Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan hakikat dan perbezaan antara hati yang bersih dan kotor?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

كَلَّا ۖ بَلْ ۜ رَانَ عَلَىٰ قُلُوبِهِم مَّا كَانُوا يَكْسِبُونَ

Maksudnya: “Sebenarnya! (Ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya) bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), dengan sebab (perbuatan kufur dan maksiat) yang mereka kerjakan.”

(Surah al-Mutaffifin: 14)

Dalam mentafsirkan maksud ayat di atas, terdapat sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الْمُؤْمِنَ إِذَا أَذْنَبَ كَانَتْ نُكْتَةٌ سَوْدَاءُ فِي قَلْبِهِ ، فَإِنْ تَابَ وَنَزَعَ وَاسْتَغْفَرَ صُقِلَ قَلْبُهُ، وَإِنْ زَادَ زَادَتْ حَتَّى يَعْلُوَ قَلْبَهُ، فَذَلِكَ الرَّانُ الَّذِي ذَكَرَهُ اللَّهُ فِي كِتَابِهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya seorang Mukmin, apabila dia melakukan dosa, akan terbit bintik hitam di hatinya. Sekiranya dia bertaubat, meninggalkan dosa tersebut dan beristighfar, maka akan hilanglah titik hitam tersebut. Namun sekiranya dia menambah dosa tersebut, akan bertambahlah titik hitam itu lalu hatinya (gelap) diselaputi dosa. Begitulah al-Ran (الران) yang disebut Allah SWT dalam kitab-Nya.”

Riwayat al-Tirmizi (3334), al-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra (11658), Ibn Majah (4244) dan Ahmad (7952). Hadith ini dinilai sebagai sahih oleh Imam al-Hakim dan disepakati oleh Imam al-Zahabi.

Al-Hasan al-Basri berkata:

هُوَ الذَّنْبُ عَلَى الذَّنْبِ، حَتَّى يَعْمَى الْقَلْبُ، فَيَمُوتُ

Maksudnya: (Yang dimaksudkan dengan hati yang diselaputi dosa) itu adalah perlakuan dosa yang berulang-ulang sehingga hati mereka menjadi gelap dan buta, lalu akhirnya mati.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, Dar Taibah, 8/351).

Inilah hakikat hati yang telah menjadi kotor dan tertutup, iaitu hati yang telah diliputi oleh kotoran hitam seperti karat pada logam, dan menutupinya sedikit demi sedikit, sehingga memadamkan cahayanya dan membutakan mata hatinya, serta menjadikannya terhalang daripada menerima kebenaran. Bahkan, ia menjadikan hati tersebut memandang sesuatu mengikut hal yang bertentangan dengan hakikatnya, lalu dia menganggap kebenaran itu adalah kebatilan, dan sebaliknya kebatilan itu pula dipandang sebagai kebenaran. (Lihat Fath al-Qadir, 5/565; Lihat juga Aisar al-Tafasir, 4/378 dan Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 915).

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Huzaifah bin al-Yaman R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

تُعْرَضُ الْفِتَنُ عَلَى الْقُلُوبِ عَرْضَ الْحَصِيرِ عُودًا عُودًا فَأَيُّ قَلْبٍ أُشْرِبَهَا نُكِتَتْ فِيهِ نُكْتَةٌ سَوْدَاءُ وَأَيُّ قَلْبٍ أَنْكَرَهَا نُكِتَتْ فِيهِ نُكْتَةٌ بَيْضَاءُ حَتَّى تَصِيرَ الْقُلُوبُ عَلَى قَلْبَيْنِ قَلْبٌ أَبْيَضٌ مِثْلَ الصَّفَا لَا تَضُرُّهُ فِتْنَةٌ مَا دَامَتِ السَّمَوَاتُ وَالأَرْضُ وَيَصِيرُ الآخَرُ مُرْبَادًّا كَالْكُوزِ مُجَخِّيًا لَا يَعْرِفُ مَعْرُوفًا وَلا يُنْكِرُ مُنْكَرًا إِلا مَا أُشْرِبَ مِنْ هَوَاهُ

Maksudnya: Ditampakkan fitnah-fitnah pada permukaan hati manusia sepertimana (anyaman) tikar sedikit demi sedikit. Maka hati yang menyerapnya akan diletakkan satu titik hitam padanya, manakala hati yang mengingkarinya akan diletakkan satu titik putih padanya. Sehingga (pada akhirnya), semua hati manusia akan (terbahagi) menjadi dua jenis: (Pertama), hati yang putih (bersih dan kuat) seperti batu yang keras, sehingga tidak akan dipengaruhi oleh fitnah selagi mana langit dan bumi masih ada (sehingga hari kiamat). (Kedua), hati yang (berwarna) hitam keabu-abuan seperti gelas yang senget atau terbalik (مُرْبَادًّا كَالْكُوزِ مُجَخِّيًا) (yakni kebaikan tidak dapat menetap padanya), dia tidak mengenali kebaikan sebagai kebaikan dan keburukan sebagai keburukan, kecuali yang bersumber daripada hawa nafsunya.

Riwayat Muslim (144)

Menurut Imam al-Nawawi, makna hadith ini adalah seseorang yang selalu mengikuti hawa nafsunya dan melakukan perbuatan-perbuatan maksiat, sehingga setiap maksiat yang dilakukannya membawa kegelapan pada hatinya, lalu akhirnya dia selalu menyerap fitnah yang mengakibatkan cahaya Islam menjadi terpadam dalam hatinya. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 2/173).

Ibn al-Qayyim menyebutkan, hati yang hidup dan sihat, jika diperlihatkan padanya keburukan-keburukan, maka dia akan menjauhinya dengan sendirinya, membencinya dan tidak akan menoleh kepadanya. Berbeza dengan hati yang telah mati, ia tidak akan dapat membezakan antara yang baik dan yang buruk, seperti mana ucapan Ibn Mas‘ud R.A: “Binasalah orang yang tidak mempunyai hati untuk mengenali kebaikan dan mengingkari keburukan.” (Lihat Ighathah al-Lahfan, 1/20).

Justeru, hati yang kotor adalah hati yang dipaling oleh syaitan dari fitrahnya yang bersih dan lurus, sehingga mengakibatkannya berpaling daripada petunjuk Allah SWT. Inilah hati yang tersesat dari jalan Allah SWT. Firman-Nya:

فَمَن يُرِدِ اللَّهُ أَن يَهْدِيَهُ يَشْرَحْ صَدْرَهُ لِلْإِسْلَامِ ۖ وَمَن يُرِدْ أَن يُضِلَّهُ يَجْعَلْ صَدْرَهُ ضَيِّقًا حَرَجًا كَأَنَّمَا يَصَّعَّدُ فِي السَّمَاءِ ۚ كَذَٰلِكَ يَجْعَلُ اللَّهُ الرِّجْسَ عَلَى الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ

Maksudnya:Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya Ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Ia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak beriman.

(Surah al-An‘am: 125)

Imam al-Baghawi menjelaskan mereka yang Allah SWT kehendaki untuk diberi hidayah adalah dibuka hatinya dan memberikannya cahaya sehingga dia menerima Islam. Manakala Allah akan menjadikan dada seseorang yang dikehendaki untuk disesatkan dengan disempitkan hatinya sehingga tidak dapat dimasuki iman. (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 2/157-158).

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عِلْمٍ لاَ يَنْفَعُ ، وَمِنْ قَلْبٍ لاَ يَخْشَعُ، وَمِنْ نَفْسٍ لاَ تَشْبَعُ ، وَمِنْ دَعْوَةٍ لَا يُسْتَجَابُ لَهَا

Maksudnya: “Ya Allah! Kami berlindung dengan-Mu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, daripada hati yang tidak khusyuk, daripada nafsu yang tidak puas, dan daripada doa yang tidak diterima.”

Leave a Reply