Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah dalil-dalil daripada hadith atau al-Quran yang menunjukkan amalan memberi salam kepada kanak-kanak sebagai sunnah yang dianjurkan? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
فَإِذَا دَخَلْتُم بُيُوتًا فَسَلِّمُوا عَلَىٰ أَنفُسِكُمْ تَحِيَّةً مِّنْ عِندِ اللَّـهِ مُبَارَكَةً طَيِّبَةً
Maksudnya: “Maka apabila kamu masuk ke mana-mana rumah, hendaklah kamu memberi salam kepada (sesiapa yang seperti) kamu dengan memohon kepada Allah cara hidup yang berkat lagi baik.”
( Surah al-Nur: 61)
Ayat di atas menjelaskan, apabila kamu memasuki sebuah rumah, tidak kira rumah tersebut berpenghuni ataupun tidak, maka sebahagian daripada kamu berilah salam kepada sebahagian yang lain dengan lafaz “السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ atau “السَّلَامُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللهِ الصَّالِحِينَ” sekiranya tiada seorang pun di dalam rumah itu. Ucapan salam ini telah disyariatkan oleh Allah SWT dan ia merupakan ucapan yang diberkati, yang menumbuhkan rasa kasih sayang dan cinta. Apatah lagi, ia disukai oleh orang yang mendengar. (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 358)
Bukan itu sahaja, malah Ibn Juzai al-Kalbi menyebutkan, terdapat dalam kalangan ulama yang berpendapat ia tidak terhad hanya kepada rumah-rumah atau kediaman tetapi juga masjid-masjid. Kita diperintahkan untuk memberi salam kepada sesiapa yang ada di dalamnya. Sekiranya tiada sesiapa di dalamnya, berilah salam kepada Nabi SAW, para malaikat dan hamba-hamba Allah yang soleh. ( Lihat Tafsir Ibn Juzai, 2/76)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa ucapan salam merupakan ucapan sejahtera dan selamat bertujuan memberi penghormatan sesama saudara muslim. Kebiasaan lafaz yang digunakan seperti assalamualaikum, salam sejahtera dan ucapan selamat yang lain. Firman Allah SWT:
وَإِذَا حُيِّيتُم بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّوا بِأَحْسَنَ مِنْهَا أَوْ رُدُّوهَا ۗ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ حَسِيبًا
Maksudnya: “Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu.”
(Surah al-Nisa’: 86)
Dalam menafsirkan ayat di atas, Syeikh al-Sa’di menyatakan di dalam kitabnya: Ucapan salam merupakan lafaz yang diucapkan dan dijawab kepada seseorang untuk memuliakan dan mendoakan kebaikannya. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, 1/191)
Memberi salam bukanlah amalan yang terbatas kepada golongan tertentu sahaja, malah ia dianjurkan untuk semua, sama ada orang dewasa mahupun kanak-kanak. Amalan memberi salam ini mampu mengeratkan kasih sayang serta memperkukuhkan silaturahim dalam kalangan umat Islam.
Berkaitan persoalan di atas terdapat sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik bahawa:
أنَّهُ مَرَّ على صِبْيانٍ فَسَلَّمَ عليهم وقالَ: كانَ النبيُّ ﷺ يَفْعَلُهُ.
Maksudnya: “Dia pernah melewati sekumpulan kanak-kanak, lalu memberi salam kepada mereka dan berkata, Nabi SAW melakukan perkara ini.”
Riwayat al-Bukhari (6247) dan Muslim (2168)
Dinyatakan dalam Syarh Riyadh al-Salihin (11/46) bahawa: Nabi SAW memberi salam kepada orang dewasa dan juga kanak-kanak, dan apabila Baginda melewati sesiapa sahaja, Baginda akan memberi salam kepadanya. Baginda SAW memerintahkan kami untuk berbuat demikian dan bersabda:
أَلَا أَدُلُّكُمْ عَلَى شَيْءٍ إِذَا فَعَلْتُمُوهُ تَحَابَبْتُمْ؟ أَفْشُوا السَّلَامَ بَيْنَكُم
Maksudnya: “Mahukah aku tunjukkan kepada kamu sesuatu yang jika kamu melakukannya, kamu akan saling mencintai? Sebarkanlah salam di antara kamu.”
Riwayat Abu Dawud (5193) dan Tirmizi (2688)
ِAntara hikmah dan pengajaran dalam memberi salam kepada kanak-kanak adalah sebagai latihan bagi mereka dalam mempelajari sunnah serta pembiasaan mereka terhadap adab-adab syariat, agar apabila mereka mencapai usia taklif (kewajipan), mereka telah berakhlak dengan adab Islam. Nabi SAW juga bergurau dan bermain dengan mereka agar menjadi teladan dalam hal ini. Tidaklah Baginda melakukan sesuatu, walaupun kecil, melainkan untuk menetapkan sunnah bagi umatnya agar mereka mengikuti jejaknya. Bergurau dengan mereka juga mendidik jiwa untuk bersikap rendah hati dan menjauhi sifat sombong. (Lihat al-Taudih li Syarh al-Jami’ al-Sahih, 29/66)
Sebagai kesimpulannya, amalan memberi salam kepada kanak-kanak membawa pelbagai faedah yang mendalam dalam membentuk akhlak mereka sejak usia muda. Selain menzahirkan penghormatan dan kasih sayang, amalan ini turut menjadi latihan bagi kanak-kanak untuk mempelajari sunnah dan berakhlak dengan adab Islam. Dengan memberi salam, kita bukan sahaja mengeratkan silaturahim tetapi juga memupuk rasa rendah hati serta menghormati sesama Muslim, tanpa memandang perbezaan usia. Seperti yang dicontohkan oleh Nabi SAW, memberi salam kepada kanak-kanak adalah suatu cara untuk membimbing mereka mengenali amalan Islam yang mulia, menjadikan mereka lebih bersedia mengamalkannya apabila mencapai usia dewasa.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
(Surah al-Furqan: 74)
Wallahu‘Alam