Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan, apakah perbezaan antara al-Hamd dan al-Syukr dalam al-Quran ?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Menurut al-Jurjani “al-Hamd” adalah pujian atas kebaikan dengan tujuan mengagungkan, sama ada atas nikmat atau perkara lainnya. Manakala “al-Syukur” pula ialah suatu bentuk penghargaan sebagai balasan atas nikmat, sama ada melalui ucapan, perbuatan, atau hati. Dikatakan juga bahawa syukur ialah pujian kepada pemberi kebaikan dengan menyebut kebaikannya. Maka, seorang hamba bersyukur kepada Allah dengan memuji-Nya atas kebaikan-Nya yang berupa nikmat. Manakala, Allah bersyukur kepada hamba-Nya dengan memuji dan menerima kebaikan hamba itu yang berupa ketaatan kepada-Nya. (Lihat al-Ta ‘rifat, 93, 128)

Terdapat beberapa tempat dalam al-Quran yang menggunakan kedua-dua kalimah tersebut antaranya ialah firman Allah SWT:

 وَقُلِ الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي لَمْ يَتَّخِذْ وَلَدًا وَلَمْ يَكُن لَّهُ شَرِيكٌ فِي الْمُلْكِ وَلَمْ يَكُن لَّهُ وَلِيٌّ مِّنَ الذُّلِّ ۖ وَكَبِّرْهُ تَكْبِيرًا

Maksudnya: “Dan katakanlah: “Segala puji tertentu bagi Allah yang tiada mempunyai anak, dan tiada bagiNya sekutu dalam urusan kerajaanNya, dan tiada bagiNya penolong disebabkan sesuatu kelemahanNya; dan hendaklah engkau membesarkan serta memuliakanNya dengan bersungguh-sungguh!”

(Surah al-Isra’:111)

Al-Baghawi menyatakan bahawa: Allah memerintahkan Nabi-Nya SAW untuk memuji-Nya atas keesaan-Nya, dan makna ‘Alhamdulillah’ ialah: pujian ke atas-Nya sesuai dengan apa yang layak bagi-Nya. Al-Husayn bin al-Fadl berkata: maksudnya adalah, ‘Segala puji bagi Allah yang telah memperkenalkan kepadaku bahawa Dia tidak mempunyai anak. (Lihat Ma’alim al-Tanzil, 5/139)

Manakala kalimah “al-Syukr” dinyatakan pada firman-Nya:

 اعْمَلُوا آلَ دَاوُودَ شُكْرًا ۚ وَقَلِيلٌ مِّنْ عِبَادِيَ الشَّكُورُ

Maksudnya: “Beramallah kamu wahai keluarga Daud untuk bersyukur!” Dan sememangnya sedikit sekali di antara hamba-hambaKu yang bersyukur.”

(Surah al-Saba’:13)

Ibn Jarir al-Tabari menyatakan: Bersyukurlah kepada Tuhanmu dengan mentaati-Nya, kerana beramal dengan apa yang diredhai Allah itu adalah syukur kepada-Nya. (Lihat Jami’ al-Bayan, 20/368)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas,  pujian yang dilakukan melalui perbuatan ialah dengan ucapan lisan, seperti ungkapan Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Hubungan antara pujian “al-Hamd” dan syukur adalah umum dan khusus pada aspek tertentu; pujian dilakukan dengan lisan, manakala syukur dilakukan dengan lisan, perbuatan, dan hati. Semua pujian hanya layak bagi Allah sebagai pemilik mutlak dan dengan hak-Nya. Maka, apabila seseorang memuji Allah dan menyanjung-Nya sesuai dengan apa yang layak bagi-Nya, itulah pujian yang diberikan kepada Allah. Dan apabila seseorang menggunakan nikmat dalam perkara yang diredhai Allah, itu adalah syukur kepada Allah melalui amal perbuatan. (Lihat Syarh Tathir al- ‘Itiqad li al-San‘ani, 5/18)

Perbezaan antara pujian “al-Hamd” dan syukur ialah bahawa pujian merangkumi sanjungan dan memuji sesuatu yang dipuji dengan menyebut kebaikannya, sama ada terdapat kebaikan kepada yang memuji atau tidak. Syukur sebaliknya, hanya berlaku atas kebaikan yang diberikan oleh yang disyukuri. Dari sudut ini, pujian lebih umum daripada syukur kerana ia merangkumi kebaikan dan kesempurnaan, seperti Allah dipuji atas nama-nama-Nya yang indah dan ciptaan-Nya di dunia dan akhirat. Syukur pula lebih khusus kerana ia hanya berlaku atas pemberian nikmat. Namun, syukur boleh dilakukan dengan hati, perbuatan, dan lisan, sedangkan pujian hanya dilakukan dengan hati dan lisan. Oleh itu, syukur lebih umum dari segi cara pelaksanaannya, sementara pujian lebih umum dari segi sebab-sebabnya. (Lihat Tafsir Ayat Min al-Quran al-Karim, hlm.10)

Begitu juga pandangan yang sama yang dinyatakan oleh Dr. Fadhil al-Samara’i iaitu: Perkataan “al-Hamd” lebih umum daripada “al-Syukr” . Perkataan “al-Syukr” diberikan kepada pemberi nikmat yang tertentu; sebagai bentuk penghargaan. Syukur ditujukan kepada nikmat, dan kita tidak bersyukur kepada seseorang atas sifatnya semata-mata, tidak bersyukur atas keberaniannya atau ilmunya, melainkan kita bersyukur atas nikmat yang diberikan.

Perkataan “al-Hamd” pula adalah umum, sama ada Dia telah mengurniakan nikmat kepada kamu atau tidak. Perkataan “al-Hamd” (pujian) ini adalah atas sifat-sifat-Nya zatiyyah, penciptaan dan akhlak-Nya. Perkataan “al-Hamd” adalah umum, manakala syukur adalah sebagai balasan kepada nikmat.[1]

Sebagai kesimpulannya, berdasarkan pandangan yang telah dinyatakan di atas, “al-Hamd” (pujian) lebih luas dan bersifat umum berbanding syukur, kerana ia merangkumi pujian atas segala sifat Allah yang sempurna dan ciptaan-Nya, sama ada seseorang menerima nikmat secara langsung atau tidak. Sebaliknya, syukur lebih khusus, kerana ia tertumpu kepada nikmat tertentu yang diterima oleh hamba dan mesti dimanfaatkan dalam perkara yang diredhai Allah.

Merenung maksud pujian dan syukur ini amat penting bagi kita dalam menjalani kehidupan seharian, agar hati sentiasa terhubung dengan hakikat kebesaran Allah SWT dan nikmat yang diberikan-Nya. Melalui tadabbur, kita bukan sahaja memuji dengan lisan, tetapi juga mensyukuri setiap nikmat melalui amal perbuatan yang berlandaskan ketaatan kepada-Nya.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّار

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Wallahu‘Alam.

Nota hujung:

[1] Lihat https://tadars.com/tdbr/eloquence/9162 Diakses pada 29 Oktober 2024

Leave a Reply