Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Dua ke tiga bulan yang lepas ada anjing berlegar legar di kawasan ampaian rumah saya. Mula mula saya dengar bunyi sahaja lepas itu baru bangun untuk check dari tingkap rumah. Saya halau dari ampaian tersebut tapi saya tidak sertu ampaian sebab malam itu tidak hujan. Namun, sejak 2 minggu ini saya mula risau sama ada baju yang saya basuh dan sidai di ampaian tersebut berpindah najis dari anjing. Ini kerana malam kejadian itu saya cuma nampak dia menghidu hidu sahaja dekat tiang ampaian tapi tidak perasan sama ada anjing itu ada jilat. Tambahan lagi saya ada baca hidung anjing selalunya basah lagi saya risau takut hidung dia terkena tiang ampaian. Saya sekarang jadi susah nak keluar rumah. Kereta juga sudah tidak bawa takut seluar terkena najis dekat ampian berpindah ke kereta. Apa perlu saya buat?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Menurut mazhab Syafi‘i, anjing keseluruhannya adalah najis, tidak kira anjing terlatih atau selainnya, anjing kecil atau besar. Ini juga merupakan pendapat al-Auza‘i, Abu Hanifah, Ahmad, Ishaq, Abu Thaur dan Abu ‘Ubaid. Manakala al-Zuhri, Malik dan Daud pula berpendapat, anjing adalah suci kerana diwajibkan untuk membasuh bekas yang dijilat oleh anjing disebabkan oleh ta‘abbudi — yakni semata-mata mematuhi perintah Allah. Dinukilkan mengenai pendapat ini daripada al-Hasan al-Basri dan ‘Urwah bin al-Zubair. Mereka berhujah dengan firman Allah SWT:
فَكُلُوا مِمَّا أَمْسَكْنَ عَلَيْكُمْ
Maksudnya: “Oleh itu makanlah daripada apa yang mereka tangkap untuk kamu.”
(Surah al-Ma’idah: 4)
Hal ini kerana dalam ayat di atas, tidak disebutkan untuk membasuh tempat yang disentuh atau dipegang oleh anjing terlatih itu ketika menangkapnya. Begitu juga berdasarkan riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, beliau berkata:
كَانَتِ الكِلاَبُ تَبُولُ، وَتُقْبِلُ وَتُدْبِرُ فِي المَسْجِدِ، فِي زَمَانِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَلَمْ يَكُونُوا يَرُشُّونَ شَيْئًا مِنْ ذَلِكَ
Maksudnya: “Pada zaman Rasulullah SAW, anjing-anjing kencing dan keluar masuk ke dalam masjid. Tetapi mereka (para sahabat) tidak merenjis (membasuh) apa-apa pun (pada tempat itu).”
Riwayat al-Bukhari (174)
Manakala ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i berhujah bahawa anjing keseluruhannya adalah najis berdasarkan riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasululullah SAW bersabda:
إذا ولَغَ الكَلبُ في إناءِ أحدِكُم فلْيُرِقْهُ ثم ليَغسِلْهُ سَبعَ مَرّاتٍ
Maksudnya: “Apabila anjing meminum pada bekas salah seorang daripada kamu, maka tuanglah (yakni buang) air itu. Kemudian, basuhlah ia (bekas) sebanyak tujuh kali.”
Riwayat al-Nasa’i (66)
Hadith ini jelas menunjukkan kepada kenajisan anjing itu. Dalam erti kata lain, jika ia bukan dianggap sebagai najis, sudah tentu tidak diperintahkan untuk menuangnya — yakni membuang baki air daripada sisa minum anjing — kerana perbuatan tersebut termasuk dalam merosakkan harta benda dan kita dilarang daripada mensia-siakan (membazir) harta. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/567-568).
Selain daripada itu, kenajisan anjing juga dikategorikan sebagai najis mughallazah — yakni najis jenis yang berat. Dalil menunjukkan najis ini jenis yang berat ialah ia tidak memadai membasuhnya dengan air sekali sahaja seperti najis-najis yang lain. Dalam hal ini, ia mestilah dibasuh dengan air sebanyak tujuh kali, dan satu daripadanya dengan air tanah. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/40).
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan dalam isu ini cukuplah kita mengambil hukum zahir berdasarkan apa yang berlaku. Kaedah mengatakan:
نَحنُ نَحكُمُ بالظَوَاهِرِ واللهُ يَتَوَلَّى السَّرَائِرَ
Maksudnya: “Kita menentukan hukum berdasarkan perkara-perkara yang nyata zahir sedangkan Allahlah yang menguasai perkara-perkara yang rahsia.” (Lihat al-Fath al-Mubin, hlm. 316).
Sementelahan, untuk mengawalnya adalah sangat susah. Pada masa yang sama, kita tidak mahu perkara ini membawa kepada timbulnya syak atau ragu-ragu sehingga menyusahkan diri sendiri. Maka, cukuplah kita yakin dan tidak was-was kerana sifat was-was ini amat bahaya disebabkan ia akan menyebabkan hidup dalam keadaan gusar, stress dan seumpamanya. Justeru, kami katakan tidak perlu untuk anda sertu sepertimana dalil yang telah kami jelaskan di atas.
Namun, sekiranya jelas terdapat najis (tahi), kencing atau melihat dia menjilatnya, maka wajib untuk anda membuang najis tersebut dan menyertunya. Walaubagaimanapun, dalam isu anda, ia telah lama berlaku, maka mengambil kira panas matahari, hujan, angin, tanah dan seumpamanya, secara tidak langsung, turut membantu dalam menghilangkannya. Selain itu, keadaan ini juga sekiranya berlaku adalah seperti umum al-balwa. Sementelahan, untuk mengawalnya adalah sangat susah. Pada masa yang sama, kita tidak mahu perkara ini membawa kepada timbulnya syak atau ragu-ragu sehingga menyusahkan ramai orang. Ini bertepatan dengan syariat Islam yang bersifat memudahkan dan tidak menyusahkan. Firman Allah SWT:
يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ
Maksudnya: “(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.”
(Surah al-Baqarah: 185)
Kami juga nasihatkan kepada anda agar hindarlah sifat was-was dan bacalah surah al-Nas serta doa-doa untuk menghindarkan daripada sifat was-was.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua`lam.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Maksudnya: “Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”
Wallahu a‘lam.