Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Saya ada melihat satu jenis ikan yang dipanggil sebagai lungfish, di mana ikan itu mempunyai sistem pernafasan yang sangat purba iaitu paru-paru dan insang. Bahkan dikatakan ia boleh hidup tanpa air selama bertahun-tahun. Soalannya, apakah hukum memakan ikan lungfish tersebut? Bolehkah ia dimakan sebab ia boleh hidup lama di darat? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan menerangkan sedikit sebanyak berkenaan ikan lungfish ini dahulu. Ringkasnya, ikan lungfish (subkelas Dipnoi), ialah mana-mana anggota kumpulan yang terdiri daripada enam spesies ikan hidup yang bernafas udara dan beberapa saudara mereka yang telah pupus dalam kelas Sarcopterygii, yang dicirikan dengan mempunyai satu atau dua paru-paru. Dipnoi pertama kali muncul pada Zaman Devon Awal (sekitar 419.2 hingga 393.3 juta tahun yang lalu), dan spesies yang masih ada sekarang terdapat di sungai dan tasik di Afrika, Amerika Selatan, dan Australia. Haiwan ini amat menarik kerana bentuk badan mereka yang unik, saiz yang umumnya besar,  yang tidak berterusan di kawasan tropika bumi, serta cara hidupnya yang pelik.[1]

Gambar di atas: Lungfish dan spesiesnya (Sumber gambar: https://www.britannica.com/animal/lungfish).

Tambahan pula, ikan lungfish pertama kali muncul dalam rekod fosil 380 juta tahun yang lalu. Mereka adalah peninggalan kumpulan ikan purba yang mempunyai kaitan dengan nenek moyang amfibia, reptilia, burung, dan mamalia.[2]

Ikan lungfish sangat rakus, ia memakan pelbagai jenis haiwan akuatik, termasuk spesiesnya sendiri. Di dalam kurungan, lungfish Afrika makan cacing tanah, potongan daging, berudu, katak kecil, dan ikan kecil. Lungfish Ethiopia, Protopterus aethiopicus, mempunyai dua gigi yang agak bulat di hadapan rahang atas dengan jambatan melintang yang keras (dari sisi ke sisi). Rahang bawahnya mempunyai beberapa gigi penghancur. Mangsa disedut, dihancurkan, dan dikunyah dengan teliti; cara makan sebegini jarang ditemui dalam kalangan ikan.[3]

Ciri utama ikan lungfish adalah keupayaan mereka untuk bernafas di dalam air dan udara. Ciri unik ini, disebabkan oleh mereka mempunyai dua sistem pernafasan iaitu insang dan paru-paru, membolehkan mereka bertahan di luar air untuk tempoh yang lama, tidak seperti kebanyakan ikan. Malah, ikan lungfish adalah ikan yang mesti menghirup udara. Dalam erti kata lain, mereka memerlukan udara untuk terus hidup.

Seperti yang dinyatakan, lungfish mempunyai sirip berlobus, yang membezakan mereka daripada ikan lain. Turus vertebra/turus ruas tulang belakang (vertebral column) mereka memanjang hingga ke hujung badan, membentuk dua lipatan kulit yang berfungsi sebagai sirip. Ikan lungfish dewasa mempunyai dua paru-paru yang berfungsi, yang berkembang dari dinding ventral pada hujung faring. Walaupun mereka juga mempunyai insang, hanya sekitar 2% daripada pernafasan ikan dewasa bergantung padanya. Semasa peringkat larva, lungfish bergantung kepada insang untuk bernafas. Walaupun lungfish mempunyai lubang hidung, ia bukan untuk pernafasan udara. Sebaliknya, lubang hidung berfungsi untuk deria bau. Tubuh mereka dilitupi sisik kecil yang tertanam dalam kulit.

Selain daripada itu, ikan lungfish juga terkenal kerana jangka hayatnya yang panjang, dengan beberapa spesies mampu hidup selama beberapa dekad, malah ada yang boleh mencapai seratus tahun atau lebih dalam beberapa kes. Selain daripada bertahan semasa musim kering melalui hibernasi atau keadaan “torpor,” lungfish juga boleh memasuki keadaan estivasi ketika menghadapi cuaca panas melampau atau kemarau. Semasa estivasi, mereka menggali ke dalam lumpur dan mengurangkan kadar metabolisme mereka untuk menjimatkan tenaga. Lungfish juga adalah penggali yang cekap, menggunakan tubuh berotot dan sirip yang kuat untuk menggali ke dalam substrat. Tingkah laku ini membolehkan mereka berlindung semasa keadaan persekitaran yang tidak menguntungkan dan menghindari pemangsa.[4]

Hukum Memakan Ikan Lungfish

Dalam menjawab persoalan ini, terlebih dahulu mari kita lihat apakah yang dimaksudkan dengan hidupan air dan juga haiwan dua alam. Haiwan air ialah haiwan yang tidak dapat hidup melainkan di dalam air, tidak kira air masin atau air tawar, sama ada di laut, sungai, tasik, air telaga atau lain-lain. Apabila ia keluar dari air, hidupnya seperti haiwan yang disembelih atau ia dapat hidup tetapi hayatnya tidak kekal lama (di atas darat). (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 8/150; al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/127-128)

Secara umumnya, Dr. Muhammad al-Zuhaili menyebutkan bahawa hidupan air terbahagi kepada dua kategori iaitu spesies ikan sebagaimana rupa bentuknya yang telah diketahui umum. Ia adalah halal untuk dimakan walau bagaimanapun cara ia dimatikan serta tidak perlu disembelih. Hal ini adalah berdasarkan firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ مَتَاعًا لَّكُمْ وَلِلسَّيَّارَةِ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut, sebagai bekalan bagi kamu (untuk dinikmati kelazatannya) dan juga bagi orang-orang yang dalam pelayaran.”

(Surah al-Ma’idah: 96)

Begitu juga, terdapat riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, beliau berkata:

أُحِلَّت لَنا مَيتَتانِ ودَمانِ؛ الجَرادُ والحيتانُ، والكَبدُ والطِّحالُ

Maksudnya:Dihalalkan ke atas kita dua jenis bangkai dan dua jenis darah. (Dua jenis bangkai) iaitu belalang dan ikan. (Dua jenis darah) iaitu hati dan limpa.”

Riwayat al-Baihaqi (1211) dan beliau menyebutkan dalam al-Sunan al-Kabir, sanad hadith ini adalah sahih.

Keduanya, haiwan air yang tidak menyerupai bentuk kebiasaan ikan seperti babi air dan anjing laut. Para ulama telah berselisih pendapat dalam kategori ini. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/547-548). Bagi kategori ini, Imam al-Nawawi ada menukilkan tiga pendapat yang masyhur mengenai perkara ini dalam kitab beliau, dan menyatakan bahawa pendapat yang sahih di sisi ulama mazhab al-Syafi‘i adalah semuanya halal untuk dimakan kerana perkataan al-Samak “السَّمَك” — sebagaimana yang terdapat dalam hadith — merujuk kepada semua hidupan air. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/33-34). Ia termasuk sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Ma’idah, ayat 96 (seperti mana yang kami sudah sebutkan sebelum ini).

Begitu juga, terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ، الحِلُّ مَيْتَتُهُ

Maksudnya:Air laut itu suci lagi menyucikan dan halal bangkainya.

Riwayat Abu Daud (83); al-Tirmizi (69) dan al-Nasa’i (59)

Seterusnya, berkenaan haiwan dua alam, di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah disebutkan, ulama mazhab Syafi‘i berpendapat bahawa haiwan dua alam adalah haram untuk dimakan. Haiwan dua alam yang dimaksudkan ialah haiwan yang dapat hidup secara berterusan sama ada di daratan mahupun lautan (yakni air), jika tiada baginya sebarang bandingan dengan haiwan di darat yang halal dimakan. Di antara contoh haiwan dua alam yang disebutkan oleh mereka ialah katak, ketam, ular, nasnas, buaya dan penyu. Pengharaman haiwan jenis dua alam ini adalah sebagaimana yang disebutkan oleh al-Rafi‘i dan Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Raudhah serta pendapat yang dipegang oleh al-Ramli.

Imam al-Nawawi kemudiannya telah membetulkan semula pendapatnya dalam kitab al-Majmu‘bahawa semua haiwan yang tinggal di dalam air secara habitatnya[5] adalah halal bangkainya sekalipun ia boleh untuk hidup di atas daratan melainkan katak. Inilah pendapat yang muktamad di sisi al-Khatib dan Ibn Hajar al-Haitami, dan ditambah pada katak — dengan memberi sebab — kerana padanya terdapat racun. Oleh itu, berdasarkan kepada pendapat ini, ketam, ular, nasnas, buaya dan penyu, jika kesemua haiwan ini tinggal di dalam air secara habitatnya, maka halal bangkainya dan tidak diambil kira kemampuannya untuk hidup di atas darat. Akan tetapi jika haiwan itu tinggal di atas daratan secara habitatnya,[6] maka haram bangkainya. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/130; Lihat juga al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/32-33).

Dalam erti kata lain, adanya kebarangkalian bahawa terdapat faktor lain yang mendorong kepada pengharaman kesemua haiwan dua alam yang disebutkan di atas seperti nas yang melarang, memberi mudarat kepada pemakannya atau lain-lain. Hal ini dapat difahami dengan lebih jelas melalui kenyataan daripada Dr. Muhammad al-Zuhaili yang menyebutkan bahawa katak haram dimakan kerana ada nas yang melarang untuk membunuhnya. Manakala ular dan ketam kerana racunnya serta kedua-duanya dianggap haiwan yang jijik. Selain itu juga diharamkan untuk memakan buaya kerana ia memburu dengan taringnya. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/548-549).

Selain itu, Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari juga ada menukilkan pendapat Imam al-Mawardi yang menjadi dhawabit (garis panduan) dalam menentukan kategori suatu haiwan itu apabila berhimpun pada dirinya darat dan laut, iaitu:

مَا يَجْمَعُ مِنْ الْحَيَوَانِ بَيْنَ الْبَحْرِ وَالْبَرِّ إنْ كَانَ اسْتِقْرَارُهُ بِأَحَدِهِمَا أَغْلَبَ وَمَرْعَاهُ بِهِ أَكْثَرَ غَلَبَ عَلَيْهِ حُكْمُهُ

Maksudnya: “Haiwan yang berhimpun padanya antara laut dan darat (dapat hidup di kedua-duanya), sekiranya ia dapat tetap (berterusan) hidup pada salah satunya menurut kebiasaan dan hidupnya lebih banyak di situ. Maka, hukumnya mengikut kebiasaannya.”

Oleh itu, apa-apa haiwan yang tidak dapat hidup melainkan di dalam air sahaja atau apabila ia keluar dari air, hidupnya seperti haiwan yang disembelih, maka hukumnya adalah halal dimakan, walau bagaimana keadaannya pun serta ia dinisbahkan sebagai hidupan air. Kemudian, jika suatu haiwan itu tidak cenderung kepada mana-mana antara keduanya (air atau darat), maka hukumnya adalah seperti haiwan darat mengikut pendapat yang sahih serta tidak halal untuk memakannya melainkan setelah disembelih, jika ia termasuk dalam jenis haiwan yang boleh disembelih. Sekiranya tidak, hukumnya adalah haram — untuk memakannya. (Lihat Asna al-Matalib, 1/566).

Tambahan pula Imam al-Syafi‘i juga ada menyebutkan bahawa untuk menentukan haiwan tersebut dalam kategori haiwan buruan yang mana, maka lihatlah haiwan itu hidupnya lebih banyak di darat atau di laut. Termasuk juga dalam kategori haiwan yang mengambil hukum haiwan laut ialah haiwan yang tinggal di dalam air perigi, paya, air tawar, air masin, air sedikit, air banyak dan lain-lain. (Lihat al-Umm, 2/199; 2/230).

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa ikan lungfish ini adalah termasuk dalam jenis hidupan air dan halal dimakan sebagaimana ikan-ikan lain selagi mana tidak memudaratkan pemakannya. Justeru, ia halal dimakan tanpa perlu kepada sembelihan bagi menghalalkannya serta bangkainya juga adalah halal dan suci.

Penisbahannya sebagai hidupan air juga adalah berdasarkan kepada dhawabit yang telah digariskan oleh Imam al-Mawardi dan juga Imam al-Syafi‘i yang kami telah bawakan di atas, kerana meskipun ia mampu hidup tanpa air semasa musim kemarau dan kering, namun keadaan itu hanya berlaku semasa musim ekstrem tersebut sahaja, dalam keadaannya mengalami “estivasi” di dalam lubang lumpur/tanah, tanpa bebas bergerak, dan bukannya bebas bergerak di daratan dan berenang sebagaimana keadaannya di dalam air. Jadi, ini menunjukkan bahawa habitat asalnya tetap di dalam air.

Bahkan sebahagian tempat seperti di Afrika menunjukkan bahawa ikan ini dimakan oleh manusia. Ia diperoleh dari lumpur dasar sungai yang kering. Begitu juga ikan lungfish Amerika Selatan, yang diperoleh dengan cara yang sama, dimakan secara tempatan.[7]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

Nota hujung:

[1]  Lihat https://www.britannica.com/animal/lungfish. Diakses pada 2 November 2024.

[2] Lihat https://australian.museum/learn/animals/fishes/australian-lungfish-neoceratodus-forsteri-krefft-1870/. Diakses pada 2 November 2024.

[3] Lihat https://www.britannica.com/animal/lungfish. Diakses pada 2 November 2024.

[4] Lihat https://www.animalwised.com/what-are-lungfish-characteristics-and-examples-5169.html. Diakses pada 2 November 2024.

[5] Yakni kehidupannya lebih banyak di dalam air.

[6] Yakni kehidupannya lebih banyak di atas daratan.

[7] Lihat https://www.britannica.com/animal/lungfish. Diakses pada 3 November 2024.

Leave a Reply