Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah batal mandi wajib jika saya membuang air kecil/besar ketika mandi wajib?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT di dalam al-Quran al-Karim:
یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوۤا۟ إِذَا قُمۡتُمۡ إِلَى ٱلصَّلَوٰةِ فَٱغۡسِلُوا۟ وُجُوهَكُمۡ وَأَیۡدِیَكُمۡ إِلَى ٱلۡمَرَافِقِ وَٱمۡسَحُوا۟ بِرُءُوسِكُمۡ وَأَرۡجُلَكُمۡ إِلَى ٱلۡكَعۡبَیۡنِۚ وَإِن كُنتُمۡ جُنُبࣰا فَٱطَّهَّرُوا۟ۚ
Maksudnya: “Wahai sekalian orang yang beriman, apabila kamu hendak melaksanakan solat maka basuhlah wajah kalian dan kedua-dua tangan kalian hingga ke siku, dan sapulah sebahagian kepala kalian dan kaki-kaki kalian hingga ke buku lali. Sekiranya kalian dalam keadaan berjunub (hadas besar) maka bersucilah.”
(Surah al-Ma’idah: 6)
Imam al-Qadhi Abu Muhammad al-Baghawi menafsirkan ayat di atas ini menyatakan bahawa: “Allah SWT berfirman: [Jika kamu dalam keadaan berjunub, maka bersucilah] iaitu mandilah (mandi wajib). Aisyah R.Anha meriwayatkan bahawa Nabi SAW jika melaksanakan mandi wajib, Baginda akan memulakan dengan membasuh kedua tangannya terlebih dahulu, kemudian Baginda akan mengambil wuduk sepertimana wuduk hendak bersolat, kemudian Baginda akan memasukkan jari-jarinya ke dalam air dan menyelati pangkal rambutnya dengan air tersebut, kemudian Baginda akan menyiram air ke atas kepala Baginda sebanyak tiga kali cedokan dengan kedua-dua tangannya, kemudian barulah Baginda menyiramkan air ke seluruh tubuh badannya.” (Lihat Ma‘alim al-Tanzil,2/26)
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan membuang air kecil/besar ketika mandi wajib tidak membatalkan mandi wajib tersebut. Namun, setelah selesai mandi wajib, anda perlu mengambil wudhuk semula kerana anda telah membatalkan wudhuk ketika mandi wajib. Hal ini sebagaimana yang disebutkan oleh al-Khatib al-Syarbini (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/224):
لَوْ أَحْدَثَ فِي أَثْنَاءِ غُسْلِهِ جَازَ أَنْ يُتِمَّهُ وَلَا يَمْنَعُ الْحَدَثُ صِحَّتَهُ، لَكِنْ لَا يُصَلِّي بِهِ حَتَّى يَتَوَضَّأَ
Maksudnya: Kalau seseorang berhadas (kecil) ketika mandi junub maka boleh baginya menyempurnakan mandi tersebut kerana hadas (kecil) yang keluar tidak menghalang kesempurnaan mandi junub tersebut. Namun, dia tidak boleh menunaikan solat melainkan selepas mengambil wudhuk.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahua‘lam.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اجْعَلْنَا مِنَ التَّوَّابِينَ، وَاجْعَلْنَا مِنَ الْمُتَطَهِّرِينَ، وَاجْعَلْنَا مِنْ عِبَادِكَ الصَّالِحِيْنَ
Maksudnya: “Ya Allah, jadikan kami termasuk daripada kalangan orang yang bertaubat. Jadikanlah juga kami termasuk daripada kalangan orang yang bersuci. Dan jadikan juga kami termasuk daripada kalangan hamba-hambaMu yang soleh.”