Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum mempamerkan makanan sedap dan mewah kepada orang lain?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Makanan merupakan di antara rezeki dan juga nikmat yang telah Allah kurniakan kepada hamba-hamba-Nya. Ini jelas berdasarkan firman Allah SWT berikut:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ وَاشْكُرُوا لِلَّهِ إِن كُنتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang beriman makanlah kamu semua daripada benda-benda baik yang telah kami rezekikan kepada kamu dan bersyukurlah kalian kepada Allah sekiranya kalian benar-benar mengabdikan diri kepada-Nya.

(Surah Al-Baqarah: 172)

Imam Al-Tabari dalam menafsirkan ayat ini menyatakan: Dan hendaklah kalian memuji Allah terhadap segala nikmat yang telah Allah rezekikan dan perelokkan kepada kamu. (Lihat Jami’ al-Bayan, 3/317)

Berdasarkan ayat di atas, makanan-makanan yang baik daripada sudut kehalalan dan kebersihan yang terdapat di atas muka bumi ini adalah merupakan rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT Implikasi dari kurniaan dan nikmat tersebut, manusia khususnya orang-orang yang beriman dituntut untuk mensyukuri nikmat yang diperolehnya dalam kehidupan seharian.

Di antara tanda mensyukuri nikmat dan rezeki yang telah Allah berikan adalah dengan mengucapkan hamdalah iaitu dengan lafaz Alhamdulillah. Sa’d bin Muaz bin Anas Al-Juhani meriwayatkan daripada bapanya bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ أَكَلَ طَعَامًا فَقَالَ الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَطْعَمَنِي هَذَا وَرَزَقَنِيهِ مِنْ غَيْرِ حَوْلٍ مِنِّي وَلاَ قُوَّةٍ غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: Sesiapa yang memakan makanan, kemudian dia mengucapkan: Segala puji bagi Allah yang telah memberikan aku makan makanan ini dan merezekikan ia kepadaku tanpa sebarang daya dan kekuatan dariku, maka akan diampunkan dosa-dosa kecilnya yang terdahulu.

Riwayat Ibn Majah (3285)

Demikian juga berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hamzah Anas Bin Malik R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَى عَبْدٍ نِعْمَةً فَقَالَ الْحَمْدُ لِلَّهِ ‏.‏ إِلاَّ كَانَ الَّذِي أَعْطَاهُ أَفْضَلَ مِمَّا أَخَذَ

Maksudnya: Tidaklah Allah kurniakan nikmat ke atas seorang hamba dengan satu nikmat lalu dia berkata: Alhamdulillah (segala puji bagi Allah) melainkan pujian yang diberikannya itu lebih baik daripada apa yang dia terima.

Riwayat Ibn Majah (3805)

Maka zahir daripada hadith di atas, menjadi tuntutan ke atas setiap yang mendapat rezeki dan kurniaan daripada Allah berupa makanan, minuman, kesihatan, wang ringgit, pakaian, dan seumpamanya untuk mengucapkan Alhamdulillah yang bermaksud segala puji bagi Allah sebagai tanda syukur yang diungkapkan oleh lidah.

Kita juga dituntut untuk membaca doa yang diajarkan di dalam Sunnah berdasarkan sebuah riwayat daripada Saidina Abdullah Bin Mas’ud RA bahawa Rasulullah bersabda:

وَاجْعَلْنَا شَاكِرِينَ لِنِعْمَتِكَ مُثْنِينَ بِهَا قَابِلِيهَا وَأَتِمَّهَا عَلَيْنَا

Maksudnya: Dan jadikanlah kami golongan yang bersyukur terhadap nikmat-Mu, memuji-Mu dengan nikmat tersebut, menerimanya serta sempurnakanlah nikmat-nikmat tersebut ke atas kami.

Riwayat Abu Dawud (969)

Selain itu, menceritakan nikmat-nikmat yang telah Allah rezekikan kepada kita juga adalah salah satu bentuk menzahirkan kesyukuran. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَأَمَّا بِنِعْمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّثْ

Maksudnya: Dan nikmat Tuhan kamu, maka ceritakanlah.

(Surah Al-Dhuha: 11)

Syeikh Abd al-Rahman al-Sa’di menyatakan: “(Adapun mengenai nikmat Tuhan kamu): makna (nikmat ini) meliputi nikmat agama dan duniawi, adapun makna (maka ceritakanlah): iaitu pujilah Allah atas adanya nikmat tersebut, dan sebutlah jenis nikmat tersebut kepada orang-orang yang perlu dan mempunyai maslahah atas nikmat tersebut, bahkan dibolehkan untuk menceritakan nikmat-nikmat Allah secara mutlak tanpa menyebutkan jenisnya. Hal ini kerana menceritakan nikmat Allah adalah faktor utama untuk mensyukurinya, dan menimbulkan kecintaan hati terhadap Pemberi nikmat tersebut kerana hati ini secara fitrahnya menyukai orang yang selalu berbuat baik padanya”. (Lihat Tafsir al-Sa’di, hlm. 928)

Di antara tafsir kepada menceritakan nikmat adalah sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Al-Hasan: “Apabila kamu memperoleh kebaikan atau kamu melakukan suatu perbuatan yang baik maka ceritakanlah kepada saudara-saudaramu yang kamu percayai.”

Imam Abu Bakr Ibn Al-Arabi Al-Malik  berkata: “Perbuatan menceritakan amalan soleh yang dilakukan hendaklah dilakukan dengan keikhlasan niat di hadapan orang yang terpercaya. Ini kerana, ia boleh jadi membawa kepada riyak, serta menimbulkan buruk sangka kepada pendengarnya.” (Lihat Ahkam al-Quran, 4/356)

Hakikatnya, kenyataan Imam Ibn Al-Arabi tersebut bertepatan dengan sebuah hadith daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

اسْتَعِينُوا عَلَى إِنْجَاحِ الحَوَائِج بِالْكِتْمَانِ فَإِنَّ كُلَّ ذِي نِعْمَةٍ مَحْسُود

Maksudnya: Bantulah ke atas kejayaan tertunainya hajat keperluan dengan menyembunyikannya. Sesungguhnya setiap yang memiliki nikmat itu ada orang yang hasad kepadanya.

Riwayat Al-Tabrani (1186)

Begitu juga terdapat tuntutan untuk menzahirkan kesyukuran dengan cara menceritakan nikmat yang diperolehi. Sebuah riwayat daripada Al-Nu’man Bin Basyir RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

التَّحَدُّثُ بِالنِّعَمِ شُكْرٌ

Maksudnya: Menceritakan nikmat-nikmat itu adalah suatu kesyukuran.

Riwayat Ibn Abi al-Dunia di dalam al-Syukr (64)

Justeru, hadith di atas jelas menunjukkan bahawa kita diperintahkan untuk menzahirkan kesyukuran di atas segala nikmat yang kita perolehi. Dan di antara tanda tersebut adalah dengan menceritakan nikmat-nikmat tersebut. Hadith ini juga dikuatkan lagi dengan sebuah riwayat lain bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الجَمَال، وَيُحِبُّ أَنْ يَرَى أَثَرَ نِعْمَتِهِ عَلَى عَبْدِهِ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah itu Maha Indah dan Dia cintakan kecantikan. Dan Allah suka untuk melihat kesan-kesan nikmat-Nya ke atas hamba-Nya.” (Riwayat Ibn Asakir, 17/200)

Maka jelaslah kepada kita, menzahirkan nikmat-nikmat Allah sama ada melalui cara menceritakannya kepada orang lain, atau memakai pakaian yang baharu lagi cantik, memakan makanan yang halal lagi bersih, dan seumpamanya adalah suatu yang dituntut.

Kesimpulan

Berdasarkan kepada nas dan juga hujah-hujah di atas, kami berpandangan bahawa perbuatan mempamerkan dan menularkan gambar makanan yang sedap atau mewah kepada orang lain pada asalnya adalah harusWalaupunbegitu, daripada sudut adab, perbuatan sebegini seharusnya ditinggalkan. Hal ini kerana menularkan dan mempamerkan apa yang kita makan secara terbuka di media sosial atau seumpamanya yang mempunyai ramai penggunanya akan menyebabkan orang yang tidak berkemampuan merasa tidak senang akan perbuatan tersebut, apatah lagi jikalau mereka berada dalam kesempitan dan kelaparan.

Kami juga mengambil kesempatan untuk menasihati supaya memuhasabah diri berkenaan niat melakukan perbuatan tersebut. Sekiranya perbuatan itu bertujuan untuk bermegah-megahan, berbangga diri, dan juga riya’, maka sepatutnya ia dielakkan. Demikian juga sekiranya perbuatan mempamerkan makanan mewah dapat menyebabkan timbulnya perasaan hasad terhadap orang yang melihatnya, serta menimbulkan rasa dukacita kepada golongan yang tidak berkemampuan merasainya, maka kami nasihatkan supaya perbuatan tersebut ditinggalkan.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahu a’lam

Bertarikh: 29 Mac 2022 bersamaan 26 Syaaban 1443H

Leave a Reply