Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah maksud hadith Nabi SAW: “Kekayaan itu bukanlah dengan banyaknya harta, tetapi kekayaan itu adalah kaya hati.”?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَيْسَ الغِنَى عَنْ كَثْرَةِ العَرَضِ، وَلَكِنَّ الغِنَى غِنَى النَّفْسِ

Maksudnya: “Kekayaan itu bukanlah dengan banyaknya harta, tetapi kekayaan itu adalah kaya hati.”

Riwayat al-Bukhari (6446) dan Muslim (1051)

Al-Wazir al-‘Alim Ibn Hubairah berkata: “Hadith ini menunjukkan bahawa kekayaan yang ditakrifkan tidak terletak pada harta benda, kerana harta itu boleh menjadi sebab kepada kemiskinan; sesiapa yang memiliki banyak harta, perlu menjaga dan menguruskannya, yang mana ini memerlukan kos tambahan yang boleh menambah kemiskinannya, walaupun ia boleh memberi bantuan dalam sesetengah keadaan, namun dalam keadaan lain ia juga boleh menjadikan seseorang miskin.

Adapun kekayaan yang sebenar tanpa kemiskinan ialah kekayaan jiwa dengan Tuhannya, kerana jiwa yang diperkayakan oleh Tuhannya tidak memerlukan makhluk-Nya. Jika seseorang merasa cukup dengan Tuhannya Azza wa Jalla dari semua makhluk, maka itulah kekayaan yang sebenar, bukan kekayaan dengan memiliki sesuatu yang menyebabkan lebih banyak kemiskinan.” (Lihat al-Ifsah ‘an Ma’ani al-Sihah, 7/245).

Maksud perkataan ‘العَرَض’ (al-‘ardh) ialah harta dunia dan segala bentuk kemewahan, yang merangkumi semua jenis harta benda. Ibn al-Jauzi berkata: al-‘ardh merujuk kepada semua harta benda. Maksudnya ialah bahawa jika jiwa seseorang miskin, tiada apa yang boleh memperkayakannya, kerana kemiskinan jiwa disebabkan sifat rakus yang membuatnya tidak pernah merasa cukup.” (Lihat Kasyf al-Musykil min Hadith al-Sahihain, 3/507).

Hadith ini menunjukkan bahawa kekayaan yang sebenar bukanlah terletak pada banyaknya harta dunia, kerana ramai orang yang Allah SWT luaskan rezekinya, namun dia masih miskin jiwa, tidak pernah merasa cukup dengan apa yang dimilikinya. Mereka terus berusaha menambah harta tanpa peduli dari mana sumbernya, seolah-olah mereka tetap miskin kerana kerakusan dan keinginan yang kuat untuk memiliki lebih banyak.

Kekayaan yang sebenarnya ialah kekayaan jiwa, iaitu seseorang yang merasa cukup dengan sedikit yang dimiliki, merasa reda dan tidak terlalu mengharap pada penambahan harta, serta tidak memaksa-maksa dalam permintaan. Orang seperti ini akan selalu merasa kaya dan mencukupi.

Kekayaan jiwa membuka pintu untuk reda dengan ketentuan Allah SWT dan berserah kepada-Nya. Dia sedar bahawa apa yang ada di sisi Allah adalah lebih baik bagi orang yang soleh, dan setiap ketentuan-Nya adalah yang terbaik bagi para hamba-Nya yang terpilih.

Justeru, kekayaan yang terpuji ialah kekayaan jiwa, kecukupannya, dan kurangnya keinginan pada harta; bukan kekayaan harta dengan ketamakan untuk menambahnya. Sebab, seseorang yang sentiasa mencari tambahan harta tidak akan merasa cukup dengan apa yang dia miliki; jadi dia sebenarnya tidak kaya.

Hadith ini juga menunjukkan bahawa kekayaan yang berguna atau terpuji ialah kekayaan jiwa, kerana apabila jiwa merasa cukup, ia akan berhenti dari mengejar keinginan duniawi. Jiwa itu akan menjadi mulia dan dihormati, mendapat tempat tinggi, dan mendapat lebih banyak penghormatan berbanding dengan seseorang yang kaya harta tetapi miskin jiwa, kerana sifat tamaknya. Hal ini menjatuhkan dirinya kepada perbuatan keji dan amalan yang hina, menyebabkan dia dikritik oleh ramai orang dan menjadikan kedudukannya rendah di mata mereka; sehingga dia lebih hina daripada orang yang paling miskin dan lebih rendah daripada orang yang paling kecil.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua’lam

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ فضْلِكَ وَرَحْمَتِكَ ، فَإِنَّهُ لا يَمْلِكُهَا إِلا أَنْتَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepada-Mu agar diberi kurniaan dan rahmat-Mu. Sesungguhnya tiada yang memilikinya kecuali-Mu.”

 

Leave a Reply