Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami kadar Dirham dan Dinar Syar’i?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Al-Quran ada menerangkan peranan wang sebagaimana ayat di dalam surah al-Maidah, Allah SWT berfirman:
وَلَا تُؤْتُوا السُّفَهَاءَ أَمْوَالَكُمُ الَّتِي جَعَلَ اللَّـهُ لَكُمْ قِيَامًا
Maksudnya: “Dan janganlah kamu berikan (serahkan) kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya akan harta (mereka yang ada dalam jagaan) kamu, (harta) yang Allah telah menjadikannya untuk kamu semua sebagai asas pembangunan kehidupan kamu…”
(Surah al-Nisa’: 5)
Menurut al-Raghib al-Asfahani, perkataan al-qiyam dan al-qiwam bermaksud tiang dan sandaran kerana hal ini dijadikan sebagai tiang penumpang dan sandaran barang yang bersandar kepadanya. (Lihat al-Mufradat fi Gharib al-Quran, hlm. 322) Ini menggambarkan ciri utama wang di mana ia merupakan satu alat yang sangat berkesan yang dijadikan oleh Allah untuk mengelola dan memelihara keseluruhan sistem dunia. Matlamat akhir wang adalah untuk menjaga dan menampung urusan dunia seseorang untuk keuntungannya di akhirat.
Menjawab persoalan di atas, kami nukilkan daripada Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi yang menyebut: Seperti yang diketahui, nisab zakat bagi perak ialah 200 dirham dan bagi emas pula ialah 20 dinar. Maka, yang tinggal adalah untuk kita mengetahui nilai sebenar dirham dan dinar yang disyariatkan serta kadarnya untuk selanjutnya mengetahui penyesuaian nisabnya pada zaman sekarang.
Kebanyakan ulama salaf dan khalaf telah mengetengahkan dan membincangkan persoalan ini. Antaranya Abu ‘Ubaid dalam kitab al-Amwal, al-Baladzuri dalam bahagian akhir kitab Futuhul Buldan, al-Khattabi dalam kitab Ma’alim al-Sunan, al-Mawardi dalam kitab al-Ahkam al-Sultaniyah, al-Nawawi dalam kitab al-Majmu’, al-Maqrizi dalam kitab al-Nuqud al-Qadimah al-Islamiah, Ibn Khaldun dalam kitab al-Muqaddimah, dan lain-lainnya yang datang sebelum mahupun selepas mereka.
Kesimpulan yang dapat penulis simpulkan berdasarkan kenyataan mereka semua tadi ialah kesimpulan yang dibuat oleh Ibn Khaldun yang menyatakan: “Ketahuilah bahawa ijmak telah berlaku sejak zaman munculnya Islam diikuti oleh zaman sahabat dan tabiin, bahawa dirham yang disyariatkan adalah 10 dirham bersamaan dengan 7 mithqal emas. Manakala ukuran 1 uqiyah sama dengan 40 dirham bersamaan dengan 7/10 dinar. Timbangan mithqal emas yang tulen bersamaan dengan 72 biji gandum kualiti sederhana, maka dirham – yang nilainya 7/10 dinar – bersamaan 55 biji gandum. Semua ukuran ini telah ditetapkan oleh ijmak.
Pendapat yang masyhur bagi dinar – yakni mithqal – adalah ia tidak mengalami perubahan sama ada di zaman jahiliah mahupun di zaman Islam. Telah disepakati bahawa wang Islam Arab disamakan dengan nilai yang telah tersebar luas di segenap pelosok dunia sejak zaman pemerintahan Abdul Malik ibn Marwan, khalifah di zaman Umayyah, dimana beliau menetapkan penggunaan dirham pada zamannyya dengan ukuran besarnya sebanyak 8 dawaniq dan yang kecilnya pula sebanyak 4 dawaniq. Oleh yang demikian, purata antara keduanya bersamaan dengan 6 dawaniq. Mereka juga mengiktiraf mithqal. Hal ini telah ditetapkan dan pengamalannya tidak pernah terhenti bahawa setiap 10 dirham bersamaan dengan 6 dawaniq iaitu bersamaan juga dengan 7 mithqal. Perkara ini telah ditetapkan dan tidak ada perubahan baginya.
Kemudian, para ulama dan sejarawan menetapkan bahawa dirham dan dinar tidak kekal pada tahap yang telah ditetapkan oleh ijmak pada zaman Abdul Malik. Nilai timbangan dan penggunaannya telah mengalami perubahan yang besar daripada segi berat dan nilainya yang berbeza dari negara ke negara dan dari satu zaman ke zaman yang lain. Ini membuatkan manusia pada ketika itu menggambarkan kadar yang ditetapkan oleh syariat bersesuaian dengan logik akal mereka, kemudian penduduk setiap negeri mengeluarkan zakat ke atas wang mereka dengan penyesuaian nilai wang seperti yang telah dijelaskan. Maka, apakah cara untuk kita ketahui ukuran dirham dan dinar yang disyariatkan ketikamana terdapat perbezaan nilai mata wang serta perbezaan jenis timbangan di negara- negara Islam sekarang?
Nabi Muhammad SAW telah menunjukkan kepada umatnya sebuah realiti dan keadaan yang pada akhirnya dipakai oleh beberapa negara pada zaman kini dan menjadikannya ketentuan dan penyatuan ukuran panjang dan timbangan dalam masyarakat dan lain-lain jenis ukuran lagi bagi memudahkan urusan antara manusia serta menghindarkan mereka daripada sebarang bentuk persengketaan. Perkara ini telah dijelaskan dalam sebuah hadis:
الْمِيزَانُ مِيزَانُ أَهْلِ مَكَّةَ ، وَالْمِكْيَالُ مِكْيَالُ أَهْلِ الْمَدِينَةِ.
Maksudnya: “Timbangan adalah menurut timbangan penduduk Mekah, dan ukuran sukatan adalah berdasarkan sukatan penduduk Madinah.”
Riwayat Abu Dawud (3340), al-Nasa’ie (2520) dan al-Baihaqi (7966)
Hal ini demikian kerana penduduk Mekah merupakan orang yang berniaga dan sudah terbiasa dengan timbangan mithqal, dirham, uqiyah dan sebagainya di mana mereka merupakan pakar dalam bidang tersebut (lebih teliti dan tepat). Manakala penduduk Madinah adalah masyarakat pekebun dan peladang yang bertani dan menanam buah- buahan. Justeru mereka lebih mahir dan teliti dalam bidang ukuran wasaq, sa’, mud dan sebagainya. Lantaran itu, Nabi SAW menyuruh umatnya untuk menjadikan ukuran-ukuran tersebut sebagai panduan kerana mereka adalah masyarakat yang mempunyai kepakaran dalam perkara tersebut.
Maka menjadi satu keperluan bagi setiap negeri yang penduduknya beragama Islam untuk menyatukan ukuran mereka dengan mengikuti ukuran atau timbangan Mekah dan Madinah seperti yang diarahkan oleh Rasulullah SAW, menyeragamkan dirham itu sebagai dirham yang tidak berbeza daripada segi beratnya serta kadarnya. Demikian juga bagi mithqal, uqiyah, ritl, sa’, mud dan sebagainya. Melalui kaedah ini, kewajipan dan hak-hak syariat berkaitan timbangan atau sukatan akan dapat diketahui dengan cepat dan mudah tanpa sebarang kesulitan serta kesukaran.
Namun, umat Islam tidak mempedulikan realiti dan petunjuk yang terdapat dalam sabda Nabi SAW ini. Seharusnya sesuatu yang telah ditetapkan kewajipan itu diikuti serta diuruskan secara saksama, teliti dan sempurna di semua negeri, seperti timbangan penduduk Mekah khususnya mithqal dan dirham serta sukatan penduduk Madina khususnya sa’ dan mud. Hadis ini seharusnya diikuti agar ia menjadi panduan dalam menentukan ukuran syariat terutamanya dalam penentuan kadar zakat.
Sepatutnya, pemerintah di negara yang melaksanakan dasar pemerintahan Islam perlu menjadikan ukuran ini sebagai asas dalam berinteraksi sesama manusia atau sesama negara dan masyarakat. Oleh kerana realiti zaman sekarang berbeza, di mana terdapat perbezaan yang nyata pada kadar dirham, dinar, awaq, ritl, dan kesemua ukuran timbangan dan sukatan, inilah yang menyebabkan kesusahan dalam menentukan kadar serta mengakibatkan perbalahan dan persoalan menjadi lebih serius.
Kita sedia maklum tentang wujudnya perbezaan antara riți Baghdad, ritl Madinah, ritl Mesir dan ritl Syam. Disamping itu kita juga ketahui bahawa telah timbul persoalan adakah satu dirham itu bersamaan 12 qirat, atau 14, atau 15, atau 16, atau adakah ianya lebih kecil atau lebih besar? Berapa pula persamaannya dengan biji gandum? Apakah itu mithqal, adakah ia sama seperti dinar atau bukan? Berapakah qirat bagi mithqal? Dan berapa pula persamaannya dengan biji gandum?
Para fuqaha telah membahaskan persoalan ini dengan panjang. Mereka banyak berbeza pandangan kerana terdapat perbezaan uruf (kebiasaan) dan istilah antara negara dan zaman.
Sebahagain fuqaha Hanafiah berpendapat bahawa setiap negeri difatwakan dengan ukurannya yang tersendiri. (Lihat Radd al-Muhtar, 2/40) Pandangan ini mirip dengan pandangan yang mereka ambil daripada Ibn Habib al-Andalusi yang dinukilkan daripadanya berkata: “Setiap penduduk di setiap negara berurusan dengan dirham mereka sendiri. (Lihat Fath al-Bari, 4/23)
Mereka mengatakan bahawa: “Beliau (al-Andalusi) bersendirian dalam menyatakan pendapat ini kerana tidak ada seorang pun sebelum beliau yang berbeza pendapat berkenaan nisab zakat iaitu 200 dirham bersamaan 140 mithqal. Mereka bersepakat bahawa 1 dirham bersamaan 7/10 mithqal iaitu setiap 7 mithqal bersamaan dengan 10 dirham. Oleh itu, kita perlu membahaskan ukuran dirham dan dinar yang disyariatkan dalam menentukan nisab zakat.
Perkara yang dapat memudahkan kita adalah jika diketahui ukuran salah satu daripada keduanya, maka ia membolehkan kita mengetahui ukuran yang lain kerana nisbah perbandingan antara dirham dan dinar sudah diketahui iaitu 7:10, maka 1 dirham sama dengan 0.7 mithgal.
Tetapi yang menyulitkan keadaan ialah pecahan-pecahan kecil yang mereka sebut sebagai bahagian dirham atau dinar merupakan sesuatu yang belum pasti. Perkara ini berlaku disebabkan oleh perbezaan daerah, waktu dan jenis masing-masing seperti kharrub, sya’ir (sejenis gandum), hintah (sejenis gandum), dan khardal (biji sawi). Saya telah membuat eksperimen berkenaan perkara ini dengan tukang permata di Kaherah lalu mendapati perbezaan pendapat yang ketara seperti berikut:
(A). Mereka menyebutkan 1 dirham bersamaan dengan 6 dawaniq. Ukuran dawaniq adalah bersamaan 2 1/3 biji kharrub. Oleh kerana itu, 1 dirham bersamaan dengan 16 biji kharrub. Maka bolehkah kita mengetahui timbangan sebiji kharrub?
Pendapat ini mendapat tentangan daripada sebahagian pengkaji kontemporari Islam yang mengkaji timbangan mata wang Islam. Menurut Dr. Abdul Rahman Fahmi; kurator Muzium Kesenian Islam di Kaherah, setelah melakukan ujian dan penelitian, beliau menyimpulkan dalam bukunya yang bertajuk Sanjus Sikkah fi Fajr al-Islam bahawa purata berat biji kharrub adalah 0.194 gram. Oleh yang demikian, 1 dirham bersamaan dengan 16 x 0.194 = 3.104 gram.
Ini bermakna, satu dirham syar’i hampir menyamai dirham ‘urfi, yang beratnya 0.016 gram lebih kecil daripadanya. Tetapi satu perkara yang mengaburi keputusan ini ialah hakikat bahawa penetapan nilai dirham bersamaan enam dawaniq, yang bersamaan dengan 16 qirath tidak dipersetujui oleh semua, sebagaimana penetapan nilai qirat juga diperselisihkan.
Ibn ‘Abidin menukil pandangan ulama mazhab Hanafi tentang ukuran dirham dan perbandingannya dengan dirham ‘urfi. Ada yang mengatakan dirham ‘urfi lebih besar dan ada yang mengatakan dirham ‘urfi lebih kecil. Perkara ini telah dinyatakan dalam kitab Sakb al-Anhar terdapat banyak pendapat tentang pembatasan qirath dan dirham sesuai dengan perbezaan istilah yang membawa kepada penetapan apa yang dimaksudkan dengan dirham secara pasti menurut syarak, dan saya telah mendengar banyak kekeliruan dalam perkara tersebut. (Lihat Radd al-Muhtar, 2/40)
(B). Sebahagian pengkaji telah mencapai kesimpulan yang sama melalui kaedah lain. Al- Maqrizi menyebutkan, orang Yunani kuno menentukan ukuran dirham dan dinar dengan timbangan biji sawi (khardal) sehingga tiada perbezaan di antara banyak tempat. Mereka mengukur dirham dengan 4200 biji sawi dan dinar dengan 6000 biji. Pada abad yang lalu, al-Dzahabi bermazhab Syafie telah menulis sebuah risalah berkaitan ukuran dirham, mithqal, rițl dan mikyal. Beliau menetapkan dirham yang beredar pada zaman itu adalah dirham syarie dengan cara pengujian menggunakan biji sawi, dan dengan penyesuaian dengan dirham Raja Qaitabay (dalam dirham terakhir ini terdapat tanda tangan raja). Belia berkata ritl Mesir = 144 dirham, ritl Baghdad = 128 4/7 dirham. Ini bermaksud dirham yang ada pada zaman sekarang dapat diketahui dengan pengiraan sedemikian. Jika ritl Mesir berharga 144 dirham, sedangkan dirham sama dengan 3.12 gram, maka beza antara timbangan ini dengan timbangan yang lalu adalah 0.016 gram. Perbezaan hanya dalam kuantiti yang kecil.
Menjadikan biji sawi sebagai panduan dalam menetapkan saiz dirham adalah tidak mencukupi kerana biji sawi tidak sama beratnya dan berbeza antara satu tempat dengan tempat yang lain. Situasi ini akan menimbulkan perbezaan sepertimana yang pernah dialami dalam kes berat biji kharrub. Begitu juga orang yang melihat pendapat Maqrizi akan memahami 1 dirham yang diukur sebesar 4200 biji sawi hanya tepat mengenai ukuran 1 dirham ritl tetapi belum tentu sama dengan 1 dirham wang dan lain-lain.
Oleh hal yang demikian, jelas terdapat pelbagai dirham dan mithqal yang tidak sama dengan 1 mata wang. Al-Maqrizi menukil pandangan Khattabi terdapat dirham lain sebagai alat ukur yang boleh digunakan dalam dunia Islam, yang mana perbandingannya ialah 7:10. (Lihat Khutat al-Taufiqiyyah, 20/33) Ali al-Mubarak pula mengatakan dirham yang beratnya 3.12 gram sangat banyak digunakan. Perkara ini berkemungkinan menjadi penyebab kepada perbezaan pandangan ulama dalam ukuran 1 dirham dan 1 mithgal.
Mengenai dirham Qaitabay yang disebut sebelum ini, maka kita tidak percaya dirham itu tidak boleh lebih besar atau lebih kecil beratnya, kerana kita jelas mengetahui sejarawan telah menegaskan tiada penetapan tetap kepada berat mata wang logam. Oleh kerana itu, apakah faktor untuk menetapkan dirham Qaitabay adalah dirham yang sah dan benar?
(C) . Pada masa kini, kaedah yang kita boleh gunakan untuk mengetahui berat 1 dirham dan 1 dinar hanya kaedah persejarahan iaitu memeriksa berat wang logam yang disimpan di muzium negara Arab dan di Barat, terutama mengenai kadar dinar dan mithqal. Dalam perkara ini, ahli sejarah mengatakan bahawa dinar dan dirham itu tidak berubah beratnya semasa zaman jahiliah mahupun pada zaman Islam. Kesimpulan ini dibuat apabila mereka mengukur 10 dirham sama dengan timbangan 7 mithqal, seolah- olah mithqal itu yang menjadi dasar ketentuan. Apabila kita sudah mengetahui berat 1 mithqal maka kita mampu mengetahui kadar nisab wang logam; emas dan perak.
Kaedah inilah yang digunakan oleh para pengkaji Eropah. Kaedah ini diikuti oleh seorang penyelidik Mesir iaitu Ali Pasha Mubarak dalam buku bertajuk al-Khutat al-Taufiqiyyah (terdapat dalam 20 jilid) yang membicarakan tentang mata wang logam. Setelah menelusuri mata wang logam Islam yang tersimpan di muzium- muzium London, Paris, Madrid dan Berlin, para pengkaji telah membuat kesimpulan bahawa 1 dinar (di Zaman Pemerintahan Khalifah Abdul Malik) beratnya adalah 4.25 gram. Kitab Da’irah al-Ma’arif al-Islamiah juga menyatakan berat yang sama dengan berat 1 dinar Byzantine. 346 Dengan demikian, berat 1 dirham bermaksud 4.25 x 7 = 2.975 gram. Perkara ini disokong oleh sebahagian pengkaji Arab kontemporari, 48 dan pendapat ini pula yang ditegaskan oleh orientalis bernama Zambawur dalam terjemahan kitab Daira al-Ma’arif al-Islamiah, jilid 1, entri “dirham’ dan “dinar.” Dalam entri “Dirham” beliau mengatakan: “Para sejarawan berbeza pendapat tentang berapakah berat 1 dirham yang sebenar. Walau bagaimanapun, mereka mempunyai pandangan yang sama mengenai perbandingan dirham dengan dinar iaitu nisbahnya 7:10. Apabila mithqal mempunyai banyak pengertian, maka kesimpulan itu tidak benar, kecuali apabila 1 mithqal sama beratnya dengan 1 dinar yang sah iaitu mithqal Mekah yang beratnya ialah 4.25 gram. Dalam hal ini kita membuat kesimpulan bahawa hipotesis yang lebih benar tentang berat 1 dirham adalah 2.97 gram. Berat ini bersamaan dengan wang logam yang ditempa pada zaman Khalifah al-Muqtadir (295-320 H/908-932 M) sebagaimana yang ditemukan oleh seseorang bernama Roger di al-Fayoum, Mesir.
Wujud kebarangkalian Khalifah Umar adalah orang pertama yang menetapkan timbangan rasmi bagi dirham iaitu sebanyak 2.97 gram. Khalifah Abdul Malik telah memerintahkan agar timbangan ini dijadikan cetakan perak yang sah.
Zambawur menyatakan dalam entri “Dinar”: Sejarawan bersepakat bahawa penambahbaikan yang dimasukkan oleh Khalifah Abdul Malik ke atas mata wang pada tahun 77 H tidak menyentuh timbangan mata wang emas, oleh kerana itu, kita masih boleh cuba menetapkan timbangan yang teliti dalam ukuran dinar. Pada masa yang sama ada bukti dinar ditimbang sama dengan 4.25 gram (66 biji). Perkara ini amat bersesuaian dengan timbangan yang dipakai oleh Souldairis (mata wang Byzantine) yang hidup satu zaman dengan Khalifah Abdul Malik. Kemudian, pada halaman 371 beliau menyatakan undang-undang masih memperuntukkan berat dinar rasmi adalah 4.25 gram (66 biji).
Kaedah ini diharapkan yang terbaik, dan kurang kebarangkalian berlaku kesalahan bagi mengetahui nilai dirham dan dinar syar’i. Ia juga merupakan kaedah yang paling hampir kepada metode saintifik kerana ia terbina di atas penelitian yang realistik terhadap pelbagai mata wang dalam sejarah, justeru menutup ruang-ruang sanggahan terhadap keabsahannya. Tambahan lagi, natijah aplikasi kaedah ini sedikit berbeza daripada kaedah- kaedah yang sebelumnya, kerana nilai dirham dan dinar di sini sedikit kurang. Namun, ia lebih selamat dalam bab zakat, dan lebih menjaga maslahah orang-orang fakir dan mereka yang memerlukan, yang ditetapkan hak mereka oleh Allah untuk menerima zakat.
Justeru, nisab perak dengan timbangan baru menjadi 200 x 2.975 = 595 gram manakala nisab emas adalah 20 x 4.25 85 gram. Maka sesiapa yang memiliki perak bersih seberat 595 gram, sama ada berbentuk wang atau jongkong, wajib ke atasnya zakat dengan kadar 2.5%, dengan mengambil kira nisab perak yang digunakan secara meluas. Perkara ini memerlukan penelitian, yang akan kami bawakan nanti.
Setelah kita mengetahui bahawa riyal Mesir menurut penyelarasan terkini seberat 14 gram, maka jumlah perak di dalamnya ialah 0.720″. Oleh itu, jumlah perak bersih di dalamnya pula ialah 10.08 gram. Berdasarkan pengiraan ini, nisab zakat wang perak berbentuk riyal Mesir adalah 595+10.08 59.02 riyal, iaitu bersamaan 1180.4 Qirsy.
Jika kita berpegang kepada mazhab Hanafi yang tidak mensyaratkan wang perak mesti bersih (tidak bercampur dengan unsur lain), dan menerimanya jika ia diguna pakai secara meluas seperti yang tulen, maka nisab riyal menjadi 595÷14= 42.5 riyal atau 850 qirsy.
Walau bagaimanapun, pendapat pertama ialah pendapat majoriti ulama, bersesuaian dengan zahir nas iaitu kiraan nisab ialah 200 dirham perak. Maka, kita mengetahui bahawa pendapat yang mengatakan nisab perak adalah 22.9/2 riyal Mesir atau 27 riyal seperti dalam mazhab Hanafi tidak sesuai mahupun menghampiri timbangan wang perak pada zaman kini, maka perlu diambil perhatian. Sandaran yang diambil kira di sini ialah timbangan, iaitu 595 gram berdasarkan timbangan yang kami tarjihkan.
Adapun nisab emas, maka ia tiada ketetapan lain pada masa kini selain beratnya, iaitu 85 gram, seperti yang kami tarjihkan. Hal ini disebabkan wang emas tidak lagi digunakan pada masa kini. Maka sesiapa yang memiliki emas sama ada dalam bentuk serbuk, jongkong atau wang yang mencapai 85g, wajib baginya mengeluarkan zakat dengan kadar 2.5%. (Lihat Fiqh al-Zakah, PPZ, 1/230 – 237)
Kami juga pernah menulis berkaitan isu Dinar dan Dirham dalam penulisan dengan tajuk Neraca Sukatan Islam. Antara lain, kami menyatakan:
Pertama: Nilai Dinar
Daripada Aisyah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
لا تُقْطَعُ يَدُ السّارِقِ إلّا في رُبْعِ دِينارٍ فَصاعِدًا
Maksudnya: “Tidaklah dipotong tangan pencuri itu kecuali pada nilai (yang dicuri) seperempat dinar ke atas.”
Riwayat Muslim (1684), al-Nasa’i (4954), Ibn Hibban (4464)
Ustaz Dr Ahmad al-Hasani, Profesor di Universiti Umm al-Qura telah menyebut dalam risalahnya berkenaan dengan taqdir atau nilai dinar dan dirham berasaskan gram. Beliau juga menyatakan di dunia sekarang, terdapat 33 jenis dinar dan 32 jenis dirham yang bertebaran di banyak tempat dan muzium-muzium. Hasilnya dari dapatan kajiannya beliau mendapati nilai beratnya berbeza. Bahawa Ali Basya Mubarak telah menimbangnya dan meletakkan berat timbangannya dalam kitab beliau.
Kaedah kiraan berdasarkan nilaian pertengahan di mana kadar zakat dan kharaj yang perlu dikeluarkan. Justeru, jadilah 1 dinar bersamaan 4.25 gram.
Dinar Islam adalah daripada emas yang menjadi mata wang yang telah ditempa. Ia telah digunakan oleh orang Islam yang asalnya daripada Rom Byzantine. Permulaan awal dinar yang ditempa sebagai mata wang adalah dengan perintah Abdul Malik bin Marwan pada zaman Umawiyah dan ia dicetak sehingga berakhirnya khilafah Uthmaniyyah pada tahun 1918. Nilai dinar ketika itu seberat 4.25 gram dan ia dikira berdasarkan dinar Islami dengan nisbah 24 karat emas.
Justeru, sebagai contoh, kalau dikira di Malaysia (hari ini 18.4.2023) dinilai sebanyak RM285.19 setiap gram. Justeru 1 dinar pada masa sekarang ialah 4.25 x 285.19 = RM 1212.0575 atau dalam bahasa mudah, RM 1212.
Hadis Nabi SAW yang menyatakan kadar kecurian melebihi satu perempat dinar bermakna RM 1212 ÷ 4 = RM 303. Ini bermakna, mereka yang mencuri dengan sengaja di tempat yang telah dijaga melebihi RM 303 barulah dikenakan hukuman had potong tangan.
Kedua: Nilai Dirham
Firman Allah SWT:
وَشَرَوْهُ بِثَمَنٍ بَخْسٍ دَرَاهِمَ مَعْدُودَةٍ وَكَانُوا فِيهِ مِنَ الزَّاهِدِينَ
Maksudnya: “Dan (setelah berlaku perundingan) mereka menjualnya dengan harga yang murah, iaitu beberapa dirham sahaja bilangannya; dan mereka adalah orang-orang yang tidak menghargainya.”
(Surah Yusuf: 20)
Daripada Abu Hurairah R.A, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:
تَعِسَ عَبْدُ الدِّينَارِ، وَعَبْدُ الدِّرْهَمِ.
Maksudnya: “Celakalah hamba dinar dan hamba dirham.”
Riwayat al-Bukhari (2887)
Ustaz Dr Ahmad al-Hasani, Profesor di Universiti Umm al-Qura telah menyebut dalam risalahnya berkenaan dengan taqdir atau nilai dinar dan dirham berasaskan gram. Beliau juga menyatakan di dunia sekarang, terdapat 33 jenis dinar dan 32 jenis dirham yang bertebaran di banyak tempat dan muzium-muzium. Hasilnya dari dapatan kajiannya beliau mendapati nilai beratnya berbeza. Bahawa Ali Basya Mubarak telah menimbangnya dan meletakkan berat timbangannya dalam kitab beliau.
Kaedah kiraan berdasarkan nilaian pertengahan di mana kadar zakat dan kharaj yang perlu dikeluarkan. Justeru, jadilah 1 dirham dengan nilai 2.975 gram. Dalam bahasa yang mudah, hampir 3 gram.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”