Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa maksud zakat mustaghallat? Boleh jelaskan dan bagaimana zakatnya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat

Dari perspektif bahasa, istilah “al-Mustaghallat” (اﻟﻤُﺴْﺘَﻐَﻼﱠت) membawa makna tambahan yang berkait dengan tuntutan atau permintaan, contohnya dalam frasa istaghalla ‘abdahu (اسْتَغَلَّ عَبْدَهُ) yang bermaksud menuntut tenaga seseorang. Berdasarkan kamus Lisan al-Arab (11/499), kata “al-Ghullah” (الغُلَّةُ) merujuk kepada pendapatan yang diperoleh melalui sewaan rumah atau upah kerja. Ia juga meliputi hasil sewaan tanah serta produk ternakan seperti susu (Lihat al-Misbah al-Munir, 2/452).

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan pandangan Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, katanya: Maksud mustaghallat adalah kilang-kilang penghasilan produk, hartanah, kenderaan, alatan-alatan dan semua jenis yang disediakan untuk disewa, dan bukan untuk dijual beli. Jawatankuasa ini juga bersepakat bahawa harta al-mustaghallat ini tidak diwajibkan zakat, akan tetapi zakat hanya diwajibkan pada hasilnya sahaja. Terdapat beberapa pendapat mengenai cara dikeluarkan zakat daripada hasil ini:

Majoriti berpendapat bahawa hasil yang diperoleh daripada aset-aset ini perlu digabungkan (pada nisab dan haul) dengan mata wang dan barangan perniagaan (‘arudh al-tijarah) yang dimiliki oleh pemilik aset-aset al-mustaghallat, kemudian dikeluarkan zakat sebanyak 2.5%. Dengan ini, dia telah melaksanakan tanggungjawabnya. Sebahagian lain berpendapat bahawa zakat diwajibkan pada hasil bersih yang melebihi keperluan asas pemiliknya selepas ditolak kos perbelanjaan dan harga penggunaan aset tersebut, kemudian dikeluarkan zakat sebaik saja menerima hasil bersih itu dengan kadar 10% berdasarkan qias ke atas zakat tanaman dan buah-buahan. (Lihat Fiqh al-Zakah, PPZ, hlm. 476)

Kami akhiri dengan doa:

 آجَرَكَ اللَّهُ فِيمَا أَعْطَيْت، وَبَارَكَ لَك فِيمَا أَبْقَيْت، وَجَعَلَهُ لَكَ طَهُورًا

Maksudnya: “Semoga Allah memberi ganjaran atas apa yang engkau berikan, memberkati apa yang engkau tinggalkan, dan menjadikannya sebagai penyucian bagimu.”

 

Leave a Reply