Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana untuk mengesahkan kebenaran mimpi bertemu Rasulullah SAW?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan hadith daripada Abu Hurairah, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:
وَمَنْ رَآنِي فِي المَنَامِ فَقَدْ رَآنِي، فَإِنَّ الشَّيْطَانَ لاَ يَتَمَثَّلُ فِي صُورَتِي
Maksudnya: “Sesiapa yang melihatku dalam mimpi, maka sesungguhnya dia telah melihatku. Sesungguhnya syaitan tidak mampu menyerupai rupaku.”
Riwayat al-Bukhari (110) (6197) dan Muslim (2134) (2266)
Imam al-Bukhari ada menyebutkan dalam kitab sahihnya sebuah riwayat lain daripada Abu Hurairah R.A, yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:
مَنْ رَآنِي فِي المَنَامِ فَسَيَرَانِي فِي اليَقَظَةِ، وَلاَ يَتَمَثَّلُ الشَّيْطَانُ بِي. قَالَ أَبُو عَبْدِ اللهِ: قَالَ ابْنُ سِيرِينَ: إِذَا رَآهُ فِي صُورَتِهِ.
Maksudnya: “Sesiapa yang bermimpi melihatku, maka dia akan melihatku dalam keadaan terjaga, dan syaitan tidak dapat menyerupaiku.” Abu ‘Abdillah (Imam al-Bukhari) berkata: Ibn Sirin berkata: “Maksudnya, apabila dia melihatnya dalam rupa bentuk Baginda.”
Riwayat al-Bukhari (6993) dan Muslim (2266)
Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata, hadith ini mengandungi isyarat bahawa, meskipun Allah SWT membenarkan syaitan untuk menyerupai sesiapa sahaja yang dikehendaki, namun ia tetap terhalang dari menyerupai Nabi SAW. Beberapa ulama berpandangan, yang dimaksudkan dalam hadith ini adalah apabila seseorang melihat Baginda SAW dalam rupa yang sama seperti rupa asal Baginda. Ada juga yang menyempitkan syarat ini sehingga mengatakan seseorang mesti melihat Rasulullah SAW dalam bentuk fizikal Baginda yang tepat pada waktu Baginda wafat, termasuklah bilangan uban yang tidak melebihi dua puluh helai.
Akan tetapi, beliau lebih cenderung memilih pandangan yang bersifat umum, meliputi semua keadaan fizikal Baginda pada mana-mana peringkat kehidupan; sama ada pada usia muda, dewasa, usia pertengahan, atau pada akhir hayat Baginda, selagi mana ia menyerupai rupa sebenar Baginda pada masa tertentu. Kadangkala, perbezaan dalam bentuk mungkin berkaitan dengan tafsiran mimpi yang berhubung dengan keadaan orang yang bermimpi itu sendiri.
Beliau juga menukilkan kalam Ibn Battal: Sabda Baginda, “maka dia akan melihatku dalam keadaan terjaga,” yang dimaksudkan adalah tentang kebenaran mimpi itu ketika dalam keadaan terjaga. Ini bukan merujuk kepada melihat Baginda di akhirat, kerana di akhirat, Baginda akan dilihat oleh semua umatnya pada Hari Kiamat, tidak kira sama ada mereka pernah bermimpi melihat Baginda atau tidak.
Turut dinukilkan Ibn al-Tin menyatakan: “Maksudnya adalah individu yang telah beriman kepada Baginda SAW semasa Baginda masih hidup, tetapi belum berpeluang untuk berjumpa dengan Baginda. Ini merupakan berita baik bagi setiap individu yang beriman kepada Baginda tetapi belum berkesempatan untuk berjumpa dengannya, kerana mereka akan pasti berjumpa dan melihat Baginda dalam keadaan sedar sebelum Baginda meninggal dunia. Pendapat ini disebut oleh al-Qazzaz.” (Lihat Fath al-Bari, 12/386; 34/421)
Berkenaan persoalan di atas, tidak dapat dinafikan bahawa bermimpi bertemu dengan Nabi SAW adalah termasuk dalam mimpi yang baik. Semua orang beriman mengimpikan untuk bermimpi bertemu dengan kekasih mereka, yang merupakan sebaik-baik bahkan semulia-mulia insan, iaitu Rasulullah SAW. Namun, timbul persoalan bahawa adakah orang yang dilihatnya dalam mimpi itu adalah benar-benar Baginda SAW? Ini kerana benar bahawasanya syaitan tidak boleh menyerupai Rasulullah SAW, namun syaitan boleh menyerupai orang lain lalu mendakwa itu adalah Baginda SAW.
Sehubungan dengan itu, bila mana seseorang mendakwa bahawa mereka telah bermimpi bertemu dengan Nabi SAW, para ulama akan bertanya atau meminta kepada orang yang mendakwa tersebut untuk menggambarkan akan sifat atau ciri-ciri orang yang dijumpainya dalam mimpi itu. Ini adalah sebagaimana yang disebutkan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam kitabnya Fath al-Bari bahawa telah diriwayatkan kepadanya secara mausul (melalui sanad yang bersambung) dari jalur Isma‘il bin Ishaq al-Qadhi, daripada Sulaiman bin Harb, yang merupakan salah seorang guru Imam al-Bukhari, daripada Hammad bin Zaid, daripada Ayyub, yang menyatakan bahawa Muhammad — yakni merujuk kepada Ibn Sirin — apabila seseorang datang dan memberitahu bahawa dia telah melihat Nabi SAW, beliau akan bertanya, “Gambarkan kepadaku orang yang engkau lihat itu.” Jika orang itu memberikan gambaran yang tidak dikenali sebagai sifat Nabi SAW, beliau akan berkata, “Engkau sebenarnya tidak melihat Baginda SAW.” Kemudian al-Hafiz Ibn Hajar menyatakan, sanad riwayat ini adalah sahih.
Seterusnya, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani turut menyatakan bahawa terdapat riwayat lain yang menyokong perkara ini, iaitu dalam riwayat al-Hakim, melalui jalur ‘Asim bin Kulaib. (‘Asim berkata): Bapaku menyampaikan kepadaku, katanya: Aku berkata kepada Ibn ‘Abbas: “Aku melihat Nabi SAW dalam mimpi.” Lalu Ibn Abbas bertanya: “Gambarkan kepadaku (rupa Baginda itu).” Jadi, aku menyebutkan Hasan bin Ali, lalu aku menyerupakan Nabi dengannya. Ibn Abbas berkata: “Benarlah, engkau telah melihat Baginda SAW.” Menurut al-Hafiz Ibn Hajar sanad riwayat ini adalah baik. (Lihat Fath al-Bari, 12/383)
Abu Isa al-Tirmizi ada membawakan satu riwayat dalam kitabnya, al-Syama’il al-Muhammadiyyah [hlm. 351 (no. 412)] daripada Yazid al-Farisi — yang merupakan seorang penulis mushaf — yang menyatakan bahawa dia melihat Nabi SAW dalam mimpi pada zaman Ibn ‘Abbas. Lalu dia pun berkata kepada Ibn ‘Abbas: “Sesungguhnya aku telah melihat Rasulullah SAW dalam tidurku.” Maka Ibn ‘Abbas berkata: “Rasulullah pernah bersabda: ‘Sesungguhnya syaitan tidak mampu menyerupai diriku, maka sesiapa yang melihatku dalam tidur, sesungguhnya dia benar-benar telah melihatku.’ Jadi, adakah engkau dapat menggambarkan lelaki yang engkau lihat dalam mimpi tersebut?” Yazid menjawab: “Ya, aku akan gambarkan untukmu. Lelaki itu (tingginya) di antara dua lelaki (yakni seorang lelaki yang sederhana tinggi), tubuh dan kulitnya berwarna putih kemerah-merahan, matanya bercelak, ketawanya sopan (tersenyum), sekeliling wajahnya cantik, janggutnya penuh dari telinga kanannya hingga ke telinga kirinya, janggutnya juga memenuhi dada (kerana ketebalannya). — ‘Auf (salah seorang perawi) berkata: Aku tidak pasti apa lagi sifat-sifat lain yang disebutkan bersama sifat-sifat ini.[1] — Maka Ibn ‘Abbas berkata: “Kalaulah engkau melihatnya dalam keadaan jaga (sedar), engkau tidak akan dapat menggambarkan sifat-sifatnya lebih daripada ini.”
Syeikh ‘Abd al-Razzaq al-Badr menjelaskan, maksudnya adalah gambaran yang telah diberikan terhadap lelaki yang dilihat dalam mimpi itu benar-benar sepadan dengan sifat Baginda SAW. Dalam erti kata lain, seandainya engkau melihatnya dalam keadaan sedar dan cuba menggambarkannya, engkau tidak akan mampu menambah apa-apa lagi pada gambaran tersebut. (Lihat Syarh al-Syama’il al-Muhammadiyyah, hlm. 456). Begitu juga Hisyam al-Kamil Hamid turut menyatakan bahawa maksudnya adalah seolah-olah Ibn ‘Abbas ingin mengatakan kepada Yazid bahawa sesungguhnya dia telah menggambarkan sifat-sifat Rasulullah SAW seakan-akan dia melihat Baginda SAW sendiri dalam keadaan jaga (sedar). (Lihat al-Isyraqat al-Saniyyah bi Syarh al-Syama’il al-Muhammadiyyah, hlm. 395).
Tambahan lagi, Syeikh Soleh bin Fauzan al-Fauzan juga ada menjelaskan berkenaan hal ini dengan penjelasan yang sangat baik. Beliau menyatakan bahawa mengenai melihat Rasulullah SAW dalam mimpi, ia adalah sesuatu yang mungkin terjadi, dan hadith yang diriwayatkan mengenainya adalah sahih. Namun, ini adalah khusus bagi mereka yang benar-benar mengenal Nabi SAW, sekiranya mereka mengenalnya ketika dalam keadaan jaga (sedar) dan mengetahui sifat-sifat Baginda SAW. Ini kerana syaitan tidak dapat meniru/menyerupai sifat-sifat dan keperibadian Baginda SAW. Oleh itu, seseorang yang mengenal Nabi SAW dengan baik serta mampu membezakannya dengan tepat daripada orang lain, mungkin dapat melihat Baginda SAW dalam mimpi.
Adapun bagi seseorang yang tidak mengenal sifat-sifat Rasulullah SAW dan tidak dapat membezakan keperibadian Baginda yang mulia, maka orang sebegini mungkin didatangi syaitan yang mendakwa dirinya sebagai Rasulullah SAW dan menyesatkan orang tersebut dalam agamanya. Oleh itu, hal ini bukanlah sesuatu yang boleh diterima secara mutlak.
Sesiapa yang melihat Nabi SAW dalam mimpi, penglihatannya hendaklah benar jika dia benar-benar mengenali Nabi SAW dan dapat membezakannya daripada yang lain. Namun, bagi orang yang tidak mengenal Nabi SAW, tidak mengetahui sifat-sifat Baginda, dan tidak dapat membezakan sifat dan keperibadian Nabi SAW daripada yang lain, syaitan mungkin akan mengelirukan dirinya, dengan datang kepadanya dan mendakwa sebagai Rasulullah SAW.[2]
Oleh yang demikian, kita kena akui bahawa mereka yang benar-benar mengenali Rasulullah SAW dari segi sifat-sifatnya dan juga keperibadiannya hanyalah para sahabat R.Anhum kerana mereka hidup pada zaman Baginda SAW, bersahabat dan melihat Baginda dengan mata kepala mereka sendiri. Adapun kita pada hari ini, tidaklah dapat mengenali Rasulullah SAW melainkan hanya melalui riwayat-riwayat yang menceritakan berkenaan sifat-sifat dan keperibadian Baginda SAW. Justeru, ketika mana Yazid memberitahu kepada Ibn ‘Abbas bahawa dia bermimpi bertemu dengan Rasulullah SAW, maka Ibn ‘Abbas meminta kepadanya untuk menggambarkan sifat-sifat lelaki yang ditemuinya dalam mimpinya itu. Setelah dia menggambarkan sifat-sifat lelaki yang ditemuinya dalam mimpi itu, Ibn ‘Abbas pun mengesahkan bahasawanya benar, lelaki itu ialah Rasulullah SAW. Ibn ‘Abbas berhak untuk mengesahkan atau membenarkan mimpi Yazid itu kerana beliau hidup pada zaman Nabi SAW dan melihat sendiri Baginda dengan mata kepalanya.
Kami juga ada menulis berkenaan isu ini dalam eBook kami bertajuk: Melihat Rasulullah SAW di Alam Mimpi: Antara Kebenaran dan Dakwaan.[3]
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا
Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”
Nota Hujung:
[1] Menurut Syeikh Abd al-Razzaq al-Badr, maksudnya adalah terdapat sifat-sifat lain yang disebutkan tetapi mungkin dia hanya menghafal sebahagian daripadanya. (Lihat Syarh al-Syama’il al-Muhammadiyyah, hlm. 456).
[2] lib.efatwa.ir. (n.d.). Sumber dari koleksi efatwa. Diakses daripada https://lib.efatwa.ir/44358/1/50. Diakses pada 6 November 2024.
[3] Untuk bacaan lanjut, boleh mendapatkannya di pautan berikut: https://play.google.com/store/books/details?id=R6Q2EQAAQBAJ