahaja, tetapi sekarang sudah pecah menjadi 8 kepingan batu kecil. Kepingan yang terbesar sebesar sebiji tamar, ianya tertanam di batu besar lain yang dilingkungi dengan sebuah penutup yang diperbuat daripada perak.

Menurut Sheikh Mohd Tahir Al-Kurdi (meninggal dunia tahun 1400H): “Yang jelas daripada Hajar Aswad pada zaman kita pertengahan abad 14 hijrah yang kita sentuh dan kita kucup merupakan lapan kepingan batu kecil yang mempunyai saiz yang berbeza. Kepingan yang terbesar adalah sebesar sebiji tamar. Perpecahan Hajar Aswad kepada beberapa kepingan kecil ini adalah disebabkan oleh angkara khianat yang dilakukan oleh beberapa golongan penjahat pada masa yang lalu.

Semenjak 50 tahun dahulu -pada awal abad 14 hijrah- bilangannya adalah sebanyak 15 keping. Kemudian ianya semakin berkurangan disebabkan oleh proses baik pulih yang dilakukan terhadap lingkungan Hajar Aswad. Bahagian-bahagian batu yang kecil dan sudah hancur telah diuli semula dengan lilin dan kasturi. Kemudian ia diletakkan semula di tempatnya. Warnanya bertambah hitam kerana terlalu banyak air wangi diletakkan ke atasnya””. (Lihat al-Tarikh al-Qawim, 3/237; Fadhl al-Hajar al-Aswad wa Maqam Ibrahim, hlm. 38)

Berdasarkan maklumat ini, pada masa sekarang bukan semua batu yang berada dalam lingkungan perak adalah Hajar Aswad. Hajar Aswad adalah 8 keping batu kecil yang berada di dalamnya. Sesiapa yang ingin mengucup Hajar Aswad maka dia hendaklah meletakkan mukanya ke atas kepingan batu tersebut, wallahu a’lam.  (Lihat Makkah al-Mukarramah: Kelebihan dan Sejarah, hlm. 103)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Leave a Reply