Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya telah berpisah dengan bekas suami hampir 3 tahun lepas. Kami dikurniakan seorang anak lelaki berumur 3 tahun. Suami tidak pernah berjumpa dan memberi nafkah kepada anak selepas penceraian berlaku. Saya tiada halangan sekiranya bekas suami ingin bertemu dengan anaknya. Namun saya berasa berat hati untuk membuat tuntutan di mahkamah kerana saya sudah tidak mahu berurusan dengannya lagi dan saya mampu menanggung perbelanjaan anak saya. Persoalan saya sekarang adakah saya juga berdosa sekiranya saya tidak membuat tuntutan nafkah bagi pihak anak?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Nafkah dari segi bahasa ialah mengeluarkan, iaitu pembiayaan belanja seseorang terhadap ahli keluarganya. Manakala dari segi syarak ialah makanan, pakaian, tempat tinggal dan selainnya. Ia di namakan Nafaqah kerana dikeluarkan atau digunakan untuk keperluan itu. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 4/274)

Sebagai mukadimah dalam menjawab persoalan di atas, kami kemukakan dalil bahawa pada asalnya suami wajib menafkahi isteri dan anak-anaknya. Sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Jabir R.A, Rasulullah SAW bersabda:

ابْدَأْ بِنَفْسِكَ فَتَصَدَّقْ عَلَيْهَا ، فَإِنْ فَضَلَ شَيْءٌ فَلِأَهْلِكَ ، فَإِنْ فَضَلَ عَنْ أَهْلِكَ شَيْءٌ فَلِذِي قَرَابَتِكَ ، فَإِنْ فَضَلَ عَنْ ذِي قَرَابَتِكَ شَيْءٌ فَهَكَذَا وَهَكَذَا

Maksudnya: “Mulakan nafaqah dengan dirimu. Jika berbaki, berikanlah kepada ahli keluargamu. Jika masih berbaki, berikanlah kepada saudara-maramu yang terdekat dan jika masih berbaki lagi, berikanlah kepada mereka dan seterusnya.

Riwayat al-Bukhari (6763) dan Muslim (997)

Imam al-Syaukani menyebut: Nafkah kepada keluarga tetap wajib meskipun ketua keluarga jatuh miskin. Ijma’  ulama’ turut sepakat mewajibkan nafkah suami terhadap isteri  dan anak-anak (Lihat Nail al-Autar, (6/381)

ـJusteru, jelas bahawa kewajipan memberi nafkah ke atas anak-anak dan isteri adalah tanggungjawab seorang bapa. Hal ini juga berdasarkan firman Allah SWT:

وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: “Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya.”

(Surah al-Baqarah: 233)

Ibn Kathir menyatakan di dalam tafsirnya bahawa wajib ke atas ayah untuk memberi nafkah dari sudut pakaiannya dengan cara yang sepatutnya iaitu apa-apa pakaian yang diterima oleh adat atau seumpama dengannya di negara tersebut tanpa berlaku pembaziran dan tidak menyusahkan. Ia sekadar apa yang termampu ketika dia (ayah atau suami) dalam keadaan senang dan bersederhana serta apa yang melaziminya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/634)

Hadith daripada Abu Hurairah R.A, katanya:

أَنَّ رَجُلًا أَتَى رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم فَقَالَ: إِنَّ مَعِي دِينَارًا قَالَ: أَنْفِقْهُ عَلَى نَفْسِكَ قال: إن معي آخر قال: أَنْفِقْهُ عَلَى وَلَدِكَ

Maksudnya: Bahawasanya seorang lelaki datang menemui Rasulullah SAW lalu berkata: “Sesungguhnya aku mempunyai satu dinar, lalu baginda bersabda: “Tunaikanlah nafkah ke atas dirimu, lalu lelaki tersebut berkata: Aku juga mempunyai yang lain (wang), lalu baginda bersabda: “Tunaikanlah nafkah ke atas anakmu….”

Riwayat Abu Dawud (1691), al-Nasa’i (5/62), al-Hakim (1/415)

Berdasarkan kedua-dua nas di atas jelaslah bahawa seseorang bapa berkewajipan memberi nafkah kepada anak-anaknya. Kewajipan tersebut berasaskan tiga faktor iaitu perkahwinan, keturunan dan pemilikan.

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan apabila suami isteri telah bercerai, tanggungjawab si ayah dalam memberi nafkah kepada anak masih wajib diteruskan kerana itu tanggungjawabnya. Maka, dalam hal ini si ayah dikira berdosa kerana melepaskan semua tanggungjawabnya kepada si isteri dan si isteri tidak berdosa jika tidak membuat tuntutan tersebut. Namun, sebaiknya ia dituntut kerana ia merupakan hak si anak.

Kami juga ingin menasihatkan sebagai ibu bapa dan kaum keluarga yang berada dalam situasi seperti ini hendaklah menasihati anak-anaknya yang berada di ambang perceraian atau bercerai agar jangan sekali-kali mengabaikan tanggungjawab memberi nafkah kepada anaknya sendiri itu.

Ini adalah amat penting, sekalipun hak hadhanah mungkin diberikan kepada bekas isteri, tetapi tanggungjawab nafkah tetap terpikul menjadi amanah yang wajib kepada bekas suami atau bapa kepada anak tersebut.

Kami akhiri dengan doa kepada Allah SWT:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan: 74)

 

Leave a Reply