Soalan
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apa hukum mendirikan solat tanpa melaungkan iqamat terlebih dahulu? Hal ini seperti seseorang yang solat secara sendirian yang terus solat tanpa iqamat. Mohon penjelasan.
Jawapan
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Azan dan Iqamah merupakan salah satu daripada syiar Islam. Ianya bertujuan untuk menyeru dan memberitahu kepada seluruh umat Islam bahawa telah masuk waktu solat serta bersiap sedia untuk menunaikan solat. Ini sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Malik bin al-Huwairith R.A sabda Nabi SAW:
فَإِذَا حَضَرَتِ الصَّلاَةُ فَلْيُؤَذِّنْ لَكُمْ أَحَدُكُمْ
Maksudnya: “Apabila telah masuk waktu solat, maka hendaklah salah seorang dari kalian melaungkan azan.”
Riwayat al-Bukhari (628)
Di sisi mazhab Imam al-Syafi’e, hukum melaungkan azan dan iqamah adalah sunat muakkad untuk kesemua lima solat fardhu. Ini seperti yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi:
مَذْهَبُنَا الْمَشْهُورُ أَنَّهُمَا سُنَّةٌ لِكُلِّ الصَّلَوَاتِ فِي الْحَضَرِ وَالسَّفَرِ لِلْجَمَاعَةِ وَالْمُنْفَرِدِ لَا يَجِبَانِ بِحَالٍ فَإِنْ تَرَكَهُمَا صَحَّتْ صَلَاةُ الْمُنْفَرِدِ وَالْجَمَاعَةِ
Maksudnya: “(Di sisi) mazhab kami (pendapat) yang masyhurnya adalah keduanya (azan dan iqamah) itu sunat bagi kesemua solat semasa hadir (tidak bermusafir) dan juga semasa musafir, bagi (solat) berjemaah dan juga solat secara bersendirian. Keduanya itu tidak wajib maka sekiranya seseorang meninggalkan keduanya maka sah solat secara bersendirian dan juga secara berjemaah.” (Lihat al-Majmu’, 3/82)
Pendapat ini juga turut disokong oleh beberapa tokoh fuqaha dalam kalangan mazhab yang lain seperti Malikiyyah. Ini seperti yang disebutkan oleh Imam Ibn Rushd berkenaan hukum iqamah: ‘’Sesungguhnya ia (iqamah) di sisi para fuqaha bagi hak mereka yang solat bersendirian dan juga berjemaah adalah sunat muakkad dan di sisi ahli zahir (zahiriah) hukumnya adalah fardhu. Mengikut pendapat pertama, tidak batal solat apabila meninggalkannya (iqamah), manakala menurut pendapat yang kedua (iaitu al-Zahiriyyah), menjadi batal. (Lihat Bidayah al-Mujtahid, hlm. 109)
Syeikh Dr. Muhammad al-Zuhaili turut menyebut: Azan serta iqamah seperti yang sedia maklum adalah dari syiar-syiar Islam dan keduanya adalah disyariatkan selepas masuknya waktu untuk menunaikan solat dan juga sebelumnya. Hukumnya adalah sunat kifayah bagi hak jamaah dan sunat ‘ainiyyah bagi hak persendirian. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 1/182)
Isu Solat Tanpa Iqamah
Menjawab persoalan yang dikemukakan, kami nyatakan seperti berikut:
Dalam mazhab Hanbali, hukum solat tanpa iqamah adalah seperti yang disebutkan oleh Syeikh al-Khiraqi melalui katanya yang berikut: Dan sesiapa yang menunaikan solat tanpa azan dan juga iqamah kami memakruhkannya terhadap perkara itu dan dia tidak perlu mengulangi solat. (Lihat Syarah Mukhtasar al-Khiraqi, 7/31)
Manakala dalam mazhab Al-Syafi’e pula, ia adalah seperti yang dikatakan oleh Imam Al-Nawawi berikut: Sekiranya seseorang itu meninggalkan keduanya (azan dan juga iqamah) sah solatnya sama ada bersendirian atau berjemaah. (Lihat al-Majmu’, 3/88)
Kami berpandangan bahawa pendapat yang lebih tepat adalah pandangan jumhur yang meliputi pandangan mazhab al-Syafi’e bahawa hukum azan dan iqamah adalah sunat muakkad. Justeru, seseorang yang menunaikan solat tanpa iqamah maka hukumnya adalah makruh kerana meninggalkan perkara yang sunat. Ini berdasarkan sebuah riwayat berikut dari al-Aswad dan juga Alqamah keduanya berkata:
أَتَيْنَا عَبْدَ اللَّهِ بْنَ مَسْعُودٍ فِي دَارِهِ فَقَالَ أَصَلَّى هَؤُلاَءِ خَلْفَكُمْ فَقُلْنَا لاَ . قَالَ فَقُومُوا فَصَلُّوا . فَلَمْ يَأْمُرْنَا بِأَذَانٍ وَلاَ إِقَامَةٍ
Maksudnya: “Kami berdua pergi bertemu Abdullah bin Mas’ud di rumahnya lalu beliau berkata; Apakah mereka itu solat di belakang kamu? Lalu kami menjawab: Tidak. Beliau berkata: Bangunlah kamu dan tunaikanlah solat. Dan beliau tidak menyuruh kami untuk melaungkan azan serta iqamah.“
Riwayat Muslim (534)
Meskipun solat seseorang yang meninggalkan iqamah itu sah, hukumnya tetap makruh. Adalah lebih afdhal dan dituntut untuk seseorang itu tetap melakukan iqamah sebelum solat untuk keluar dari khilaf ke atas pandangan ahli ilmu yang menyatakan hukumnya wajib.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita dalam beragama. Ameen.
Wallahu a’lam
Bertarikh: 28 Mac 2022 bersamaan 25 Syaaban 1443H
Assalammualaikum ustaz.Saya seorang perempuan dan solat selalu bersendirian .saya nak bertanya mesti kah laungkan iqamat sebelum solat fardhu ?