Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah solat sah jika seseorang makan sesuatu yang haram?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّ اللَّهَ طَيِّبٌ لاَ يَقْبَلُ إِلاَّ طَيِّبًا وَإِنَّ اللَّهَ أَمَرَ الْمُؤْمِنِينَ بِمَا أَمَرَ بِهِ الْمُرْسَلِينَ فَقَالَ: ‏{‏يَـٰٓأَيُّهَا ٱلرُّسُلُ كُلُوا۟ مِنَ ٱلطَّيِّبَـٰتِ وَٱعْمَلُوا۟ صَـٰلِحًا ۖ إِنِّى بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌۭ}‏ [المُؤْمِنُونَ: 51]، وَقَالَ: ‏{‏يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ‏}‏ [البَقَرَةُ: 172]

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya Allah itu baik dan Dia tidak menerima kecuali perkara yang baik. Dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan orang-orang mukmin dengan apa yang telah diperintahkan kepada para Rasul di mana Allah berfirman:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلرُّسُلُ كُلُوا۟ مِنَ ٱلطَّيِّبَـٰتِ وَٱعْمَلُوا۟ صَـٰلِحًا ۖ إِنِّى بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌۭ

(Wahai Rasul-rasul, makanlah dari benda-benda yang baik lagi halal dan kerjakanlah amal-amal soleh; sesungguhnya Aku Maha Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.) [Surah al-Mukminun: 51].

Firman-Nya juga:

‏يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ‏

(Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya.) [Surah al-Baqarah: 172].”

Riwayat Muslim (1015)

Imam al-Nawawi dalam mensyarahkan hadith ini, berkata: “Ini menunjukkan bahawa minuman, makanan, pakaian, dan perkara seumpamanya hendaklah berasal dari sumber yang halal sepenuhnya, tanpa sebarang unsur syubhah (keraguan).” (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 7/100)

Memahami hadith di atas, kita dapat melihat peri pentingnya seseorang itu mengambil sesuatu yang halal sebagai sumber utama kehidupannya agar ia tidak menjadi penghijab kepada penerimaan amalan kita di hadapan Allah SWT. Sehinggakan Imam Ibn Rejab memberikan satu pandangan yang amat tegas berdasarkan dalil di atas seraya berkata, antara perkara terbesar yang menyebabkan amal perbuatan seorang mukmin menjadi baik ialah makanannya, iaitu dari sumber yang halal. Dengan itu, amalannya akan menjadi subur dan diterima.

Ia juga mengandungi isyarat bahawa amal tidak diterima dan tidak akan berkembang kecuali dengan makanan halal. Makanan haram merosakkan amalan dan menghalang penerimaannya. Kemudian Allah memerintahkan orang beriman seperti yang diperintahkan kepada para rasul untuk mengambil rezeki yang baik-baik sahaja. Selagi makanan itu halal, maka amalannya baik dan diterima. Jika makanan itu tidak halal, bagaimana mungkin amalannya diterima? Ini sebagai contoh untuk menunjukkan kesukaran penerimaan amal sekiranya seseorang itu berasaskan kepada sumber yang haram. (Lihat Jami‘ al-‘Ulum wa al-Hikam, 1/260)

Dari sudut pandang fiqh, solat seseorang tetap sah dan tidak terjejas meskipun dia makan sesuatu yang haram; kerana syarat sah solat tidak termasuk soal makanan yang diambil sebelum solat. Kami pernah mengeluarkan sebuah artikel berkenaan ini yang bertajuk: “Syarat-Syarat Sah Solat,” dan syarat tersebut adalah:

  1. Bersih daripada kedua hadas.
  2. Bersih daripada najis pakaian, badan dan tempat solat.
  3. Menutup aurat.
  4. Menghadap kiblat.
  5. Masuk waktu solat.
  6. Mengetahui kefardhuannya.
  7. Tidak menyakini yang fardhu di dalam kefardhuan solat adalah sunat.
  8. Menjauhi perkara yang membatalkan solat seperti berkata-kata dengan sengaja,terbuka aurat walaupun sedikit, makan dan minum, berhadas sebelum salam pertama dan sebagainya. (Lihat Safinah al-Naja, hlm. 30)

Namun, makanan haram mungkin akan memberi kesan kepada keberkatan dan penerimaan amal, berdasarkan hadith Abu Hurairah R.A ini yang menekankan kepentingan makanan halal untuk kesucian amal seseorang.

Terdapat juga sebuah riwayat yang menyatakan bahawa solat seseorang itu boleh tertolak selama 40 hari, akan tetapi ia hanya dikhususkan untuk mereka yang minum arak. Daripada Abdullah bin ‘Amru R.A, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ شَرِبَ الْخَمْرَ وَسَكِرَ، لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلَاةٌ أَرْبَعِينَ صَبَاحًا، وَإِنْ مَاتَ دَخَلَ النَّارَ، فَإِنْ تَابَ تَابَ اللَّهُ عَلَيْهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang minum arak sehingga mabuk, solatnya tidak akan diterima selama 40 hari. Jika dia meninggal, maka akan masuk ke dalam Neraka. Sekiranya dia bertaubat, Allah akan mengampuninya.”

Riwayat Ibn Majah (3377), al-Tirmizi (1862) dan Ahmad (6773). Imam al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai hasan.

Kata Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Mubarakfuri, sekiranya orang yang minum arak itu mendirikan solat, tidak ada pahala baginya, meskipun dia gugur dari tanggungan kewajipan untuk solat. Solat tersebut juga tidak perlu diganti semula sekiranya telah dipenuhi setiap rukun beserta syarat-syaratnya. Beliau menukilkan dari Imam al-Nawawi, bahawa bagi setiap ibadah itu mempunyai dua perkara yang perlu dipertimbangkan; Pertama, gugurnya kewajipan untuk mengganti ibadah tersebut apabila seseorang itu telah menunaikannya. Kedua, kurniaan ganjaran bagi amal tersebut. Maka, ketiadaan ganjaran pahala ini digambarkan sebagai tidak diterimanya solat. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 5/488)

Kesimpulan

Kami katakan, mereka yang terlanjur mengambil makanan yang haram, ibadah solatnya masih sah dan diterima – dengan izin Allah SWT. Kewajipan menunaikan solat tersebut tetap akan kekal dipikul seseorang sehinggalah dia menunaikannya, tanpa mengira sama ada makanan dan minuman yang diambilnya adalah halal atau tidak. Sekiranya dia menunaikan solat tersebut selepas mengambil dari sumber yang haram, maka telah gugur dari tanggungannya kewajipan solat atau disebutkan sebagai bara’ah al-zimmah (بَرَاءَةُ الذِّمَّةِ).

Manakala dalil-dalil yang kami bawakan di atas, ini sebagai tegahan agar kita sentiasa menjauhi makan atau minuman yang diharamkan oleh Allah SWT agar ia tidak menjejaskan ganjaran pahala ibadah tersebut. Islam mengajarkan bahawa segala amal perbuatan manusia akan diberi balasan yang sesuai dengan apa yang dikerjakan, sama ada kebaikan atau keburukan. Maka jika seseorang itu memilih untuk melanggar tegahan yang disampaikan oleh Rasulullah SAW ini, maka segala balasan yang setimpal itu datang dari Allah SWT. Benarlah sebagaimana yang dinyatakan dalam firman-Nya:

إِنْ أَحْسَنتُمْ أَحْسَنتُمْ لِأَنفُسِكُمْ ۖ وَإِنْ أَسَأْتُمْ فَلَهَا ۚ

Maksudnya: “Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga.”

(Surah al-Isra’: 7)

Semoga kita beroleh kefahaman terhadap agama, seterusnya dapat beramal sesuai dengan ketetapan syara‘. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا ظُلْمًا كَثِيرًا، ولَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إلَّا أنْتَ، فَاغْفِرْ لَنَا مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنَا، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: “Ya Allah! Sungguh kami telah menzalimi diri kami dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka ampunilah kami dengan suatu pengampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah kami. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Wallahu a‘lam

Leave a Reply