Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah hukum seseorang menolak perubatan moden dan mengambil pendekatan tradisional dalam mengambil rawatan? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Perubatan Tradisional
Perubatan tradisional merangkumi aspek perubatan pengetahuan tradisional yang berkembang dari generasi ke generasi dalam kepercayaan rakyat pelbagai masyarakat sebelum era perubatan moden. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendefinisikan perubatan tradisional sebagai jumlah pengetahuan, kemahiran, dan praktik berdasarkan teori, kepercayaan, dan pengalaman yang berasal dari budaya yang berlainan, baik yang dapat dijelaskan atau tidak, yang digunakan untuk menjaga kesihatan juga seperti dalam pencegahan, diagnosis, peningkatan atau rawatan penyakit fizikal dan mental. Perubatan tradisional berbeza dengan perubatan saintifik.[1]
Penyediaan ubat tradisional melibatkan langkah-langkah terperinci, dari pemilihan bahan hingga pemprosesan, untuk memastikan keberkesanan dan keselamatan. Setiap bahagian tumbuhan atau bahan diambil untuk tujuan tertentu; contohnya, akar atau daun mungkin digunakan untuk sifat terapeutiknya. Proses ini mencakup teknik seperti asah, giling, layur, dan rebus, serta penggunaan pelarut seperti air, cuka, dan minyak kelapa untuk mengekstrak bahan bioaktif secara optimum.
Penggunaan ubatan tradisional ini bergantung pada jenis dan tahap penyakit, dengan kaedah rawatan seperti tuam, tampal, sapu, makan, minum, barut, dan demah. Ini mencerminkan pendekatan holistik perubatan tradisional, yang tidak hanya berfokus pada merawat gejala tetapi juga punca penyakit serta pencegahan daripada berulangnya jangkitan.[2]
Dalam menjawab bagi persoalan di atas, Islam mengajar bahawa mereka yang ditimpa penyakit harus berusaha dan berikhtiar mencari rawatan yang sesuai. Islam menekankan kepentingan ikhtiar dalam usaha mendapatkan kesembuhan, sambil meletakkan keyakinan bahawa kesembuhan datang dengan izin Allah SWT. Ajaran ini menunjukkan bahawa menjaga kesihatan dan mencari penawar adalah sebahagian daripada tuntutan agama yang mengutamakan kesejahteraan hidup manusia.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
مَا أَنْزَلَ اللَّهُ دَاءً إِلَّا أَنْزَلَ لَهُ شِفَاءً
Maksudnya: “Allah tidak akan menurunkan sesuatu penyakit melainkan Dia akan menurunkan ubatnya”.
Riwayat al-Bukhari (5678)
Imam Al-Khattabi ketika mensyarahkan hadith ini menyatakan bahawa: ia menunjukkan sabitnya ilmu perubatan dan keharusan mendapatkan rawatan bagi mengubati penyakit, dan ia juga sebagai isyarat bahawa kesakitan dan kesembuhan itu semuanya daripada Allah SWT. (Lihat A’lam al-Hadith Syarh Sahih al-Bukhari, 3/1204).
Syeikh Musa Shaheen menyatakan yang dimaksudkan dengan ‘Allah akan menurunkan ubat di bumi’ ialah Allah menurunkan ilmu yang berkaitan dengan perubatan dan rawatan kepada manusia di muka bumi ini. (Lihat Fath al-Mun’im, 8/582).
Selain itu juga, ia mencerminkan rahmat Allah SWT yang menyediakan pelbagai penawar untuk manusia. Islam menggalakkan umatnya mengambil manfaat daripada apa sahaja sumber yang tersedia, sama ada dengan kaedah tradisional atau moden, selagi ia selamat dan berkesan, serta berlandaskan keyakinan bahawa kesembuhan datang daripada Allah SWT.
Justeru, konsep al-tadawi (berubat) atau mendapatkan rawatan adalah untuk mencapai matlamat-matlamat syarak seperti:
- Menjaga kesihatan yang sedia ada.
- Mengembalikan kesihatan dengan usaha yang termampu.
- Menghilangkan kesakitan atau mengurangkannya dengan usaha yang termampu.
- Mengambil mudarat yang sedikit untuk menolak mudarat yang lebih besar.
- Meninggalkan manfaat yang sedikit demi menjaga manfaat yang lebih besar. (Lihat Zad al-Ma’ad, 3/111; al-Tib al-Nawawi, hlm. 114).
Oleh yang demikian, bagi mereka yang menghadapi penyakit, diharuskan memilih rawatan sama ada secara tradisional atau moden. Tidak ada kesalahan dalam mengutamakan salah satu daripada kaedah-kaedah rawatan tersebut selagi ia tidak mendatangkan kemudaratan. Ini selaras dengan sebuah hadith sebagaimana yang diriwayat oleh Abu Sa‘id al-Khudri R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ
Maksudnya: “Tidak ada mudharat dan tidak ada juga perbuatan membalas kemudharatan.”
Riwayat Ahmad (2865) dan Ibn Majah (2340)
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ
Maksudnya: “Ya Allah, kami berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk.”
Wallahu‘alam
[1] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Perubatan_tradisional Diakses pada 5 November 2024
[2] Lihat https://www.pnm.gov.my/pnm/resources/pdf%20file/PKMM/Ilmu%20Perubatan%20Melayu Diakses pada 5 November 2024