Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah sah mandi wajib sekiranya sabun badan dan gosok gigi dahulu sebelum melakukan niat mandi wajib? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَإِن كُنتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوا
Maksudnya: “Dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib.”
(Surah al-Ma’idah: 6)
Syeikh al-Sa‘di menyatakan bahawa terdapat banyak persoalan hukum (yang dapat dikeluarkan) daripada ayat ini. Antaranya ialah perintah mendirikan solat, perintah untuk berniat bagi mengerjakan solat, juga disyaratkan untuk bersuci (daripada hadas) bagi sah solat, juga bersuci tidak diwajibkan ketika masuknya waktu solat tetapi wajib ketika hendak mendirikan solat dan lain-lain. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 222)
Seterusnya, oleh kerana persoalan di atas, terkait juga dengan niat, kami bawakan terlebih dahulu takrif niat secara ringkas. Niat menurut bahasa adalah mengarah diri kepada sesuatu perbuatan. (Lihat al-Mu‘jam al-Wasit, hlm. 1021). Manakala menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, niat ialah maksud atau tujuan sesuatu perbuatan. (Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat, hlm. 1080).
Dari segi istilah pula, terdapat beberapa definisi yang diberikan. Antaranya ialah:
- Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa niat ialah keazaman (tekad) di dalam hati atas setiap perkara yang fardhu dan selain daripadanya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/310).
- Ibn ‘Abidin pula menyebutkan bahawa niat ialah tujuan melakukan ketaatan dan mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan amal perbuatan. (Lihat Rad al-Mukhtar, 1/105).
Berdasarkan kepada definisi di atas, kita dapat simpulkan bahawa niat ialah lintasan dalam hati ketika adanya tekad dan keazaman untuk melakukan sesuatu perkara.
Kemudian, dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa mandi wajib hendaklah dilakukan dengan menggunakan air mutlak, yang boleh digunakan bagi mengangkat hadas dan membersihkan najis. Air mutlak ialah air yang suci lagi menyucikan iaitu air yang kekal dengan sifat asal kejadiannya yang telah dijadikan Allah SWT. Air tersebut masih dikatakan air mutlak walaupun ia sudah berubah disebabkan lama terbiar, disebabkan tanah, lumut dan tempat bertakung atau tempat mengalirnya mengandungi belerang. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/31).
Tambahan lagi, Dr. Wahbah al-Zuhaili ada menyebutkan beberapa contoh air mutlak. Ini adalah sebagaimana dinyatakan oleh beliau bahawa air-air yang boleh digunakan untuk bersuci ada tujuh iaitu air laut, air hujan, air sungai, air mata air, air salji dan air sejuk. (Lihat al-Fiqh al-Syafi‘i al-Muyassar, 1/79).
Kemudian, bagi memastikan mandi wajib itu boleh dianggap sah, ia hendaklah memenuhi syarat-syarat fardhu bagi mandi wajib, iaitu:
- Niat
- Menghilangkan najis sekiranya ada pada badan.
- Meratakan air ke seluruh rambut (bulu-bulu) dan badan. (Lihat Matan Ghayah wa al-Taqrib, hlm. 21).
Berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa tidak mengapa dan tetap dianggap sah mandi wajib tersebut, jika seseorang itu memulakan mandi wajibnya dengan menyabun badan dan menggosok giginya terlebih dahulu, kemudian barulah dia berniat mandi wajib dan meratakan air mutlak ke seluruh tubuh badannya. Ini kerana syarat-syarat mandi wajib telah dipenuhi.
Akan tetapi jika dia dapat memulakan niat mandi wajibnya lebih awal iaitu dipermulaan mandiannya iaitu ketika menyabun badan atau menggosok gigi, maka itu adalah lebih baik. Meskipun air bercampur sabun tidak dianggap sebagai air mutlak, namun kebiasaannya ia hanya digunakan sebagai alat bantuan dalam menghilangkan kotoran di badan dan kepala, di samping menambahkan lagi seri dan wangian di tubuh badan, kemudiannya air sabun tersebut akan dibilas pula dengan air bersih sehingga ia hilang. Maka, mandi wajibnya juga dianggap sah dengan syarat air mutlak diratakan dan sampai ke seluruh rambut dan badan.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اجْعَلْنَا مِنَ التَّوَّابِينَ، وَاجْعَلْنَا مِنَ الْمُتَطَهِّرِينَ، وَاجْعَلْنَا مِنْ عِبَادِكَ الصَّالِحِيْنَ
Maksudnya: “Ya Allah, jadikan kami termasuk daripada kalangan orang yang bertaubat. Jadikanlah juga kami termasuk daripada kalangan orang yang bersuci. Dan jadikan juga kami termasuk daripada kalangan hamba-hambaMu yang soleh.”