Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, boleh Dr jelaskan kepada kami makna hadith “Demi Zat yang jiwaku di tangan-Nya, seandainya kamu tidak berbuat dosa sama sekali, nescaya Allah akan memusnahkan kamu seluruhnya.” Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَتُوبُوا إِلَى اللَّـهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya: “Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”
(Surah al-Nur: 31)
Imam Ibn Kathir berkata: “Yakni, lakukanlah apa yang telah diperintahkan kepadamu daripada sifat-sifat yang indah dan akhlak-akhlak yang mulia. Tinggalkanlah kebiasaan kaum Jahiliyyah yang memiliki akhlak dan sifat yang tercela, kerana kejayaan hanya dapat dicapai dengan mengerjakan apa yang telah diperintahkan Allah dan Rasul-Nya serta meninggalkan apa yang telah dilarang oleh Allah dan Rasul-Nya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 10/225)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami kemukakan terlebih dahulu hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A di mana Rasulullah SAW bersabda:
والَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، لوْ لَمْ تُذْنِبُوا لَذَهَبَ اللَّهُ بِكُمْ، وَلَجاءَ بِقَوْمٍ يُذْنِبُونَ، فَيَسْتَغْفِرُونَ اللَّهَ، فَيَغْفِرُ لهمْ
Maksudnya: “Demi Zat yang jiwaku di tangan-Nya, seandainya kamu tidak berbuat dosa sama sekali, niscaya Allah akan memusnahkan kamu seluruhnya. Setelah itu, Allah akan mengganti kamu dengan umat yang berbuat dosa, sehingga mereka akan memohon kampunan kepada Allah dan Allah pun pasti akan mengampuni mereka.”
Riwayat Muslim (2749)
Hadith ini menjelaskan keutamaan Allah yang Maha Agung dan kemurahan-Nya yang luas dalam menerima hamba-hamba-Nya yang berdosa dan bertaubat. Sesungguhnya, daripada kesempurnaan kelembutan-Nya terhadap hamba-hamba-Nya, Dia membuka pintu rahmat, keampunan, dan kebaikan. Maka, apabila seseorang itu melakukan dosa kemudian bertaubat, kembali kepada-Nya, dan memperbaiki dirinya, dia akan berada dalam keluasan rahmat Allah Ta‘ala. (Lihat fatwa no. 7460, dikeluarkan oleh Dar al-Ifta’ al-Misriyyah, pada 10 Februari 2023)[1]
Allah SWT berfirman:
قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِن رَّحْمَةِ اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
(Surah al-Zumar:53)
Mengenai ayat ini, al-Tabari berkata: “Yakni, janganlah berputus asa daripada rahmat Allah. Inilah seperti yang disebut oleh Ibn ‘Abbas R.Anhuma.” (Lihat Jami’ al-Bayan, 22/398)
Al-Syaukani pula mengatakan bahawa ayat ini menjadi ayat yang paling memberikan harapan dalam al-Quran kerana mengandungi khabar gembira paling besar. Keistimewaan ayat ini, pertamanya, kerana penyandaran hamba kepada Allah SWT sebagai bentuk penghormatan dan khabar gembira. Kemudian diterangkan bahawa sifat mereka adalah gemar melakukan dosa dan maksiat secara berlebihan, namun diikuti dengan larangan berputus asa daripada mendapatkan rahmat bagi mereka. Maka, dapat difahami bahawa larangan beputus asa ini lebih utama untuk diterapkan kepada pelaku dosa yang tidak secara berlebihan, malah boleh jadi inilah maksud utama daripada ayat ini. (Lihat Fath al-Qadir, 6/295)
Berkenaan dengan hadith tersebut al-Nawawi dalam syarahnya menyatakan: Sekiranya dosa itu diulangi seratus kali, seribu kali, atau lebih, dan dia bertaubat setiap kali, taubatnya akan diterima dan dosanya akan dihapuskan. Jika dia bertaubat sekaligus daripada semua dosanya selepas melakukan kesemuanya, taubatnya tetap sah. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘Ala Muslim, 17/75)
Selain itu, Syihab al-Din al-Turbisyti dalam syarahannya mengenai hadith tersebut menyebutkan: Sesungguhnya Allah Ta‘ala, sebagaimana Dia mencintai untuk berbuat baik kepada mereka yang berbuat baik, Dia juga mencintai untuk memaafkan mereka yang berbuat salah. Hal ini ditunjukkan oleh beberapa nama-Nya, seperti al-Ghaffar (Maha Pengampun), al-Halim (Maha Penyantun), al-Tawwab (Maha Penerima Taubat), dan al- ‘Afwu (Maha Pemaaf). Oleh kerana itu, Allah tidak menjadikan hamba-hamba-Nya berada dalam satu keadaan sahaja, seperti para malaikat yang secara fitrah dijadikan bersih daripada dosa. Sebaliknya, Dia menciptakan di kalangan manusia mereka yang secara tabiatnya cenderung kepada hawa nafsu dan tergoda olehnya. Kemudian, Dia memerintahkan mereka untuk menjauhinya dan memberi peringatan agar tidak mendekatinya.
Sekiranya kamu diciptakan seperti malaikat yang secara fitrah tidak berdosa, nescaya Allah akan mendatangkan satu kaum yang daripadanya berlaku dosa. Dengan itu, Allah dapat memperlihatkan sifat-sifat-Nya seperti yang dituntut oleh hikmah-Nya. Sesungguhnya, sifat al-Ghaffar memerlukan adanya makhluk yang memohon ampun, sebagaimana sifat al-Razzaq (Maha Pemberi Rezeki) memerlukan adanya makhluk yang menerima rezeki. (Lihat al-Maisir fi Syarh al-Masabih al-Sunnah, 2/541)
Kesimpulan
Hadith yang dibincangkan menggambarkan keluasan rahmat, keampunan, dan kasih sayang Allah SWT terhadap hamba-hamba-Nya yang bertaubat, walaupun mereka berulang kali melakukan dosa. Allah tidak hanya menciptakan manusia dengan sifat cenderung kepada kesalahan, tetapi juga membuka pintu taubat sebagai peluang untuk kembali kepada-Nya. Hal ini menunjukkan kesempurnaan sifat-sifat Allah seperti Maha Pengampun, Maha Penerima Taubat, dan Maha Penyayang, yang mana setiap dosa, sekecil atau sebesar mana sekalipun, tidak menghalang hamba daripada meraih rahmat-Nya selama mereka bertaubat dengan ikhlas. Sikap berputus asa daripada rahmat Allah ditegah, kerana taubat dan pengampunan adalah tanda belas kasih-Nya kepada hamba-hamba-Nya.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اجْعَلْنَا مِنَ التَّوَّابِينَ وَاجْعَلْنَا مِنَ الْمُتَطَهِّرِينَ
Maksudnya: “Ya Allah, jadikan kami daripada kalangan orang yang bertaubat, dan jadikan kami daripada kalangan orang yang bersuci.”
Wallahua’lam
Nota hujung:
[1] Lihat https://www.dar-alifta.org/ar/fatawa/18316/%D9%85%D8%B9%D9%86%D9%89 Diakses pada 6 Disember 2024