Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Saya hendak bertanya untuk hadith ini yang bermaksud, “The child has the right to be taught good etiquette and morals by their parents.” (al-Adab al-Mufrad, Hadith 123). Adakah ia sahih? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan hadith Nabi SAW:

وَمَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “Sesiapa yang berdusta di atas namaku dengan sengaja maka siaplah tempatnya di dalam neraka.

Riwayat al-Bukhari (110)

Begitu juga Nabi SAW bersabda:

إِنَّ كَذِبًا عَلَيَّ لَيْسَ كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ فَمَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “Sesungguhnya berdusta atas namaku tidaklah sama dengan berdusta atas nama seseorang. Sesiapa yang berdusta di atas namaku dengan sengaja maka siaplah tempatnya di dalam neraka.”

Riwayat al-Bukhari (1291)

Berdasarkan hadith di atas, jelaslah kepada kita bahawa ancaman yang cukup keras terhadap pendusta-pendusta terhadap hadith Nabi SAW. Untuk itu, dapat kita simpulkan bahawa hukum berdusta di atas nama Nabi SAW adalah haram secara jelas berdasarkan nas-nas di atas.

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa setakat pencarian kami, kami tidak menemui hadith dalam al-Adab al-Mufrad dengan makna seperti “The child has the right to be taught good etiquette and morals by their parents.” Walau bagaimanapun, prinsipnya sejajar dengan banyak hadith yang menekankan tanggungjawab ibu bapa terhadap anak-anak. Di antaranya ialah hadith seperti berikut:

Rasulullah SAW bersabda:

ما نَحَلَ والدٌ ولدًا من نُحْلٍ أفضلَ من أدبٍ حَسنٍ

Maksudnya: “Tidak ada pemberian yang lebih berharga daripada seorang ayah kepada anaknya selain adab yang baik.

Riwayat Ahmad (15403) dan al-Tirmizi (1952). Lafaz hadith daripada Imam al-Tirmizi dan beliau menilainya sebagai gharib mursal. Ia juga dinilai sebagai dha‘if dalam al-Silsilah al-Dha‘ifah (1121)

Begitu juga hadith lain, dikatakan Rasulullah SAW ada bersabda:

أَنْزِلِ النَّاسَ مَنَازِلَهُمْ مِنَ الْخَيْرِ وَالشَّرِّ، وَأَحْسِنْ أَدَبَهُمْ عَلَى الْأَخْلَاقِ الصَّالِحَةِ

Maksudnya: “Letakkan manusia pada kedudukan mereka yang sesuai, sama ada dalam kebaikan atau keburukan, dan perelokkanlah didikan mereka dengan akhlak yang mulia.

Riwayat al-Khara’iti dalam Makarim al-Akhlaq (46); Syu‘aib al-Arna’ut dalam takhrij Sunan Abi Dawud (7/211) menilainya sebagai dha‘if.

Meskipun hadith-hadith ini dinilai sebagai dha‘if, penggunaannya dalam bab akhlak dan fadha’il amal adalah tidak mengapa dan boleh diterima berdasarkan syarat-syaratnya yang telah digariskan oleh para ulama. Mengenai hal ini juga, Ibn Solah pernah menyebutkan bahawa harus di sisi ahli hadith dan ulama selain mereka sedikit tasahul dalam menerima sanad-sanad dan riwayat daripada jenis-jenis hadith dha‘if (tetapi bukannya palsu) tanpa perlu dijelaskan kedha‘ifannya iaitu pada perkara-perkara selain daripada yang berkaitan dengan sifat-sifat Allah dan hukum-hakam syariah yang melibatkan soal halal dan haram atau selain daripada kedua-duanya. Perkara (yang diberi kelonggaran) itu adalah seperti peringatan-peringatan, kisah-kisah, fadha’il al-A‘mal (kelebihan-kelebihan beramal) dan seluruh perkara yang berkaitan al-Targhib (galakkan) dan al-Tarhib (ancaman), serta seluruh perkara yang tidak berkaitan dengan hukum-hakam dan akidah. (Lihat Muqadimah ibn al-Solah, hlm. 210)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Leave a Reply