Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimanakah hafazan al-Quran pada zaman Nabi Muhammad SAW?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُون

Maksudnya: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-zikr (Al-Quran), dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.”

(Surah al-Hijr: 9)

Imam al-Tabari ketika menafsirkan ayat ini belaiu menytakan bahawa: al-Zikr adalah al-Quran. Kata beliau lagi: Dan Kami (Allah) sangat memeliharanya daripada sebarang tokok tambah sebarang kebatilan yang bukan daripadanya. Ataupun dari sebarang kekurangan daripadanya dari sudut hukum-hakam, hudud, serta kefardhuan-kefardhuannya. (Lihat  Jami‘ al-Bayan, 17/68)

Sememangnya tidak dapat dinafikan lagi bahawa mereka yang menghafaz al-Quran ini mempunyai kedudukan yang khusus di sisi Allah SWT. Sesungguhnya mereka yang menghafal ayat suci Allah ini, kemudian beramal dengan segala intipatinya, nescaya dia akan dikurniakan ganjaran yang besar dari Allah SWT, dimuliakan dengan kemuliaan yang tinggi. Rasulullah SAW bersabda sepertimana yang dibawakan oleh Abdullah bin ‘Amr R.A:

يُقَالُ لِصَاحِبِ القُرآنِ: اقْرَأْ وَارْتَقِ وَرَتِّلْ كَمَا كُنْتَ تُرتِّلُ فِي الدُّنْيَا، فَإِنَّ مَنْزِلَتَكِ عِنْدَ آخِرِ آيَةٍ تَقْرَؤُهَا

Maksudnya: “Dikatakan kepada ahli al-Quran: Bacalah dan mendakilah. Bacalah dengan tartil sebagaimana engkau membaca secara tartil di dunia, kerana tempat menetapmu kelak bergantung pada akhir ayat yang engkau baca.”

Riwayat Abu Daud (1464), al-Tirmizi (2914), al-Nasa’ie (8056) dan Ahmad (6799)

Syeikh Muhammad Syams al-Haq al-‘Azim Abadi menghuraikan hadith di atas seraya berkata, dikatakan kepada kepada ahli al-Quran ketika hendak masuk ke dalam Syurga, yakni mereka yang melazimi al-Quran dengan membaca serta mengamalkannya: “Bacalah, juga dakilah darjat-darjat Syurga atau tahapan-tahapan mendekatkan diri kepada Allah, bacalah dengan tartil tanpa tergesa-gesa untuk mendaki Syurga, sebagaimana engkau membaca dengan tartil di dunia dahulu.” Hikmah yang dapat diambil dari hadith ini, tidak akan ada yang memperoleh ganjaran paling besar ini melainkan mereka yang menghafal al-Quran, serta tekun dalam menyampaikan setiap hak-hak hurufnya juga bacaannya, sebagaimana yang sepatutnya. (Lihat ‘Aun al-Ma‘bud, 4/237)

Sejarah Hafazan al-Quran pada Zaman Rasulullah SAW

Rasulullah SAW sebagai rasul yang diistimewakan Allah SWT dengan hafazan al-Quran melalui wahyu yang diturunkan kepadanya. Hal ini dinaskan dalam banyak ayat yang menunjukkan sahibu al- Risalah dapat memelihara semua ayat al-Quran tanpa sebarang lupa atau tersilap. Tambahan pula, Baginda SAW diberi sifat fathanah (berfikiran jauh) dalam menyampaikan risalah dakwah kepada ummah.

Bacaan Rasulullah SAW bukanlah hafazan semata-mata, tetapi bacaan untuk difahami dan diingati. Imam al-Bukhari ada menceritakan bahawa pada peringkat awal penurunan wahyu, Rasulullah SAW sentiasa menggerakkan lidahnya mengulangi ayat-ayat al-Quran walaupun ayat tersebut belum sempurna dibaca oleh Jibril AS dan ini mengganggu bacaan Jibril AS. Baginda SAW bersungguh-sungguh melakukan itu hanya kerana mahu segera mengingati ayat-ayat tersebut dan bimbang ayat tersebut mungkin dilupainya. Lantas Allah SWT menasihati Baginda SAW agar berhenti daripada melakukan perkara tersebut. Seterusnya Allah SWT menjamin akan memastikan Rasulullah SAW dapat menghafaz segala ayat al-Quran dengan baik sebagaimana firman Allah SWT:

Untuk menjamin ketepatan dan keutuhan ayat-ayat al-Quran di dada Rasulullah SAW, Jibril AS juga turut membantu dengan sentiasa datang bertadarus bersama Baginda SAW. Imam al-Bukhari ada meriwayatkan sebuah kisah daripada Ibn Abbas R.Anhuma, secara ringkasnya, Ibn Abbas R.Anhuma berkata bahawa Jibril AS datang menemui Rasulullah SAW pada setiap malam di bulan Ramadan, lalu mereka berdua secara bertadarus membaca al-Quran. Ketika Jibril AS membaca al-Quran, Rasulullah SAW akan mendengar dengan teliti bacaan tersebut dan begitulah sebaliknya.

Fatimah R.Anha juga pernah meriwayatkan sebuah hadis di mana Rasulullah SAW sendiri menyebut bahawa Jibril AS mendatanginya sekali setiap tahun untuk bertadarus al-Quran dan Jibril AS mendatanginya dua kali pada tahun kematiannya untuk bertadarus al-Quran.

Rasulullah SAW juga sentiasa membasahkan bibirnya dengan ayat suci al-Quran sama ada dalam sembahyang, tahajjud, sewaktu Baginda SAW keseorangan atau bersama para sahabat, semasa dalam kesusahan atau kesenangan. Setiap masa dan ketika Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkan al-Quran bahkan seluruh tindak tanduk dan akhlaknya berlandaskan al-Quran. Imam al-Tirmizi pernah meriwayatkan beberapa buah hadis yang menunjukkan bahawa Rasulullah SAW sentiasa membaca al-Quran sama ada pada waktu malam mahupun ketika berada di atas unta.

Seterusnya Rasulullah SAW mengajar al-Quran itu kepada para sahabatnya juga menerusi hafazan. Proses turunnya al-Quran adalah secara berperingkat-peringkat, sedikit demi sedikit. Tentunya hal ini dapat membantu dan memudahkan Rasulullah SAW untuk menyampaikannya kepada para sahabat, yang kemudiannya menghafaz dan memahami isi kandungannya. Kebiasaan tidak terburu-buru ini dikekalkan sehinggalah menjadi salah satu kaedah atau manhaj di dalam menghafaz al-Quran.

Penyampaian al-Quran secara sedikit demi sedikit telah dipraktikkan oleh Jibril AS kepada Rasulullah SAW. Caranya dengan memperdengarkan bacaannya lalu diikuti oleh sahabat sebelum menghafaznya. Selain itu, Baginda SAW juga menyuruh beberapa orang sahabatnya yang pandai agar menulis ayat-ayat suci al-Quran yang hendak dihafaz di atas kepingan batu-batu, tulang- tulang dan pelepah tamar. Rasulullah SAW juga mengajarkan al- Quran kepada sahabat dengan cara ‘musyafahah’ dan ‘taqlidi’ iaitu dengan membaca antara dua hingga sepuluh ayat menurut ayat-ayat yang diturunkan, sebagaimana dalam suatu hadith yang bermaksud: “Adalah Abu Said mengajarkan al-Quran kepada kami lima ayat di waktu pagi dan lima ayat di waktu petang. Dia memberitahu bahawa Jibril AS menurunkan al-Quran lima ayat demi lima ayat.” – Riwayat Ibn Asakir.

Hadith yang serupa diriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab RA dengan kata beliau: “Pelajari al-Quran lima ayat demi lima ayat, kerana sesungguhnya Jibril AS menurunkan al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW lima ayat demi ayat.” – Riwayat al-Baihaqi.

Setiap hari Baginda Rasulullah SAW akan membaca al-Quran yang diterimanya pada malam hari sebelumnya serta menghuraikan maksudnya. Di samping itu, Baginda SAW menasihatkan sahabat- sahabatnya supaya menghafaz ayat-ayat yang telah dibacakan itu dan seterusnya mengamalkan perintahnya.

Sebaik sahaja para sahabat menerima pelajaran dari ayat atau surah, maka mereka mengulang-ulang secara istiqamah sehingga sebati di dalam dada mereka pada malam harinya. Menurut Syeikh al- Sabuni, jika sesiapa berjalan pada waktu malam di Madinah melalui rumah-rumah para sahabat, akan kedengaran dengungan yang kuat seperti bunyi lebah dalam sarangnya. Itulah dengungan para sahabat yang sedang membaca al-Quran.

Seterusnya sahabat-sahabat menyampaikan pula kepada keluarga dan sahabat-sahabatnya yang lain. Oleh kerana itu, kita boleh katakan bahawa Rasulullah SAW adalah orang yang paling mengingati al- Quran. Bagindalah orang yang paling tahu tentang al-Quran sama ada dari sudut makna, asbab nuzul, hukum hakam dan perkara-perkara lain yang berkaitan dengan al-Quran.

Justeru itu, Rasulullah SAW adalah contoh terunggul dalam sejarah menghafaz al-Quran. Baginda SAW bertadarus dengan Jibril AS setiap kali datangnya bulan Ramadan. Amalan tersebut dilakukan secara berterusan dan ianya adalah sunnah yang perlu diikuti oleh setiap muslim. Kesungguhan Baginda SAW menghafaz al-Quran perlulah dicontohi dan diteladani.

Semoga mereka yang berusaha mengulang hafalan tersebut dapat turut sama tergolong di kalangan mereka yang disebutkan oleh Baginda SAW ini, dan dikurniakan pahala dua kali ganda lebih. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau menghukum kami jika kami terlupa atau melakukan kesalahan secara tidak sengaja.”

Wallahu a‘lam