Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan, apakah sebab-sebab berlakunya musibah atau ujian?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Antara sebab Allah menurunkan musibah dan ujian, ialah:
Pertama: Disebabkan oleh dosa dan Maksiat
Allah SWT memberikan musibah dan ujian kepada mereka yang melakukan dosa dan maksiat sebagai balasan dan hukuman atas perbuatan mereka sendiri.
Firman Allah SWT:
وَمَا أَصَابَكَ مِنْ سَيِّئَةٍ فَمِنْ نَفْسِكَ
Maksudnya: Dan apa jua bencana yang menimpamu maka ia adalah dari (kesalahan) dirimu sendiri.
(Surah al-Nisa’: 79)
Ibn Kathir di dalam Tafsir al-Quran al-Azim (2/363) menyebut: Para ahli tafsir menyatakan “ فَمِنْ نَفْسِكَ ” dari (kesalahan) dirimu sendiri iaitu “ َبِذَنْبِك” disebabkan oleh dosa kamu, sebagaimana firman Allah SWT:
وَمَا أَصَابَكُمْ مِنْ مُصِيبَةٍ فَبِمَا كَسَبَتْ أَيْدِيكُمْ وَيَعْفُو عَنْ كَثِير
Maksudnya: Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.
(Surah al-Syura: 30)
Daripada Anas bin Malik RA, Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِعَبْدِهِ الْخَيْرَ عَجَّلَ لَهُ الْعُقُوبَةَ فِي الدُّنْيَا ، وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِعَبْدِهِ الشَّرَّ أَمْسَكَ عَنْهُ بِذَنْبِهِ حَتَّى يُوَافِيَ بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
Maksudnya: Jikalau Allah menghendaki kebaikan pada seseorang hambaNya, maka Allah akan mempercepatkan hukuman ketika di dunia, tetapi jikalau Allah mengkehendaki keburukan pada seseorang hambaNya, maka orang itu dibiarkan sahaja dengan dosanya, sehingga dosanya akan dihimpunkan untuk dibalas pada hari kiamat.
Riwayat al-Tirmizi (2396)
Kedua: Untuk mengangkat darjat orang yang sabar dengan musibah dan sebagai penghapus dosa kepadanya.
Antara sebab Allah SWT menurunkan musibah dan ujian adalah menguji hamba-hambanya sama ada dia bersabar dan redha dengan ujian tersebut ataupun sebaliknya. Allah SWT akan memberikan ganjaran yang besar serta diangkat darjatnya pada hari akhirat kelak disebabkan oleh kesabarannya dalam menempuhi ujian dan musibah yang Allah turunkan kepadanya.
Allah SWT memberikan ujian dan musibah kepada para Anbiya’ dan juga orang-orang soleh tanpa membiarkan mereka, Allah menjadikan musibah dan ujian tersebut untuk memuliakan mereka dan memberikan darjat yang tinggi di syurga kelak. Hal ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
إِنَّ الْعَبْدَ إِذَا سَبَقَتْ لَهُ مِنْ اللَّهِ مَنْزِلَةٌ لَمْ يَبْلُغْهَا بِعَمَلِهِ ابْتَلَاهُ اللَّهُ فِي جَسَدِهِ أَوْ فِي مَالِهِ أَوْ فِي وَلَدِهِ ثُمَّ صَبَّرَهُ عَلَى ذَلِكَ حَتَّى يُبْلِغَهُ الْمَنْزِلَةَ الَّتِي سَبَقَتْ لَهُ مِنَ اللَّهِ تَعَالَى
Maksudnya: “Sesungguhnya seorang hamba apabila Allah telah menentukan sebuah tempat baginya (di syurga kelak), akan tetapi amalannya tidak boleh menghantarnya ke tempat tersebut, maka Allah akan mengujinya pada tubuhnya, atau hartanya, atau anaknya. Kemudian Allah jadikan dia sabar atas ujian tersebut.”
Riwayat Abu Daud (3090). Pengarang al-Silsilah al-Sahihah (2599) menyatakan hadith ini sahih.
Daripada Anas Bin Malik RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ عِظَمَ الجَزَاءِ مَعَ عِظَمِ البَلاَءِ ، وَإِنَّ اللَّهَ إِذَا أَحَبَّ قَوْمًا ابْتَلاَهُمْ ، فَمَنْ رَضِيَ فَلَهُ الرِّضَا ، وَمَنْ سَخِطَ فَلَهُ السَّخَطُ
Maksudnya: “Sesungguhnya besarnya pahala sesuai dengan besarnya ujian dan jika Allah mencintai sesuatu kaum, Dia akan menguji mereka, sesiapa yang redha maka baginya keredhaan (Allah) dan sesiapa yang murka maka baginya kemurkaan (Allah).”
Riwayat al-Tirmizi (2396) dan beliau menyatakan hadith ini Hasan. Pengarang kitab al-Silsilah al-Sahihah (146) menyatakan hadith ini sahih.
Syeikh al-Mubarakfuri berkata: Sabda Baginda, ‘ابْتَلاَهُمْ ’ iaitu Dia mengenakan ujian dan kesukaran. Sabda Baginda, ‘sesungguhnya ganjaran yang besar’ iaitu banyaknya ganjaran itu bersama ujian yang besar. Yakni, sesiapa yang ujiannya besar, maka ganjarannya juga besar. Sesiapa yang redha dengan apa yang diuji Allah kepadanya, maka baginya ganjaran daripada Allah yang banyak. Sesiapa yang benci dengan ujian daripada Allah dan tidak redha dengan ketentuan-Nya, maka baginya kemurkaan daripada Allah dan azab yang pedih. Sesiapa yang melakukan kejahatan akan dibalas dengannya. Tujuan sebenarnya adalah untuk mendorong agar bersabar terhadap ujian setelah ia berlaku. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 7/77)
Daripada Aisyah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَا يُصِيبُ الْمُؤْمِنَ مِنْ شَوْكَةٍ فَمَا فَوْقَهَا إِلَّا رَفَعَهُ اللَّهُ بِهَا دَرَجَةً ، أَوْ حَطَّ عَنْهُ بِهَا خَطِيئَةً
Maksudnya: “Setiap ujian yang menimpa orang mukmin, seperti ditusuk duri, atau lebih dari itu, nescaya akan ditinggikan oleh Allah kerananya satu darjat atau dikurangkan oleh Allah kerananya satu kesalahan.”
Riwayat Muslim (2573)
Syeikh Muhammad al-Amin al-’Alawi berkata: Sabda Baginda, tidak ada duri yang menyakitkan seorang mukmin, sama ada yang setara dengan duri yang biasa atau lebih daripada itu, kecuali Allah akan mengangkat darinya satu darjat atau menghapuskan kesalahan dengannya. Sabda Baginda, ‘دَرَجَةً’ yakni kedudukannya di syurga. (Lihat al-Kaukab al-Wahhaj, 24/334)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوْذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ البَلَاءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوءِ القَضَاءِ ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ
Maksudnya: “Wahai Allah! Kami berlindung kepada-Mu daripada ujian yang berat, hinanya kecelakaan, buruknya takdir dan celaan para musuh (atas bala, ujian dan kecelakaan yang menimpa).”