Soalan
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum menjual beli ular?
Jawapan
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Ular menurut Kamus Dewan Edisi Keempat merupakan binatang menjalar yang tidak berkaki dan kulitnya bersisik. Ia juga terbahagi kepada dua, sama ada yang berbisa dan yang tidak berbisa.
Ular merupakan reptilia karnivor yang panjang dan berkaki dalam suborder Serpentes. Seperti semua spesies Squamata, ular merupakan vertebrat amniot ektoterma yang berkulitkan sisik yang bertindan-tindih. Kebanyakan spesies ular mempunyai tengkorak yang lebih banyak sendinya berbanding leluhur cicaknya supaya mudah untuk menelan mangsa yang lebih besar daripada kepalanya dengan rahang yang amat mudah gerak. Untuk menampung badan ular yang sempit, organ-organ yang berpasangan (seperti ginjal) tersusun secara berikut-ikut, bukan bersebelahan, apalagi kebanyakan ular hanya mempunyai sebatang paru-paru. Sesetengah spesies mempunyai girdel pelvis dengan sepasang cakar vestij di sebelah kloaka. Juga terdapat jenis reptilia yang tidak berkaki tetapi bukan ular, iaitu cicak tanpa kaki; bezanya adalah, ular tiada kelopak mata dan telinga luaran.[1]
Suruhan Membunuh Ular
Ular ialah haiwan yang berbahaya dan memudharatkan. Bahkan Nabi SAW memerintahkan untuk membunuh mereka di mana sahaja mereka ditemui. Hal ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, Rasulullah SAW bersabda:
خَمْسٌ فَوَاسِقُ يُقْتَلْنَ فِي الْحِلِّ وَالْحَرَمِ : الْحَيَّةُ ، وَالْغُرَابُ الْأَبْقَعُ ، وَالْفَأْرَةُ ، وَالْكَلْبُ الْعَقُورُ ، وَالْحُدَيَّا
Maksudnya: “Lima binatang fawasiq yang boleh dibunuh di tanah halal dan haram (atau dalam keadaan berihram), iaitu ular, burung gagak hitam bercampur putih, tikus, anjing gila, burung helang.”
Riwayat al-Bukhari (3314) dan Muslim (1198)
Imam al-Nawawi menyatakan di dalam syarahnya: Perkataan fawasiq yang di dalam hadith ini bermaksud binatang-binatang pengganggu dan perosak. Berdasarkan hadith ini juga, kebanyakan ulama’ bersepakat bahawa harus membunuh binatang-binatang tersebut sama ada di tanah haram dan juga di luar tanah haram. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 8/113-114)
Hukum Jual Beli Ular
Pada asasnya jual beli haiwan ini bergantung pada jenis binatang, haiwan atau serangga tersebut. Jika ia bermanfaat kepada manusia, seperti haiwan ternakan daripada ayam, lembu dan seumpamanya, maka sah jual beli binatang yang bermanfaat seumpama ini.
Manakala, jika binatang itu tidak bawa manfaat atau faedah kepada manusia, seperti kucing hutan (kerana sifatnya yang liar), kumbang, kala jengking, ular, cacing, tikus, semut, anjing, khinzir dan lain-lain yang tidak berfaedah di sisi manusia (malah menimbulkan kerosakan seperti tikus, ular dan khinzir), maka tidak sah jual beli binatang atau serangga seperti ini.
Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji berkata: “Tidak sah menjual serangga berbisa atau haiwan yang tidak boleh dimanfaatkan. Tetapi, menjual harimau untuk tujuan memburu, gajah untuk tujuan peperangan, monyet untuk tujuan mengawal harta, lebah dengan tujuan mendapatkan madu dan seumpamanya, ia dibenarkan. Ia dibenarkan atas alasan semua binatang ini ada manfaatnya berdasarkan adat dan dibenarkan oleh syarak.” (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 6/1299-1300)
Imam al-Nawawi di dalam al-Majmu’ berkata:”Haiwan yang tidak bermanfaat (atau tidak berfaedah kepada manusia) tidak sah untuk dijual beli, seperti kumbang, kala jengking, ular, cacing, tikus, semut dan serangga lain seumpamanya. Ashab kami (Ulama’ al-Syafi’iyyah) berkata: (haiwan-haiwan ini) tidak dilihat sebagai haiwan yang bermanfaat, melainkan jika ada pun manfaatnya, manfaatnya terlalu kecil.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 9/286)
Di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyah al-Kuwaitiyah, dinyatakan bahawa para fuqaha’ bersepakat bahawa tidak boleh dijual beli haiwan hasyarat (seperti serangga) yang tidak memberi manfaat kerana tidak menepati syarat barang jualan iaitu barangan yang mempunyai nilai manfaat. Disebabkan itu, haram untuk menjual haiwan hasyarat seperti tikus, ular, kala jengking, kumbang, semut dan seumpamanya. Manakala sekiranya sebahagian haiwan serangga mempunyai manfaat, maka ia harus dijual seperti ulat sutera untuk dijadikan kain sutera dan serangga lebah yang boleh menghasilkan madu. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyah al-Kuwaitiyah, 17/280)
Imam al-Nawawi menyatakan lagi di dalam Syarh Sahih Muslim,: “Jika ia termasuk (haiwan) yang bermanfaat (atau beri faedah pada manusia), maka menjualnya adalah sah dan duit jualannya juga halal. Inilah pandangan mazhab kami (al-Syafi’e) dan mazhab kesemua ulamak, kecuali (satu pandangan) yang diriwayatkan oleh Ibnu al-Munzir.” (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 5/420)
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa hukum menjual beli haiwan yang berbahaya seperti ular adalah diharamkan sebagaimana hujah yang kami kemukakan. Justeru, tidak boleh bagi sesiapa yang ingin memiliki ular dengan membelinya atau seumpamanya kerana haiwan ini sangat bahaya dan sukar dikawal oleh manusia.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahu a’lam
Bertarikh: 30 Mac 2022 bersamaan 27 Syaaban 1443H
[1] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Ular
Kalau Di Jual utk dimakan oleh org cina Dan boleh mendapatkan manfaatnya iaitu hasil jualan ular ITU boleh ke