Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, Sejauh manakah kebenaran pandangan yang menyatakan bahawa kejadian gempa bumi atau bencana alam di muka bumi merupakan tanda kemurkaan Allah SWT ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَاتَّقُوا فِتْنَةً لَّا تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنكُمْ خَاصَّةً ۖ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Maksudnya: “Peliharalah diri kamu daripada azab yang bukan sahaja menimpa sesiapa yang melakukan kezaliman dalam kalangan kamu secara khusus, bahkan ia akan menimpa kamu kesemuanya. Dan ketahuilah bahawa Allah amat berat balasan seksa-Nya.”

(Surah al-Anfal: 25)

Ibn Kathir ketika menafsirkan perkataan ‘fitnah’ dalam ayat ini menyebutkan, ia bermaksud ujian dan bala. Dalam erti kata lain, Allah SWT memperingatkan para hamba-Nya yang beriman tentang adanya ujian dan bala yang akan menimpa orang yang melakukan kejahatan dan orang selain mereka — yakni yang tidak melakukan kejahatan. Ia tidak hanya khusus tertimpa kepada pelaku maksiat, juga bukan hanya menimpa orang yang secara langsung melakukan dosa, akan tetapi turut menimpa kedua-duanya — yakni orang yang melakukan dosa dan yang tidak melakukan dosa — sekiranya ujian dan bala itu tidak ditolak dan diangkat. (Lihat Lihat Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir oleh al-Sabuni, 2/96 )

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa gempa bumi digambarkan bukan sekadar fenomena alam, tetapi sebagai peringatan dan tanda kebesaran Allah yang mungkin membawa mesej tertentu. Gempa bumi serta fenomena seperti gerhana dianggap sebagai antara tanda-tanda yang boleh membangkitkan kesedaran manusia tentang kekuasaan dan hikmah Allah SWT. Perspektif ini mengajak manusia merenung setiap kejadian sebagai suatu yang penuh dengan hikmah dan pengajaran Allah SWT berfirman:

وَهُوَ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ بِالْحَقِّ ۖ وَيَوْمَ يَقُولُ كُن فَيَكُونُ ۚ قَوْلُهُ الْحَقُّ ۚ وَلَهُ الْمُلْكُ يَوْمَ يُنفَخُ فِي الصُّورِ ۚ عَالِمُ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ ۚ وَهُوَ الْحَكِيمُ الْخَبِيرُ

Maksudnya: “Dan Dia lah yang menciptakan langit dan bumi dengan (tujuan) yang benar, dan (Dia lah juga) pada masa (hendak menjadikan sesuatu) berfirman: “Jadilah”, lalu terjadilah ia. FirmanNya itu adalah benar. Dan bagiNyalah kuasa pemerintahan pada hari ditiupkan sangkakala. Ia yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, dan Dia lah Yang Maha Bijaksana, lagi Maha mendalam pengetahuanNya.”

(Surah al-’An‘am: 73)

Al-Nasafi menyatakan: maknanya ialah Dia menciptakan langit dan bumi dengan kebenaran dan hikmah. Maka, apabila Dia berfirman kepada sesuatu perkara: ‘Jadilah!’ maka terjadilah ia. (قَوْلُهُ الْحَقُّ) bermaksud bahawa setiap penciptaan itu berlaku dengan kebenaran dan hikmah. Tiada satu pun yang wujud dalam langit, bumi, dan seluruh makhluk kecuali dengan hikmah yang tepat dan sesuai… (وَهُوَ الْحَكِيمُ) yakni, Dia Maha Bijaksana dalam perkara yang berkaitan dengan kemusnahan dan kebangkitan, (الْخَبِيرُ) yang Maha Mengetahui segala perhitungan dan balasan. (Lihat Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Takwil, 5/515)

Tidak dapat dinafikan bahawa setiap kejadian di muka bumi ini adalah dalam pengetahuan Allah SWT, dan hal ini juga dianggap sebagai tanda kemurkaan serta peringatan daripada Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya yang melakukan kerosakan di atas muka bumi. Yang demikian sebagaimana yang dinyatakan dalam firman-Nya:

ظَهَرَ ٱلْفَسَادُ فِى ٱلْبَرِّ وَٱلْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِى ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ ٱلَّذِى عَمِلُوا۟ لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

Maksudnya: “Telah nyata kerosakan dan malapetaka di daratan dan lautan disebabkan apa yang dilakukan oleh tangan-tangan manusia kerana Allah hendak mereka dapat merasai sebahagian daripada apa yang telah mereka lakukan supaya mereka kembali insaf.”

(Surah al-Rum: 41)

Ibn Juzai menyatakan bahawa: Maka zahirnya kerosakan di darat adalah dengan kemarau, huru-hara, dan hal-hal seumpamanya; dan zahirnya kerosakan di laut dengan tenggelamnya kapal-kapal, berkurangnya hasil tangkapan ikan, kemerosotan perdagangan, serta hal-hal seumpamanya. Semua itu disebabkan oleh perbuatan manusia yang terdiri daripada kekufuran dan kedurhakaan mereka. (Lihat al-Tashil li  ‘Ulum al-Tanzil, 2/134)

Justeru, kerosakan yang berlaku di daratan dan lautan seperti fenomena alam seringkali dikaitkan dengan kesan daripada perbuatan manusia yang melampaui batas, dan ini menjadi peringatan agar mereka kembali ke jalan yang benar. Fenomena ini harus dijadikan renungan untuk menilai diri dan sebagai dorongan untuk memperbaiki hubungan dengan Allah serta menjalani kehidupan yang lebih berlandaskan nilai-nilai yang diredhai-Nya.

Sebahagian ulama’ menganggap jika sekiranya bencana berlaku selepas derhaka dan maksiat kepada Tuhan, maka ia boleh jadi termasuk di kalangan hukuman dan azab Tuhan, kerana nas ada yang menyokong hal tersebut.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا ظُلْمًا كَثِيرًا، ولَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إلَّا أنْتَ، فَاغْفِرْ لَنَا مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنَا، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: “Ya Allah! Sungguh kami telah menzalimi diri kami dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka ampunilah kami dengan suatu pengampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah kami. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Wallahu a‘lam

 

Leave a Reply