Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan berkenaan makna dan pengertian khusyuk?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ ﴿١﴾ الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ
Maksudnya: “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, (1) Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya.”
(Surah al-Mu’minun: 1-2)
Imam al-Qurtubi dalam menjelaskan ayat ini menyebut, khusyuk merupakan perkara di dalam hati. Sekiranya seseorang itu khusyuk ketika solat maka anggota badan juga turut akan khusyuk disebabkan hatinya khusyuk melakukan solat. Imam al-Qurtubi menceritakan seorang ulama ketika melakukan solat, maka ia akan melakukan dengan mengagungkan Allah SWT dengan memalingkan pandangannya daripada sesuatu urusan keduniaan. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 12/103)
Dari sudut bahasa, Ibn Faris mengatakan: “Khusyuk adalah (terdiri dari tiga huruf dasar) kha` (خ), syin (ش) dan ‘ain (ع) adalah satu sumber, yang menunjukkan kepada makna tunduk atau merendah.” (Lihat Mu’jam Maqaayiis al-Lughah, hlm. 316)
Dikatakan kalimah khusyuk adalah hampir dengan sama maknanya dengan kalimah khudhu’ (الخضع). Adapun perbezaannya adalah khudhu’ (الخضع) hanya berkaitan dengan tubuh badan, sedangkan khusyuk ialah melibatkan tubuh badan, suara dan pandangan.
Manakala dari sudut istilah, Imam al-Baghawi telah menukilkan beberapa pentafsiran ulama tentang khusyuk dalam solat. Walaupun pentafsiran tersebut berbeza ungkapannya, namun antara satu sama lain tidak saling bertentangan, bahkan saling melengkapi. Ini kerana sebahagian ahli tafsir menjelaskan makna khusyuk dari sisi lahiriyah dan sebahagian lagi menjelaskan makna khusyuk dari sisi batin.
Menurut al-Baghawi, para ulama berselisih pendapat dalam mentafsirkan maksud khusyuk dalam firman Allah SWT “الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ” (iaitu) orang-orang yang khusyuk dalam solatnya. Namun, mereka bersepakat menyatakan bahawa khusyuk merupakan elemen penting kepada solat yang berkualiti.
Antara pendapat sahabat dan tokoh berkaitan maksud khusyuk:
- Ibn ‘Abbas R.Anhuma berkata: Tenang dan merendahkan diri (مُخْبِتُونَ أَذِلَّاءُ)
- Ali bin Abi Talib R.A berkata: Iaitu tidak menoleh ke kanan dan tidak pula ke kiri.
- Sa’id bin Jubair Rahimahullah berkata: Iaitu (seseorang) tidak mengetahui siapa orang yang di sebelah kanan dan kirinya, dia tidak menoleh, kerana sangat khusyuknya (menghadap kepada) Allah ‘Azza wa Jalla.
- ‘Amr bin Dinar Rahimahullah berkata: Iaitu ketenangan dan keindahan keadaan (gerakan).
- Ibnu Sirin Rahimahullah dan yang lainnya berkata: Iaitu engkau tidak mengangkat pandanganmu dari tempat sujudmu.
- Ata’ Rahimahullah berkata: Iaitu engkau tidak bermain-main dengan anggota tubuhmu dalam solat.
- Al-Hasan (al-Basri) Rahimahullah dan Qatadah Rahimahullah berkata: (iaitu) orang-orang yang takut.
- Muqatil Rahimahullah berkata: (iaitu) orang-orang yang rendah hati (tawadhu’).
- Mujahid Rahimahullah berkata: iaitu menundukkan pandangan dan merendahkan suara. (غَضُّ الْبَصَرِ وَخَفْضُ الصَّوْتِ)
- Ada juga yang menyebut, khusyuk dalam solat adalah: Mengumpulkan konsentrasi (memerhatikan urusan solat) dan berpaling daripada urusan selainnya serta menghayati makna bacaan dan zikir yang diucapkan oleh lisannya” (Lihat Ma’alim al-Tanzil, 5/408)
- Syeikh Muhammad Rasyid Ridha Rahimahullah berkata: Yang dimaksudkan khusyuk dalam solat iaitu buah iman yang sahih sehingga menolong untuk mengikutnya iman daripada amal. Khusyuk menjadi kesan rasa khasyatullah pada hati sehingga melimpah kepada gerakan anggota, perasaan, maka khusyuk penglihatan dengan tenang dan rasa kerendahan. Sedangkan khusyuk dengan suara melalui kelembutan dan bahasa yang mendayu sebagaimana khusyuk anggota yang lain. (Lihat Tafsir al-Manar, 1/301)
Dalam sebuah hadis daripada riwayat Ammar bin Yasir, beliau solat dua rakaat lalu meringkaskannya. Lantas Abd al-Rahman bin al-Harith berkata kepadanya: Wahai Abu al-Yaqazan, aku melihat engkau meringkaskan kedua-duanya. Beliau lalu menjawab: Telah datang kepadaku was-was dan sesungguhnya aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ الرَّجُلَ لِيُصَلِّي الصَّلاَةَ ، وَلَعَلَّهُ لاَ يَكُونُ لَهُ مِنْهَا إِلاَّ عُشْرُهَا ، أَوْ تُسْعُهَا ، أَوْ ثُمُنُهَا ، أَوْ سُبُعُهَا ، أَوْ سُدْسُهَا حَتَّى أَتَى عَلَى الْعَدَدِ
Maksudnya: “Sesunggguhnya seseorang melakukan solat dan boleh jadi tidak tersisa daripadanya (faham dan khusyuk dalam solat) melainkan baki sekadar 1/10 nya atau 1/9 nya atau 1/8 nya atau 1/7 nya atau 1/6 nya sehingga syak sampai kepada bilangan rakaat solat.”
Riwayat Ahmad (18398) dan Ibnu Hibban (1889)
Seseorang yang selesai dari mendirikan solat akan tetapi tidak ditulis baginya pahala melainkan 1/10 atau 1/9 atau 1/8 dan seterusnya bahkan mungkin tidak dicatat langsung baginya pahala daripada solat tersebut. (Lihat ‘Aun al-Ma’bud wa Hasyiyah Ibn al-Qayyim, 3/3)
Definisi Khusyuk dalam Solat
Allah SWT berfirman:
قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ ﴿١﴾ الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ
Maksudnya: “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya.”
(Surah al-Mukminun: 1-2)
Ibn Kathir ketika mentafsirkan ayat di atas berkata: ‘Ali bin Abi Talhah menceritakan daripada Ibn Abbas R.anhuma: “خَاشِعُونَ” (orang-orang yang khusyuk) iaitu orang-orang yang takut lagi penuh ketenangan. Daripada Ali bin Abi Talib R.A: Yang dimaksudkan dengan khusyu’ di sini ialah kekhusyukan hati.
Hasan al-Basri pula berkata: “Kekhusyukan mereka itu berada di dalam hati mereka, sehingga kerananya mereka menundukkan pandangan serta merendahkan diri mereka.” Khusyuk dalam solat hanya dapat dilakukan oleh orang yang memfokuskan hati padanya sambil melupakan pelbagai aktiviti yang lain. Pada ketika itulah akan terwujud ketenangan dan kebahagiaan baginya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/110)
Diriwayatkan bahawa sebab turunnya ayat ini adalah ketika Rasulullah SAW mendirikan solat, Baginda sedang memandang ke atas. Maka turunlah ayat ini kepada Baginda SAW. Kemudian Baginda menundukkan pandangannya ke tempat sujud beliau. (Lihat al-Tafsir al-Munir fi al-‘Aqidah wa al-Syari’ah wa al-Manhaj, 9/329)
Kami kemukakan juga di sini beberapa pendapat para ulama dalam mendefinisikan khusyuk.
- Ibn Qayyim al-Jauziyyah berkata: Khusyuk adalah: Berdirinya hati di hadapan Tuhan dengan penuh ketundukan dan perasaan hina diri.
- Syeikh Junaid Al-Baghdadi berkata: Khusyuk adalah; Perasaan rendah diri di dalam hati ke hadapan Tuhan yang Maha Mengetahui perkara ghaib. (Lihat Madarij al-Salikin, 1/521).
- Ibn Rajab al-Hanbali turut memberikan definisi yang menarik berkenaan khusyuk. Kata beliau: Asal bagi khusyuk adalah perasaan lembut jantung hati, tenang, tunduk serta tetapnya ia. (Lihat al-Khusyu’ fi al-Solat, Ibn Rajab Al-Hanbali, hlm. 17).
- Al-Syaukani ketika mengulas ayat ini berkata: Sebahagian ulama memasukkannya (khusyuk) sebagai sebahagian daripada perbuatan hati seperti perasaan takut dan juga gerun. Manakala sebahagian yang lain mengatakan ia termasuk sebahagian dari perbuatan anggota badan seperti tenang dalam solat, tidak beralih ke sana sini, dan tidak melakukan perkara sia-sia di dalam solat. Dan dari segi bahasa khusyuk bermaksud: Tenang, tawadhu’ (rendah diri), takut, dan juga perasaan hina diri. (Lihat Fath al-Qadir, 1/977).
Perlu difahami bahawa khusyuk terbahagi kepada dua iaitu:
- Khusyuk hati iaitu kehadiran hati seseorang yang sedang menunaikan solat secara fokus menghadap Allah SWT dengan membawa cinta kepada-Nya, mengagungkan-Nya, takut terhadap seksa-Nya, dan mengharap pahala dari-Nya sehingga merasa dekat dengan-Nya dan tenang hatinya serta penuh penghayatan dengan menghayati seluruh apa yang diucapkan dan lakukan dalam solatnya, dari awal hingga selesai solatnya. Kekhusyukan hati inilah yang melahirkan kekhusyukan badan, kerana ia adalah asas kekhusyukan.
- Khusyuk badan iaitu ketenangan gerakan dalam solat, beradab dan tidak tergesa-gesa dalam mengucapkan zikir dan doa, ketundukan pandangan ke arah tempat sujud, tidak menoleh ke atas atau ke arah yang menghilangkan khusyuk dan tidak disibukkan dengan gerakan yang sia-sia.
Inilah khusyuk yang merupakan ruh dan maksud solat. Namun, tidaklah mampu untuk khusyuk anggota tubuh kita kecuali apabila telah khusyuk hati kita, kerana kekhusyukan hati adalah asas atau dasar kepada kekhusyukan badan.
Sa’id bin Musayyib pernah melihat seseorang yang berbuat perkara sia-sia dalam solatnya, lalu beliau berkata: “Kalau seandainya hati orang ini khusyuk, tentulah akan khusyuk anggota tubuhnya.” (Lihat al-Sunan al-Kubra oleh Imam al-Baihaqi, 2/285)
Imam al-Tabari pula mendatangkan beberapa pendapat tokoh ulama salaf berkenaan pengertian khusyuk di dalam solat. Ianya seperti berikut:
- Imam Mujahid dan Imam Ibn Syihab al-Zuhri berkata: “Khusyuk dalam solat adalah dengan cara tenang di dalamnya.”
- Amirul Mu’minin Ali bin Abi Talib RA ketika ditanyakan berkenaan ayat ini menyebut: Khusyuk di dalam solat itu bererti: “Janganlah kamu berpaling ke sana sini di dalam solat kamu.”
- Al-Hasan berkata: “Mereka khusyuk di dalam jantung hati mereka. Maka mereka pun menundukkan pandangan serta merendahkan sayap mereka.” (Lihat Jami’ al-Bayan, 19/8-9)
Berdasarkan pendapat beberapa tokoh ulama di atas, perkara yang dapat kita simpulkan berkenaan definisi khusyuk adalah: Khusyuk adalah perbuatan hati yang meliputi perasaan takut, rendah diri, perasaan hina di hadapan Allah yang menzahirkan perbuatan anggota badan seperti tenang di dalam solat, tidak berpaling ke sana-sini, serta menundukkan pandangan ketika solat.
Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.