Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya dahulu pernah bernazar lalu sekarang saya terlupa apa yang saya nazarkan. Apa yang perlu saya lakukan?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Nazar dari sudut bahasa membawa erti berjanji melakukan kebaikan atau kejahatan. Manakala dari sudut istilah, nazar ditakrifkan sebagai :
اِلْتِزَامُ قُربُةِ لَم تَتَعَيَّن فِي الشَّرْعِ، إِمَّا مُطْلَقًا، أَوْ مُعَلَّقًا عَلَى شَيْء
Maksudnya: “Mewajibkan ke atas diri sendiri suatu perbuatan qurbah (ibadah yang mendekatkan diri dengan Allah) yang tidak diwajibkan oleh syara’ (ke atas dirinya), sama ada secara mutlak atau pun dengan menta’liqkan (iaitu mengaitkan) dengan suatu perkara.” (Lihat Al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 2/501)
Hukum melaksanakan tuntutan nazar adalah wajib sekiranya ia merupakan suatu amal ketaatan. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَلْيُوفُوا نُذُورَهُمْ
Maksudnya: “Dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazar mereka.”
(Surah Al-Hajj: 29)
Demikian juga berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ummu al-Mu’minin A’isyah R.Anha beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ، وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَهُ فَلاَ يَعْصِهِ
Maksudnya: “Sesiapa yang bernazar untuk mentaati Allah maka hendaklah dia mentaatinya. Dan sesiapa yang bernazar untuk bermaksiat kepadanya maka janganlah dia bermaksiat kepadanya.“
Riwayat Al-Bukhari (6696)
Para ulama menyatakan bahawa nazar mempunyai tiga rukun iaitu:
- Sighah(bentuk ucapan).
- Orang yang melakukan nazar (الناذر)
- Perkara yang dinazarkan (المنذور)
Syeikh Dr. Muhammad Al-Zuhaili dalam menghuraikan rukun yang pertama iaitu sighah menyatakan: ‘’Ia (sighah) adalah ucapan yang terbit dari pelaku nazar. Dan tidak sah nazar melainkan dengan perkataan. Iaitu seseorang itu mengucapkan: ‘’Untuk Allah ke atas diriku perbuatan sekian-sekian’’. Sekiranya seseorang itu menyebut: ‘’Ke atas diriku perbuatan sekian-sekian’’, maka nazarnya sah. Ini kerana, perbuatan ibadah itu tidak berlaku melainkan hanya untuk Allah semata-mata’’. Yang paling lengkap dalam sighah nazar ini sebagai contoh adalah: ‘’Sekiranya Allah menyembuhkan sakitku ini, maka untuk Allah ke atas diriku perbuatan sekian’’. Dan disyaratkan juga pada sighah supaya dilakukan dengan lafaz yang menunjukkan kepada iltizam (kesungguhan). (Lihat Al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 2/505)
Begitu juga Syeikh Zakaria bin Ahmad bin Zakaria Al-Ansari menyatakan :
كَقَوْلِ مَنْ يَصِحُّ نَذْرُهُ ‘’لِلَّهِ عَلَيَّ كَذَا’’ أَوْ ‘’عَلَيَّ كَذَا’’ بِدُونِ لِلَّهِ إذْ الْعِبَادَاتُ إنَّمَا يُؤْتَى بِهَا لِلَّهِ فَالْمُطْلَقُ فِيهَا كَالْمُقَيَّدِ عَلَى الْأَصَحِّ
Maksudnya: “Seperti ucapan mereka yang sah nazarnya : ‘’Untuk Allah ke atas diriku perbuatan sekian’’, ataupun ‘’ke atas diriku perbuatan sekian’’ tanpa sebutan ‘’untuk Allah’’. Kerana ibadat-ibadat ini hanya dilakukan untuk Allah. Maka sebutan secara mutlak (umum) padanya sama seperti muqayyad (terikat dengan nama Allah) menurut pendapat yang paling sahih.” (Lihat Al-Ghurar Al-Bariyyah, 5/208)
Berdasarkan persoalan di atas, jika hajat seseorang itu belum dicapai daripada nazarnya, maka tidak wajib bagi dia untuk menunaikan nazarnya. Sesungguhnya kewajipan menunaikan nazar itu bergantung kepada berlakunya dan tercapainya perkara yang dinazarkan tersebut. Dalam hal ini, Ibn al-Qudamah menyebut di dalam kitabnya al-Mughni:
التِزَامُ طَاعَةٍ فِي مُقَابِلِ نِعْمَةٍ اسْتَجْلَبَهَا أَوْ نَقْمَةٍ اسْتَدْفَعَهَا كَقَوْلِهِ : إِن شَفَانِي اللهُ فَللهِ عَلَيَّ صَوْمُ شَهْرٍ فَتَكُونُ الطَاعَةُ المُلْتَلْزِمَةُ ممَّا لَهُ أَصْلٌ فِي الوُجُوبِ بِالشَرْعِ
Maksudnya: “Menjadi wajib satu ketaatan bagi nikmat yang tertentu yang diperolehinya atau satu bala tertentu yang dapat dielakkannya dengan berkata -sebagai contoh, “Jika sekiranya Allah SWT menyembuhkan aku daripada penyakit ini, maka bagi Allah SWT keatas aku berpuasa selama sebulan”. Maka ia menjadi satu ketaatan yang wajib ditunaikan selagimana mempunyai asal dalam syarak.” (Lihat al-Mughni li Ibn al-Qudamah, 13/622)
Al-Kasani pula menyatakan di dalam Badai’ al-Sonai’: “Sekiranya nazar itu terikat dengan syarat seperti dia mengatakan, “Kalau Allah menyembuhkan penyakitku atau kalau fulan yang menghilang itu datang, maka demi Allah saya akan berpuasa sebulan atau saya solat dua rakaat atau saya bersedekah satu dirham dan seumpamanya itu, maka nazar itu terikat dengan syarat masa. Maka jikalau syarat atau hajat daripada nazar itu belum dipenuhi, maka tidak wajib untuk ditunaikan nazar tersebut menurut ijma.” (Lihat Badai’ al-Sonai’, 5/94)
Justeru, apabila sesuatu nazar tercapai, maka wajib untuk seseorang itu melaksanakan apa yang dinazarkannya. Walaubagaimanapun, jika nazar itu tidak tercapai, maka tiada kewajipan ke atas dia untuk melaksanakan apa yang dinazarkan tersebut.
Terlupa Apa Yang Dinazarkan
Sesiapa yang benazar kemudian dia terlupa apa yang dinazarkan sama ada solat, puasa atau seumpamanya, maka dia mesti berusaha untuk mengetahui apa yang dia nazarkan ataupun mencari bukti atau tanda-tanda yang menunjukkan apa yang dinazarkannya.
Terdapat sebahagian ulama dari mazhab al-Shafie yang berpandangan orang yang seperti ini perlu tunaikan kesemua nazar yang diragukannya itu. Sepertimana dia lupa apakah dia bernazar untuk menunaikan solat sunat atau berpuasa sunat. Maka dia perlu menunaikan kedua-duanya solat sunat dan puasa sunat. Antara yang menyatakan sebegini ialah al-Imam al-Ramli. Namun begitu, sekiranya dia teringat bahawa dia bernazar untuk solat, berpuasa, atau sesuatu yang lain, tetapi dia lupa bilangan atau keadaan apa yang dia nazarkan, maka yang wajib baginya adalah dengan melakukan dengan bilangan yang paling sedikit pada nazar tersebut, iaitu dengan solat dua rakaat, atau puasa sehari, atau seumpamanya.
Tetapi, sekiranya dia tidak boleh mengingati apa yang dinazarkan itu, maka dia mestilah melakukan kaffarah sumpah sebagaimana pandangan jumhur ulama’ di dalam isu nazar al-mubham (nazar yang tidak jelas), iaitu nazar yang tidak ditentukan amalannya oleh orang yang melakukan nazar tersebut. (Lihat Hukm al-Nazr al-Mubham, al-Mausu’ah al-Fiqhiyah al-Kuwaitiyah, 40/158)
Tebus Nazar dengan Kaffarah Sumpah
Majoriti ulama berpandangan orang yang lupa ataupun ragu nazarnya hendaklah membayar kaffarah sumpah. Hal ini kerana orang yang lupa nazarnya sama seperti orang yang bernazar tetapi tidak menyebut apa yang hendak dilakukannya. Ini kerana orang yang lupa nazarnya dia dalam keadaan tiada kemampuan menentukan jenis nazarnya, maka dia disamakan dengan orang yang tidak mampu menunaikan nazar.
Telah diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma secara mauquf:
مَنْ نَذَرَ نَذْرًا لَمْ يُسَمِّهِ فَكَفَّارَتُهُ كَفَّارَةُ يَمِينٍ، وَمَنْ نَذَرَ نَذْرًا لاَ يُطِيقُهُ فَكَفَّارَتُهُ كَفَّارَةُ يَمِينٍ، وَمَنْ نَذَرَ نَذْرًا أَطَاقَهُ فَلْيَفِ بِهِ
Maksudnya: Sesiapa yang bernazar suatu nazar yang tidak dinyatakan (jenisnya), maka kaffarahnya ialah kaffarah sumpah. Sesiapa yang bernazar melakukan maksiat, maka kaffarahnya adalah kafarrah sumpah. Sesiapa yang bernazar dengan suatu nazar yang tidak mampu dilaksanakannya maka kaffarahnya ialah kaffarah sumpah, sesiapa yang bernazar dengan nazar yang mampu dilaksanakannya, maka hendaklah dia melaksanakan nazar tersebut.”[1]
Untuk dikenakan kaffarah mestilah memenuhi segala rukun serta syarat-syaratnya. Dan sekiranya sempurna segalanya maka wajib dikenakan kaffarah sepertimana Firman Allah SWT:
لَا يُؤَاخِذُكُمُ اللَّـهُ بِاللَّغْوِ فِي أَيْمَانِكُمْ وَلَـٰكِن يُؤَاخِذُكُم بِمَا عَقَّدتُّمُ الْأَيْمَانَ ۖ فَكَفَّارَتُهُ إِطْعَامُ عَشَرَةِ مَسَاكِينَ مِنْ أَوْسَطِ مَا تُطْعِمُونَ أَهْلِيكُمْ أَوْ كِسْوَتُهُمْ أَوْ تَحْرِيرُ رَقَبَةٍ ۖ فَمَن لَّمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ ۚ ذَٰلِكَ كَفَّارَةُ أَيْمَانِكُمْ إِذَا حَلَفْتُمْ ۚ وَاحْفَظُوا أَيْمَانَكُمْ ۚ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّـهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
Maksudnya: “Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah olehNya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah – peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (hukum-hukum ugamaNya) supaya kamu bersyukur.”
(Surah al-Ma’idah: 89)
Muhammad Rashid Ridha di dalam Tafsir al-Manar menyatakan: Kaffarah sumpah ialah suatu tindakan yang diperintahkan syarak bagi tujuan menghapuskan dosa bersumpah dan pelanggaran sesuatu sumpah. Allah SWT tidak menyukai sumpah meninggalkan makan dan minum atau perkara yang halal. Termasuk dalam hal ini ialah sumpah untuk melakukan perkara yang sia-sia. (Lihat Tafsir al-Manar, 7/34)
Sebahagian fuqaha berpendapat pilihan kaffarah sumpah adalah berdasarkan tahap kekayaan dan melihat kandungan sumpah. Jika sumpahnya perkara besar maka ia wajib menunaikan kaffaah yang dinilai sebanding dengan sumpah. (Lihat Tafsir al-Azhar, 7/27)
Al-Sabuni berkata: Wajib dilaksanakan kaffarah sumpah mengikut turutan kemampuan seperti berikut:
- Membebaskan hamba yang beriman.
- Memberi makanan yang mengenyangkan kepada 10 orang fakir miskin.
- Lazimnya makanan asasi yang dimakan oleh keluarga. Boleh juga disediakan wang dengan nilai makanan tersebut.
- Membekalkan pakaian yang lengkap kepada 10 fakir miskin.
- Jika tidak dapat menyediakan perkara tadi maka hendaklah berpuasa selama tiga hari. (Lihat Safwah al-Tafasir, 1/263)
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami nyatakan bahawa seseorang itu mestilah melakukan perkara yang dinazarkan tersebut selagi mana ia tidak bertentangan dengan syara’. Namun begitu, sekiranya dia terlupa, kami simpulkan dengan beberapa perkara:
- Hendaklah dia berusaha untuk mengingatinya kembali apa yang dinazarkan tersebut.
- Jikalau dia lupa apakah dia bernazar untuk menunaikan solat sunat atau berpuasa sunat, maka dia perlu menunaikan kedua-duanya, iaitu solat sunat dan puasa sunat
- Jikalau dia hanya mengingati jenisnya sahaja seperti solat dan puasa, hendaklah dia melakukan yang paling ringan seperti solat dua rakaat dan puasa satu hari.
- Jikalau dia langsung tidak dapat mengingati apa yang dinazarkan itu, hendaklah dia melakukan kaffarah sumpah atas apa yang dinazarkan tersebut.
Sebagai penutup, kami mengambil kesempatan ini untuk menasihati supaya tidak bernazar dengan sesuatu perkara yang akan memberatkan diri sendiri untuk menunaikannya di masa depan. Hal ini kerana Rasulullah SAW pernah bersabda:
لا تَنْذرُوا، فإنَّ النَّذْرَ لا يُغْنِي مِنَ القَدَرِ شيئًا، وإنَّما يُسْتَخْرَجُ به مِنَ البَخِيلِ
Maksudnya: “Janganlah kamu untuk bernazar (dengan sesuka hati), kerana sesungguhnya nazar tidak akan mengubah daripada takdir yang telah ditentukan Allah SWT sedikitpun. Hanyasanya ia dikeluarkan daripada orang yang bakhil.”
Riwayat Muslim (1640)
Ibn Qudamah mengatakan: “Tidak digalakkan untuk bernazar. Hal ini kerana Ibn Umar R.Anhuma berkata bahawa Nabi SAW melarang untuk bernazar sambil bersabda, “Hal ini kerana nazar tidak mendatangkan kebaikan dan sesungguhnya ia dikeluarkan daripada orang yang bakhil. Hal ini menunjukan bahawa ia adalah larangan makruh dan bukan larangan haram. Sekiranya nazar itu haram, Allah SWT tidak akan memuji orang yang menunaikan nazar kerana dosa mereka ketika terjerumus pada yang haram itu lebih berat dibandingkan dengan ketaatannya dalam menunaikan (janjinya). Sekiranya nazar itu digalakkan, pasti Nabi SAW dan para sahabat yang mulia akan melakukannya. (Lihat al-Mugni, 10/68)
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahu a’lam
Bertarikh: 29 Mac 2022 bersamaan 26 Syaaban 1443H
[1] Riwayat Abu Dawud (3322) dan Ibn Majah (2128) . Imam Abu Dawud menyatakan: “Hadith ini diriwayatkan oleh Waki’ dan selain beliau daripada Abdillah bin Sa’ied bin Abi al-Hind. Mereka menyatakan hadith ini mauquf ke atas Ibn ‘Abbas.” Hal ini juga ditarjihkan juga oleh Imam Ibn Hajar al-Asqalani di dalam Fath al-Bari, (11/587)