Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimana kita menerapkan sifat qana‘ah sedangkan ketika berdoa kita meminta agar Allah tambahkan lagi kekayaan?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Qana‘ah membawa maksud sikap berpada-pada, iaitu berpuas hati dengan apa yang ada.[1] Di dalam bahasa Arab, qana‘ah (القَنَاعَةُ) adalah kata terbitan bagi kata kerja (قَنِعَ – يَقْنَعُ – قُنُوعًا – قِنَاعَةً), bererti redha. Sebagai contoh, kita katakan: “Lelaki itu bersifat qana‘ah,” apabila dia redha dengan apa yang dia ada tanpa meminta-minta pada orang lain. (Lihat Mukhtar al-Sihah, 3/1273; Lisan al-‘Arab, 8/298; Maqayis al-Lughah, 5/32)
Menurut istilah pula, fuqaha menyebutkan beberapa definisi yang tidak jauh bezanya antara satu sama lain. Antaranya, al-Qadhi ‘Iyadh menyebutkan: “Qana‘ah ini adalah redha dengan pemberian Allah.” Ibn Miskawaih pula berkata: “Qana‘ah itu, mudah (tidak merumitkan) perihal makanan, minuman, dan perhiasan.” Imam al-Suyuti mendefinisikan qana‘ah sebagai satu rasa kecukupan ketika ketiadaan perkara-perkara biasa. Ada yang mengatakan, qana‘ah itu apabila berasa cukup dengan keperluan asas. Ada yang mengatakan, ia ketenangan hati dalam kehidupan sederhana. Ada yang mengatakan, qana‘ah itu berhenti apabila mencapai kecukupan. (Lihat Masyariq al-Anwar, 2/187; Tahzib al-Akhlak, hlm. 29; Mu‘jam Maqalid al-‘Ulum, hlm. 205; al-Tauqif ‘ala Muhimmat al-Ta‘arif, hlm. 275)
Kelebihan qana‘ah ini juga disebutkan dalam hadith Abdullah bin ‘Amru R.A, sabda Rasulullah SAW:
قَدْ أَفْلَحَ مَن أَسْلَمَ، وَرُزِقَ كَفَافًا، وَقَنَّعَهُ اللَّهُ بما آتاهُ
Maksudnya: “Sesungguhnya berjayalah mereka yang memeluk Islam, direzekikan kecukupan, dan Allah membuatnya berasa puas dengan apa yang telah diberikan kepadanya.”
Riwayat Muslim (1054)
Hadith ini menjelaskan, berjayalah mereka yang telah Allah SWT membuatkannya berasa puas, yakni berasa cukup dengan pemberian-Nya dan dia tidak meminta sebarang penambahan. Ini kerana dia tahu bahawa rezekinya telah ditetapkan dan tidak akan melebihi apa yang telah ditentukan untuknya. Adapun yang dimaksudkan dengan kejayaan, iaitu mencapai tujuan dalam kehidupan dunia dan akhirat.
Disebutkan juga tentang rezeki yang halal, kerana Rasulullah SAW memuji orang yang mendapat rezeki dan mengatakan bahawa dia telah berjaya. Pada kebiasaannya, orang yang berada dalam keadaan ini dianggap sebagai fakir, kerana dia tidak menikmati kenikmatan dunia, tetapi dia berusaha menahan diri untuk sabar dengan kadar yang lebih daripada kecukupan, dan tidak keadaan mereka itu melainkan terselamat daripada penindasan orang lain dan kehinaan meminta-minta. (Lihat Faidh al-Qadir, 4/508)
Akan tetapi, qana‘ah yang disebutkan dalam hadith di atas merupakan salah satu dari tingkatannya sahaja. Imam Abu al-Hasan al-Mawardi membahagikan tingkatan qana‘ah ini kepada tiga:
- Apabila seseorang berasa puas dengan keperluan asas duniawinya dan menjauhkan dirinya daripada mencari selain dari keperluan asas ini. Kata sebahagian sasterawan: “Kadang-kadang, kesempitan lebih baik daripada kelapangan, dan kesukaran lebih baik daripada kesenangan.”
- Rasa kepuasan yang membawa kepada kecukupan, sehingga hilang rasa berkehendak kepada lebihan dan tambahan. Inilah tingkatan pertengahan bagi qana‘ah.
- Rasa kepuasan sehingga seseorang itu menerima sahaja apa yang ada, tanpa membenci apa yang diperoleh walaupun banyak, dan tidak meminta yang sukar dicapai walaupun sedikit. Ini merupakan tingkatan terendah bagi qana‘ah kerana ia berada di antara keinginan dan keengganan. Keinginan itu, kerana dia tidak menolak jika ada penambahan yang melebihi keperluannya. Manakala keengganan pula, kerana dia tidak meminta perkara yang sukar diperoleh. (Lihat Adab al-Din wa al-Dunya, hlm. 226)
Maka jelas di sini bahawa qana‘ah itu adalah dengan wujudnya rasa kecukupan atas rezeki keduniaan yang Allah SWT kurniakan kepada kita. Merujuk kepada persoalan yang saudara ajukan pula, seolah-olah wujudnya pertembungan antara sifat qana‘ah yang dituntut, sedangkan Rasulullah SAW telah mengajarkan doa:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْهُدَى، وَالتُّقَى، وَالْعَفَافَ، وَالْغِنَى
Maksudnya: “Wahai Allah! Sesungguhnya aku memohon kepada-Mu petunjuk, ketakwaan, sifat iffah dan kekayaan.”
Riwayat Muslim (2721), al-Tirmizi (3489), Ibn Majah (3105), Ahmad (3950) dan Ibn Hibban (900)
Jika diterjemahkan secara literal, kalimah al-ghina (الغِنَى) itu memang membawa maksud kekayaan, tetapi dalam masa yang sama ia juga bermaksud kecukupan. Dan kedua-dua maksud ini sememangnya terkandung dalam kalimah al-ghina (الغِنَى). Kekayaan di sini merujuk kepada kekayaan jiwa, apabila seseorang itu tidak lagi berhajat kepada kekayaan harta yang ada pada orang lain. Kecukupan pula merujuk kepada rezeki yang mencukupi untuk dirinya, sebagaimana Rasulullah SAW pernah berdoa:
اللَّهُمَّ ارْزُقْ آلَ مُحَمَّدٍ قُوتًا
Maksudnya: “Ya Allah! Kurniakanlah rezeki untuk keluarga Muhammad berupa makanan ruji (yang mencukupi).”
Riwayat al-Bukhari (6460) dan Muslim (1055)
Dalam riwayat lain, kalimah qut (قُوتًا) yang bererti makanan ruji itu diganti dengan kalimah kafaf (كَفَافًا), iaitu apa yang mencukupi untuk seharian mereka. (Lihat Syarh Sahih Muslim oleh Syeikh Abu al-Asybal Hasan al-Zuhairi, 50/9)
Maka, dapat disimpulkan bahawa kekayaan yang dipinta dalam doa Baginda bukanlah dalam bentuk harta dunia, sebaliknya kekayaan jiwa sehingga diri berasa cukup dengan rezeki kurniaan Allah SWT. Begini jugalah yang dianjurkan oleh para Salaf terdahulu, sepertimana nasihat Sa‘ad bin Abi Waqqas R.A kepada anaknya ‘Umar:
يَا بُنَيَّ، إِذَا طَلَبْتَ الْغِنَى فَاطْلُبْه بِالْقَنَاعَةِ؛ فَإِنَّهُ مَنْ لَمْ يَكُنْ لَهُ قَنَاعَةٌ لَمْ يُغْنِهِ مَالٌ
Maksudnya: “Wahai anakku! Sekiranya engkau memohon kekayaan, maka pintalah ia bersama rasa qana‘ah. Sungguh, sesiapa yang tidak ada rasa qana‘ah ini, harta jua tidak akan cukup untuk menjadikan dia rasa kaya.” (Lihat al-Mujalasah wa Jawahir al-‘Ilm, 3/497; Tarikh Madinah Dimayq, 20/363)
Begitu juga kata-kata yang dinisbahkan kepada Ibn ‘Abbas R.A:
القَنَاعَةُ مَالٌ لَا نَفَادَ لَهُ
Maksudnya: “Qana‘ah itu merupakan harta yang tidak akan habis.” (Lihat al-‘Iqd al-Farid, 3/160)
Semoga Allah SWT mencambahkan sifat qana‘ah dalam diri kita agar terus menjadi hamba-Nya yang bersyukur, dalam masa yang sama tetap berusaha ke arah kebaikan. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نسْأَلُكَ الْهُدَى، وَالتُّقَى، وَالْعَفَافَ، وَالْغِنَى
Maksudnya: “Wahai Allah! Sesungguhnya kami memohon kepada-Mu petunjuk, ketakwaan, sifat iffah dan kekayaan.”
Wallahu a‘lam
Nota Hujung:
[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=qanaah. Diakses pada 12 December 2024.