Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah seseorang yang rosak hidungnya boleh digantikan dengan emas khususnya bagi lelaki?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan hadith daripada Abu Musa al-Asy’ari, di mana Nabi SAW telah bersabda:

أُحِلَّ الذَّهَبُ وَالْحَرِيرُ لإِنَاثِ أُمَّتِي وَحُرِّمَ عَلَى ذُكُورِهَا

Maksudnya: “Telah dihalalkan emas dan sutera asli bagi perempuan dikalangan umatku dan diharamkan (keduanya) bagi lelaki.”

Riwayat al-Nasa’ie (5148)

Penggunaan emas untuk tujuan perhiasan adalah harus bagi kaum wanita dan  haram bagi kaum lelaki. Wanita dibenarkan memakai emas kerana keperluan wanita  berhias dan mencantikkan diri di hadapan suami. (Lihat Subul al-Salam, 1/460; Syarah al-Muharrar fi al-Hadith, 20/49)

Dalam sebuah hadith lain, daripada Saidina Ali bin Abi Talib RA, katanya:

إِنَّ نَبِيَّ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَخَذَ حَرِيرًا فَجَعَلَهُ فِي يَمِينِهِ، وَأَخَذَ ذَهَبًا فَجَعَلَهُ فِي شِمَالِهِ، ثُمَّ قَالَ: إِنَّ هَذَيْنِ حَرَامٌ عَلَى ذُكُورِ أُمَّتِي

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW mengambil sutera dan memegangnya dengan tangan kanannya, dan emas di tangan kirinya, kemudian bersabda: Sesungguhnya dua benda ini haram ke atas umatku yang lelaki.”

Riwayat Ahmad (935)

Berkenaan dengan hikmah keharusan bagi wanita memakai emas dan sutera, kami nukilkan pandangan Dr Yusuf al-Qaradhawi: “Kerana adanya pengecualian hukum bagi kaum wanita, iaitu dibolehkan bagi kaum wanita memakai emas dan sutera untuk menjaga perasaan wanita dan tuntutan kewanitaannya dengan sifat atau fitrah semulajadi kaum wanita itu suka serta cenderung untuk menghias diri. Kecenderungan untuk bermewah atau menghias diri itu tidaklah bertujuan untuk menggoda kaum lelaki serta menaikkan semangat nafsu syahwatnya.” (Lihat Halal dan Haram dalam Islam, hlm. 151)

Dalam riwayat lain, Rasulullah SAW bersabda:

أُحِلَّ لِإِنَاثِ أُمَّتِي، وَحُرِّمَ عَلَى ذُكُورِهَا

Maksudnya: “Halal bagi umatku yang perempuan, dan haram bagi kaum lelaki dalam umatku.”

Riwayat Ahmad (19502)

Al-Syaukani berkata: Hadis ini merupakan dalil yang digunakan jumhur ulama yang berpendapat bahawa sutera dan emas haram bagi lelaki dan harus bagi wanita. (Lihat Nail al-Autar, 2/98)

Dalam menjawab persoalan di atas, Syeikh Dr. Yusuf al-Qardhawi menyebut: Emas diharamkan bagi lelaki melainkan dalam keadaan terpaksa (darurat) seperti menggantikan hidung bagi orang yang terpotong hidungnya berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abdul Rahman bin Tharfah:

أَنَّ جَدَّهُ، عَرْفَجَةَ بْنَ أَسْعَدَ قُطِعَ أَنْفُهُ يَوْمَ الْكُلاَبِ فَاتَّخَذَ أَنْفًا مِنْ وَرِقٍ فَأَنْتَنَ عَلَيْهِ فَأَمَرَهُ النَّبِيُّ صَلّى اللهُ عليه وسلَّمَ فَاتَّخَذَ أَنْفًا مِنْ ذَهَبٍ

Maksudnya: “Bahawa datuknya, Arfajah bin As’ad telah kehilangan hidung akibat terputus semasa perang Kilab. Lalu dia menggantikannya dengan perak tetapi keadaan hidung tersebut membusuk. Lalu Nabi SAW memerintahkan agar ia menggantikannya dengan emas.”

Riwayat Abu Dawud (4232)

Al-Khattabi berkata: Hadis ini menunjukkan keharusan menggunakan sedikit emas bagi lelaki ketika keadaan darurat, dan tidak ada bahan lain yang boleh menggantikannya. (Lihat Ma’alim al-Sunan, 4/215)

Ibn Qutaibah dalam Gharib al-Hadith (1/281) berkata: Abdul Rahman bin Tarafah meriwayatkan bahawa ‘Arfajah pernah mengalami kecederaan pada hidungnya, dan dalam riwayat itu disebutlah tentang istilah al-wariq (الوَرِق) (perak) dengan sebutan huruf ra’ berbaris bawah (kasrah), manakala al-waraq (الوَرَق) dengan ra berbaris atas (fathah) bermaksud harta daripada kambing dan unta.

Yazid bin ‘Amr berkata kepadaku, “Aku telah berbincang dengan al-Asma‘i mengenai hadis ini. Beliau menyatakan bahawa ‘Arfajah sebenarnya membuat hidung daripada al-waraq dan ia kemudiannya menjadi busuk. Adapun perak (الوَرِق) pada kedudukannya sama seperti emas, yang tidak boleh busuk.”

Syeikh Muhammad bin ‘Ali bin Adam al-Ithyubi berkata: Melalui hadis ini, sebahagian besar ulama membenarkan penggunaan hidung palsu yang diperbuat daripada emas, dan mengikat gigi menggunakan bahan emas juga.” Demikian kata al-Sindi. (Lihat Dzakhirah al-’Uqba fi Syarh al-Mujtaba, 38/236)

‘Allamah Badr al-Din al-’Aini berkata: Rasulullah SAW telah membenarkan ‘Arfajah bin As’ad untuk menggunakan hidung palsu daripada emas dengan syarat ia tidak berbau busuk seperti hidung palsu daripada perak.

Oleh itu, apabila emas dibenarkan bagi hidung, perkara yang sama boleh diaplikasikan pada gigi; tidak menjadi masalah untuk menampal gigi dengan emas asalkan ia tidak menimbulkan bau busuk.

Bau busuk daripada perak telah menjadi sebab yang membolehkan penggunaan emas, seperti mana bau busuk pada hidung palsu perak turut membolehkan ia digantikan dengan emas. Inilah hujah yang digunakan. (Lihat Nukhab al-Afkar fi Tanqih Mabani al-Akhbar fi Syarh Ma’ani al-Athar, 13/333)

Aku percaya bahawa al-Asma‘i sebenarnya merujuk al-waraq (الورَق) kepada helaian kertas yang digunakan untuk menulis. Pada awalnya, aku menyangka pandangan al-Asma‘i yang mengatakan perak tidak busuk dan setara dengan emas adalah benar.

Namun kemudian, beberapa pakar memaklumkan kepadaku bahawa emas tidak akan rosak oleh tanah, tidak berkarat oleh kelembapan, tidak berkurang oleh bumi, tidak terbakar oleh api, dan tidak berubah baunya meskipun digosok. Ia adalah bahan yang paling ringan dalam bentuk tetapi paling berat dalam timbangan.

Mereka juga menjelaskan bahawa perak boleh berkarat, menjadi busuk, dan akan musnah apabila berada dalam lumpur yang basah. (Lihat Gharib al-Hadith oleh Ibn Qutaibah, 1/281)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

 

Leave a Reply