Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin meminta penjelasan Dato’ Seri berkenaan isu vape di kalangan pelajar bawah umur. Jadi, saya ingin tahu apakah tindakan yang boleh dilakukan untuk mengubah pelajar-pelajar sekolah daripada terus menghisap vape.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.”
(Surah al-Baqarah: 195)
Maknanya ialah janganlah kamu melakukan sebab yang menjadi kebinasaanmu. Imam al-Baghawi menyatakan, menurut satu pandangan lafaz ‘التَّهْلُكَةُ’ ini adalah termasuk setiap perkara yang membawa kepada kerosakan, serta larangan supaya jangan melakukan perkara tersebut. Selain itu, ‘التَّهْلُكَةُ’ juga merupakan sesuatu perkara yang perlu diwaspadai dan berhati-hati daripadanya. (Lihat Tafsir al-Baghawi, 1/215)
Sebenarnya kami telah membahaskan berkenaan pengharaman rokok dan vape ini secara panjang lebar dalam beberapa artikel kami, di dalam ruangan Ahkam Syar‘iyyah. Bagi mereka yang ingin mendapatkan penjelasan lanjut atau maklumat tambahan mengenainya, bolehlah membacanya sama ada melalui laman web kami, Maktabah al-Bakri ataupun melalui aplikasi kami, al-Inarah.
Seterusnya dalam menjawab soalan di atas, kami ingin tegaskan bahawa sudah jelas kepada kita berkenaan keharaman rokok dan vape sebagaimana yang kami jelaskan di atas berdasarkan kepada kesepakatan ulama.
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan sememangnya hal berkaitan akhlak ini sukar untuk dibendung kerana ia melibatkan inisiatif dan kehendak pelajar itu sendiri untuk berubah. Oleh kerana itu, Allah SWT telah berfirman:
إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا مَا بِأَنفُسِهِمْ
Maksudnya: Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.
Al-Tabari berkata: Maksudnya, Allah berfirman, “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan kesihatan dan nikmat suatu kaum jika mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka dengan perbuatan kezaliman dan permusuhan kepada sesama mereka, sehingga azab-Nya menimpa mereka dan perubahan pun terjadi.” (Lihat Jami’ al-Bayan, 14/178)
Al-Syaukani menjelaskan: Firman Allah, ‘إِنَّ اللَّـهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ’ (Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum) yakni, maksudnya adalah dari keadaan penuh nikmat dan kesihatan, ‘حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا مَا بِأَنفُسِهِمْ’ (sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri), maksudnya dengan ketaatan kepada Allah SWT. Maka Allah tidak mencabut nikmat yang diberikan kepada hamba-Nya sehingga seseorang itu mengubah kebaikan dan amal soleh mereka menjadi keburukan. (Lihat Fath al-Qadir, 3/442)
Meskipun begitu, antara cadangan yang boleh diberikan oleh pihak sekolah dalam menangani isu ini adalah:
- Kempen Kesedaran:
- Menjemput pakar atau pegawaiKesihatan untuk memberikan ceramah tentang bahaya vape dan rokok terhadap kesihatan.
- Membuat pameran/poster terhadap kesan buruk vape dan rokok.
- Pendidikan:
- Masukkan topik bahaya vape dan rokok dalam kurikulum pendidikan kesihatan.
- Tekankan perspektif agama tentang larangan merosakkan kesihatan dan pembaziran harta, berdasarkan ajaran Islam.
- Kaunseling:
- Pelajar yang dikesan menggunakan vape atau rokok boleh diberi kaunseling oleh guru bimbingan dan kaunseling.
- Penguatkuasaan Disiplin:
- Polisi Sekolah: Pastikan peraturan sekolah dengan jelas melarang vape dan rokok, termasuk hukuman yang bersesuaian.
- Kerjasama dengan Pihak Berkuasa: Jalinkan kerjasama dengan polis atau pegawai kesihatan untuk membuat pemeriksaan mengejut di sekolah.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ وَالأَدْوَاءِ
Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”