Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Ketika saya muda dahulu, saya pernah berbuat dosa kepada orang yang berada di sekeliling saya seperti di universiti dan di tempat kerja. tetapi kini saya sudah berhijrah ke tempat lain dan mula sedar akan kesalahan yang pernah saya buat dahulu tetapi tiada upaya untuk saya mencari dan meminta maaf secara peribadi. Soalan saya, bagaimana saya nak menghadap Allah swt dengan dosa-dosa saya yang masih belum dilunaskan ini?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pertama sekali, bertaubat daripada semua dosa adalah wajib. Allah SWT berfirman:
وَتُوبُوا إِلَى اللَّـهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya: Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.
(Surah al-Nur: 31)
Ibn Kathir berkata: “Iaitu lakukanlah apa yang telah diperintahkan kepadamu daripada sifat-sifat yang indah dan akhlak-akhlak yang mulia. Tinggalkanlah kebiasaan kaum Jahiliyyah yang memiliki akhlak dan sifat yang tercela, kerana kejayaan hanya dapat dicapai dengan mengerjakan apa yang telah diperintahkan Allah dan Rasul-Nya serta meninggalkan apa yang telah dilarang oleh Allah dan Rasul-Nya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 10/225)
Islam merupakan sebuah agama yang amat menjaga kehormatan dan kemuliaan seseorang insan sama ada insan itu muslim atau bukan muslim. Justeru itu, agama ini mengharamkan perkara-perkara yang boleh mencalarkan atau merosakkan maruah seseorang seperti mengumpat sehingga Allah SWT membuat satu perumpamaan yang dahsyat kepada golongan seperti ini.
Firman Allah SWT
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ ۚ إِنَّ اللَّـهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.”
(Surah al-Hujurat: 12)
Di dalam ayat ini jelas berkaitan pengharaman mengumpat sehingga diumpamakan seperti memakan daging saudaranya. Imam al-Maraghi di dalam tafsirnya menyatakan ghibah (mengumpat) diumpamakan seperti memakan daging kerana mengumpat itu bererti menyiat-nyiat kehormatan seperti memakan dan menyiat-nyiat daging. Perumpamaan seperti ini sesuai dengan cara orang Arab berkomunikasi. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 26/139-140)
Mengumpat adalah perkara yang dilarang dalam Islam. Ia didefinisikan sebagai “menyebut perihal saudaramu yang tidak disukainya.” Hal ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
أَتَدْرُونَ مَا الْغِيبَةُ؟ قَالُوا: اللهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ، قَالَ: ذِكْرُكَ أَخَاكَ بِمَا يَكْرَهُ
Maksudnya: “Adakah kamu tahu apakah itu mengumpat?.” Para sahabat berkata: Hanya Allah dan Rasul-Nya yang mengetahuinya. Nabi SAW bersabda: “Kamu menyebut perihal saudaramu yang tidak disukainya.”
Riwayat Muslim (2589)
Dalam menjawab persoalan di atas, Imam al-Nawawi menyebut dalam kitab Riyadh al-Salihin: “Para ulama berkata, bertaubat dari setiap dosa hukumnya adalah wajib. Jika maksiat (dosa) itu antara hamba dengan Allah SWT – yang tidak ada sangkut pautnya dengan hak manusia – maka syaratnya ada tiga:
- Menjauhi dan meninggalkan maksiat
- Menyesal kerana telah melakukan maksiat tersebut.
- Berazam dan bertekad untuk tidak mengulangi perbuatan maksiat itu selama-lamanya.
Jika salah satu syarat tidak dipenuhi, maka taubatnya tidak sah.
Namun, sekiranya maksiat itu berkaitan dengan hak manusia yang lain, maka syaratnya ada empat. Iaitu ketiga-tiga syarat di atas (dan ditambah satu syarat lagi, iaitu):
Hendaklah dia meminta dibebaskan daripada hak orang yang dizaliminya. Jika berbentuk harta benda atau sejenisnya maka dia harus mengembalikannya (kepada orang yang diambil hartanya). Jika dalam bentuk tuduhan palsu atau seumpamanya, maka hendaklah dipulihkan namanya atau meminta maaf kepadanya. Jika ia berbentuk ghibah (mengumpat), maka harus minta dihalalkan. (Lihat Riyadh al-Salihin, hlm. 41-42)]
Kesimpulan
Menjawab persoalan di atas, pertama sekali kami memuji sikap saudara kerana menginsafi perbuatan mengumpat dan ingin bertaubat daripadanya. Semoga Allah SWT mengampuni saudara. Kami menasihati saudara supaya memperbaiki hubungan saudara dengan orang-orang tersebut secara keseluruhan dengan berinteraksi dengan baik dan berusaha untuk tidak menyakiti perasaan mereka lagi.
Dalam hal ini, sebaiknya apabila bertemu dengan orang yang pernah saudara sakiti, saudara memohon maaf secara baik dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi. Jika saudara tidak mampu meminta maaf kepada mereka yang pernah anda sakiti kerana rasa malu atau takut akan berlakunya masalah yang lebih besar yang boleh merosakkan hubungan dan memutuskan persaudaraan Islam, maka adalah lebih untuk saudara memperbanyak berdoa untuknya dan menyebutkan kebaikannya dalam kumpulan yang mana saudara telah menyakiti, mengumpat dan mencelanya. Hal ini kerana Allah SWT telah berfirman:
إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ ۚ ذَٰلِكَ ذِكْرَىٰ لِلذَّاكِرِينَ
Maksudnya: “Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat.”
(Surah Hud: 114)
Syeikh Abd al-Rahman al-Sa’di dalam tafsirnya menyebut: “Lima waktu solat ini dan solat-solat sunat yang dilakukan bersama dengan solat fardhu adalah sebahagian daripada amal kebajikan (الحسنات) yang terbesar, iaitu kebaikan-kebaikan ini adalah amalan yang mendekatkan diri kepada Allah dan amalan yang memberikan pahala, dan amalan ini juga dapat menghapuskan dosa-dosa kecil. Hal ini telah dijelaskan dalam hadith-hadith sahih yang diriwayatkan oleh Nabi Muhammad SAW.” (LihatTaisir al-Karim al-Rahman, hlm. 391)
Begitu juga saudara boleh juga bersedekah bagi pihaknya dengan harapan semoga ia menjadi asbab untuk Allah SWT mengampunkan dosa saudara. Mustafa al-Ruhaibani menyebutkan, semua bentuk qurbah (ketaatan kepada Allah) yang dikerjakan oleh seseorang Muslim, lalu dia menjadikan pahalanya (yakni menghadiahkannya) untuk orang yang masih hidup atau sudah meninggal dunia, maka ia adalah dibolehkan dan hal itu memberi manfaat kepadanya melalui pahala yang diperolehinya. (Lihat Matalib Uli al-Nuha, 3/639).
Selain itu, al-Buhuti dalam kitabnya juga ada menjelaskan, semua bentuk qurbah (ketaatan kepada Allah) yang dikerjakan oleh seseorang Muslim, lalu dia menjadikan pahalanya atau pahala sebahagiannya seperti separuh dan seumpamanya seperti satu pertiga atau satu perempat untuk orang Muslim yang lain yang masih hidup ataupun yang sudah meninggal dunia, maka hal tersebut adalah dibolehkan. Hal itu juga akan memberi manfaat kepadanya melalui pahala yang diperolehinya. (Lihat Kassyaf al-Qina‘, 4/235).
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذۡنَاۤ إِن نَّسِینَاۤ أَوۡ أَخۡطَأۡنَاۚ رَبَّنَا وَلَا تَحۡمِلۡ عَلَیۡنَاۤ إِصۡرࣰا كَمَا حَمَلۡتَهُۥ عَلَى ٱلَّذِینَ مِن قَبۡلِنَاۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلۡنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِۦۖ وَٱعۡفُ عَنَّا وَٱغۡفِرۡ لَنَا وَٱرۡحَمۡنَاۤۚ أَنتَ مَوۡلَىٰنَا فَٱنصُرۡنَا عَلَى ٱلۡقَوۡمِ ٱلۡكَـٰفِرِینَ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau menghukum kami atas perkara yang kami lupa atau perkara yang kami silap. Wahai Tuhan kami, janganlah engkau berikan beban kepada kami sepertimana yang telah ditimpakan ke atas umat-umat yang terdahulu sebelum kami. Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau uji kami dengan perkara yang kami tidak mampu. Ampunkan kami dan rahmatilah kami. Engkaulah pelindung kami maka menangkan kami ke atas orang yang kafir.”
Wallahu a‘lam.