Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah pembahagian yang ada dalam hukuman ta’zir?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
إِنَّا أَنزَلْنَا إِلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِتَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ بِمَا أَرَاكَ اللَّهُ ۚ وَلَا تَكُن لِّلْخَائِنِينَ خَصِيمًا
Maksudnya: Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya engkau menghukum di antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu (melalui wahyuNya); dan janganlah engkau menjadi pembela bagi orang-orang yang khianat.
(Surah al-Nisa’: 105)
Ayat ini, walaupun diturunkan kepada Nabi SAW, tetapi maksudnya umum untuk semua pemerintah yang ditaklifkan dalam urusan negara. Kaedah ada menyebut:
الْعِبْرَة بِعُمُومِ اللَّفْظِ لا بِخُصُوصِ السَّبَبِ
Maksudnya: “Sesuatu itu diambil kira berdasarkan kepada keumuman lafaz dan bukan berdasarkan kepada kekhususan sebab.” (Lihat al-Asybah wa al-Nazha’ir, al-Subki, 2/134)
Ta‘zir adalah hukuman yang tidak ditetapkan kadar oleh syara‘ yang wajib sebagai hak bagi Tuhan atau manusia pada setiap maksiat yang tiada padanya hukuman hudud dan juga kaffarah pada ghalibnya. Pengarang al-Fiqh al-Manhaji berkata, hukuman ini dijatuhkan oleh hakim yang beragama Islam dan adil, iaitu hukuman yang dirasakan boleh mencegah manusia melakukan perbuatan keji ini. Hukuman ini boleh dikenakan dalam bentuk sebatan, buang negeri, penjara atau kecaman. Ini kerana perbuatan seperti ini perbuatan maksiat yang tidak termasuk dalam kesalahan hudud dan tidak akan dikenakan kaffarah. Apabila hudud tidak dikenakan, kesalahan ini perlu dikenakan hukuman ta‘zir. (Lihat al-Mabsut, 9/36; Fath al-Qadir, 7/119; Kasyaf al-Qina‘, 4/72; al-Ahkam al-Sultaniyyah, hlm. 224; Nihayah al-Muhtaj, 7/72; al-Fiqh al-Manhaji, 8/62).
Dalam jenayah Islam, Ta’zir boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian iaitu:
- Ta’zir atas perbuatan maksiat
Syeikh Abd al-Qadir ‘Audah menjelaskan bahawa, maksud perbuatan maksiat ialah: “Melakukan perbuatan-perbuatan yang diharamkan Syarak dan meninggalkan perbuatan-perbuatan yang diwajibkan oleh Syarak.” (Lihat al-Tasyri’ al-Jina’i al-Islami, hlm. 128) Berdasarkan takrifan ini, dapat dilihat bahawa pengertian maksiat itu adalah begitu luas, iaitu setiap yang diharamkan oleh Syarak daripada dilakukan, dan meninggalkan perbuatan yang diwajibkan Syarak. Namun, sekiranya nas telah menetapkan hukum hadd padanya, maka ta’zir tidak ada dalam perkara itu. Antara contoh ta’zir dalam kategori ini adalah seperti menyebarkan fitnah dan mencemarkan nama baik orang lain. Manakala dalam perkara meninggalkan perkara yang diwajibkan adalah seperti meninggalkan solat, zakat dan seumpamanya.
- Ta’zir bagi maslahat umum
Menurut Syeikh ‘Abd al-Qadir ‘Audah, bahawa perbuatan yang dihukum dengan hukuman Ta’zir itu tidaklah diharamkan disebabkan zatnya. Akan tetapi, ia diharamkan kerana sifatnya. Jika didapati padanya sifat yang diharamkan itu, maka perbuatan tersebut dibolehkan. (Lihat al-Tasyri’ al-Jina’i al-Islami, hlm. 128) Sifat yang dijadikan sebagai sebab untuk dihukum pelakunya adalah memudaratkan kepentingan umum atau peraturan umum. Ia dengan maksud peraturan umum yang dibuat oleh pemerintah. Maka, apabila seseorang melanggar peraturan tersebut, maka hakim atau penguasa boleh menghukum pelakunya dengan hukuman ta’zir yang sesuai dengan kesalahannya. Antara contoh ta’zir kategori ini adalah seperti menghukum orang yang melanggar lampu isyarat lalu lintas.
- Ta’zir bagi perbuatan yang makruh
Antara hukuman ta’zir dalam kategori ini ialah seperti menghukum orang yang memakan makanan yang berbau tidak sedap, mengambil harta kepunyaan ibu bapa dan sebagainya.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا ۚ أَنتَ مَوْلَانَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.”