Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah haram jika saya tetap menggunakan kaedah menangkap ikan dengan menggunakan renjatan elektrik, meskipun mengetahui ia dilarang oleh pihak berkuasa? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ مَتَاعًا لَّكُمْ وَلِلسَّيَّارَةِ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut, sebagai bekalan bagi kamu (untuk dinikmati kelazatannya) dan juga bagi orang-orang yang dalam pelayaran.”

(Surah al-Ma’idah: 96)

Secara umumnya, seseorang yang memburu haiwan bagi mendapatkan manfaat daripada haiwan buruan tersebut, sama ada untuk dimakan, dijual, disedekahkan kepada mereka yang memerlukan, diberikan sebagai hadiah kepada rakan-rakan dan kaum kerabat atau lain-lain perkara yang termasuk dalam jenis-jenis manfaat yang dapat diperoleh daripadanya. Dalam hal ini, hukumnya adalah dibolehkan mengikut ijma‘ ulama. Terdapat kaedah yang dinyatakan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (28/114) bahawa:

الأصْل فِي الصَّيْدِ الإبَاحَةُ، إِلاَّ لِمُحْرِمٍ أَوْ فِي الْحَرَمِ، يَدُل عَلَيْهَا الْكِتَابُ وَالسُّنَّةُ وَالإجْمَاعُ، وَالْمَعْقُول

Maksudnya: “Hukum asal bagi memburu (haiwan darat) adalah diharuskan melainkan bagi orang yang sedang dalam ihram atau di tanah haram seperti yang terdapat di dalam Kitab, Sunnah, Ijma‘ dan Qias.

Berkenaan hal ini juga, Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin ada menyebutkan, tidak ada syak lagi mengenai keharusannya, dan itulah yang dihalalkan oleh Allah ‘Azza wa Jalla dalam kitab-Nya dan sabit dalam Sunnah Nabi SAW, serta telah disepakati oleh kaum Muslimin. (Lihat al-Syarh al-Mumti‘, 15/98).

Demikianlah juga, diharuskan untuk memburu dan menangkap haiwan laut seperti ikan. irman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ

Maksudnya:Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut.

(Surah al-Ma’idah: 96)

Syeikh al-Sa‘di menyebutkan, tatkala haiwan buruan itu merangkumi haiwan buruan darat dan lautan, Allah SWT telah mengecualikan bagi kamu — dalam keadaan kamu sedang berihram — haiwan buruan laut iaitu haiwan laut yang hidup dan makanan yang didapati dari laut iaitu haiwan laut yang sudah mati. Justeru, perkara itu menunjukkan bahawa bangkai haiwan laut adalah halal. Selain itu, faedah kehalalannya itu adalah bertujuan supaya kamu memanfaatkannya dan begitu juga temanmu yang bersama kamu dalam perjalanan turut memanfaatkannya. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/244.)

Seterusnya, majoriti ulama mengharuskan memakan bangkai ikan atau hidupan laut atau sungai, sama ada ia mati dengan sendirinya atau mati dengan sebab diburu dan ditangkap. Ini kerana bangkai ikan itu sendiri dihukumkan sebagai suci dan halal dimakan. Justeru, ia adalah halal dimakan tidak kira bagaimanapun cara ia mati atau dimatikan.

Ini adalah sebagaimana dinyatakan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya bahawa menurut kami (mazhab Syafi‘i), setiap bangkai hidupan laut adalah halal untuk dimakan, kecuali katak. Tidak kira ia mati bersebab ataupun tidak (iaitu mati dengan sendirinya). Ini juga adalah pendapat Imam Malik, Ahmad, dan Abu Daud. Al-Khattabi turut menukilkannya daripada Abu Bakar al-Siddiq, Abu Ayyub al-Ansari, ‘Ata’ bin Abu Rabah, Makhul, al-Nakha‘i, dan Abu Thaur R.Anhum. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/33).

Kemudian, dalam menjawab soalan di atas, terdapat pelbagai cara boleh dilakukan bagi menangkap ikan seperti menjala, memancing, menyelam dengan tombak (spearfishing) dan salah satunya juga adalah dengan menggunakan alat renjatan elektrik.

Alat renjatan elektrik untuk menangkap ikan, atau dikenali sebagai electric fish shocker atau electric fish stun device, adalah peralatan yang menggunakan arus elektrik untuk mengalirkan kejutan ke dalam air bagi mengawal pergerakan ikan, memudahkan proses tangkapan tanpa mencederakan ikan secara kekal. Dalam kaedah ini, dua elektrod dimasukkan ke dalam air – anod (anode) dan katod (cathode) – yang menghasilkan arus apabila peranti diaktifkan. Arus ini mengalir melalui air dan menarik ikan ke arah anod, di mana ikan terkejut atau “terhenti” buat seketika. Kesan renjatan bergantung kepada faktor seperti kekonduksian air, voltan, frekuensi, dan tempoh arus, yang memerlukan pelarasan bagi memastikan keselamatan ikan serta efikasi operasi penangkapan.

Peralatan ini sering digunakan dalam bidang penyelidikan untuk menangkap dan mengkaji ikan tanpa mencederakan mereka secara kekal. Ia direka khas agar frekuensi dan intensiti renjatan boleh dikawal berdasarkan tahap kekonduksian air, yang berbeza mengikut kawasan dan kandungan mineral di dalamnya. Sebagai contoh, pada air dengan kekonduksian rendah, voltan perlu ditingkatkan, manakala pada air dengan kekonduksian tinggi, voltan dapat dikurangkan untuk mengelakkan arus yang berlebihan yang boleh menyebabkan kecederaan pada ikan dan kerosakan pada peralatan. Kaedah ini dianggap mesra alam apabila dilakukan dengan cara yang betul kerana ikan dapat pulih sepenuhnya selepas renjatan.[1]

Penggunaan alat renjatan elektrik untuk menangkap ikan menimbulkan beberapa kebimbangan terhadap alam sekitar dan keselamatan. Kajian menunjukkan bahawa arus elektrik boleh mencederakan pelbagai spesies dasar laut, termasuk invertebrata, dan menyebabkan kecederaan serius kepada ikan, seperti kerosakan tulang belakang. Penggunaan elektrik dalam habitat air cetek atau kawasan kaya dengan biodiversiti boleh mengakibatkan kerosakan habitat yang meluas, mengurangkan keupayaan spesies untuk pulih secara semula jadi.

Risiko utama ialah potensi kerosakan yang besar pada ekosistem dasar laut apabila kaedah ini digunakan secara meluas atau tidak terkawal. Contohnya, laporan dari kajian di Laut Utara menunjukkan bahawa renjatan elektrik dapat menyebabkan “penggurunan laut,” di mana habitat tertentu rosak teruk sehingga menghalang pembiakan semula jadi dan menjejaskan kestabilan komuniti spesies. Kesannya boleh mengurangkan biodiversiti, khususnya di kawasan yang terjejas oleh renjatan berulang, yang seterusnya menimbulkan cabaran kepada kelestarian jangka panjang ekosistem marin​.[2]

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa penggunaan alat renjatan elektrik bagi tujuan menangkap ikan secara meluas tanpa terkawal dan bukannya bertujuan untuk penyelidikan (dengan mendapat kebenaran pihak berkuasa) adalah tidak dibolehkan dan haram.

Ini kerana selain penggunaan alat ini mendedahkan diri penggunanya kepada bahaya (berkemungkinan terkena renjatan elektrik), namun cara penangkapan ini juga boleh menyebabkan banyak kerosakan seperti merosakan ekosistem kehidupan laut serta boleh menyebabkan kepupusan sebagaimana yang kami sudah jelaskan di atas. Islam melarang umatnya untuk melakukan kemudharatan ke atas dirinya atau diri orang lain. Ini bertepatan dengan kaedah yang bersandarkan kepada hadith yang diriwayatkan oleh Abu Sa‘id al-Khudri R.A, bahawa Baginda bersabda:

لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ

Maksudnya: “Tidak ada mudharat dan tidak juga membalas kemudharatan.”

Riwayat Ahmad (22778) dan Ibn Majah (2340)

Syeikh Dr. Ya‘qub al-Bahasin membawakan kefahaman secara umum tentang kaedah ini, bahawa diharamkan untuk mendatangkan kemudharatan kepada orang Islam, meskipun secara fizikal atau emosi, dan sama ada pada agamanya, dirinya, akalnya, hartanya, atau keturunannya. (Lihat al-Mufassal fi al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah, hlm. 333).

Lebih-lebih lagi, kerajaan Malaysia turut melarang penggunaan alat renjatan elektrik bagi tujuan penangkapan ikan dan termasuk di antara kesalahan yang dinyatakan dalam Akta Perikanan 1985 (Akta 317) dan boleh diambil tindakan serta dikenakan denda atau kompaun bagi mereka yang melanggarnya. Dinyatakan dalam Bahagian VI (kesalahan-kesalahan), Seksyen 26:

(1) Mana-mana orang yang

(a) menggunakan atau cuba menggunakan apa-apa bahan letupan, racun atau pencemar, atau apa apa perkakas yang menggunakan arus elektrik, atau apa-apa alat yang dilarang, bagi maksud membunuh, melali, mencacatkan atau menangkap ikan, atau dengan apa jua cara lain menyebabkan ikan itu lebih senang ditangkap;

(b) membawa atau mempunyai dalam miliknya atau di bawah kawalannya apa-apa bahan letupan, racun atau pencemar, atau apa-apa perkakas yang menggunakan anus elektrik, atau apa-apa alat yang dilarang, dengan tujuan hendak menggunakan bahan letupan, racun atau pencemar, atau perkakas, atau alat yang dilarang itu, bagi apa-apa maksud yang tersebut dalam perenggan (a); atau

(c) mengetahui atau mempunyai sebab yang munasabah bagi mempercayai bahawa mana-mana ikan adalah spesies yang dilarang atau telah ditangkap dengan melanggar peruntukan peruntukan Akta ini, menerima atau didapati memiliki ikan itu. adalah bersalah melakukan suatu kesalahan.

(2) Apa-apa bahan letupan, racun atau pencemar, perkakas atau alat yang tersebut dalam subseksyen (1) yang dijumpai dalam milik atau di bawah kawalan mana-mana orang hendaklah dianggap sebagai dicadang untuk digunakan bagi apa-apa maksud yang tersebut dalam subseksyen (1) (a) melainkan jika dibuktikan sebaliknya.[3]

Maka, kita sebagai rakyat hendaklah mematuhi undang-undang tersebut. Ini kerana syarak telah menetapkan bahawa wajib untuk mentaati pihak berkuasa (pemerintah) dan mematuhi undang-undang yang dikeluarkan oleh mereka, selagi mana undang-undang tersebut tidak mengandungi perkara yang diharamkan secara ijma‘. Allah ‘Azza wa Jalla mewajibkan ketaatan kepada pihak pemerintah melalui firman-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.

(Surah al-Nisa’: 59)

Syeikh Mutawalli al-Sya‘rawi suruhan taat kepada pemerintah disertakan dengan ketaatan kepada Allah dan juga ketaatan kepada Rasulullah SAW. Hal ini menunjukkan bahawa ketaatan kepada pemerintah perlulah pemerintah itu didasari dengan ketaatan kepada Allah dan Rasulullah SAW supaya dengan itu masyarakat akan terpelihara dengan keimanan dan daripada penindasan terhadap rakyat di bawahnya.

Justeru itu, setiap pemerintah itu dituntut untuk menunaikan amanah dengan sempurna dan setiap pemerintah itu juga dituntut agar mereka sentiasa mentaati Allah dan Rasul-Nya. Sekiranya ini tidak berlaku, maka mereka itu akan digelar sebagai pemerintah yang zalim. (Lihat Tafsir al-Sya‘rawi, 4/2360).

Tambahan lagi, terdapat riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ حَقٌّ مَا لَمْ يُؤْمَرْ بِالْمَعْصِيَةِ، فَإِذَا أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ، فَلاَ سَمْعَ وَلاَ طَاعَةَ

Maksudnya: “Mendengar dan taat adalah wajib selama mana tidak diperintah untuk melakukan maksiat. Apabila diperintahkan untuk melakukan maksiat maka tidak ada (kewajipan) lagi untuk mendengar dan taat.

Riwayat al-Bukhari (2955) dan Muslim (1839)

Demikianlah juga terdapat banyak lagi dalil yang menyokong hal ini, dan telah terjadinya ijma‘ bahawa wajib mentaati pihak berkuasa (ulil amri) daripada kalangan pemerintah dalam perkara yang tidak bercanggah dengan syariat Islam.

Pemerintah berhak untuk menggubal undang-undang yang dilihatnya memenuhi kepentingan rakyat, kerana tindakan seorang pemimpin terhadap rakyatnya mestilah berasaskan kepada kemaslahatan. Ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang masyhur:

تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ

Maksudnya: “Polisi pemerintah itu hendaklah berasaskan maslahah terhadap rakyat.”

Manakala kewajipan rakyat pula adalah memberikan ketaatan dan sokongan kepadanya. Sesiapa yang memasuki sesebuah negara, hendaklah dia mematuhi undang-undangnya, dan haram baginya untuk melanggarnya. Kerajaan-kerajaan tersebut tidak menetapkan peraturan dan undang-undang serta melarang perkara-perkara selainnya melainkan kerana maslahat yang mereka anggap penting seperti memelihara kehidupan manusia dan alam sekitar. Apatah lagi, perbuatan seperti itu merugikan mereka dalam jangka panjang selain boleh merosakkan alam sekitar terutama ekosistem kehidupan laut.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

 

Nota hujung:

[1] Lihat https://www.smith-root.com/images/smith-root/downloads/00261_quick_start_guide_to_electrofishing.pdf. Diakses pada 4 November 2024; Lihat juga https://thefisheriesblog.com/2019/09/23/electrofishing-simplified-explanation-of-voltage-current-power-and-conductivity/. Diakses pada 4 November 2024.

[2] Lihat https://edepot.wur.nl/405708. Diakses pada 4 November 2024; lihat juga https://www.europeaninterest.eu/eu-reinstate-ban-destructive-electric-pulse-fishing/. Diakses pada 4 November 2024.

[3] Lihat https://www.ikantengas.org/akta-perikanan-1985/. Diakses pada 25 Ogos 2023.

Leave a Reply