Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah dibenarkan untuk memotong ayat al-Quran seperti berikut dalam trailer:
Page 3:
“Then We made you their successors in the land,”
Page 4:
“…to see how you would act.” [Quran 10:14]
Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dalam menjawab soalan di atas, secara umumnya tiada larangan bagi seseorang itu untuk membahagi-bahagikan satu surah, mahupun satu ayat kepada beberapa bahagian untuk dibaca di dalam rakaat solatnya selagi mana maknanya masih lagi sempurna. Lebih-lebih lagi, sekiranya ayat tersebut sangat panjang seperti ayat hutang yang terdapat dalam surah al-Baqarah, yang memenuhi sehingga satu muka surat penuh. Mengenai hal ini, Ahmad al-Nafrawi al-Maliki menyebutkan, selepas membaca surah al-Fatihah, bacalah selepasnya sesuatu daripada ayat-ayat al-Quran sekalipun ayat yang pendek seperti “ذَوَاتَا أَفْنَانٍ” atau “مُدْهَامَّتَانِ” atau sebahagian ayat yang panjang seperti ayat hutang — iaitu ayat 282 daripada surah al-Baqarah. Namun, afdhalnya adalah membaca surah secara sempurna — yakni lengkap.
Selain itu, Sulaiman al-Bujairami jelas menyatakan bahawa asal pahala sunat — yakni selepas bacaan al-Fatihah — diperoleh dengan membaca sesuatu daripada ayat-ayat al-Quran dan secara zahirnya sekalipun membaca satu kalimah, tetapi padanya terdapat pertikaian. Namun, disyaratkan ia mestilah bermanfaat — yakni memberi makna. Jika seseorang itu membaca sebahagian ayat turut memperoleh asal sunnah — yakni pahala sunat — dan perkara itu barangkali jika ia memberi makna sepertimana ayat-ayat pendek yang memberi makna. (Lihat Tuhfah al-Habib ‘ala Syarh al-Khatib, 2/68).
Meskipun kami mengatakan bahawa tidak mengapa membahagikan satu ayat yang panjang kepada beberapa bahagian untuk dibaca. Akan tetapi dengan syarat, ia mestilah memberi makna yang dapat difahami. Tambahan pula setiap ayat itu maknanya saling berkait antara satu sama lain. Dengan memotong atau membahagikannya kepada beberapa bahagian, kebiasaannya akan menyebabkan maknanya tidak lagi tepat dan menyeluruh sebagaimana yang dikehendaki pada asalnya. Oleh sebab itu, para ulama terdahulu berpendapat bahawa membaca satu surah secara sempurna (lengkap) adalah lebih baik berbanding membaca sebahagiannya sahaja di dalam rakaat solat kerana ia lebih selamat dan berhati-hati dalam menjaga perkaitan dan topik yang dibawakan di dalam ayat-ayat al-Quran sebagaimana yang difahami menerusi kata-kata Imam al-Nawawi. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 4/174)
Seterusnya, berbalik kepada soalan di atas, kami katakan bahawa memotong ayat al-Quran untuk tujuan tertentu, seperti penggunaan dalam trailer atau media lain, memerlukan perhatian terhadap beberapa prinsip penting agar penggunaannya tidak membawa kepada penyalahgunaan, kekeliruan, atau hilangnya maksud asal ayat tersebut. Ayat yang disebut di atas adalah sebahagian daripada Surah Yunus sebagaimana firman-Nya:
ثُمَّ جَعَلْنَاكُمْ خَلَائِفَ فِي الْأَرْضِ مِن بَعْدِهِمْ لِنَنظُرَ كَيْفَ تَعْمَلُونَ
Maksudnya: “Kemudian Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) khalifah-khalifah di bumi menggantikan mereka yang telah dibinasakan itu, supaya Kami melihat apa pula corak dan bentuk kelakuan yang kamu akan lakukan.”
(Surah Yunus: 14)
Sebagaimana yang kami telah nukilkan di atas berkenaan pendapat para ulama dalam hal memotong atau membahagikan ayat al-Quran untuk rakaat-rakaat solat atau tujuan tertentu, termasuklah dalam konteks penyampaian mesej secara kreatif. Di sana terdapat beberapa garis panduan yang dapat difahami daripadanya, iaitu:
- Tidak Mengubah Makna Asal Ayat
Potongan ayat mesti dipastikan bahawa maksud asal ayat tidak diubah, diseleweng, atau dipisahkan daripada konteks sebenar yang boleh membawa kepada timbulnya salah faham. Dalam persoalan di atas, frasa yang dipotong masih memelihara maksud asal ayat kerana ia merangkumi idea “menjadikan khalifah” dan “melihat bagaimana kamu beramal.”
- Mengelakkan Kekeliruan dalam Penyampaian Mesej
Ayat yang dipotong mesti digunakan dengan jelas agar khalayak tidak salah memahami maksudnya. Sebagai contoh, dalam trailer, perlu dinyatakan sumber dan konteks penuh ayat, seperti menyebutkan bahawa ia adalah sebahagian daripada Surah Yunus, ayat 14.
- Menjaga Adab dengan al-Quran
Penggunaan ayat al-Quran, walaupun dalam bentuk potongan, mesti dilakukan dengan adab yang tinggi, seperti menjaga penghormatan terhadap teks suci ini. Penggunaan untuk tujuan murni seperti dakwah atau motivasi mestilah dilakukan dengan niat yang baik dan tidak bercampur dengan elemen yang merendahkan kesucian ayat al-Quran.
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berdasarkan kepada penjelasan di atas, kami berpendapat bahawa potongan ayat al-Quran iaitu ayat 14, Surah Yunus untuk trailer seperti dalam contoh di atas (persoalan yang diajukan) adalah tidak mengapa dan dibolehkan selagi ia memenuhi syarat-syarat yang telah digariskan seperti mana yang kami telah nyatakan sebelum ini.
Meskipun begitu, kami juga mengambil kesempatan di sini turut ingin menyatakan bahawa adalah lebih baik jika konteks penuh ayat dapat dijelaskan kepada khalayak, sama ada melalui nota kaki atau pengenalan ringkas, supaya mesej yang ingin disampaikan lebih jelas dan tidak disalahertikan.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”