Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami berkenaan zakat unta serta nisabnya melalui surat Saidina Abu Bakar al-Siddiq?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sebagaimana yang diketahui bahawa di sana terdapatnya zakat binatang ternakan atau dipanggil sebagai zakah al-An‘am (زكاة الأنعام). Perkataan al-An‘am ialah kata jamak kepada al-Na‘am sama ada jantan atau betina serta ia merujuk kepada unta, lembu dan kambing. Firman Allah SWT:

وَإِنَّ لَكُمْ فِي الْأَنْعَامِ لَعِبْرَةً ۖ نُّسْقِيكُم مِّمَّا فِي بُطُونِهَا وَلَكُمْ فِيهَا مَنَافِعُ كَثِيرَةٌ وَمِنْهَا تَأْكُلُونَ

Maksudnya: “Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak itu kamu beroleh punca-punca yang menyedarkan (tentang kemurahan dan kebijaksanaan Allah penciptanya); Kami beri kamu minum dari susu yang ada dalam perutnya, dan kamu beroleh banyak faedah lagi padanya; dan daripadanya juga kamu beroleh rezeki penghidupan kamu.”

(Surah al-Mukminun: 21)

Zakat wajib dikeluarkan daripada unta, lembu dan kambing kerana banyak manfaatnya, dan zakat dikira berdasarkan bilangan dan keturunannya. Kewajipan zakat haiwan ternakan ini telah ditegaskan dalam hadith-hadith yang sahih. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/37).

Imam al-Nawawi berkata dalam kitab al-Majmu’ (2/382): “Nisab zakat binatang ternakan datang daripada dua hadis Anas dan Ibn Umar r.a. Anas menceritakan bahawa Sayidina Abu Bakar al-Siddiq R.A menulis sepucuk surat yang ditujukan kepada penduduk negeri Bahrain:

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ، هَذِهِ فَرِيضَةُ الصَّدَقَةِ الَّتِي فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ عَلَى المُسْلِمِينَ، وَالَّتِي أَمَرَ اللهُ بِهَا رَسُولَهُ، فَمَنْ سُئِلَهَا مِنَ المُسْلِمِينَ عَلَى وَجْهِهَا فَلْيُعْطِهَا، وَمَنْ سُئِلَ فَوْقَهَا فَلَا يُعْطِ: فِي أَرْبَعٍ وَعِشْرِينَ مِنَ الإِبِلِ فَمَا دُونَهَا مِنَ الْغَنَمِ، مِنْ كُلِّ خَمْسٍ شَاةٌ، فَإِذَا بَلَغَتْ خَمْسًا وَعِشْرِينَ إِلَى خَمْسٍ وَثَلَاثِينَ فَفِيهَا بِنْتُ مَخَاضٍ أُنْثَى،  فَإِذَا بَلَغَتْ سِتًّا وَثَلَاثِينَ إِلَى خَمْسٍ وَأَرْبَعِينَ فَفِيهَا بِنْتُ لَبُونٍ أُنْثَى، فَإِذَا بَلَغَتْ سِتًّا وَأَرْبَعِينَ إِلَى سِتِّينَ ففِيهَا حِقَّةٌ طَرُوقَةُ الْجَمَلِ ، فَإِذَا بَلَغَتْ وَاحِدَةً وَسِتِّينَ إِلَى خَمْسٍ وَسَبْعِينَ فَفِيهَا جَذَعَةٌ، فَإِذَا بَلَغَتْ – يَعْنِي سِتًّا وَسَبْعِينَ – إِلَى تِسْعِينَ فَفِيهَا بِنْتَا لَبُونٍ، فَإِذَا بَلَغَتْ إِحْدَى وَتِسْعِينَ إِلَى عِشْرِينَ وَمِائَةٍ فَفِيهَا حِقَّتَانِ طَرُوقَتَا الْجَمَل. فَإِذَا كَانَتْ أَرْبَعِينَ إِلَى عِشْرِينَ وَمِئَةٍ شَاةٌ، فَإِذَا زَادَتْ عَلَى عِشْرِينَ وَمِئَةٍ إِلَى مِئَتَيْنِ شَاتَانِ، فَإِذَا زَادَتْ عَلَى مِئَتَيْنِ إِلَى ثَلَاثِ مِئَةٍ، فَفِيهَا ثَلَاثُ شِيَاةٍ، فَإِذَا زَادَتْ عَلَى ثَلَاثِ مِئَةٍ، فَفِي كُلِّ مِئَةٍ شَاةٌ، فَإِذَا كَانَتْ سَائِمَةُ الرَّجُلِ نَاقِصَةً مِنْ أَرْبَعِينَ شَاةً وَاحِدَةً، فَلَيْسَ فِيهَا صَدَقَةٌ إِلَّا أَنْ يَشَاءَ رَبُّهَا وَفِي الرِّقَّةِ رُبْعُ العُشْرِ، فَإِنْ لَمْ تَكُنْ إِلَّا تِسْعِينَ وَمِئَةً، فَلَيْسَ فِيهَا شَيْءٌ إِلَّا أَنْ يَشَاءَ رَبُّهَا.

Maksudnya: “Dengan nama Allah yang Maha Pemurah, Maha Pengasih. Ini adalah kewajipan berzakat yang telah diwajibkan Rasulullah SAW kepada kaum Muslimin dan yang telah diperintahkan Allah kepada RasulNya. Barang siapa memintanya dari kaum Muslimin sesuai ketentuan, maka hendaklah diberinya dan barang siapa memintanya melebihi ketentuan, maka janganlah diberi: dari 24 ekor unta ke bawah, zakatnya dari jenis kambing, setiap 5 ekor unta zakatnya seekor kambing. Apabila jumlahnya mencapai 25 hingga 35 ekor, maka zakatnya seekor anak unta betina umur 1 tahun lebih: dari 36 hingga 45 ekor, zakatnya seekor anak unta betina (umur 2 tahun lebih); dari 46 hingga 60 ekor, zakatnya seekor anak unta betina (umur 3 tahun lebih); dari 61 hingga 75 ekor, zakatnya seekor anak unta betina (umur 4 tahun lebih); dari 76 hingga 90 ekor, zakatnya 2 ekor anak unta betina (umur 2 tahun lebih); dari 91 hingga 120 ekor, zakatnya 2 ekor anak unta betina (umur 3 tahun lebih). Apabila lebih daripada 120 ekor, maka setiap 40 ekor unta zakatnya seekor anak unta betina (umur 2 tahun lebih) dan setiap 50 ekor, zakatnya seekor anak unta betina (umur 3 tahun lebih). Barang siapa yang memiliki 4 ekor unta, maka tidak dikenakan zakat, kecuali jika ia berkehendak mengeluarkannya secara sukarela. Jika ia sudah memiliki 5 ekor unta, maka zakatnya seekor kambing. Ternakan kambing yang digembalakan secara bebas, bila jumlahnya telah mencapai 40 hingga 120 ekor, maka zakatnya seekor kambing. Lebih dari 120 hingga 200 ekor, zakatnya 2 ekor kambing. Lebih daripada 200 hingga 300 ekor. zakatnya 3 ekor kambing. Apabila lebih daripada 300 ekor, zakatnya setiap 100 ekor, seekor kambing. Jika kambing yang digembalakan secara bebas itu kurang seekor dari 40 ekor, maka tidak ada zakatnya, kecuali jika ia berkehendak mengeluarkannya secara sukarela, jika tidak ada kecuali 190 ekor, maka tidak ada zakatnya, kecuali kalau kehendaknya sendiri untuk mengeluarkannya.”

Riwayat al-Bukhari (1454)

Seterusnya, surat tersebut menyatakan jika zakatnya seekor anak unta betina (umur 1 tahun lebih) tetapi tidak ada kecuali seekor anak unta betina (umur 2 tahun lebih), boleh diterima. Amil zakat mestilah memulangkan kepada si pembayar zakat baki sebanyak 20 dirham atau 2 ekor kambing. Jika pemilik harta tidak memiliki seekor anak unta betina (umur 1 tahun lebih) untuk dizakatkan tetapi hanya memiliki anak unta jantan (umur 2 tahun lebih), dapat diterima zakatnya tanpa ada bayaran lain daripada kedua belah pihak.

Jika tidak memiliki anak unta betina (umur 4 tahun lebih) tetapi memiliki seekor anak unta betina (umur 3 tahun lebih), dapat diterima zakatnya dengan menambah 2 ekor kambing betina atau menambah 20 dirham. Jika sepatutnya dikeluarkan zakat seekor anak unta (umur 3 tahun lebih) tetapi hanya memiliki seekor anak unta betina (umur 4 tahun lebih), dapat diterima zakatnya tapi amil zakat mesti memulangkan baki 20 dirham atau 2 ekor kambing. Jika zakat adalah seekor anak unta betina (umur 3 tahun lebih) tetapi memiliki hanya seekor anak unta betina (umur 2 tahun lebih), dapat diterima zakatnya dengan menambah 2 ekor kambing atau 20 dirham kepada amil zakat.

Jika zakat seekor anak unta betina (umur 2 tahun lebih) tetapi yang ada adalah seekor anak unta betina (umur 3 tahun lebih), maka, zakatnya dapat dikeluarkan dan amil zakat mesti memulangkan baki 20 dirham atau 2 ekor kambing. Jika zakat seekor anak unta betina (umur 2 tahun lebih) tetapi yang ada adalah seekor anak unta betina (umur 1 tahun lebih), zakatnya dapat dikeluarkan dengan menambah 20 dirham atau 2 ekor kambing.

Kambing tua yang sudah tanggal gigi-giginya, kambing cacat dan kambing jantan tidak diterima sebagai zakat kecuali dengan kehendak si pemilik harta. Binatang ternakan yang terpisah-pisah tidak boleh dicampurkan dan begitu juga yang terkumpul tidak boleh dipisahkan kerana bimbang zakatnya akan menjadi banyak atau akan menjadi sedikit. Dua kumpulan binatang ternakan yang sudah bercampur di tempat pengembalaan tidak boleh juga dipisahkan dengan alasan untuk mengurangkan atau menambah zakat yang dikeluarkan.

Imam Nawawi berkata: “Hadis-hadis riwayat Bukhari dalam sahihnya, keadaannya terpisah-pisah, khususnya dalam bab zakat, lalu saya kumpulkan dan saya susun. (Lihat al-Majmu’, 5/383) Hadis riwayat Imam Ahmad, Abu Daud, al-Nasa’ie dan al-Daruqutni, ia berkata: “Hadis tersebut sanadnya sahih dan semua perawinya thiqah, sebagaimana tercantum dalam kitab al- Muntaqa.” Al-Syaukani berkata: “Hadis itu dikeluarkan juga oleh al-Syafie, al-Baihaqi dan al-Hakim.” Ibn Hazm berkata: “Kandungan surat ini adalah yang paling benar.” Hal ini diperakui juga oleh Ibn Hibban dan lain-lain. (Lihat Nail al-Autar, 4/107; Lihat Fiqh al-Zakah, PPZ, 1/156 – 159)

Kami akhiri dengan doa:

 آجَرَكَ اللَّهُ فِيمَا أَعْطَيْت، وَبَارَكَ لَك فِيمَا أَبْقَيْت، وَجَعَلَهُ لَكَ طَهُورًا

Maksudnya: “Semoga Allah memberi ganjaran atas apa yang engkau berikan, memberkati apa yang engkau tinggalkan, dan menjadikannya sebagai penyucian bagimu.

Leave a Reply