Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa hukum asal penggunaan arak khususnya dalam makanan dan minuman? Apakah dalil-dalil yang melarangnya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Hukum asal penggunaan arak adalah tidak dibenarkan, ini berdasarkan kepada dalil al-Quran antaranya, firman Allah SWT:

يَسْـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلْخَمْرِ وَٱلْمَيْسِرِ ۖ قُلْ فِيهِمَآ إِثْمٌۭ كَبِيرٌۭ وَمَنَـٰفِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَآ أَكْبَرُ مِن نَّفْعِهِمَا ۗ وَيَسْـَٔلُونَكَ مَاذَا يُنفِقُونَ قُلِ ٱلْعَفْوَ ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمُ ٱلْـَٔايَـٰتِ لَعَلَّكُمْ تَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: “Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: ‘Pada keduanya adalah dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaat nya.’ Dan mereka bertanya pula kepadamu: ‘Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)?’ Katakanlah: ‘Dermakanlah – (apa-apa) yang berlebih dari keperluan (kamu).’ Demikian Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya (keterangan-keterangan hukum-Nya) supaya kamu berfikir.”

(Surah al-Baqarah: 219)

Ibn Jarir al-Tabari menyebutkan, meskipun terdapat manfaat daripada keduanya (iaitu arak dan judi) namun dosa keduanya adalah lebih besar daripada manfaatnya. Ini adalah sepertimana yang berlaku kepada orang yang meminum arak dengan merasakan kelazatan yang diteguknya, namun akibat daripada mabuk menyebabkan seseorang itu boleh memaki-hamun, mencederakan serta membawa kepada pertumpahan darah terhadap orang lain. Begitu juga dengan judi yang penuh dengan keseronokan dan juga menjanjikan kekayaan (yang belum pasti), namun dengan berjudi menjadi asbab seseorang itu menipu dan menzalimi orang lain. Manfaatnya ada, namun mafsadah yang timbul daripadanya lebih besar. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 2/489).

Menurut Mazhab al-Syafi‘i, arak dan minuman yang memabukkan adalah najis. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan.”

(Surah al-Ma’idah: 90)

Menurut Imam al-Qurtubi, firman Allah SWT (فَاجْتَنِبُوهُ) ertinya jauhilah dan jadikanlah ia jauh dari sisimu. Allah SWT memerintahkan untuk menjauhi perkara-perkara tersebut. Perintah yang ada pada ayat ini dikuatkan dengan beberapa hadith dan persepakatan umat, maka sampailah kepada kesimpulan bahawa perintah menjauhi di sini menunjukkan tahrim (pengharaman). Dengan ini, maka khamar atau arak secara rasmi telah diharamkan.  (Lihat Jami‘ al-Ahkam al-Quran, 6/288).

Ada juga pendapat menyatakan dengan boleh jika digunakan untuk memanaskan badan, dan hal ini ditolak oleh Ibn Arabi di dalam kitabnya, Ahkam al-Quran (1/281). Beliau berhujjah dengan hadith Ummu al-Mu’minin ‘Aisyah R.Anha, sabda Rasulullah SAW:

كُلُّ مُسْكِرٍ حَرَامٌ مَا أَسْكَرَ الْفَرَقُ مِنْهُ فَمِلْءُ الْكَفِّ مِنْهُ حَرَامٌ

Maksudnya: “Setiap yang memabukkan adalah haram, sesuatu yang kadarnya satu faraq boleh memabukkan, maka segenggam daripadanya pun haram.”  

Riwayat al-Tirmizi (1867), Abu Daud (2687) dan Ahmad (24992). Imam al-Tirmizi menyatakan hadith ini hasan.

Begitu juga, hadith daripada ‘Uthman R.A secara mauquf:

اجْتَنِبُوا الْخَمْرَ فَإِنَّهَا أُمُّ الْخَبَائِثِ

Maksudnya: “Hendaklah kamu menjauhi arak kerana ia punca segala kejahatan dan kerosakan.”

Riwayat al-Nasa’ie (5667). Syeikh Ahmad Syakir menyatakan isnadnya sahih.

Dalam kitab al-Fiqh ‘ala al-Mazahib al-Arba‘ah menyebut lapan perkara tentang pengharaman arak berdasarkan nas. Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Juzairi menyebut: Ketahuilah, ayat ini menerangkan tentang pengharaman meminum khamar dari pelbagai segi:

Pertama: Dimulakan dengan kalimat dengan kata (إِنَّمَا), iaitu perkataan yang memberikan pengertian membataskan, sehingga seakan-akan Allah SWT mengatakan: “Tidak ada najis dan tidak ada sesuatu yang tergolong sebagai perbuatan syaitan selain empat hal ini.”

Kedua: Bahawa Allah SWT menggandingkan arak dan judi dengan penyembahan berhala, sehingga menjadi sama dengannya, sebagaimana Rasulullah SAW bersabda dalam hadith Abu Hurairah R.A:

مُدْمِنُ الْخَمْرِ كَعَابِدِ وَثَنٍ

Maksudnya: “Peminum arak itu adalah seperti penyembah berhala.

Riwayat Ibn Majah (3375) dan Ibn Abi Syaibah (24545)

Ketiga: Bahawa Allah SWT memerintahkan supaya menjauhi, di mana perintah itu secara zahir berstatus wajib.

Keempat: Allah SWT berfirman:

وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “ bertaqwalah kamu kepada Allah agar kamu beruntung.”

(Surah al-Baqarah: 189)

Dia menetapkan tindakan menjauhi termasuk sebagai satu kemenangan (keberuntungan). Apabila tindakan menjauhi merupakan kemenangan, bererti pilihan untuk melakukannya merupakan satu bentuk kegagalan.

Kelima: Telah dijelaskan tentang pelbagai kerosakan kehidupan dunia dan agama yang diakibatkan oleh arak, iaitu berlakunya sikap saling memusuhi dan membenci antara sesama makhluk dan timbulnya sikap berpaling daripada mengingati Allah dan mendirikan solat.

Keenam: Firman Allah SWT:

فَهَلْ أَنتُم مُّنتَهُونَ

Maksudnya: “Oleh itu, mahukah kamu berhenti?”

(Surah al-Ma’idah: 91)

Seakan-akan dikatakan: “Telah dibacakan kepada kamu apa-apa yang di dalamnya terkandung berbagai kerosakan dan keburukan, maka apakah kamu mahu berhenti dari melakukannya, atau kamu akan tetap pada sikap dan tindakan kamu ketika kamu belum diberi nasihat dengan pelbagai nasihat ini?!”

Ketujuh: Allah SWT berfirman setelah itu:

وَأَطِيعُوا۟ ٱللَّهَ وَأَطِيعُوا۟ ٱلرَّسُولَ وَٱحْذَرُوا۟ ۚ

Maksudnya: “Dan taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada Rasul-Nya, serta berhati-hatilah.”

(Surah al-Ma’idah: 92)

Secara zahir, maksudnya adalah, taatilah Allah dan taatilah Rasul-Nya dalam hal yang telah disebutkan sebelumnya, berupa perintah keduanya agar menjauhi arak dan judi. Manakala firman-Nya (وَٱحْذَرُوا۟), yakni hati-hatilah, jangan sampai kamu menyalahi keduanya dalam petunjuk syari‘at ini.

Kelapan: Firman Allah SWT:

فَإِن تَوَلَّيْتُمْ فَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّمَا عَلَىٰ رَسُولِنَا ٱلْبَلَـٰغُ ٱلْمُبِينُ

Maksudnya: “Jika kamu berpaling, maka ketahuilah bahawa sesungguhnya kewajiban Rasul Kami, hanyalah menyampaikan (amanat Allah) dengan terang.”

(Surah al-Ma’idah: 92)

Ini merupakan ancaman yang tegas dan teguran yang sangat keras kepada orang yang berani menentang perintah agama ini dan berpaling dari hukum Allah SWT.

Penjelasannya adalah, apabila kamu berpaling (daripada perintah ini), maka hujah telah tertegak untuk kamu, dan Rasul telah keluar dari tempoh penyampaian peringatan, teguran dan amaran (Rasulullah SAW telah wafat). Adapun selebihnya adalah hukuman bagi orang yang menentang perintah ini dan berpaling darinya, dan semuanya kembali kepada Allah SWT. Tidak diragukan bahawa ini merupakan ancaman yang sangat keras. Sehinggakan setiap dari lapan aspek ini menjadi bukti yang pasti dan hujah yang tegas tentang pengharaman arak. (Lihat al-Fiqh ‘ala al-Mazahib al-Arba‘ah, 5/17-18).

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ، وَالأَهْوَاءِ، وَالأَسْوَاءِ، وَالأَدْوَاءِ.

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Leave a Reply