Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah prinsip-prinsip akidah yang terkait dengan perubatan khususnya dalam bidang perawatan Islam?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Berkenaan persoalan di atas, antara perkara yang utama ditekankan:

  • Penyembuh hakiki adalah Allah SWT.

Hal ini dirakamkan dalam surah al-Syu’ara’ ayat 80:

وَإِذَا مَرِضْتُ فَهُوَ يَشْفِينِ

Maksudnya: “Dan apabila aku sakit, maka Dia lah yang menyembuhkan penyakitku.”

(Surah al-Syu’ara’: 80)

Begitu juga hadith Nabi SAW: Daripada Aisyah R.Anha, katanya: “Nabi SAW memohon perlindungan untuk sebahagian mereka sambil mengusapnya dengan tangan kanannya, lalu Baginda mengucapkan:

أَذْهِبِ البَاسَ رَبَّ النَّاسِ، وَاشْفِ أَنْتَ الشَّافِي، لاَ شِفَاءَ إِلَّا شِفَاؤُكَ، شِفَاءً لاَ يُغَادِرُ سَقَمًا

Maksudnya: Hilangkanlah sakit wahai Tuhan segala manusia, sembuhkanlah, Engkaulah yang Maha Menyembuhkan, tidak ada kesembuhan kecuali kesembuhan daripada-Mu, kesembuhan yang tidak meninggalkan sebarang rasa sakit (selepas itu).”

Riwayat al-Bukhari (5750)

Nabi Ayyub AS pernah berdoa, lalu kemudian Allah SWT mustajabkan. Hal ini dirakamkan dalam firman-Nya:

وَأَيُّوبَ إِذْ نَادَىٰ رَبَّهُ أَنِّي مَسَّنِيَ الضُّرُّ وَأَنتَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِينَ (83) فَاسْتَجَبْنَا لَهُ فَكَشَفْنَا مَا بِهِ مِن ضُرٍّ ۖ وَآتَيْنَاهُ أَهْلَهُ وَمِثْلَهُم مَّعَهُمْ رَحْمَةً مِّنْ عِندِنَا وَذِكْرَىٰ لِلْعَابِدِينَ

Maksudnya: Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayub, ketika ia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: “Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani”. Maka Kami perkenankan doa permohonannya, lalu Kami hapuskan penyakit yang menimpanya, serta Kami kurniakan kepadanya: keluarganya, dengan seganda lagi ramainya, sebagai satu rahmat dari Kami dan sebagai satu peringatan bagi orang-orang yang taat kepada Kami (supaya bersabar dan mendapat balasan baik).

(Surah al-Anbiya’: 83-84)

Al-Syaukani berkata: ‘وَأَيُّوبَ إِذْ نَادَىٰ رَبَّهُ أَنِّي مَسَّنِيَ الضُّرُّ’ Yakni penyakit berat di badannya serta kematian keluarganya. ‘وَأَنتَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِينَ’ Kemudian Allah mengkhabarkan pengabulan doanya. ‘فَاسْتَجَبْنَا لَهُ فَكَشَفْنَا مَا بِهِ مِن ضُرٍّ’ Yakni Allah menyembuhkan apa yang menimpanya. ‘وَآتَيْنَاهُ أَهْلَهُ وَمِثْلَهُم مَّعَهُمْ’ Terdapat pendapat mengatakan bahawa Allah menjadikan keluarganya meninggalkannya, lalu Allah menggantinya dengan yang semisal mereka di dunia. Keluarganya telah mati semua kecuali isterinya, lalu Allah menghidupkan mereka lebih cepat daripada kerdipan mata. Pendapat lain mengatakan bahawa anaknya lahir dengan jumlah dua kali ganda daripada anaknya yang telah mati. Firman-Nya: ‘رَحْمَةً مِّنْ عِندِنَا’ yakni, Kami memberinya demikian kerana rahmat Kami baginya. ‘وَذِكْرَىٰ لِلْعَابِدِينَ’ Agar mereka bersabar sebagaimana kesabaran Nabi Ayyub AS. (Lihat Fath al-Qadir, 5/245)

  • Sebarang bentuk rawatan dan bacaan ruqyah tanpa sebarang syirik.

Daripada Auf Bin Malik al-Asyjai’ bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 اعْرِضُوا عَلَىَّ رُقَاكُمْ، لاَ بَأْسَ بِالرُّقَى مَا لَمْ يَكُنْ فِيهِ شِرْكٌ.

Maksudnya: “Perlihatkanlah jampi kalian kepadaku, tidak mengapa degan jampi selagimana ia bukan dari  perbuatan syirik.”

Riwayat Muslim (220)

Hadith ini menunjukkan kepada kita keharusan ruqyah dalam merawat segala jenis penyakit, seperti luka, bisul, gigitan serangga, penyakit ain dan sebagainya sekiranya ruqyah tersebut difahami dan tidak mengandungi sebarang bentuk syirik serta perkara-perkara yang terlarang. Cara yang terbaik dan berkesan adalah ruqyah dengan menggunakan nama allah SWT dan kalam-Nya serta kalam Rasulullah SAW. (Lihat  Kaukab al-Wahhaj Syarah Sahih Muslim, 22/212)

  • Al-Quran bersifat sebagai penyembuh

Hal ini berdasarkan kepada firman Allah SWT:

وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya: “Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Ayat-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya,”

(Surah al-Isra’: 82)

Qatadah mentafsirkan firman Allah SWT: Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur daripada al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat, dengan berkata: Firman Allah SWT ini didengar oleh orang yang beriman, lalu mereka dapat mengambil manfaat daripadanya, bahkan menghafal dan memerhatikannya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 8/4014)

  • Rasulullah SAW menamakan al-Quran dan juga madu sebagai syifa’ain.

Hal ini berdasarkan hadith daripada Abdullah bin Mas’ud R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

عَلَيْكُمْ بِالشِّفَاءَيْنِ: الْعَسَلِ وَالْقُرْآنِ.

 Maksudnya: Hendaklah kamu merawat dengan dua penyembuh: Madu dan al-Quran.

Riwayat Ibn Majah (3452), al-Hakim (7435) dan al-Baihaqi (20049). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut dalam takhrij Syarh al-Sunnah (12/143) berkata: Rijalnya adalah thiqah, tetapi kata al-Baihaqi dalam al-Syu’ab: Sahih dan mauquf kepada Ibn Mas’ud. Ibn Kathir berkata: Ia seumpamanya juga.

  • Kelebihan Surah al-Fatihah

Hal ini telah kami bahaskan dalam hadith yang terkait dengan hadith Abu Sa’id al-Khudri di mana Sayyidul Qaum telah disengat oleh binatang berbisa dan berlaku penyembuhan selepas dibaca al-Fatihah.

  • Kelebihan Ayat al-Kursi

Daripada Abu Hurairah RA, katanya:

وَكَّلَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِحِفْظِ زَكَاةِ رَمَضَانَ، فَأَتَانِي آتٍ فَجَعَلَ يَحْثُو مِنَ الطَّعَامِ فَأَخَذْتُهُ، وَقُلْتُ: وَاللَّهِ لَأَرْفَعَنَّكَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ: إِنِّي مُحْتَاجٌ، وَعَلَيَّ عِيَالٌ وَلِي حَاجَةٌ شَدِيدَةٌ، قَالَ: فَخَلَّيْتُ عَنْهُ، فَأَصْبَحْتُ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «يَا أَبَا هُرَيْرَةَ، مَا فَعَلَ أَسِيرُكَ البَارِحَةَ؟» قَالَ: قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، شَكَا حَاجَةً شَدِيدَةً، وَعِيَالًا، فَرَحِمْتُهُ، فَخَلَّيْتُ سَبِيلَهُ، قَالَ: «أَمَا إِنَّهُ قَدْ كَذَبَكَ، وَسَيَعُودُ». فَعَرَفْتُ أَنَّهُ سَيَعُودُ، لِقَوْلِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «إِنَّهُ سَيَعُودُ». فَرَصَدْتُهُ، فَجَاءَ يَحْثُو مِنَ الطَّعَامِ، فَأَخَذْتُهُ، فَقُلْتُ: لَأَرْفَعَنَّكَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ: دَعْنِي فَإِنِّي مُحْتَاجٌ وَعَلَيَّ عِيَالٌ، لاَ أَعُودُ، فَرَحِمْتُهُ، فَخَلَّيْتُ سَبِيلَهُ، فَأَصْبَحْتُ، فَقَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «يَا أَبَا هُرَيْرَةَ، مَا فَعَلَ أَسِيرُكَ؟» قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ شَكَا حَاجَةً شَدِيدَةً، وَعِيَالًا، فَرَحِمْتُهُ، فَخَلَّيْتُ سَبِيلَهُ، قَالَ: «أَمَا إِنَّهُ قَدْ كَذَبَكَ وَسَيَعُودُ». فَرَصَدْتُهُ الثَّالِثَةَ، فَجَاءَ يَحْثُو مِنَ الطَّعَامِ، فَأَخَذْتُهُ، فَقُلْتُ: لَأَرْفَعَنَّكَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ، وَهَذَا آخِرُ ثَلاَثِ مَرَّاتٍ، أَنَّكَ تَزْعُمُ لاَ تَعُودُ، ثُمَّ تَعُودُ. قَالَ: دَعْنِي أُعَلِّمْكَ كَلِمَاتٍ يَنْفَعُكَ اللَّهُ بِهَا، قُلْتُ: مَا هُوَ؟ قَالَ: إِذَا أَوَيْتَ إِلَى فِرَاشِكَ، فَاقْرَأْ آيَةَ الكُرْسِيِّ: {اللَّهُ لاَ إِلَهَ إِلَّا هُوَ الحَيُّ القَيُّومُ} حَتَّى تَخْتِمَ الآيَةَ، فَإِنَّكَ لَنْ يَزَالَ عَلَيْكَ مِنَ اللَّهِ حَافِظٌ، وَلاَ يَقْرَبَنَّكَ شَيْطَانٌ حَتَّى تُصْبِحَ. فَخَلَّيْتُ سَبِيلَهُ، فَأَصْبَحْتُ فَقَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «مَا فَعَلَ أَسِيرُكَ البَارِحَةَ؟» قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، زَعَمَ أَنَّهُ يُعَلِّمُنِي كَلِمَاتٍ يَنْفَعُنِي اللَّهُ بِهَا، فَخَلَّيْتُ سَبِيلَهُ، قَالَ: «مَا هِيَ؟» قُلْتُ: قَالَ لِي: إِذَا أَوَيْتَ إِلَى فِرَاشِكَ فَاقْرَأْ آيَةَ الكُرْسِيِّ مِنْ أَوَّلِهَا حَتَّى تَخْتِمَ الآيَةَ: {اللَّهُ لاَ إِلَهَ إِلَّا هُوَ الحَيُّ القَيُّومُ}، وَقَالَ لِي: لَنْ يَزَالَ عَلَيْكَ مِنَ اللَّهِ حَافِظٌ، وَلاَ يَقْرَبَكَ شَيْطَانٌ حَتَّى تُصْبِحَ – وَكَانُوا أَحْرَصَ شَيْءٍ عَلَى الخَيْرِ – فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «أَمَا إِنَّهُ قَدْ صَدَقَكَ وَهُوَ كَذُوبٌ، تَعْلَمُ مَنْ تُخَاطِبُ مُنْذُ ثَلاَثِ لَيَالٍ يَا أَبَا هُرَيْرَةَ؟» قَالَ: لاَ. قَالَ: «ذَاكَ شَيْطَانٌ».

Maksudnya: “Rasulullah SAW mewakilkan kepadaku untuk menjaga zakat Ramadhan. Lalu datang kepadaku seseorang dan menyelongkar makanan dan mengambilnya. Aku memegangnya (menangkapnya) dan berkata: “Demi Allah! Aku akan membawamu kepada Rasulullah SAW.” Dia berkata: “Lepaskan aku, sesungguhnya aku orang yang memerlukan dan aku memiliki tanggungan keluarga dan sangat memerlukannya.” Abu Hurairah berkata: Aku melepaskannya.

Ketika pagi hari, Nabi SAW bertanya: “Wahai Abu Hurairah! Apakah yang dilakukan oleh orang yang engkau tangkap malam tadi?” Aku berkata: “Wahai Rasulullah! Dia mengadu keadaannya yang sangat memerlukan disebabkan oleh tanggungan keluarganya, aku merasa kasihan kepadanya dan melepaskannya.” Baginda bersabda: “Ketahuilah bahawa sesungguhnya dia telah berdusta kepadamu, dan dia akan kembali.”

Aku pun mengetahui dia akan kembali berdasarkan sabda Nabi SAW bahawa dia akan kembali. Aku mengawasinya dengan bersungguh-sungguh. Maka, dia datang dan menyelongkar makanan. Aku memegangnya (menangkapnya) dan berkata: “Sesungguhnya aku akan membawamu kepada Rasulullah SAW.” Dia berkata: “Lepaskanlah aku! Sesungguhnya aku orang yang memerlukan, aku memiliki tanggungan dan aku tidak akan kembali lagi.” Aku merasa kasihan kepadanya dan melepaskannya.

Ketika pagi hari, Rasulullah SAW bertanya kepadaku: “Wahai Abu Hurairah! Apakah yang dilakukan oleh orang yang engkau tangkap malam tadi?” Aku berkata: “Wahai Rasulullah! Dia mengadu tentang keadaannya yang sangat memerlukan disebabkan oleh tanggungannya. Aku merasa kasihan terhadapnya dan melepaskannya.” Baginda bersabda: “Ketahuilah bahawa sesungguhnya dia telah berdusta kepadamu, dan dia akan kembali.

Aku pun mengawasinya dengan bersungguh-sungguh untuk kali ketiga. Maka, dia datang dan menyelongkar makanan. Aku memegangnya (menangkapnya) dan berkata: “Sesungguhnya aku akan membawamu kepada Rasulullah SAW, dan ini ketiga kalinya engkau mengatakan engkau tidak akan kembali, namun engkau tetap kembali.” Dia berkata: ”Lepaskanlah aku, nescaya aku akan mengajar kepadamu beberapa kalimat yang akan memberi manfaat kepadamu di sisi Allah.” Aku menjawab: “Apakah kalimah itu?” Dia berkata: “Jika kamu sudah berada di tempat tidur kamu, maka bacalah ayat al-Kursi: (Firman Allah SWT) “اللَّهُ لاَ إِلَهَ إِلَّا هُوَ الحَيُّ القَيُّومُ” (Maksudnya: Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya))[Surah al-Baqarah: 225], sehingga engkau selesaikan ke akhir ayat. Sesungguhnya engkau akan didampingi oleh seorang penjaga yang ditugaskan oleh Allah dan engkau juga tidak akan didekati oleh syaitan sehinggalah waktu pagi.” Maka aku melepaskannya.

Ketika pagi hari, Rasulullah SAW bertanya kepadaku: “Apakah yang dilakukan oleh orang yang engkau tangkap malam tadi?” Aku berkata: “Wahai Rasulullah! Dia mengaku telah mengajarku beberapa kalimat yang Allah menjadikannya bermanfaat bagiku, maka aku melepaskannya.” Baginda bertanya: “Apakah itu?” Aku berkata: “Dia berkata kepadaku bahawa Jika kamu sudah berada di tempat tidur kamu, maka bacalah ayat al-Kursi daripada awal sehingga akhir ayat: (Firman Allah SWT) “اللَّهُ لاَ إِلَهَ إِلَّا هُوَ الحَيُّ القَيُّومُ” (Maksudnya: “Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya).”)[Surah al-Baqarah: 225]. Dia berkata kepadaku: ‘Engkau akan sentiasa didampingi oleh seorang penjaga yang ditugaskan oleh Allah dan engkau juga tidak akan didekati oleh syaitan sehinggalah waktu pagi.’” – (Perawi berkata:) Mereka (yakni Para Sahabat) adalah orang-orang yang sangat bersungguh demi kebaikan. Nabi SAW bersabda: “Adapun apa yang dikatakan kepadamu itu adalah benar, namun demikian dia adalah pendusta. Wahai Abu Hurairah! Adakah kamu mengetahui siapakah yang berbicara dengan kamu selama tiga malam tersebut?” Abu Hurairah menjawab: “Tidak”. Baginda bersabda: “Itulah syaitan.”

Riwayat al-Bukhari (2311)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ النَّاسِ أَذْهِبِ الْبَأْسَ وَاشْفِ أَنْتَ الشَّافِيْ لاَ شِفَاءَ إِلاَّ شِفَاؤُكَ شِفَاءً لاَ يُغَادِرُ سَقَماً.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Pemelihara manusia, hilangkanlah penyakit ini dan sembuhkanlah. Engkaulah Yang Maha Penyembuh, tidak ada kesembuhan melainkan hanya kesembuhan daripada-Mu, kesembuhan yang tidak meninggalkan penyakit walau sedikit pun.”

Riwayat al-Bukhari (5743) dan Muslim (2191)

Leave a Reply