Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukumnya kalau kita minum air sambil ada bunyi menghirup dan meneguk itu, kemudian habis minum ada bunyi “aaaahhh”? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Syariat Islam adalah syariat yang lengkap dan menyeluruh yang bertujuan untuk kebahagiaan di dunia dan akhirat. Allah telah mensyariatkan ajaran-ajaran Islam, hukum-hakam, dan adab-adabnya untuk mengatur seluruh aspek kehidupan manusia, serta meningkatkan perilaku individu dan masyarakat dalam ibadah, makanan dan minuman, pakaian, perkahwinan, usaha mencari sumber duniawi, kemajuan peradaban, serta pembelajaran dan pengajaran. Tiada satu pun perkara, besar atau kecil, yang berkaitan dengan perbuatan mukallaf dan urusan agama atau dunianya, melainkan di sana terdapatnya hukum, adab, dan panduan daripada Allah SWT, baik secara khusus mahupun umum.

Antara aspek keagungan, keluhuran, dan kemajuan dalam agama ini adalah adab dan ajaran yang tinggi yang Nabi Muhammad SAW telah ajarkan bagi memperbaiki akhlak individu dalam kehidupan harian mereka. Baginda SAW datang dengan kesempurnaan akhlak mulia dan keluhuran sifat-sifat baik sebagai contoh tauladan kepada umatnya. Firman Allah SWT:

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

Maksudnya: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).

(Surah al-Ahzab: 21)

Ayat di atas menunjukkan bahawa sesungguhnya telah ada bagi kamu (wahai orang-orang yang beriman) pada perkataan-perkataan Nabi SAW, perbuatan-perbuatannya, dan keadaan-keadaannya contoh teladan yang baik, agar kamu semua dapat mengikutinya. Maka, berpeganglah dengan sunnahnya kerana sesungguhnya ia dipegang dan diikuti oleh orang-orang yang mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat. Begitu juga, perbanyakkanlah mengingati Allah dan memohon keampunan daripada-Nya, serta bersyukur kepada-Nya dalam setiap keadaan. (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 420)

Begitu juga terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ صَالِحَ الْأَخْلَاقِ

Maksudnya: “Sesungguhnya tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak.”

Riwayat Ahmad (8952), Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut menilai hadith ini sebagai sahih dan sanadnya kuat.

Sebagai salah satu manifestasi ini, Islam menetapkan peraturan dan panduan untuk adab kesopanan umum dan tatacara awam, yang kini dikenali sebagai (seni etika/etiquette); iaitu seni berinteraksi dengan orang lain dan juga dengan benda-benda.

Walaupun beberapa adab dalam aspek tata kesopanan dan etika mungkin berbeza mengikut adat dan tradisi, Islam telah menetapkan kerangka dan kaedah umum untuk adab-adab tersebut. Perkara ini dijelaskan dalam sunnah Nabi SAW, dan para ahli hadith telah menyusunnya dalam kitab-kitab hadith di bawah “Bab-bab Adab.” Bahkan ada dalam mereka yang menulis karya khusus yang dinamakan “Kitab-kitab Adab,” seperti yang dilakukan oleh Imam Abu Bakar bin Abu Syaibah dan Imam al-Bukhari dalam kitab-kitab mereka mengenai adab, serta para penulis kitab-kitab al-Syama’il, kitab-kitab berkenaan akhlak mulia, kitab-kitab berkenaan pengasuhan jiwa, dan lain-lain.

Para ulama dan fuqaha Muslim juga memberi perhatian yang mendalam terhadap perincian adab ini, serta menjelaskan perkara yang berkaitan dengan adat dan tradisi yang mungkin berbeza mengikut budaya, dan juga adab yang dikongsi antara pelbagai budaya dan persekitaran. Mereka menulis pelbagai karya dalam bidang akhlak dan adab, seperti kitab Tahzib al-Akhlaq wa Tathir al-A‘raq oleh Abu Ali bin Miskawaih, Adab al-Dunya wa al-Din oleh Imam al-Mawardi al-Syafi‘i, Mudawah al-Nufus wa Tahzib al-Akhlaq oleh Imam Ibn Hazm al-Zahiri, al-Zari‘ah ila Makarim al-Syariah oleh al-‘Allamah al-Raghib al-Asfahani, Ihya’ ‘Ulum al-Din oleh Hujjatul Islam al-Ghazali, al-Adab al-Syar‘iyyah oleh al-‘Allamah Ibn Muflih al-Hanbali dan banyak lagi.

Antara adab-adab yang diberi perhatian dalam syariat adalah adab makan dan minum. Para ulama hadith telah mengkhususkan bab dan fasal untuk adab-adab ini dalam kitab-kitab hadith mereka, seperti yang dilakukan oleh ashab al-Kutub al-Sittah dalam bab-bab “makanan” dan “minuman.” Bahkan ada juga sebahagian daripada kalangan mereka yang menulis kitab khusus untuk meriwayatkan hadith-hadith yang berkaitan dengannya, seperti yang dilakukan oleh Imam Ahmad bin Hanbal dan Abu Bakar bin Abu ‘Asim al-Nabil dalam kitab mereka mengenai al-Asyrubah (minuman), serta Abu Sa‘id al-Darimi dan Ibn Abi ‘Asim dalam kitab mereka mengenai al-At‘imah (makanan). Para fuqaha membahaskan adab-adab ini dalam kitab-kitab fiqh, memberikan penjelasan terperinci, dan mengkhususkan bab serta fasal untuknya. Malah, ada ulama yang menulis kitab khusus tentang hukum-hukum dan adab-adab ini, seperti yang dilakukan oleh al-‘Allamah al-Aqfahsi al-Syafi‘i dalam kitabnya, Adab al-Akl dan Imam Abu al-Barakat al-Ghazzi dalam kitabnya, Adab al-Muwakalah. Ini menunjukkan perhatian syariat Islam terhadap aspek adab ini dalam Islam, serta usaha untuk melengkapkan manusia dengan sifat-sifat baik, menghiasi diri dengan etika yang tinggi, dan menampilkan diri dalam cara yang layak dalam soal makan dan minum, dari awal hingga akhir, dalam usaha memperoleh, memilih, mengatur, dan memakannya.

Seterusnya, berbalik kepada soalan yang diajukan, antara tingkah laku yang dilarang dalam syariat ketika makan dan minum serta yang diberi panduan oleh para fuqaha agar dielakkan kerana ia tidak sesuai dengan adab umum dan etika yang tinggi ialah membuat bunyi semasa mengunyah dan minum kerana ini mungkin menunjukkan kerakusan dan nafsu yang berlebihan. Terdapat riwayat bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا شَرِبَ أَحَدُكُمْ فَلْيَمُصَّ مَصًّا، وَلَا يَعُبَّ عَبًّا، فَإِنَّ الْكُبَادَ مِنَ الْعَبِّ

Maksudnya: “Apabila seseorang kamu minum, hendaklah dia menyedut minumannya secara perlahan-lahan dan jangan meneguknya dengan cepat, kerana penyakit pada hati berasal daripada cara minum yang cepat.

Riwayat Ma‘mar bin Rasyid dalam kitabnya, al-Jami‘ (19594), al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (14659) dan Syu‘ab al-Iman(5610).[1]

Perkataan al-‘Ab “العَبُّ” menurut ahli bahasa ialah meminum air tanpa menyedutnya secara perlahan-lahan, dan “عَبَّتِ الدَّلْوُ” pula adalah merujuk kepada bunyi yang terjadi ketika menimba air, manakala “عبَّ الحَمَام الماءَ” (yakni burung merpati minum air). Perkataan al-Kubad “الكُبَادُ” ialah penyakit pada hati.

Dalam makna yang sama, terdapat riwayat daripada ‘Ata’ bin Abu Rabah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا شَرِبْتُمْ فَاشْرَبُوا مَصًّا، وَإِذَا اسْتَكْتُمْ فَاسْتَاكُوا عَرْضًا

Maksudnya: “Apabila kamu minum, maka minumlah sedikit demi sedikit, dan apabila kamu bersiwak, maka bersiwaklah secara melintang.

Riwayat Abu Dawud dalam al-Marasil (5) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (175). Imam al-Nawawi dalam Khulasah al-Ahkam (1/87) menilainya sebagai dha‘if.

Maksud hadith ini ialah untuk memberi panduan agar seseorang minum air secara perlahan dan bertahap, bukan dengan cara meneguk seperti haiwan yang mengeluarkan bunyi semasa minum. Hal ini juga mengelakkan kerosakan pada diri peminum dan ketidakselesaan bagi orang sekeliling, kerana Islam telah menetapkan prinsip tiada mudarat.

Dalam pengajaran ini, Nabi SAW menggunakan perkataan al-‘Ab “العبُّ” sebagai isyarat untuk menjauhi perbuatan ini kerana al-‘Ab “العبُّ” pada asalnya adalah perbuatan haiwan, sedangkan bagi manusia, ia tidak disandarkan kepada mereka kecuali secara kiasan (majaz).

Al-‘Allamah Abu Mansur al-Azhari dalam Tahzib al-Lughah (1/86) menyebutkan, Imam al-Syafi‘i mengatakan: Burung merpati adalah dari jenis burung yang apabila minum, ia minum dengan meneguk dan berbunyi, dan itu kerana merpati meneguk air dengan cepat, tidak seperti burung lain yang minum dengan cara mematuk-matuk.

Kemudian Imam al-Nawawi mengatakannya dalam Tahrir Lughat al-Tanbih (hlm. 124) bahawa al-Azhari menjelaskan bahawa burung merpati liar dan jinak akan meneguk air jika ia minum; maksudnya: ia menelan air dengan cepat. Sementara burung lain mematuk-matuk air, meminum air setitik demi setitik. Orang lain pula berpendapat, al-‘Ab “العبُّ” adalah menelan air dengan cepat tanpa bernafas; dikatakan ‘abbahu (عبَّه) ya‘ubbuhu (يَعُبُّه) ‘abban (عبًّا). Pengarang al-Muhkam menyebutkan, digunakan pada burung perkataan ‘abba (عَبَّ) dan tidak digunakan padanya perkataan syariba (شَرِب) — bagi merujuk kepada minum. Manakala perkataan al-Hadir (الهديرُ) adalah pantulan suara yang berterusan tanpa terputus-putus. Al-Rafi‘i berkata: Yang lebih dekat ialah apa yang minum dengan cara ‘ab (meneguk tanpa henti) dianggap hadar (هَدَرَ). Kalaulah berpada pada penafsiran merpati bagi perkataan ‘ab maka itu mencukupi bagi mereka; ini ditunjukkan oleh kenyataan bahawa Imam al-Syafi‘i berkata dalam ‘Uyun al-Masa’il: Apa yang meneguk air dengan cepat ialah merpati, dan apa yang minum setitis demi setitis adalah seperti ayam, bukannya merpati.

Al-‘Allamah Abu al-Hasan al-Manufi al-Maliki dalam Kifayah al-Talib al-Rabbani (2/ 464) menjelaskan, “وَلَا تَعُبَّ الْمَاءَ عَبًّا” ( jangan meneguknya dengan cepat) iaitu dengan menelannya sambil mengeluarkan bunyi seperti bunyi binatang; kerana Rasulullah SAW melarangnya. Sebaliknya (ولْتَمَصَّه) (hiruplah dengan lsedikit demi sedikit), iaitu menelan air dengan perlahan sedikit demi sedikit; kerana perintah Rasulullah SAW sedemikian.

Al-‘Allamah Syihabuddin al-Nafrawi al-Maliki dalam al-Fawakih al-Dawani (2/318) turut menyatakan, di antara adab minum juga ialah jangan menelannya seperti binatang menelan; kerana Rasulullah SAW melarangnya. Sebaliknya telanlah dengan perlahan sedikit demi sedikit supaya tidak kedengaran bunyi ketika meminumnya; kerana Rasulullah SAW bersabda: “Apabila salah seorang daripada kamu minum, hendaklah dia menghirupnya sedikit demi sedikit.” Sebagaimana telah disebut, sebabnya adalah kerana cara ini lebih menyihatkan, melegakan, dan lebih bermanfaat untuk saluran tubuh. Berbeza dengan meminum air secara cepat (tergesa-gesa) mungkin menyebabkan pengambilan yang melebihi keperluan dan menimbulkan ketidakselesaan kepada peminumnya. Bukankah kamu melihat bahawa hujan yang turun perlahan-lahan lebih bermanfaat untuk bumi daripada hujan lebat yang berlalu cepat, yang mungkin hanya mengalir di permukaan tanah tanpa menyerap ke dalamnya seperti hujan yang turun perlahan?

Para ulama telah menyatakan bahawa antara sifat-sifat yang tidak baik ketika makan ialah bercakap ketika sedang mengunyah makanan, serta mengeluarkan bunyi dari rahang dan mulut ketika mengunyah dan menelan. Mereka menganggapnya sebagai salah satu keaiban atau kekurangan adab yang perlu dielakkan oleh seseorang yang sedang makan.

Al-‘Allamah Ibn al-Mulaqqin al-Syafi‘i dalam al-Taudhih li Syarh al-Jami‘ al-Sahih (26/94) menyebutkan, jika seseorang yang makan itu adalah tetamu, dia hendaklah menghindari dua puluh sembilan keaiban (yakni kurang atau tidak beradab). Kami meriwayatkan keaiban ini dalam kitab Fawa’id al-Mawa’id. Di antaranya adalah tidak memasukkan suapan ke dalam mulutnya lalu menelannya hingga kedengaran bunyi.

Begitu juga Al-‘Allamah al-Qastalani al-Syafi‘i dalam Irsyad al-Sari li Syarh Sahih al-Bukhari (8/250) menyebutkan, ini adalah adab-adab yang berkaitan dengan makan, dan tidak mengapa untuk menyebutkannya. Seseorang yang sedang makan hendaklah merapatkan bibirnya ketika makan, agar terhindar daripada percikan air liur semasa mengunyah. Janganlah mengeluarkan kahak atau meludah di hadapan orang lain yang sedang makan bersamanya. Jika tiba-tiba dia mengalami batuk, dia hendaklah memalingkan wajahnya daripada makanan.

Al-‘Allamah Abu al-Barakat al-Ghazzi al-Syafi‘i dalam kitabnya Adab al-Muwakalah (hlm. 2) menegaskan bahawa antara 81 jenis keaiban/kekurangan dalam adab makan yang perlu dielakkan ketika makan ialah al-Muba‘bi‘ (المبعبع) iaitu orang yang apabila ingin bercakap tidak sabar untuk menelan suapan makanan terlebih dahulu; sebaliknya dia bercakap sambil mengunyah sehingga berbunyi seperti unta, dan kata-katanya sukar difahami, terutama jika saiz suapan itu besar.

Seterusnya al-Mufarqi‘ (المُفَرْقِع) ialah orang yang tidak merapatkan bibirnya ketika mengunyah, sehingga mulutnya mengeluarkan bunyi yang boleh didengar dari pintu rumahnya; kadangkala makanan juga mungkin terpercik dari mulutnya. Adab yang sepatutnya adalah tidak mengeluarkan bunyi yang boleh didengar oleh orang di sebelahnya.

Kemudian al-Rassyaf (الرشَّاف) ialah orang yang memasukkan suapan ke dalam mulutnya dan menelannya sehingga terdengar bunyi pada saat menelannya yang tidak tersembunyi daripada sesiapa.

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada penjelasan di atas, kami berpendapat bahawa sebaik-baiknya elakkan daripada meminum air sehingga mengeluarkan bunyi tegukan atau bunyi “aaahhh” selepas habis minum. Ini kerana ia bersalahan dengan adab dan etika yang baik ketika makan dan minum. Di antara adab dan etika yang baik ketika makan ialah menutup bibir semasa mengunyah, mengelakkan bunyi ketika mengunyah dan minum, serta mengelakkan bercakap ketika mulut penuh dengan makanan. Begitulah juga halnya ketika seseorang sedang minum. Seorang Muslim hendaklah mengamalkan adab yang baik dan memiliki sifat-sifat terpuji agar menjadi contoh yang baik kepada agama dan umatnya.

Inilah juga jawapan yang dikemukakan oleh Dar al-Ifta’ al-Misriyyah ketika mereka diajukan persoalan yang hampir sama.[2]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Nota hujung:

[1] Pentahqiq kitab Syu‘ab al-Iman (Cet. Maktabah al-Rusyd, 1/141) menyatakan, al-Suyuti menyebutkannya dalam al-Jami‘ al-Saghir dengan riwayat pengarang sahaja daripada al-Zuhri secara mursal, dan beliau (al-Suyuti) menandakannya sebagai lemah (dha‘if), manakala al-Munawi pula mendiamkan diri mengenainya dalam Faidh al-Qadir (6/320). Begitu juga ia dinilai sebagai lemah dalam Dha‘if al-Jami‘ al-Saghir ( 6063)

[2] Lihat https://www.daralifta.org/ar/fatawa/12864/مضغالطعامبصوتمسموع#. Diakses pada 31 Oktober 2024.

Leave a Reply