Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Syurga di bawah tapak kaki suami. Apakah batasan terhadap kenyataan ini? Bagaimana pula dengan suami yang tidak beriman?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Mematuhi suami juga merupakan suatu kewajiban ke atas isteri menurut Islam. Bahkan ia merupakan suatu bentuk ibadah, yang mana pelakunya akan memperoleh ganjaran, dan orang yang meninggalkan kewajiban ini akan memperoleh kemurkaan. Hukum wajib ini berdasarkan hadith Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَوْ كُنْتُ آمِرًا أَحَدًا أَنْ يَسْجُدَ لِأَحَدٍ لَأَمَرَتْ الْمَرْأَةَ أَنْ تَسْجُدَ لِزَوْجِهَا

Maksudnya: “Seandainya aku boleh menyuruh seseorang untuk sujud kepada seseorang yang lain, nescaya aku akan menyuruh seorang wanita untuk sujud kepada suaminya.”

Riwayat al-Tirmizi (1159)

Ibn ‘Allan al-Makki ketika mengulas hadith di atas menyebutkan bahawa, perintah untuk sujud itu sebagai bentuk penghormatan dan menunaikan hak suami tersebut – yakni bukanlah sujud itu kerana menyembah suami. (Lihat Dalil al-Falihin, 3/113)

Dan antara dalil yang membuktikan bahawa taat kepada suami merupakan suatu ibadah, sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا صَلَّتْ الْمَرْأَةُ خُمُسَهَا، وَصَامَتْ شَهْرَهَا، وَحَصَّنَتْ فَرْجَهَا، وَأَطَاعَتْ زَوْجَهَا، قِيلَ لَهَا: اُدْخُلِي الْجَنَّةَ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ شِئْتُ

Maksudnya: “Apabila seorang wanita itu melakukan solat fardhu 5 waktu, berpuasa pada bulan Ramadhan, memelihara kemaluannya (dari melakukan zina atau lainnya), mentaati suaminya, maka akan dikatakan padanya (di hari kiamat): ‘Masuklah ke dalam syurga dari mana-mana pintu yang kamu kehendaki.”

Riwayat al-Tabarani (4715) dan Ibn Hibban (4163)

Dalam sebuah hadith lain, yang menceritakan dahsyatnya dosa tidak mentaati suami sehingga menyebabkan sembahyangnya tidak diterima oleh Allah SWT. Diriwayatkan daripada Ibn ‘Umar R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

اثْنَانِ لَا تُجَاوِزُ صَلَاتُهُمَا رُؤُوسَهُمَا؛ عَبْدٌ أَبَقَ مِنْ مَوَالِيهِ حَتَّى يَرْجِعَ، وَامْرَأَةٌ عَصَتْ زَوْجَهَا حَتَّى تَرْجِعَ

Maksudnya: “Ada 2 orang yang sembahyangnya itu tidak diangkat melebihi kepalanya walaupun hanya sejengkal (tidak diterima); seorang hamba yang melarikan diri sehingga dia kembali (kepada tuannya), seorang perempuan yang mengingkari suaminya sehinggalah dia kembali (taat kepada suaminya).

Riwayat al-Tabarani (3628) dan al-Hakim (7330)

Al-Munawi mengatakan, mengingkari yang dimaksudkan adalah berbuat nusyuz atau selainnya, pada perkara yang asalnya wajib ditaati, nescaya solatnya tidak akan diangkat sepertimana yang disebutkan di dalam hadith. (Lihat Faidh al-Qadir, 1/150)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan wajib bagi isteri menghormati suaminya, meskipun si suami tidak beriman. Batasan dalam mentaati suami adalah selagi mana perbuatan yang di suruh oleh suaminya itu tidak bertentangan dengan syarak seperti murtad, tidak solat, puasa, perbuatan yang boleh memudaratkan si isteri dan seumpamanya, maka wajib untuknya mentaati dan menghormati suaminya. Sabda Nabi SAW:

لََا طَاعَةَ لِمَخْلُوقٍ فِِي مَعْصِيَةِ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ

Maksudnya: “Tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam hal kemaksiatan kepada Allah SWT.”

Riwayat al-Bukhari (7257), Muslim (1740), Abu Dawud (2625), al-Nasa’ie (4205) dan Ahmad (1095)

Dalam pada itu, apabila si suami tidak melaksanakan perintah Allah SWT seperti solat, puasa dan sebagainya, maka wajib bagi si isteri menasihati suaminya.

Semoga kita semua beroleh manfaat dari perbincangan ringkas ini. Kami sudahi dengan doa:

اللَّهُمَّ أكْثِرْ أَمْوَالَنَا، وَأَوْلَادَنَا، وَبَارِكْ لَنَا فِيمَا أعْطَيْتَنَا، وَأطِلْ حَيَاتَنَا عَلَى طَاعَتِكَ، وَأحْسِنْ أَعْمَالَنَا، وَاغْفِرْ لَنَا

Maksudnya: “Ya Allah, perbanyaklah harta dan anak kami serta berkatilah kurniaan yang Engkau berikan pada kami. Panjangkanlah umur kami dalam ketaatan pada-Mu dan baikkanlah amal kami serta ampunilah dosa-dosa kami.”

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply