Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh Dato ceritakan sedikit kisah tentang orang yang hafaz al-Quran?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Hafaz al-Quran merupakan suatu perkara yang mulia yang mendapat ganjaran yang sangat besar kerana menjaga kalamullah. Malah, Menghafaz al-Quran secara keseluruhan hukumnya ialah fardhu kifayah dan sunat ‘ain, iaitu sunat bagi setiap Muslim. (Lihat Radd al-Muhkhtar wa Hasyiyah Ibn Abidin, 1/538).
Namun, walaupun menghafaz al-Quran suatu perkara yang mulia, tetapi yang selalu menghatui penghafaz al-Quran sekarang ialah untuk menjaga hafazannya supaya sentiasa mengingatinya. Hal ini boleh melemahkan semangat untuk menghafaz al-Quran kerana dibimbangi lupa dan dikatakan berdosa. Dalam menjawab persoalan ini. Kami menukilkan beberapa pendapat:
Dalam isu ini, adalah diperingatkan akan hadith daripada Abdullah R.A:
بِئْسَمَا لأَحَدِهِمْ يَقُولُ نَسِيتُ آيَةَ كَيْتَ وَكَيْتَ بَلْ هُوَ نُسِّيَ اسْتَذْكِرُوا الْقُرْآنَ فَلَهُوَ أَشَدُّ تَفَصِّيًا مِنْ صُدُورِ الرِّجَالِ مِنَ النَّعَمِ بِعُقُلِهَا
Maksudnya: “Celakalah bagi sesiapa yang berkata “aku lupa ayat al-Qur’an sekian-sekian”, bahkan hendaklah dia berkata “aku telah dilupakan darinya”. Sentiasalah membaca dan mengingati al-Qur’an, kerana ia lebih mudah terlepas daripada dada dan ingatan manusia daripada unta terlepas daripada talinya.”
Riwayat al-Bukhari (5032) dan Muslim (790)
Al-Khatib Syarbini menyatakan, berdasarkan hadith ini, sunat untuk kita menggunakan istilah dilupakan daripada al-Quran, berbanding kita menggunakan istilah terlupa atau melupakan al-Quran. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/39).
Kisah Budak Miskin Ingin Menghafaz al-Quran
Syeikh Ibrahim al-Akhdar mantan imam Masjid Nabawi pernah menceritakan di Algeria dalam musabaqah (pertandingan) al-Quran terdapat sebuah keluarga miskin yang mana ibunya memerintah dan menyuruh anak lelakinya yang kecil pergi menghafaz al-Quran di kampung sebelah dengan seorang tuan guru. Apabila sampai, kanak- kanak tersebut menyatakan hasrat ibunya lantas syeikh berkata, kamu perlu melakukan kerja harian dahulu seperti membersih masjid, menolong keluarga syeikh kerana kuota yang sedang menghafaz al- Quran sudah mencukupi. Apabila salah seorang dari mereka selesai hafaz, barulah kamu mengambil tempatnya.
Hal ini menyebabkan budak tersebut menjadi lemah semangat dan pulang ke rumahnya. Apabila sampai di rumah, ibunya tetap menyuruh supaya beliau tetap belajar dengan syeikh tersebut. Maka, terpaksalah pelajar tersebut pergi buat kali kedua. Menariknya, pada malam tersebut kanak-kanak itu bermimpi bertemu Rasulullah SAW supaya pergi ke tempat syeikh tersebut untuk menghafaz al-Quran. Katakan kepadanya yang aku suruh syeikh mengajar kamu. Sebagai tanda kamu nyatakan kepada syeikh perkataan Zumaran Zumaran ( زُمَرًا زُمَرًا). Selepas itu pelajar tersebut menemui syeikh dan menceritakan mimpi Rasulullah SAW yang menyuruh syeikh mengajarnya. Maka syeikh bertanya kepada pelajar apakah alamat dan tandanya. Kemudian pelajar itu menyebut kalimat Zumaran Zumaran ( زُمَرًا زُمَرًا).
Maka syeikh menangis dan memeluk pelajar itu kemudian disuruh menghafaz. Dengan izin Allah SWT, pelajar tersebut dapat mengingati al-Quran dengan mudah. Ditanya kenapa apabila disebut Zumaran Zumaran ( زُمَرًا زُمَرًا) lalu beliau menangis. Kata syeikh itu, aku pernah bermimpi Rasulullah SAW dan bertanya bagaimana bentuk penghuni syurga memasuki syurga. Jawabnya, Zumaran Zumaran ( زُمَرًا زُمَرًا) memberi maksud berkumpulan berkumpulan. Selepas mendengar kisah ini, Presiden Algeria ketika itu terus bangkit dan berdiri seraya berkata sesiapa yang masuk pertandingan hafaz al-Quran ini, sama ada menang atau kalah akan dihadiahkan ganjaran sebanyak 50 ribu (matawang Algeria) sebagai tanda memuliakan penghafaz al-Quran.
Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ آتِ نَفْسِي تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلَاهَا
Maksudnya: “Ya Allah, berilah sifat takwa di dalam jiwaku. Sucikanlah jiwaku, Engkaulah yang paling terbaik untuk menyucikannya. Engkau jualah pelindung dan pemiliknya.”
Wallahu a‘lam.