Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Di sini timbul persoalan, adakah semua dosa akan diphpauskan sama ada besar atau kecil da juga kezliman kepada manusia?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Menjawab persoalan di atas, kami kemukakan hadis Nabi SAW yang terkait dengan haji:
مَنْ حَجَّ لِلَّهِ فَلَمْ يَرْفُثْ وَلَمْ يَفْسُقْ رَجَعَ كَيَوْمِ وَلَدَتْهُ أُمُّهُ
Maksudnya: “Sesiapa yang menunaikan haji kepada Allah tanpa mencampurnya dengan perkataan kotor dan perbuatan fasik, nescaya dia akan kembali dalam keadaan bersih daripada dosa-dosanya sepertimana ketika dia baru sahaja dilahirkan.”
Riwayat al-Bukhari (1521), Muslim (1350), al-Tirmizi (811) al-Nasa’ie (2627), Ibn Majah (2889) dan Ahmad (9311)
Al-’Aini berkata: Sabda Nabi: “Dia kembali seperti pada hari dia dilahirkan oleh ibunya.” Maksudnya: Dia kembali dalam keadaan tanpa dosa, seakan-akan dirinya pada hari dilahirkan oleh ibunya. (Lihat ‘Umdah al-Qari, 9/136)
Para ulama’ telah khilaf maksud bersih dariapda dosa tersebut kepada dua pendapat:
Pertama: Ia hanya dihapuskan yang terkait dengan Allah semata-mata tetapi tidak dengan manusia, kerana apabila berkaitan dengan manusia, dia perlu bertaubat dan memohon keampunan serta kemaafan.
Kedua: Allah menghapuskan semua dosa-dosanya kerana Allah Maha Pengampun, dan perkara ini menjadi perbahasan ulama, tetapi tidak mustahil bagi Allah kerana umum hadis yang dinyatakan di atas.
Walaupun begitu, kami berpendapat alangkah baiknya kita juga memohon ampun dan maaf kepada orang yang kita zalimi di samping memohon keampunan daripada Allah bagi pihak mereka.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا ۚ أَنتَ مَوْلَانَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.”