Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah kelebihan atau fadhilat apabila mendirikan rumahtangga?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً
Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang.”
(Surah al-Rum: 21)
Dr. Wahbah al-Zuhaili menjelaskan bahawa ayat ini merupakan antara ayat-ayat Allah — yakni bukti dan tanda-tanda — yang menunjukkan kepada al-Ba‘th — yakni kebangkitan, — di mana Dia menciptakan untuk kamu pasangan-pasangan daripada jenis manusia juga, agar kamu dapat mewujudkan ketenangan dan kesenangan. Dia juga menumbuhkan rasa cinta dan kasih sayang antara suami isteri. (Lihat al-Tafsir al-Wajiz, hlm. 407)
Menjawab persoalan di atas, kami katakan terdapat banyak fadilat dan kelebihan bagi individu yang mendirikan rumahtangga, antaranya:
- Dikurniakan rezeki dan kekayaan.
Firman Allah SWT:
وَأَنكِحُوا الْأَيَامَى مِنكُمْ وَالصَّالِحِينَ مِنْ عِبَادِكُمْ وَإِمَا بِكُمْ إِن يَكُونُوا فُقَرَاءَ يُغْنِهِمُ اللَّهُ مِن فَضْلِهِ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ (٣)
Maksudnya: Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya kerana Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui.
(Surah al-Nur: 32)
Ibn Kathir berkata: Jangan kamu sangka dengan sebab berkahwin menyebabkan menjadi fakir kerana ramainya tanggungan dan keluarga. Ini kerana janji Tuhan bagi yang berkahwin mendapat kekayaan selepas kefakiran dan Allah sekali-kali tidak memungkiri janji.
- Mengikut sunnah para Rasul
Daripada Abu Ayyub RA, katanya, Rasulullah SAW ber- sabda:
أَرْبَعٌ مِنْ سُنَنِ الْمُرْسَلِينَ الْحَيَاءُ وَالتَّعَطُّرُ وَالسِّوَاكُ وَالنِّكَاحُ
Maksudnya: Empat perkara yang merupakan sunnah para rasul, iaitu sifat malu, berwangi-wangian, bersugi dan nikah.
Riwayat al-Tirmizi (1080)
Nas ini menunjukkan perkahwinan atau pernikahan merupakan sunnah para Nabi dan Rasul. Justeru, mengikutnya bermakna mengikut semua Nabi sudah pasti membawa banyak kelebihan dan kebaikan.
- Bantuan Allah SWT kepada mereka yang berkahwin
Daripada Abu Hurairah RA, katanya, Rasulullah SAW bersabda:
ثَلاثَةٌ حَقٌّ عَلَى ٱللَّٰهِ عَوْنُهُمْ: ٱلْمُجَاهِدُ فِي سَبِيلِ ٱللَّٰهِ، وَٱلْمُكَاتَبُ الَّذِي يُرِيدُ ٱلْأَداءَ، وَٱلنَّاكِحُ الَّذِي يُرِيدُ ٱلْعَفَافَ
Maksudnya: Ada tiga golongan yang Allah pasti menolongnya, iaitu orang yang berjuang di jalan Allah, hamba yang mencari wang tebusan untuk membebaskan dirinya dan orang yang berkahwin dengan niat untuk men- jaga maruahnya.
Riwayat al-Tirmizi (1655), al-Nasa’ie (3218), Ibn Majah (2518) dan Ahmad (7410)
Allah SWT pasti menolong mereka yang berkahwin semata-mata menjaga maruah daripada terjebak kepada perkara yang haram.
- Fadilat solat yang berlipat kali ganda berbanding mereka yang tidak berkahwin
Daripada Abu Hurairah RA lagi, katanya, Rasulullah SAW bersabda:
رَكْعَتَانِ مِنْ مُتَأَهْلِ خَيْرٌ مِنْ سَبْعِينَ رَكْعَةً مِنْ غَيْرِ مُتَأَهِّلٍ
Maksudnya: Dua rakaat yang dilakukan oleh orang yang berkeluarga lebih afdal daripada 70 rakaat yang dilakukan oleh orang yang hidup membujang.
Hadith ini dikemukakan oleh Ibn ‘Adiy, be- rasal daripada Abu Hurairah, termaktub di dalam al-Kamil
Inilah kelebihan yang menyebabkan para ulama apabila kematian isteri, cuba berkahwin secepat mungkin bertujuan tidak hidup dalam keadaan membujang. Antara contohnya ialah Rasulullah SAW.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”