Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya lihat, ada sebahagian orang zaman sekarang sudah tidak mahu ada anak kerana menganggap sebagai bebanan, sedangkan ia boleh mengakibatkan terputusnya keturunan. Bagaimana pandangan Islam dalam hal ini?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَهَبُ لِمَن يَشَاءُ إِنَاثًا وَيَهَبُ لِمَن يَشَاءُ الذُّكُورَ

Maksudnya: “Dia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendakiNya.”

(Surah al-Syura: 49)

Ibn Kathir berkata: “Allah SWT memberitahu bahawa Dia memberi rezeki kepada siapa yang Dia kehendaki dan menahan rezeki daripada siapa yang Dia kehendaki. Tidak ada yang dapat menghalangi apa yang Dia berikan, dan tidak ada yang dapat memberikan apa yang Dia tahan. Dia menciptakan apa yang Dia kehendaki dan memberi anak perempuan kepada siapa yang Dia kehendaki. Al-Baghawi berkata: “Contohnya adalah Nabi Lut, yang hanya diberikan anak perempuan”. Dia juga memberikan anak lelaki kepada siapa yang Dia kehendaki. Al-Baghawi berkata: “Seperti Nabi Ibrahim yang tidak diberikan anak perempuan”. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 7/198)

Jika diperhatikan dengan teliti sebab atau alasan yang diberikan bagi pasangan yang memilih untuk tidak mempunyai anak atau childfree by choice, sebenarnya ia membawa kepada satu sebab yang utama iaitu “anak dianggap sebagai bebanan.” Dalam erti kata lain, bebanan kepada kerjaya pasangan tersebut, bebanan kepada kewangan mereka, bebanan kepada diri mereka di mana kebebasan peribadi atau fokus kepada diri masing-masing dan juga pasangan dilihat semakin berkurangan kerana perlu memberikan fokus atau perhatian kepada anak-anak itu.

Dalam Islam, anak-anak dianggap sebagai anugerah dan rahmat dari Allah SWT. Mereka adalah amanah yang diberikan kepada ibu bapa dan harus dijaga serta dididik dengan penuh kasih sayang dan tanggungjawab. Islam tidak menganggap anak sebagai beban, sebaliknya sebagai sumber kebahagiaan dan rezeki. Allah SWT berfirman:

الْمَالُ وَالْبَنُونَ زِينَةُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ وَالْبَاقِيَاتُ الصَّالِحَاتُ خَيْرٌ عِندَ رَبِّكَ ثَوَابًا وَخَيْرٌ أَمَلًا ‎

Maksudnya: “Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan.”

(Surah al-Kahf: 46)

Imam al-Alusi menyebutkan bahawa ayat ini menerangkan tentang perkara-perkara yang menjadi kebanggaan manusia daripada kebaikan kehidupan di dunia. (Lihat Ruh al-Ma‘ani, 8/271).

Dengan itu, jelaslah bahawa anak-anak termasuk dalam kebanggaan manusia daripada kebaikan kehidupan di dunia selain daripada harta benda. Di samping itu, anak-anak memegang peranan yang penting dalam kehidupan ibu bapa, kerana mereka dilihat sebagai landasan untuk memastikan masa depan yang keluarga yang bahagia. Anak-anak merupakan sumber utama dalam pemeliharaan dan pengekalan tradisi serta budaya, dan mereka juga berperanan dalam pertumbuhan dan perkembangan keluarga. Tambahan pula, anak-anak juga menjadi sumber utama dalam memupuk dan memelihara hubungan baik antara generasi yang satu dengan generasi yang lain.

Oleh sebab itu, Islam memberikan penekanan yang tinggi kepada keluarga dan anak-anak, dan menganggap mereka sebagai tanggungjawab yang perlu dijaga dan dididik mengikut cara yang diredhai oleh Allah. Anak-anak memberikan kehidupan yang lebih bererti dan penuh kegembiraan, dan dianggap sebagai elemen penting dalam masyarakat Islam. Maka, mereka perlu dipelihara, diberi kasih sayang, dan sokongan.

Childfree: Memutuskan Keturunan

Berdasarkan  dengan takrifan childfree, yang mana ia merupakan pilihan daripada suami dan isteri untuk tidak memiliki anak dengan pilihan yang dibuat adalah dengan kesedaran penuh. Hal ini menunjukkan bahawa mereka yang memilih untuk childfree ini adalah kerana tidak ingin membebankan diri dengan bebanan anak bahkan menyebabkan terputusnya keturunan.

Berbeza pula dengan childless, kerana pasangan yang jenis ini mempunyai keinginan untuk memiliki anak, tetapi tidak direzekikan untuk memiliki anak atas sebab masalah kesuburan atau seumpamanya.

Tidak diragukan lagi bahawa melahirkan anak adalah salah satu tujuan utama perkahwinan dan yang paling bermanfaat kerana ia memastikan kelangsungan jenis manusia. Allah SWT berfirman:

ذُرِّيَّةً بَعْضُهَا مِن بَعْضٍ

Maksudnya: “(Mereka kembang biak sebagai) satu keturunan (zuriat) yang setengahnya berasal dari setengahnya yang lain. Dan (ingatlah), Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Mengetahui.”

(Surah Ali Imran: 34)

Diriwayatkan daripada Ma’qil bin Yasar R.A, katanya: Seseorang telah mendatangi Rasulullah SAW dan berkata:

تَزَوَّجُوا الْوَدُودَ الْوَلُودَ فَإِنِّي مُكَاثِرٌ بِكُمُ الْأُمَمَ

Maksudnya: “Kahwinilah kamu akan perempuan yang penyayang, subur kerana aku merasa bangga dengan memiliki umat yang banyak.”

Riwayat Abu Dawud (2050) dan al-Nasa’i (3227). Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut menyatakan sanad hadith ini kuat dan dinilai sahih berdasarkan kitab Adab al-Zifaf (hlm. 132)

Syeikh Zakariyya al-Ansari berkata: “Penyayang serta kesuburan seorang perempuan dapat diketahui dengan melihat saudara dan kerabatnya yang senasab. (Lihat Asna al-Matalib, 3/197)

Dengan itu, tindakan menghindari kelahiran anak adalah suatu tindakan yang memutuskan silsilah keturunan dan bertentangan dengan fitrah manusia yang telah diciptakan oleh Allah serta syariat Islam yang telah diredhai oleh Allah untuk hamba-hamba-Nya. Suami dan isteri tidak dibenarkan untuk bersetuju bagi tidak mempunyai anak sama sekali. Walau bagaimanapun, penangguhan sementara dalam memiliki anak boleh dibenarkan jika pasangan melihat adanya manfaat, sebagaimana yang telah difatwakan oleh Majma‘ Fiqh al-Islami.

Oleh yang demikian, memutuskan untuk tidak mempunyai anak tanpa sebab yang sah boleh dianggap sebagai tindakan yang menyalahi tujuan pernikahan tersebut bahkan menyalahi fitrah . Allah SWT berfirman:

وَاللَّهُ جَعَلَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا وَجَعَلَ لَكُم مِّنْ أَزْوَاجِكُم بَنِينَ وَحَفَدَةً وَرَزَقَكُم مِّنَ الطَّيِّبَاتِ ۚ

Maksudnya: “Dan Allah menjadikan bagi kamu dari diri kamu sendiri pasangan-pasangan (isteri), dan menjadikan bagi kamu dari pasangan kamu anak-anak dan cucu-cicit, serta merezekikan kepada kamu dari benda yang baik (lagi halal).”

(Surah al-Nahl: 72)

Ayat ini menunjukkan bahawa anak-anak adalah sebahagian daripada rezeki dan nikmat Allah SWT yang dikurniakan kepada hamba-hamba-Nya. Oleh itu, larangan pasangan yang berkahwin dengan niat untuk tidak menginginkan zuriat adalah bertentangan dengan tujuan asal perkahwinan dalam Islam. Menjaga keturunan adalah termasuk dalam konsep maqasid syariah yang penting, yang mana antara tujuannya ialah memelihara keturunan dan memastikan kesinambungan umat manusia.

Justeru, setiap individu dan pasangan harus melakukan pertimbangan yang mendalam dan memahami implikasi yang mungkin muncul dari keputusan untuk menjalani kehidupan tanpa anak, sambil memahami kepentingan dan tujuan asal bagi sesebuah perkahwinan.

Kami juga ada menjawab isu seperti ini dalam eBook kami bertajuk Childfree: Pro dan Kontra.[1]

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ هَبْ لِي مِنَ الصَّالِحِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh!”

[1] Untuk bacaan lanjut, boleh dapatkan di pautan berikut: https://play.google.com/store/books/details?id=f80gEQAAQBAJ

Leave a Reply